Dari meja penyunting… (Edisi No. 3/June 2015)

ramadhan-al-mubarak1

(Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah)

—————-

Kami terus bersyukur kepada Allah taala kerana masih dapat menghasilkan Wasat edisi no. 3.

Pada kesempatan ini kami ingin mengucapkan Ramadhan Mubarak kepada semua pembaca atas kehadiran bulan yang mulia di pertengahan bulan ini nanti.

Semoga Allah taala memberkati kita semua di bulan yang mulia ini hingga ia menjadi penyuci dosa dan pembekal kekuatan untuk menjadi Muslim yang lebih baik lagi sesudahnya.

Edisi kali ini mengemukakan empat artikel yang diharapkan dapat terus memberi manfaat yang besar dalam menghadapi cabaran-cabaran dan isu-isu terkini sesuai dengan prinsip wasatiyah yang mahu disebarkan melalui penerbitan ini.

Artikel pertama bertajuk Kefahaman Wasati Tentang Jihad adalah sumbangan ustaz Mohammad Yusri Yubhi bin Md. Yusoff.

Bertolak dari penyebaran fahaman dan amalan jihad yang salah yang berleluasa di kalangan segelintir anak-anak muda Muslim, artikel ini berusaha untuk mengingatkan pembaca beberapa perkara penting; a) pengertian jihad yang luas – tidak terhad hanya pada perang bersenjata, b) perbezaan jihad bersenjata dengan pembunuhan, dan c) bentuk jihad yang lebih utama bagi Muslim hari ini.

Telah diketahui salah satu masalah pelampauan yang menonjol hari ini ialah pelampauan dalam berjihad.

Atas dasar ini, pastinya meluruskan salah faham tentang jihad amat relevan dengan wasatiyah dalam beragama.

Artikel kedua pula bertajuk Salafiah, Asya`irah dan Ahlis Sunnah Wal Jamaah oleh ustaz Mustazah Bahari.

Artikel ini menyentuh satu isu yang sedang hangat hari ini dan amat kontroversi akibat dari perselisihan di kalangan segelintir pengikut dua aliran, iaitu aliran Salafi dan Asya`ari yang membawa kepada tuduhan sesat dan menyesatkan antara satu sama lain.

Salah satu bentuk tuduhan sedemikian ialah apabila ada pihak dari kededua mazhab ini yang mendakwa sebagai Ahlis Sunnah Wal Jamaah dan menafikan pula yang lain.

Artikel ini berpremis bahawa fahaman sedemikian bukanlah satu fahaman yang bersifat wasatiyah dan perlu diluruskan.

Hal ini adalah kerana sesiapa pun yang mempelajari wacana (discourse) agama Ahlis Sunnah Wal Jamaah akan mengetahui bahawa membuat dakwaan sebagai Ahlis Sunnah Wal Jamaah dan menafikannya dari pihak lain bukan hanya soal menuntut hak bagi sesuatu label, brand atau trademark semata-mata.

Ia memberi makna kebenaran dirinya dan penyelewangan pihak lain kerana yang dominan dalam wacana Ahlis Sunnah ialah ia adalah satu-satunya fahaman Islam yang paling benar yang diwarisi dari nabi Muhammad s.a.w.

Maka yang tersirat ialah pihak yang dinafikan dari fahaman ini ialah pihak yang, kalau pun tidak kufr dari agama, ia telah menyeleweng dari Al-Haq.

Artikel sumbangan ustaz Mustazah berusaha untuk menunjukkan bahawa telah sabit dari ulama dahulu dan sekarang yang menerima kededua mazhab ini sebagai Ahlis Sunnah dan perselisihan mereka dalam isu ayat-ayat mutasyabihat bukanlah perselisihan dalam persoalan pokok, tapi perselisihan dalam soal cabang agama yang tidak boleh dihukumkan sesat, sekali pun jika didapati berlaku kesilapan.

Untuk menunjukkan sedemikian, ustaz Mustazah berusaha membentangkan pendapat ulama dari kededua pihak yang saling mengakui antara satu sama yang lain.

Hakikatnya, apa yang dikemukakan oleh ustaz Mustazah bukan sesuatu yang baru dan asing bagi Pergas kerana sejak tahun 2003 lagi Pergas melalui Konvensyen Ulama dan kemudiannya melalui buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Muslim Singapura (2004) telah merumuskan dalam Piagam Kesederhanaan yang bertujuan untuk menjadi blueprint bagi fahaman dan amalan Islam yang bersifat wasatiyah:

“Dalam persoalan fiqh, kita mengiktiraf mazhab Hanafi, Maliki, Asy-Syafi’i dan Hanbali sebagai mazhab yang boleh diamalkan oleh mana-mana umat Islam di Singapura. Begitu juga pandangan ulama-ulama mujtahid yang muktabar di sisi jumhur Ahlis Sunnah Wal Jamaah yang lain. Namun demikian, dalam apa jua urusan rasmi, mazhab Asy-Syafi’i adalah mazhab rasmi.

Dalam persoalan aqidah, kita mengiktiraf pandangan Salaf dahulu dan mereka yang mengikuti prinsip Salaf kemudiannya sebagai pandangan yang selamat. Kita juga mengiktiraf mazhab Abu Hasan Al-Asy’ari dan Abu Mansur Al-Maturidi sebagai sebahagian dari Ahlis Sunnah Wal Jamaah.”amman message

Pendirian yang sama juga terakam dalam The Amman Message yang telah ditandatangani oleh ratusan ulama dari merata dunia dan dari pelbagai aliran (lihat imej).

Artikel ketiga bertajuk Manhaj Wasati Dalam Ijtihad Maqasidi oleh ustaz Mohammad Rizhan bin Leman, seorang calon doktor falsafah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini membicarakan pendekatan yang betul dalam melakukan ijtihad yang mengambil kira Maqasid Al-Shari`ah.

Ia menggariskan bentuk ijtihad sedemikian yang betul dan yang salah serta syarat-syarat penggunaan Maqasid Al-Shari`ah yang betul sebagai landasan berijtihad.

Artikel keempat bertajuk Be Excellent Muslim: Why Muslims Must Have Pioneering Spirit & Breakthrough Ideas sumbangan ustaz Muhammad Haniff Hassan.

Artikel ini membicarakan kepentingan untuk seorang Muslim berusaha untuk menghasilkan idea-idea yang mampu menerobosi ufuk pemikiran baru atau usaha-usaha yang bersifat perintis.

Artikel ini mengemukakan 5 dalil kenapa Muslim harus melakukan sedemikian.

Dari sudut kaitannya dengan wasatiyah, artikel ini berhujah bahawa apa yang dicadangkan mempunyai kaitan langsung dengan konsep Muslim yang cemerlang dan kecemerlangan adalah salah satu makna bagi perkataan wasat dalam Bahasa Arab.

Wassalam

Nota:

Hakcipta penerbitan semua artikel dalam Wasat adalah milik Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak semua artikel yang diterbitkan di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi segala artikel melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: