Wasatiyah Dalam Memartabatkan Akal Dalam Kehidupan Muslim (Edisi No. 5/Oktober 2015)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

allah-cloudOleh Ustaz Dr. Firdaus Yahya Al-Hafiz

Jauhi emosi

Setiap kali gambar-gambar yang menunjukkan kalimah mulia Allah terukir di objek-objek seperti buah, pokok, awan dan sebagainya, tersebar luas di internet, ia diterima dan dipercayai sebagai sahih, tanpa sedikitpun keraguan bahawa gambar-gambar itu boleh jadi direka melalui sofwe-sofwe grafik.

Jika gambar-gambar itu tulen sekali pun, tidak semestinya ia benar-benar menunjukkan tulisan nama Allah yang mulia kerana sesuatu boleh berubah bentuk bila dilihat dari perspektif lain.

Sebagai contoh, sebuah silinder atau tabung jika dilihat dari atas sudah tentu akan menampakkan permukaan yang bulat, tapi jika dilihat daripada sisi akan kelihatan seperti kotak.

Namun, kemungkinan ini mungkin terlepas daripada benak fikiran dalam keghairahan seseorang ingin melihat tanda kebesaran Allah di alam ini melalui objek yang membentuk kalimah nama Allah.

Begitu juga, kadang kala kita gagal berfikir secara rasional apabila berhadapan dengan berita-berita yang menyokong Islam.

Sebagai contoh, ramai yang terus percaya akan dakwaan, pada tahun-tahun 70an dan 80an, bahawa Neil Armstrong, manusia pertama yang menjejakkan kakinya ke bulan, telah masuk Islam kerana mendengar azan di Bulan.

Kerana terlalu ghairah, ramai yang terlupa bahawa bulan tiada atmosfera.

Oleh itu, suara tidak boleh terhasil di sana kerana gelombang suara memerlukan objek untuk membawanya.

Ketiadaan udara di sana menyebabkan gelombang suara tidak wujud.

Demikian juga dengan penyebaran luas gambar yang menunjukkan permukaan bulan yang retak dengan dakwaan bahawa NASA menyatakan retak tersebut mengelilingi Bulan.

rational brainRamai mula percaya ia adalah kesan terbelahnya Bulan pada zaman Rasulullah s.a.w.

Tidak terlintas di hati mereka untuk mengkaji lebih mendalam apakah jenis garisan yang ada dalam gambar itu dan kemungkinan ia adalah rekaan grafik melalui komputer.

Sekali lagi, pemikiran secara rasional dan logik terpinggir dalam keghairahan menyambut berita-berita sensasi yang seolah-olah menyokong Islam.

Masalah ini menjadi lebih kritikal apabila seseorang sudah terlalu taksub kepada guru agamanya.

Apa jua dakwaan guru tersebut, walaupun bertentangan dengan logik akal akan diterima bulat-bulat.

Akal bertempat dalam Islam

Mungkin kerana ramai yang berpendapat bahawa akal tiada tempat dalam urusan agama kerana agama adalah kepercayaan dan kepercayaan tidak semestinya tunduk kepada akal fikiran.

Dakwaan ini memang ada kebenarannya.

Saiyidina Ali r.a pernah diriwayatkan berkata, “Jika ugama ini didasari dengan pemikiran semata-mata, maka sudah tentu bahagian bawah kasut khuf (kasut) lebih utama diusap daripada bahagian atasnya.” (Riwayat Abu Daud)

Namun, jika kita menggantung penggunaaan rasional dalam perkara agama, ia akan melahirkan manusia yang kurang dorongan untuk berfikiran kritis dalam urusan dunia dan agama juga.

wise-mind-1Manusia yang lebih senang ikut arus yang dicorakkan oleh manusia lain.

Kepercayaan memang memerlukan seseorang menggantung rasionalnya jika ia bertentangan dengan logik akal.

Sebagai contoh, orang Islam percaya akan kewujudan jin dan malaikat.

Sedangkan logik akal mengatakan sebaliknya kerana belum ada bukti empirikal akan kewujudan dua makhluk ini.

Namun, umat Islam meletak tepi rasional dan percaya tanpa tanya lebih lanjut.

Maka dalam bidang kepercayaan sesebuah agama, ada rasionalnya untuk tidak menggunakan rasional – percaya sahaja.

Sama ada kepercayaan agama itu lebih banyak mengikut rasional atau sebaliknya, ia bukan faktor yang diambil kira.

Namun dalam Islam, hanya hal-hal yang bersangkutan dengan alam ghaib yang wajib dipercayai sahaja. Inilah erti keimanan.

Akal tiada peranan dalam urusan tersebut.

Tapi setiap ugama ada komponen pengamalan dan tingkah laku.

Ia mencorak penganutnya dengan cara tingkah laku dan ritual yang membezakannya dengan penganut agama lain.

Dalam Islam, komponen pengamalan dinamakan Fiqh dan komponen tingkah laku dinamakan pula Akhlak.

Dalam Fiqh, rasional tidak boleh ditolak tepi seratus peratus.

Jika rasional diketepikan sepertimana yang berlaku dalam bidang kepercayaan (Tauhid atau Aqidah) akan hilanglah aktiviti ijtihad.

Tidak akan ada kaedah-kaedah Fiqh seperti Qiyas, Masalih Mursalah, Istihsan dan sebagainya.

Umat Islam akan jadi golongan literalis apabila berinteraksi teks yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w, iaitu Al-Quran dan Hadith.

Mereka akan terperangkap dengan masa dan tempat Al-Quran diturunkan dan sukar untuk mengaitkan dengan konteks semasa.

Maka rasional mempunyai peranan besar dalam pembentukan hukum-hukum Fiqh.

Ia menjadikan ugama Islam sebuah agama yang dinamik, yang sesuai diamalkan sepanjang masa dan dalam apa jua keadaan.

Ia boleh diamalkan oleh para sahabat.

Ia juga boleh diamalkan oleh manusia yang tinggal di merata tempat di dunia ini.

Malah ia juga sesuai diamalkan jika manusia nanti tinggal di planet Marikh.

Namun, bagaimana pula kenyataan saiyidina Ali r.a. dalam hadis di atas?

Tidakkah ia menunjukkan dengan jelas bahawa agama ini tidak berdasarkan akal?

khuf-2Sememangnya itulah tafsiran yang timbul jika seseorang itu tidak merenung lebih mendalam maksud kata-kata saiyidina Ali r.a.

Dalam konteks menyapu khuf, mengikut logik, menyapu bahagian bawah lebih utama daripada bahagian atas kerana sudah pasti bahagian bawah khuf lebih kotor daripada bahagian atas.

Ini adalah pandangan umum manusia tapi pandangan berbeza-beza mengikut kemampuan pemikiran logik seseorang itu.

Cuba kita lihat daripada sudut yang lain pula.

Yang dituntut dalam hukum khuf ialah menyapunya dengan air, bukan mencuci dengan air, seperti mencuci kaki ketika wuduk.

Jika seseorang menyapu bahagian bawah khuf yang sudah semestinya kotor, ia pasti akan menyebarkan kotoran tersebut.

Bahagian atas khuf pula biasanya tidak sekotor di bawah khuf.

Ia mungkin hanya berabuk sahaja.

Maka menyapu dengan air tidak akan menyebarkan kotoran tersebut, sebaliknya ia boleh mengurangkan kotoran itu.

Maka menyapu bahagian atas khuf lebih tepat mengikut logik daripada menyapu bahagian bawah khuf.

Tapi mengapa saiyidina Ali r.a tidak menyatakan demikian?

Mengapa sebaliknya yang dimaksudkan?

Bahawa kalau ugama ini ikut pandangan, maka menyapu bawah khuf adalah lebih utama daripada atas khuf?

Jika diteliti teks perkataannya, beliau tidak menggunakan perkataan al-`aql (akal) tetapi penggunakan perkataan al-ra’yu (pandangan).

Kedua-dua perkataan ini membawa makna yang berbeza.

Akal bermaksud berfikiran secara rasional dan kritis.

Sedangkan al-ra’yu membawa maksud pandangan semata-mata dan pandangan seseorang itu tidak semestinya bertepatan dengan pemikiran rasional.

Faktor emosi perlu diambil kira.

Jikapun pandangan seseorang itu mengikut rasional, manusia berbeza kemampuan dalam berfikiran secara rasional.

Ada manusia yang mampu untuk berfikir lebih kritikal daripada yang lain.

Oleh itu, saiyidina Ali r.a menganjurkan umat agar ikut apa yang terdapat dalam nas tanpa menyoal kerelevannya dan kesesuaiannya mengikut akal fikiran.

Sekiranya setiap hukum dipersoalkan kerelevannya, ia akan membuka pintu fitnah yang akhirnya melarutkan syariat Islam yang berfungsi sebagai pengikat kepada semua orang Islam merentasi masa dan tempat.

Akan tetapi ia tidak bermakna umat Islam tidak boleh menggunakan rasionalnya untuk membentuk hukum baru melalui ijtihad apabila berhadapan dengan situasi yang baru.

Jika ini berlaku, seperti yang dinyatakan sebelum ini, Islam akan hilang kedinamikan dan keanjalannya.

Begitu juga dalam melihat hikmah di sebalik sesebuah pensyariatan.

Ini hanya dapat dilakukan apabila seseorang menggerakkan akalnya untuk berfikir secara logikal, kritikal dan rasional.

Rational AnimalBatas akal

Penggunaan logik untuk menghasilkan pemikiran yang rasional perlu dibataskan kepada dua perkara di atas sahaja; a) untuk mencernakan hukum yang baru melalui ijtihad, dan b) untuk cuba menyingkap hikmah disebalik pensyariatan sesebuah hukum.

Penggunaan logik unuk menilai kembali hukum-hukum yang sudah diterima-pakai selama ini yang bersandarkan nas yang jelas dan tiada keraguan padanya akan melonggarkan tali yang mengikat semua orang Islam.

Ia akan membuat individu pilih dan amalkan hukum yang dia rasa masih lagi relevan untuk diamalkan sahaja.

Lebih buruk lagi, ia boleh membawa kepada keadaan di mana seseorang boleh menyoalkan kebijaksanaan Allah s.w.t dalam menetapkan sesebuah hukum.

Sebagai contoh, Al-Quran dengan jelas menyatakan, “Allah telah menetapkan untuk kamu (bahagian pusaka) anak-anak kamu, iaitu anak lelaki mendapat bahagian dua anak perempuan.” (Al-Niisa’, 11)

Nas yang jelas ini tidak mengizinkan penggunaan logik untuk menilai kesesuaiannya sepanjang zaman.

Namun, pihak yang masih berkeras untuk menggunakan rasional mereka untuk hukum yang sudah jelas seperti ini akan sampai kepada natijah bahawa pembahagian ini tidak sesuai pada zaman sekarang di mana anak perempuan juga keluar mencari nafkah untuk keluarga.

Lalu dirumuskan memberi mereka separuh daripada bahagian anak lelaki merupakan satu ketidak-adilan dan ini bercanggah dengan ruh atau prinsip utama syariat Islam, iaitu keadilan.

Perlu diperjelaskan bahawa ini tidak bermakna bahawa Islam sama sekali melarang anak perempuan mendapat harta warisan sama banyak atau lebih dari anak lelaki melalui instrumen-instrumen lain yang diakui syara`, selama mana ada maslahat dan menepati ruh keadilan.

Namun pendirian sebegini berbeza dengan pendirian yang sama sekali menolak hukum dalam ayat di atas atas dasar ia telah lapuk, tidak relevan dan perlu diketepikan kerana bertentangan dengan logik masa kini.

martin luther kingKedua-dua pendekatan yang ekstrem ini tiada tempat dalam Islam.

Yang satu seolah-olah memperkecilkan peranan logik dan rasional dalam berhadapan dengan urusan agama sehingga sanggup mempercayai apa jua yang dihidangkan kepada mereka, walau mustahil pun dari sudut akal pemikiran.

Yang satu lagi seolah-olah menjulang tinggi logik akal dan pemikiran rasional sehingga semua nas, walaupun yang sudah jelas dan tiada keraguan padanya, perlu dinilai kembali kerelevannya dan kesesuainnya.

Wasat dalam berakal dan beriman

Islam adalah agama wasat (seimbang).

Dalam setiap sudut, pendekatan wasat ini dituntut.

Maka satu pendekatan wasat diperlukan sebagai jalan tengah bagi kedua-dua pola pemikiran yang ekstrem di atas.

Tapi sebelum mengenal pasti apakah pendekatan tersebut, kita perlu fahami sebab kedua-dua pendekatan ekstrem itu tidak boleh diamalkan.

Golongan yang dengan mudah menepikan pemikiran rasional apabila berhadapan dengan isu-isu agama atas alasan bahawa akal pemikiran tiada tempat dalam urusan agama, perlu sedar bahawa Islam tidak bergerak bebas daripada akal.

Sebaliknya kita dapati Al-Quran penuh dengan anjuran dan perintah agar manusia berfikir dan menggunakan akal mereka.

Kisah Nabi Ibrahim a.s yang berdakwah menggunakan pendekatan rasional dikekalkan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-An’am dan surah Al-Anbiya’ agar menjadi tauladan dan pelajaran kepada umat Islam akan peri pentingnya mengoptimakan pemikiran rasional dalam pendekatan dakwah kita.

Maka Islam dan rasional berjalan seiring.

Dengan rasional, Islam menghapuskan kepercayaan-kepercayaan khurafat dan tahayul.

einstein-educationDengan rasional juga, Islam menegakkan akhlak mulia yang bersifat universal kerana ia boleh diterima oleh semua dan dengan rasional itu juga ulama mampu mengeluarkan hukum-hukum baru dalam Fiqh yang berdasarkan nas-nas yang thabit.

Golongan yang menjulang tinggi rasional sehingga menjadikannya kayu ukur untuk kebanyakan hukum yang sudah jelas dan diterima oleh umat kemungkinan besar tidak sedar bahawa pemikiran rasional terhad kepada kemampuan akal dan maklumat yang sedia ada.

Manusia sudah pasti tidak mempunyai fakulti pemikiran yang hebat sehingga dapat menyingkap sebab hukum-hukum syariat ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Manusia hanya dapat melihat apa yang dia mampu melihat, terbatas dengan kemampuan akalnya dan ilmunya.

Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak logik untuk manusia menyoal kewajaran hukum yang jelas yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Ia seolah-olah seperti seorang budak kecil yang menyoal kewajaran teori seorang ilmuwan.

Ikut pandangan budak tersebut, teori ilmuwan itu tidak logik.

Sedangkan yang sebenarnya, pandangan dia yang tersasar kerana ia adalah natijah dari akalnya yang masih lemah dan ilmunya yang masih sedikit.

Maka persoalan seterusnya ialah: apakah pendekatan yang wasat?

Pendekatan ini perlu mempunyai prinsip-prinsip berikut:

  • Mengamalkan hukum-hukum yang sudah ditetapkan oleh Allah s.w.t tanpa sebarang keraguan, tetapi dalam masa yang sama cuba mengkaji apakah hikmah disebalik hukum tersebut.
  • Tidak menafikan peranan logik dan rasional dalam pembentukan hukum-hukum baru agar dapat menyesuaikan pengamalan Islam untuk semua keadaan.
  • Tidak mudah menerima semua berita yang menggambarkan keadaan yang berbeza dengan apa yang telah diterima-pakai oleh umat Islam sejauh ini. Sebaliknya, berita tersebut perlu diterima dengan akal yang kritikal.

critical-thinking-imagePrinsip-prinsip di atas jika diaplikasi dengan baik, akan dapat membantu seseorang untuk tetap berada dalam landasan wasat dalam pola pemikirannya.

Saya berikan beberapa senario sebagai contoh.

Senario pertama

Seorang guru mendakwa bahawa dia dapat berkomunikasi dengan ‘orang dalam’ / jin / wali Allah yang ghaib yang memberitahunya bahawa sesuatu akan berlaku, atau seseorang itu jahat atau baik, atau apa jua berita sensasi yang menggemparkan muridnya.

Mengaplikasikan prinsip nombor 3 di atas, murid yang mendengar dakwaan sensasi sedemikian perlu dengan cepat menaikkan antena rasionalnya.

Dakwaan tersebut bukanlah nas yang jelas dan diterima pakai oleh umat.

Ia adalah dakwaan yang perlu didokong oleh bukti.

Maka sewajarnya dakwaan tersebut diuji dahulu dengan pemikiran rasional.

Adakah logik?

Jika tidak logik, sebaiknya ditolak dakwaan tersebut dan penolakan itu tidak menjejas sedikitpun keimanan kerana ia tidak bersangkut-paut dengan aqidah Islam.

Senario kedua

Tersebar berita bahawa satu peristiwa yang ganjil telah berlaku dan ia adalah petanda bahawa Imam Mahdi / Dajjal / makhluk angkasa lepas (atau apa jua yang ingin manusia ketengahkan) sudah atau akan keluar tidak lama lagi.

Ketika ini, orang yang mendengar berita tersebut perlu dengan cepat mengamalkan sikap skeptikal.

Pendekatan pertamanya bukanlah menerima, tetapi menyoalkan kesahihan peristiwa tersebut.

Jikapun sahih, dia perlu lihat apakah sebab-sebab disebalik peristiwa tersebut.

Dia tidak akan cepat melatah mengaitkan sesuatu peristiwa dengan sesuatu perkara yang belum berlaku atau perkara yang mempunyai ikatan yang lemah dengan peristiwa tersebut.

Senario ketiga

Sebuah institusi mempertahankan tradisi cara ia beroperasi walaupun sudah agak ketinggalan zaman atas alasan cara tersebut yang diwarisi daripada ulama dahulu dan itu sudah pasti yang terbaik.

Dalam hal ini, pemikiran rasional perlu mengambil alih sentimen kerana sentimen adalah berdasarkan emosi bukan fakta.

Ini bukan urusan agama yang jelas hukumnya.

Maka rasional dan logik perlu ada peranan yang besar dalam menentukan tindak tanduk dan pendekatan.

Menuju wasat

Apabila kita akur bahawa rasional dan ugama tidak dapat dipisahkan, persoalan akhir yang perlu diajukan ialah bagaimana membina pemikiran yang rasional?

Jawapannya terkandung dalam dua pendekatan.house of wisdom cover

Pertama ialah membina pola pemikiran yang skeptikal dan tidak mudah menerima apa jua berita sensasi kecuali yang bersangkutan dengan pengkhabaran ilmu ghaib melalui nas-nas yang jelas dan sahih.

Dengan erti kata lain, menggantung pendapat dan keputusan sehingga jelas dan faham fakta-fakta yang dibentangkan.

Kedua ialah mempelajari cara-cara pemikiran yang kritis dan cara menilai dan membina hujah yang kukuh.

Bidang ilmu ini sudah wujud dari zaman ahli falsafah Yunani lagi.

Plato dan Socrates merupakan tokoh utama yang membangunkan ilmu ini.

Berbagai nama telah diberikan: Ilmu Logik, Ilmu Mantiq, Ilmu Kalam.

Kesimpulannya, rasional dan agama perlu berjalan seiring.

Ada ketikanya rasional perlu mendahului agama.

Pada ketika lain pula, agama perlu mendahului rasional.

Pendekatan yang wasat ialah pendekatan yang meraikan hakikat ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: