Menegakkan Keadilan Dalam Penilaian (Edisi no. 4/August 2015)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

mizan alitidalOleh Ustaz Mohammad Rizhan bin Leman

Pendahuluan

Islam senantiasa menggesa pengikutnya agar menegakkan keadilan, baik terhadap golongan yang kita cintai mahupun terhadap golongan yang kita benci, terhadap kawan mahupun lawan, terhadap saudara seagama mahupun mereka yang berlainan agama, terhadap yang kaya mahupun yang miskin, terhadap yang kita kenali mahupun yang tidak dikenali,  dalam perbuatan mahupun dalam ucapan.

Keadilan dalam Al-Quran

Terdapat banyak ayat Al-Quran yang membicarakan mengenai keadilan.

Allah memerintahkan kita agar menegakkan keadilan terhadap orang-orang yang berlainan agama melalui firmanNya:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)

Allah memerintahkan kita agar berlaku adil walau pun terhadap orang-orang yang kita cintai melalui firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu…” (Al-Nisa’: 135)

Allah juga memerintahkan kita agar bersikap adil terhadap orang-orang yang kita benci melalui firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Maidah: 8)

Keadilan dalam Al-Sunnah

Di sana juga terdapat banyak hadis yang menyentuh mengenai perihal pentingnya menegakkan keadilan.

‘Amir berkata, “Aku telah diberitahu bahwa Basyir bin Sa’d datang kepada Rasulullah s.aw dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku, ‘Amrah binti Rawahah, menyuruhku untuk bersedekah kepada anaknya, yaitu Nu’man, dengan suatu sedekah. Dia memerintahkan aku agar meminta persaksian kepadamu terhadap hal tersebut!” Maka Nabi s.a.w pun bertanya kepadanya: “Apakah kamu memiliki anak-anak selainnya?” Dia menjawab, “Ya.” Beliau bertanya lagi: “Kamu memberi mereka seperti apa yang kamu berikan kepada anak ini?” Dia menjawab, “Tidak.” Maka beliau pun bersabda: “Janganlah kamu meminta persaksian kepadaku terhadap ketidakadilan.” (Riwayat Al-Nasa’i)

plant-justice-harvest-peaceAyat-ayat al-Quran serta hadis di atas jelas menunjukkan bahawa agama Islam mewajibkan pengikutnya agar sentiasa menegakkan keadilan pada setiap masa dan keadaan, serta terhadap sesiapa pun. 

Menegakkan keadilan dalam penilaian

Seringkali disebabkan perselisihan pendapat yang wujud antara kita dan individu lain membuatkan kita mengeluarkan kata-kata atau memberikan penilaian yang menyimpang dari keadilan mengenai individu tersebut.

Bagaimanakah caranya kita menegakkan keadilan tatkala berdepan dengan seorang individu yang memiliki pendirian dan kecenderungan yang berbeza dari kita?

Di sini ingin disarankan beberapa langkah untuk membantu kita menegakkan keadilan ketika membuat penilaian atau mengutarakan pandangan terutama terhadap individu atau golongan yang mempunyai pendirian yang berbeza.

  1. Tidak merendahkan saudara kita seagama dan tidak memberikan gelaran yang kurang baik kepada mereka

 Merendah-rendahkan saudara kita dan memberikan gelaran yang tidak baik sering terjadi khususnya di kalangan pihak-pihak yang berselisih pandangan.

Lebih malang lagi apabila sebahagian dari kalangan asatizah dan penuntut ilmu juga turut menggunakan pendekatan yang serupa.

Marilah kita merenung peringatan yang diberikan oleh Allah kepada kita melalui firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Al-Hasyr: 11) 

  1. Tidak tergesa-gesa menyesatkan atau mengkafirkan saudara seagama

 Amat menyedihkan melihat keadaan sebahagian individu yang begitu cepat menyesatkan atau mengkafirkan saudara seagama disebabkan perselisihan di dalam sebahagian perkara.

Ini jelas kelihatan apabila membincangkan mengenai ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh mengenai sifat Allah. 

Tokoh ulama Syria yang terkenal, Sheikh Wahbah Al-Zuhaili pernah memberikan teguran kepada sebahagian golongan muslimin yang begitu cepat menyesatkan saudara-saudara mereka seagama yang cenderung untuk mengambil pendekatan takwil dalam memahami ayat-ayat sifat.wahbah-zuhaili

Beliau berkata:

“Saya bersama dengan Salafiyyah dalam menyucikan Allah tetapi saya tidak bersama dengan seorang pun dalam menggunakan pendekatan yang melarikan orang daripada Islam dan begitu cepat menuduh seseorang kafir, sesat atau menyifatkan seseorang sebagai penyembah kubur, hanya semata-mata kerana menziarahi kubur yang merupakan sunnah yang sabit.”[1]

Beliau menambah:

“Orang yang mentakwilkan sebahagian daripada sifat Allah tidak boleh dihukumkan sebagai kafir seperti mentakwil wajah Allah sebagai kiasan atau simbolik tentang Allah, kerana ia merupakan uslub bahasa Arab yang makruf diketahui. Begitu juga dengan takwil tangan dengan makna qudrat dan seumpamanya yang diterima oleh akal dan juga bahasa Arab. Tidak sah menghukumkan golongan khalaf sebagai kafir, sesat atau melakukan bid’ah, kerana semua generasi salaf dan khalaf menyucikan Allah daripada penyerupaan dengan makhluk, meskipun yang lebih selamat ialah beriman dengan sifat-sifat yang baik bagi Allah tanpa sebarang penyerupaan, penolakan mahupun pentakwilan.”[2]

Dalam masa yang sama, sebahagian individu yang lain pula begitu cepat menyesatkan saudara-saudara mereka seagama yang tidak cenderung untuk mengambil pendekatan takwil dalam memahami ayat-ayat sifat.

Bahkan ada di kalangan mereka mengambil pendekatan agresif menyesatkan sebahagian tokoh ulama yang terkenal.

Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata:

“Dan sekiranya kita mengkritik sebahagian golongan salafiyyin yang berlebihan dalam melemparkan tuduhan kufur, fasiq dan dosa terhadap sebahagian muslimin yang mengambil pendekatan takwil, kita juga mengkritik sebahagian penentang mereka yang berlebihan dalam tuduhan mereka terhadap golongan salafiyyin, para imam dan syeikh mereka dengan tuduhan sesat dan terkeluar dari agama, menisbahkan kepada mereka kata-kata yang tidak pernah mereka katakan mengenai agama Allah dan menuduh mereka dengan tuduhan tajsim dan tasybih sedangkan mereka berlepas diri dari kedua tuduhan tersebut di dalam kesemua penulisan mereka. Sehinggakan mereka mengatakan mengenai al-imam al-rabbani, al-`allamah al-ummah, syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, apa yang tidak patut dikatakan dan tidak dapat diterima.”[3]

al-qaradhawiMenurut Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi, di antara punca terjadinya gejala kafir-mengkafirkan di dalam isu akidah adalah disebabkan kurang mengkaji bahan-bahan penulisan yang dihasilkan oleh aliran lain.

Golongan yang cenderung kepada mazhab Asya`irah menghabiskan waktu yang lama mendalami buku-buku mazhab mereka tetapi kurang memberikan perhatian kepada aliran lain.

Demikian juga yang berlaku bagi golongan yang mendakwa mengikut aliran salaf.[4]

Apabila buku-buku dari aliran lain tidak dibaca dan dikaji secara menyeluruh, ia membawa kepada menyandarkan satu pandangan kepada seorang alim yang tidak pernah beliau katakan.

Penyelidikan sebelum mengutarakan pandangan adalah penting agar kita tidak menzalimi sesiapa pun.

  1. Mengelakkan kata-kata yang kasar 

Allah memerintahkan kita agar menggunakan cara yang lebih baik ketika berdebat dengan golongan Ahli Kitab menerusi firmanNya:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih Mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih Mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Nahl: 125)

Jika beginilah pendekatan yang diajarkan oleh Allah kepada kita ketika berdepan dengan golongan yang tidak beriman dengan Al-Quran dan tidak juga kepada Nabi Muhammad s.a.w, bukankah saudara-saudara seagama dengan kita lebih berhak dan layak untuk kita elakkan cara serta kata-kata yang kasar meskipun kita berbeza pandangan?

  1. Memberikan pujian meskipun berbeza pandangan

 Sheikh Wahbah Al-Zuhaili adalah diantara para ulama yang berpendapat bahawa muzik adalah tidak dibenarkan melainkan kerana keperluan tertentu.[5]

Sungguhpun demikian, itu tidak menghalang beliau dari memberi kata-kata aluan serta pujian terhadap penulis sebuah tesis yang memiliki pendirian yang berbeza daripada beliau mengenai isu muzik.

Di dalam kata-kata aluannya, Sheikh Wahbah Al-Zuhaili memuji penulis tersebut, menyifatkan kajian tersebut sebagai menyeluruh dan lengkap serta dilakukan dengan begitu teliti.tolerance

Kemudian beliau berkata:

“Barangkali yang paling afdhal dalam kitab ini adalah mukaddimah yang menyentuh mengenai tulisan-tulisan yang lama dan baru mengenai tajuk ini, di mana beliau memuatkan 154 tulisan yang berkaitan dengan hukum nyanyian, muzik dan alat (muzik).”[6]

Dua lagi tokoh ulama yang telah banyak menghasilkan karya-karya ilmiah serta banyak memberikan sumbangan kepada umat Islam ialah Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dan Sheikh Al-Albani.

Sungguhpun mereka berbeza pandangan dalam beberapa isu, itu tidak menghalang keadilan ditegakkan.

Dalam ucapan takziahnya di atas kewafatan Sheikh Al-Albani, Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi berkata:

“Kita tahu bahawa telah kembali ke rahmatullah semalam Sheikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, seorang ahli hadis yang terkenal, pengarang kitab-kitab hadis yang telah tersebar ke timur dan barat. Sheikh Al-Albani merupakan salah seorang tokoh ulama hadis di zaman ini yang telah mentahqiq sejumlah kitab-kitab hadis…”[7] 

Beliau menambah:

“Saya pernah bertemu dengan Sheikh Nasiruddin Al-Albani beberapa kali; saya bertemu dengannya di Al-Madinah Al-Munawwarah dan di rumah Sheikh Zuhair Al-Shawish, penerbit kitab-kitabnya, meskipun mereka berselisih pandangan setelah itu. Saya juga bertemu dengannya di Doha dan juga di banyak tempat. Kami pernah bersama di Majlis Tertinggi Universiti Islam Madinah. Saya naik saksi bahawa beliau banyak menelaah dalam bidang hadis meskipun kadangkala saya berbeza pandangan dengannya mengenai sebahagian (hadis) yang beliau menghukumkan sebagai sahih dan juga dalam sebahagian ijtihad fiqh beliau…”[8]

  1. Lihatlah kepada saudara kita dengan pandangan rahmah dan kasih sayang dan bukan dengan rasa dendam dan permusuhan

 Di dalam kitabnya yang berjudul Teguran Suci dan Jujur terhadap Mufti Johor, Prof. Hamka mengkritik beberapa pandangan Mufti negeri Johor pada zamannya.

Prof. Hamka menegaskan di dalam penutup kitabnya bahawa walaupun tulisannya itu kelihatan seolah-olah menentang Yang Mulia Mufti, beliau tidak pernah menaruh dendam rasa permusuhan terhadap Yang Mulia Mufti.

Beliau menulis: 

“Sudah terbiasa di dalam hidup dan pergaulan hidup. Kadang-kadang fikiran bersamaan pada satu masalah dan kelak kemudian hari berselisih di dalam masalah yang lain dan kemudian bersamaan pula. Itulah alamat kita berfikir. Itulah sebabnya perselisihan demikian jangan dimasukkan ke dalam rongga hati dan jangan menjadikan dendam, kerana masih satu masalah pokok yang kita tidak pernah berselisih, iaitu bahawa kita adalah umat yang satu. Dan kita tidak pernah berselisih, iaitu bahawa kita adalah umat yang satu. Dan kita adalah hamba Allah yang dijadikan Tuhan bersama-sama dengan jin buat beribadat kepada-Nya!”[9]

  1. Mulakan dengan titik kesepakatan

common wordAllah taala berfirman: 

“Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka barpaling, maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.” (Ali Imran: 64)

Di dalam ayat ini, Allah mengajarkan kepada Nabi s.a.w agar memberikan tumpuan kepada titik kesepakatan terlebih dahulu ketika mengajak golongan Ahli Kitab kepada Islam.

Walaupun ayat ini adalah bersangkutan dengan golongan Ahli Kitab, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya kita memanfaatkan pendekatan sedemikian terhadap saudara-saudara kita seagama yang mempunyai pendirian yang berbeza di dalam sebahagian perkara.

Di dalam kitabnya yang berjudul Bidayah Al-Mujtahid Wa Nihayah Al-Muqtasid,imam Ibn Rushd seringkali memulakan perbincangan mengenai isu-isu fiqh dengan menyebutkan titik kesepakatan terlebih dahulu sebelum membentangkan titik perbezaan.

Memulakan perbincangan dengan titik kesepakatan dapat memberikan kesedaran terutama kepada pihak yang berselisih bahawa di sana terdapat banyak persamaan antara kita dan saudara kita meskipun kita berbeza dalam sebahagian perkara.

Ini dapat membantu untuk mengecilkan jurang perbezaan antara keduanya, sekaligus membantu kita melihat kepada saudara kita dengan pandangan rahmah dan kasih sayang, dan bukan dengan rasa dendam dan permusuhan.

Penutup

Menegakkan keadilan merupakan kewajiban setiap individu Muslim.

Golongan asatizah perlu menghiasi diri dengan pakaian keadilan dalam perbuatan dan ucapan mereka agar dapat dicontohi oleh anak-anak murid dan juga sekalian masyarakat.adl wal ihsan

Pada setiap hari Jumaat, kita diingatkan agar sentiasa menegakkan keadilan menerusi firman Tuhan yang dibacakan oleh para khatib sebelum turun daripada minbar, “Sesungguhnya Allah memerintahkan agar berlaku adil dan ihsan…” (Al-Nahl: 90).

Persoalannya, adakah kita telah benar-benar melaksanakan apa yang diperintahkan Tuhan?

——————————-

[1]Al-Zuhaili, Wahbah. 2008. Mausu`ah Al-Fiqh Al-Islami Al-Mu`asir. Dimasyq: Dar Al-Maktabi, jil. 6, ms. 30.

[2]Ibid., ms. 31.

[3]Al-Qaradhawi, Yusuf. 2006. Fusul Fi Al-`Aqidah Bayn Al-Salaf Wa Al-Khalaf. Qahirah: Maktabah Wahbah, ms. 178.

[4]Ibid., ms. 178-179.

[5]Al-Zuhaili, Wahbah. 2003. Fatawa Mu’asirah. Dimasyq: Dar Al-Fikr, ms. 342.

[6]Muhammad `Abd Al-Rahman. 2006. Al-Ghina’ Wa Al-Ma`azif Fi Al-I`lam Al-Mu`asir Wa Hukmuhuma Fi Al-Islam. Beirut: Dar al-Ma’rifah.ms. 6.

[7]Al-Qaradawi, Yusuf. 2001. Al-Islam `Ala Shabakah Al-Intirnit. http://qaradawi.net/new/component/content/article/220-2014-01-26-18-21-41/2014-01-26-18-26-08/621-2009-12-21-20-56-58 (8 Julai 2015).

[8]Ibid.

[9]Hamka. 2009. Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor. Selangor: Pustaka Dini, ms. 113.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: