Wasatiyah Pada Perspektif Pak Hamka (Edisi no. 2 / April 2015)

Oleh Ustaz Mustazah Bahari

Pendahuluan

Pentingnya mengamalkan sikap yang berteraskan wasatiyah, para ulama tidak henti-henti menasihatkan dan mengingatkan umat Islam agar sentiasa hidup dengan semangat itu. Ironinya, teguran, nasihat dan teguran yang dilakukan oleh para ulama hampir sama, baik di Timur Tengah, di negara Barat serta negara Asia. Cuma perbezaannya ialah masing masing memberi penekanan terhadap isu yang dihadapi oleh bangsa dan rakyat yang tinggal di Negara tersebut. Sebagai contoh, Ibn Al-Jawzi menegur sikap masyarakatnya yang tidak mengamalkan Islam secara adil dan benar. Ia mungkin merupakan isu yang sama dihadapi oleh masyarakat di luar ataupun berbeza. Namun, peringatan dan teguran untuk melaksanakan sesuatu berteraskan prinsip wasatiyah adalah satu keperluan yang sangat penting.

Di Nusantara, terdapat beberapa tokoh ilmuan Islam yang turut serta memperjuangkan prinsip wasatiyah bersesuaian dengan cara hidup orang Timur. Tokoh yang ingin dikenali pada kali ini ialah Prof. Hamka yang dikenali juga sebagai Buya Hamka atau Pak Hamka.

pak hamkaPak Hamka

Hamka, atau nama lengkapnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah (lahir di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia pada 17 Februari 1908 – 24 Julai 1981) adalah seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia.

Ayahnya ialah Syekh Abdul Karim bin Amrullah, yang dikenal sebagai Haji Rasul, yang merupakan pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.

Beliau mendapat nama panggilan “Buya” yang diambil daripada perkataan Arab ‘Abi’ atau ‘Abuya’ yang membawa maksud ayah atau seseorang yang amat dihormati.

Hamka merupakan ketua Majelis Ulama Indonesia, salah satu daripada pertubuhan agama Islam yang terbesar di Indonesia selain Nahdhatul Ulama dan Muhammadiyah.

Sewaktu zaman penjajahan Belanda, Hamka merupakan ketua editor majalah Indonesia seperti Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Hamka hanya mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Maninjau. Beliau hanya belajar setakat gred 2. Namun, ketika beliau berumur 10 tahun, ayahnya membuka Thawalib atau sekolah fardhu ain di kampung halamannya Padang Panjang. Hamka kemudiannya belajar dan menguasai bahasa Arab. Beliau juga menjadikan Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo, cendekiawan Muslim tersohor sebagai mentornya.

Beliau banyak menghabiskan masanya dengan membaca buku falsafah, sastera, sejarah dan politik. Hamka juga menyelidiki karya-karya Arab dan Barat yang diterjemahkan ke bahasa Arab seperti Karl Marx dan Arnold Toynbee.

Hamka aktif berdakwah sejak beliau berumur 17 tahun. Beliau menubuhkan Persatuan Hindia Timur di Makkah dan mengajar cara mengerjakan haji yang betul kepada jemaah haji Indonesia. Hamka merupakan pengasas Kolej Al-Muballighin untuk melatih pendakwah dan menerbitkan majalah dakwah seperti Pembela Islam, Merdeka, Menara, Pemandangan, Gema Islam, Pedoman Masyarakat dan Qathib Al-Ummah.

Beliau melibatkan diri dengan pertubuhan Muhammadiyah dan menyertai cawangannya dan dilantik menjadi anggota pimpinan pusat Muhammadiyah. Beliau melancarkan penentangan terhadap khurafat, bid`ah, tarikat kebatinan yang menular di Indonesia. Oleh itu, beliau mengambil inisiatif untuk mendirikan pusat latihan dakwah Muhammadiyah. Hamka juga berjuang demi tanah airnya dengan mengetuai Fron Pertahanan Nasional untuk menyekat kemaraan Belanda di Indonesia.

Akibat daripada kelantangan beliau bersuara menyebabkan dirinya dipecat daripada jawatan umum Majelis Ulama Indonesia. Beliau juga pernah meringkuk di penjara bersama-sama tokoh Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).

Selain hanya menjadi guru agama di Tebing Tinggi dan Padang Panjang, beliau juga menjadi pensyarah di Universiti Islam Jakarta dan Universiti Muhammadiyah, Rektor Perguruan Tinggi Jakarta dan Pengawai Tinggi Agama Indonesia.

Beliau meninggal dunia pada 1981M pada usia 73 tahun.

Sepanjang hidup beliau, Hamka merupakan seorang yang petah berpidato,berjiwa seni melalui pantun dan syair dalam karyanya serta seorang yang berani dalam memberi semangat untuk umat Islam menentang pihak Belanda di Indonesia.

Beliau meninggalkan khazanah ilmu yang luas dengan meninggalkan sebanyak 79 hasil tulisan mengenai Islam dan yang berkaitan dengannya.

Prinsip Wasatiyah Hamka Dalam Buku Falsafah Hidupfalsafah hidup

Sebagai seorang yang berjiwa reformis, Hamka sentiasa melihat kepada perkara-perkara yang perlu diubah agar pembaharuan dapat dicernakan, khususnya perkara yang berkaitan dengan sikap bangsanya terhadap kehidupan.

Di dalam kitab karangan beliau yang berjudul Falsafah Hidup, jelas lagi nyata mesej yang ingin disampaikan kepada bangsanya ialah sentiasa berusaha memajukan diri. Seperti yang dimaklumi bahawa maksud wasatiyah ialah melakukan yang terbaik dan adil dalam apa jua pelaksanaan. Apa yang ingin Hamka ketengahkan ialah semangat yang perlu ada dalam diri bangsanya agar sentiasa maju dan berwawasan, bukan hanya duduk menyerah diri sambil merasa cukup selesa dengan keadaan sedia ada.

Buku Falsafah Hidup mengandungi sembilan bab yang dimulakan dengan persoalan hidup dan akal manusia. Seterusnya pada bab berikut, beliau mengenengahkan persoalan mengenai ilmu dan akal, undang-undang Islam, adab kesopanan, keberanian, keadilan, persahabatan, kesederhanaan dan akhir sekali mengenai Islam membentuk pandangan hidup.

Di dalam bab yang membicarakan tentang kesederhanaan, Hamka membahagikan kepada beberapa tajuk kecil;

  1. Sederhana
  2. Sederhana niat dan tujuan
  3. Sederhana berfikir
  4. Sederhana mengeluarkan perasaan
  5. Sederhana dalam sukacita
  6. Sederhana pada harta benda
  7. Sederhana mencari nama
  8. Sederhana mencari pangkat
  9. Didikan kesederhanaan

Ketika memulakan bicara mengenai sederhana, Hamka membicarakan tentang ramainya orang yang menuruti syahwatnya sehingga tergadai harta benda, nama baik, bangsa dan negaranya. Tidak juga mereka mempedulikan hinaan orang dan laknat Tuhan. Ada pula orang yang terus membelakangi syahwatnya sehingga nampak lemah dan tidak mempunyai kegiatan hidup yang sihat.

Seterusnya beliau memberikan contoh yang berlaku di sekeliling masyarakatnya yang tidak mengamalkan prinsip sederhana dalam hidup seperti anak muda di kampung yang mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan tetapi asyik dengan beradu ayam dan duduk bersembang di kedai kopi. Apabila bernikah, tiada pula mereka berubah berusaha mencari nafkah tetapi yang keluar bekerja adalah isteri-isteri mereka! Ada pula golongan muda yang terlalu asyik mencari nafkah sehingga tidak berehat, tidak berbelanja dan tidak menikmati kehidupan normal.

Beliau selanjutnya memberi rumusan dengan berkata, “di antara kedua macam perangai itu, ada perangai yang terletak di tengah-tengah; tidak menuruti syahwat, tetapi diberinya juga sedikit sekadar melepaskan yang menyakiti betul. Waktu muda tidak disia-siakan, dia pergi mencari rezeki untuk persiapan waktu tua. Tetapi dalam mencari rezeki tidak mengazab diri… golongan pertama tercela sebab berlebih-lebihan. Golongan kedua juga tercela kerana terlalu berkurangan. Kedua-duanya menimbulkan bahaya bagi diri sendiri. Yang terpuji ialah jalan tengah, yang meletakkan sesuatu di tempatnya. Yang memilih segala pekerjaan mana yang bagus. Inilah yang dikatakan sederhana.”

Apa yang ditekankan Hamka di sini jelas berteraskan maksud wasatiyah yang sebenar. Meletakkan sesuatu di tempatnya ialah berlaku adil dan pada masa yang sama melakukan yang terbaik.

moderationDi bawah tajuk ‘sederhana niat dan tujuan’ Hamka menekankan kepentingan niat dan matlamat di dalam menjalani urusan kehidupan. Beliau menegaskan bahawa yang menjadi ukuran kesederhanaan atau wasatiyah bukanlah hasil yang jelas dilihat oleh orang ramai tetapi yang penting adalah apa yang dilakukan oleh dirinya sendiri untuk mencapai kesederhaan. Hidup dengan pakaian, kenderaan, rumah dan sebagainya yang tidak mewah bukan semestinya dianggap sederhana. Apatah lagi kalau ada individu yang ingin menampakkan sifat tawaduk tetapi di dalam hatinya ingin disanjung orang. Beliau selanjutnya berkata, “Kaya jadi, miskin pun jadi, masyhur atau tidak ternama, berniaga atau makan gaji, jadi tuan atau kuli, semuanya harus mempunyai cita-cita sederhana, tujuan yang menengah. Warna sederhana berlainan dan berbagai ragam, menurut kesanggupan tiap-tiap orang. Tetapi haruslah kontaknya, iaitu niat tempatnya tegak diperbaiki.”

Sekali lagi jelas kelihatan prinsip wasatiyah yang ditonjolkan oleh Hamka di sini. Ciri wasatiyah yang penting untuk diamalkan ialah melakukan sesuatu secara adil menurut konteks atau situasi yang dihadapi atau dialami oleh seseorang. Ia boleh berubah-ubah menurut keperluan. Misalnya, seorang ketua keluarga yang menanggung perbelanjaan untuk ahli keluarganya. Setiap bulan diletakkan bajet untuk berbelanja. Tetapi adakalanya terdapat keperluan mendesak untuk dia berbelanja lebih dari bajet bulanannya, maka itulah wasatiyah. Jika dia tidak mahu berganjak dari bajet yang ditetapkan dalam keadaan keperluan mendesak yang mendatang, maka dia tidak berlaku adil dalam tanggungjawabnya.

Selanjutnya di dalam menghuraikan tajuk ‘sederhana berfikir’, Hamka ingin mengenengahkan persoalan manusia dalam berfikir dan pemikiran. Beliau menegur sikap bangsanya yang menurut pemikiran orang lain dan tidak berusaha untuk berfikir bagi kebaikan dirinya sendiri. Jika ini dibiarkan manusia akan hidup di kepompong yang lama, tidak maju.

Ungkapan yang amat menarik apabila beliau menyatakan bahawa manusia janganlah sekadar menjadi manusia yang maju tetapi yang sama penting adalah nilai kemanusiaan yang harus seimbang dengan kemajuan manusia itu sendiri.

Hamka mengajak bangsanya agar tidak berputus asa dari meneruskan perjuangan hidup dengan fikiran yang luas lagi waras. Beliau mengajak kepada pemikiran yang sederhana menurut kemampuan masing-masing tanpa perlu meniru pihak lain sehingga membebankan diri sendiri. Beliau juga menjelaskan bahawa fikiran yang sederhana akan menimbulkan sifat tawakal dan cita-cita yang mulia. Tawakal adalah tunggak keimanan kepada Allah. Cita-cita yang suci pula menghindarkan kepercayaan yang datang kerana menurut sahaja kepada fikiran dan pendapat nenek moyang dan bertaklid.

Isu taklid iaitu menurut sahaja pandangan lain tanpa berfikir merupakan satu sikap yang tidak disukai. Para ulama, di mana sahaja mereka, mencela sikap bertaklid tanpa usul periksa. Taklid yang dimaksudkan di sini bukanlah di dalam perbahasan fikih untuk orang awam tetapi secara umumnya tentang kehidupan. tasauf modernHakikatnya sikap taklid membunuh kemajuan manusia. Ironinya, selain Hamka, terdapat juga pemikir dan ilmuan Islam di Nusantara sama-sama memerangi sikap ini seperti pendita Za’ba.

Kesimpulan

Kitab Falsafah Hidup ini secara umumnya merupakan sebuah karya yang mengenengahkan prinsip wasatiyah. Setiap bab yang terkandung di dalam kitab ini tidak terlepas dari sebutan dan peringatan tentang pentingnya mengamalkan sikap wasatiyah. Bahkan prinsip ini bukan sekadar dirakamkan di dalam kitab ini, namun Hamka juga menyelitkan mesej wasatiyah ini dalam karya-karyanya yang lain seperti kitab Tasauf Modern. Hakikatnya, prinsip wasatiyah sentiasa menjadi tumpuan golongan ulama, pemikir dan progresif dan dengan prinsip itu membawa mereka kepada kemajuan yang tidak berhenti.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: