Kitab Talbis Iblis Ibn Al-Jauzi: Panduan Hidup Bersederhana (Edisi no. 1 / Feb. 2015)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

oleh Ustaz Mustazah Bahari

Ibn Al-Jauzi

Beliau adalah Abu Al-Faraj Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad Al-Qurashi Al-Jauzi. Beliau bukanlah Ibn Al-Qayyim Al-Jauziah sepertimana yang difahami oleh segelintir masyarakat Islam yang terkeliru mengenainya. Beliau dilahirkan pada tahun 510H manakala Ibn Al-Qayyim pula pada tahun 691H.

Ibn Al-Jauzi merupakan seorang tokoh ulama yang bermazhab Hanbali dalam perundangan Islam dan seorang yang mempunyai aliran pemikiran Asy’ari di dalam masalah akidah.

Kitab Talbis Iblis

talbis-melayuKitab Talbis Iblis yang ditulis oleh Ibn Al-Jauzi, merupakan sebuah kitab yang membahaskan isu-isu yang membabitkan gangguan iblis terhadap manusia atau belitan iblis ke atas manusia. Kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa melayu dan telah diterbitkan oleh beberapa pustaka, antaranya ialah terbitan Pustaka Nasional yang diterjemah oleh Almarhum Syed Ahmad Semait.

Kitab ini juga telah digunakan sebagai bahan bacaan dan topik kuliah harian untuk golongan awam. Skop Ibn Al-Jauzi di dalam kitab tersebut ialah untuk mencegah manusia dari jatuh ke perangkap iblis.

Sejak dari mula kehidupan Nabi Adam, iblis berusaha untuk menyesatkannya sehingga melanggar perintah Allah yang menyebabkannya dikeluarkan dari syurga. Seterusnya kisah pembunuhan Habil oleh saudara kandungnya sendiri, Qabil, yang merupakan jenayah pertama yang dilakukan terhadap sesama manusia. Ia tidak berhenti di situ, malah iblis terus berusaha untuk membawa manusia kepada kebinasaan dengan pelbagai cara. Adakalanya jelas nampak kemungkarannya dan ada pula yang terselindung seperti amalan mungkar yang disangka baik seperti golongan pengamal bid’ah.

Disebabkan banyak tipu daya iblis terhadap manusia yang telah berlaku dalam sejarah, Ibn Al-Jauzi merasa perlu untuk mengingatkan manusia akan tipu daya iblis dengan memperkenalkan beberapa taktik iblis dalam memerangkap manusia.

Usaha beliau ini dilandasi oleh semangat Huzaifah bin al-Yaman yang sering bertanya Rasulullah s.a.w mengenai perkara-perkara yang buruk agar beliau dapat menghindarinya. Justeru, dengan memperkenalkan kelicikan iblis, ia dapat memberi peringatan kepada manusia agar tidak mengikutinya.

Di dalam kitab tersebut dimuatkan sebanyak tiga belas bab. Ia dimulakan dengan bab kepentingan menetapkan diri pada sunnah dan jamaah. Seterusnya menghuraikan isu kecelaan bid’ah, belitan iblis dalam isu akidah dan agama, belitan iblis terhadap orang awam hingga kepada golongan ulama, golongan yang kuat beribadah, ahli zuhud, para sufi dan hal-hal lain yang berkenaan dengan urusan agama.talbis-eng

Ringkasnya, Ibn Al-Jauzi menyentuh sudut-sudut yang dilihat berlakunya belenggu atau belitan iblis ke atas manusia di setiap peringkat, daripada manusia biasa hinggalah yang berpangkat.

Prinsip wasatiyah Ibn Al-Jauzi

Walaupun secara zahirnya kitab ini membicarakan tentang peringatan untuk memelihara diri dari belitan iblis, ia sebenarnya mengandungi prinsip wasatiyah yang boleh diterapkan dalam kehidupan dan amalan seorang muslim.

Secara ringkasnya wasatiyah adalah satu pendekatan yang ditekankan Islam bagi mencapai keputusan dan hasil yang terbaik dalam urusan kehidupan. Semangat wasatiyah dalam melakukan sesuatu amalan atau perbuatan ialah dengan bersungguh-sungguh dan berlaku adil dalam melaksanannya.

Dengan prinsip wasatiyah yang berteraskan keadilan dan melakukan sesuatu dengan memberikan usaha yang terbaik, pasti akan menimbulkan natijah dan kesan yang baik. Setiap perkara yang baik tidak disukai iblis, maka manusia perlu berusaha untuk mengukuhkan prinsip wasatiyyah di dalam diri masing-masing agar ia dapat mengalahkan iblis dan terselamat dari tipu dayanya.

talbis-arabBagi menjelaskan prinsip wasatiyah Ibn Al-Jauzi, ia dapat dilihat dalam huraian yang dilakukan pada beberapa bab di dalam kitab tersebut, contohnya:

a. Bab perihal belitan iblis terhadap para ulama dalam hal ilmu pengetahuan.

Di dalam bab ini, Ibn Al-Jauzi membawakan beberapa contoh golongan manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan tetapi tidak menggunakannya secara adil.

Beliau memberi contoh seorang imam yang terlalu asyik dengan bacaan Al-Quran tetapi tidak mempedulikan hukum sah dan batal solat. Ada dikalangan pembaca Al-Quran yang terlalu asyik dengan bacaan berlagu dan tajwid tetapi tidak pedulikan isi kandungan Al-Quran yang boleh difahami menerusi bacaan kitab tafsir. Ada di antara mereka yang asyik dengan bacaan qiraat dan memberi penekanan kepada bacaan bersanad.

Pendekatan wasatiyah yang dilakukan oleh Ibn Al-Jauzi ialah nasihat beliau agar Al-Quran itu dimanfaatkan keseluruhannya dan yang paling utama adalah isi kandungan Al-Quran untuk dijadikan panduan bagi manusia.

Beliau mengingatkan kepentingan mengamalkan Al-Quran secara menyeluruh, dari sudut bacaan hinggalah amalan. Bukan sekadar memperbaguskan bacaan tetapi tidak memahami serta meninggalkan pedoman Al-Quran.

Seterusnya golongan ahli hadis yang dibahagikan kepada dua golongan; i) mencari dan mengkaji hadis dari sudut hasan dan sahih. ii) mendengar dan memperbanyakkan periwayatan tanpa melihat darjat hadis sama ada boleh diamalkan atau tidak.

Bagi golongan yang terlalu asyik dengan menghuraikan kedudukan hadis, mereka tertinggal perkara penting iaitu memahami kandungan hadis tersebut apabila dikaitkan dengan amalan. Sebagai contoh, terdapat ahli hadis yang menyalahi maksud Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang menyebut larangan ke atas orang lelaki dari menyiram ‘airnya’ pada ‘ladang’ orang lain. Mereka tersilap faham dengan mengatakan bahawa mereka dahulu selalu menyirami ladang jiran mereka apabila mendapat air yang lebih. Apabila hadis ini disampaikan kepada mereka, lantas mereka beristighfar panjang. Sedangkan hadis itu sebenarnya bermaksud larangan kepada lelaki bersatu dengan tawanan atau hamba wanita yang sedang mengandung.

Golongan kedua pula terlalu banyak meriwayatkan hadis tanpa melihat kesahihannya. Apa yang mereka lakukan adalah semata-mata untuk menunjukkan bahawa mereka telah banyak belayar dan menerima sanad yang banyak sekali. Ada yang meriwayatkan hadis palsu tanpa sedar atau tanpa penjelasan terhadap kedudukan hadis tersebut.

Ulama dan ahli fiqh pula terlalu banyak mengadakan debat tentang masalah-masalah fikih yang besar sehingga mengabaikan keperluan untuk menghuraikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat dalam memahami dan mengamalkan hukum yang lebih dekat dengan mereka.

Ada pula yang berdebat kerana ingin menang dan dilihat lebih alim dan berpengaruh daripada yang lain. Ada yang tidak pedulikan nas-nas Al-Quran atau hadis tetapi menggunakan kaedah qiyas atau logik semata-mata.

Hal ini dapat dilihat di zaman ini golongan yang melampau dalam menguruskan nas-nas agama dan mengeluarkan hukum secara tidak adil.

Ibn Al-Jauzi juga membawa contoh ahli fikih atau ulama yang terlalu rapat dengan pemerintah sehingga mengkaji dan mengeluarkan hukum semata-mata untuk mendapatkan habuan dari pemerintah. Ada pula yang langsung memboikot pemerintah sehingga mencetuskan fitnah dan amalan mengeji, mengumpat dan mengata yang buruk mengenai pemerintah.

Dalam isu ini, apa yang wajar dilakukan adalah dengan mengambil sikap yang adil. Ulama dan umara (penguasa) perlu bekerjasama demi kepentingan agama dan masyarakat, tetapi janganlah sampai menggadai agama untuk kepentingan dunia.

b. Bab belitan iblis terhadap ahli ibadat

Ibn Al-Jauzi memulakan bab ini dengan membicarakan hal menjaga kesucian dari hadas, seterusnya dalam perlaksanaan wuduk, melaungkan azan, mendirikan solat, puasa dan amalan haji.

Dalam membahaskan isu kebersihan dari hadas dan wuduk, beliau membidas golongan yang melampau dalam mengendalikannya. Golongan yang dihinggapi penyakit was-was menyukarkan lagi keadaan sehingga membabitkan perkara makruh, malah haram seperti membazir air, membuang masa dan melakukan perkara yang tidak disukai agama.

Ini jelas bercanggah dengan prinsip wasatiyah kerana pembaziran masa dan bahan adalah haram.

Teguran bagi muazzin pula membabitkan tugasan mereka yang dicampur adukkan dengan perbuatan yang tidak ada kaitan langsung dengan azan seperti melagukan azan dengan lagu yang melampau. Beliau juga menegur tentang perbuatan sebilangan muazzin yang membaca Al-Quran dan berzikir dengan kuat sebelum masuknya waktu subuh sehingga mengganggu orang yang sedang tidur atau orang yang sedang bertahajud.

Perkara ini boleh dikaitkan dengan bacaan tarhim yang masih lagi dilakukan di beberapa masjid di Malaysia. Mantan menteri besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz serta Mufti Pulau Pinang pernah membidas amalan ini dan mencadangkan agar ia dihentikan.

Bagi amalan solat pula banyak sekali perbuatan yang dilihat bercanggah dengan prinsip wasatiyah misalnya, isu pakaian yang diragui kebersihannya sehingga rasa terdesak untuk menukarnya. Ada pula yang terus mencucinya tanpa pasti kebenaran wujudnya najis pada pakaiannya. Bukankah Islam telah menjelaskan cara mengenal pasti wujudnya najis pada sesuatu tempat melalui bau, warna dan rasa? Bagaimana pula ia dianggap najis jika tiada satu pun ciri-ciri itu dapat dipastikan ada pada pakaian?

Beliau seterusnya menyentuh perbuatan orang yang memperbanyak solat malam sehingga membuatkan diri letih dan mengantuk di waktu siang dan mengganggu pekerjaannya.

Contoh teguran beliau terhadap orang awam yang sering menghadiri majlis zikir dengan menampakkan kekhusyukan dan menangis. Apa yang diharapkan ialah dengan perbuatan itu dapat menaikkan darjat mereka sebagai ahli zikir, sedangkan apa yang seharusnya mereka lakukan adalah memahami maksud zikir-zikir tersebut yang boleh melunakkan jiwa sehingga menjadi orang yang baik akhlaknya. Tetapi apa yang kelihatan ialah mereka masih lagi berperangai buruk dan terus melakukan maksiat apabila di luar.

Kepada golongan sufi pula, Ibn Al-Jauzi memberikan banyak contoh teguran serta perbandingan antara sufi yang benar di atas landasan Al-Quran dan Sunnah dengan yang didakwa oleh sebahagian guru sufi yang telah menyeleweng.

Banyak lagi contoh-contoh yang dicanangkan oleh Ibn Al-Jauzi sebagai perbuatan-perbuatan yang melampau dari sudut pandangan agama.

Kesimpulan

Jelasnya, perbuatan dan tindakan pelampauan dalam Islam tidak kekang dari sejarah umat Islam.

Perbuatan sebegini oleh sesetengah masyarakat Islam secara tidak langsung memberi kesan negatif terhadap Islam sendiri, sedangkan Islam tidak pernah menganjurkannya sama sekali.

Isu pelampauan tidak harus dikaitkan dengan keganasan semata-mata. Sikap melampau boleh berlaku pada setiap kelakuan manusia.

Apa sahaja yang dilakukan secara tidak adil, maka ia dianggap melampau. Dalam konteks ibadah pun terdapat anasir pelampauan sehingga Nabi s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya agama adalah mudah, dan tidaklah seseorang itu menjadi keterlaluan di dalam agamanya melainkan dia akan tewas akhirnya..” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Terdapat satu kaedah fiqh yang disebut sebagai la ifrat wa la tafrit, yang bermaksud tidak boleh melampau batas dan juga tidak boleh mengurangi batas. Kaedah ini sering dikaitkan dengan amal ibadah untuk memastikan pelakasanaannya tidak terlalu sempit dan juga tidak terlalu dipermudah.

Apa yang diingatkan oleh Ibn Al-Jauzi di dalam kitab ini sebenarnya diingatkan juga oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulum Al-Din. Beliau meletakkan satu bab yang dinamakan sebagai Kitab Zamm Al-Ghurur yang bermaksud kecelaan sifat terpedaya. Di dalamnya beliau memberikan empat golongan yang sering kali diperdaya, iaitu golongan ulama, golongan yang kuat beribadah, golongan sufi dan golongan yang memiliki harta.

Walaupun isunya berkenaan sifat terpedaya dengan kebaikan diri sendiri tetapi maksud yang ingin disampaikan selaras dengan prinsip wasatiyah kerana golongan yang terpedaya adalah mereka yang gagal melaksakan tanggungjawab secara adil dan terbaik.

Walau pun imam Al-Ghazali seorang ahli sufi, beliau tidak ketinggalan mengkritik golongan ahli sufi yang melanggar konsep wasatiyah di dalam mengamalkan Islam, satu hal yang sama yang ditekankan oleh Imam Ibn Al-Jauzi.

Akhirnya, tindakan pelampauan dalam apa jua lapangan tidak akan menguntungkan manusia. Sebaliknya pendekatan wasatiyah yang berteraskan maksud melakukan yang terbaik lagi adil perlu sentiasa diamalkan.

Isu akidah, ibadah, muamalah dan sebagainya perlu dikendalikan dengan prinsip wasatiyah. Jika prinsip ini diabaikan, akan bertambah perbuatan-perbuatan zalim yang merugikan Islam dan umatnya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: