Agar Majlis-Majlis Maulid Kali Ini Lebih Bermakna (Edisi No. 6/Disember 2015)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

Oleh Saudara Mohammad Hafiz Kusairi (Penulis adalah guru dalam bidang sejarah di salah sebuah maktab rendah tempatan. Beliau aktif mengendalikan kelas bimbingan agama bagi para belia dan mempunyai ARS Kategori Bersekutu dan penulis utama buku teks Tarbiyah Islamiyah bagi madrasah menengah 1 di bawah Sistem Gabungan Madrasah (JMS).)

Sewaktu sesi soal jawab yang diadakan ketika ceramah saya bersama para mahasiswa tempatan anjuran Persatuan Muslim Universiti Nasional Singapura (NUSMS) pada awal bulan November tahun ini, saya telah dikemukakan soalan yang lebih kurang berbunyi:

“Mengapakah terdapat sebahagian mereka yang menghadiri majlis keagamaan seperti majlis-majlis maulid seolah-olah mempunyai dua personaliti yang berbeza iaitu personaliti mulia dan ramah di majlis-majlis berkenaan tetapi berpersonaliti dingin dan bengis terutama bila berurusan dengan keluarga di rumah?”

Soalan ini tentu sekali mempunyai masalahnya tersendiri kerana ia adalah soalan yang hanya berdasarkan pemerhatian rambang tanpa mengambil kira pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada lahirnya dwi-personaliti seseorang.

Selain itu, bukan semua orang yang ke majlis maulid mempunyai masalah dwi-personaliti dan bukan semua yang tidak hadir ke majlis maulid tidak bermasalah seperti yang disebutkan.

Namun, tujuan saya menulis makalah ini bukanlah untuk mempersoalkan soalan yang dibangkitkan pemuda tadi tetapi untuk menghargai keprihatinan beliau dan menjuruskannya ke arah suatu natijah yang dapat memperelok lagi majlis-majlis maulid yang sedia ada. Bukan pula tujuan makalah ini untuk menolak penganjuran majlis maulid yang banyak dianjurkan di bulan Rabi` Al-Awwal (bulan maulid) dan di luar bulan ini.

Di sini saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil:

  • Elakkan Membangkitkan Perkara Yang Mengundang Perselisihan & Tumpukan Pada Pembangunan Akhlak.

Antara kelebihan majlis maulid ialah segmen tausiyah ataupun albutiperkongsian nasihat yang diberikan oleh para ulama dan asatizah buat renungan para hadirin, di samping bacaan kisah kehidupan Rasulullah s.a.w beserta rangkaian selawat dan qasidah yang tentu sekali mencurahkan keberkatan kepada majlis yang dianjurkan.

Saya mendapati ada kalanya ruang ini kurang dimanfaatkan. Maklumat yang dikongsi berkisar perkara-perkara yang pada satu ketika dahulu diiktiraf sebagai perbezaan pendapat di kalangan para ulama tetapi pada hari ini menjadi sebab untuk timbulnya bibit-bibit tuduh-menuduh, kebencian dan akhirnya pecah belah di kalangan masyarakat kita.

Perkongsian tentang sama ada Nabi Muhammad s.a.w diciptakan daripada nur ataupun sama ada beliau hadir pada majlis maulid yang sedang diadakan perlulah dikurangkan kerana ia hanya akan mengundang reaksi dari sebahagian masyarakat yang tidak bersetuju.

Ia kemudiannya berkembang menjadi pertikaman lidah dan jemari (Internet) hingga melarikan fokus dan semangat kita daripada mengingati Rasulullah s.a.w sendiri.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama’ yang mendukung hujah bahawa Rasulullah s.a.w itu diciptakan dari nur yang antaranya ialah Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Imam Jalaluddin Al-Suyuthi, Imam Al-Qastalani dan ramai lagi para ulama’ yang terkemuka.

Begitu juga perbahasan tentang kelebihan berdiri beramai-ramai (mahal al-qiyam) ketika maulid dan samada Rasulullah hadir ketika itu telah dibincangkan secara panjang lebar oleh ulama-ulama seperti Imam Al-Shafuri Al-Syafi`i, Imam Ja`far Al-Barzanji dan terutama sekali Dr. Syeikh Al-Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki.

Bukan niat saya di sini untuk memandang enteng ilmu sekitar perkara-perkara yang disebutkan ini tetapi apa yang terlebih perlu untuk masyarakat kita hari ini adalah untuk diperingatkan tentang perkara yang terlebih asas yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu kemurniaan akhlak dan keluhuran budi.

Hakikat pahit masyarakat kita hari ini ialah kita terlalu bersedia untuk memberikan pendapat bagi sesuatu perkara mahupun hukum tetapi belum cukup bersedia untuk menerima reaksi negatif daripada orang lain.

Oleh itu, lebih bermanfaat sekiranya majlis-majlis maulid diserikan dengan peringatan-peringatan tentang kepentingan membina sifat tawaduk, berlapang dada terhadap pendapat dan sikap orang lain, sifat optimis dan tidak mudah mengadu dan menyerah kalah.

Begitu juga perlu dititikberatkan tentang kepentingan bersikap tekun dan amanah di dalam berurusan dengan masyarakat sama ada di rumah, terhadap tetangga, di sekolah mahupun di tempat kerja.

Terlalu banyak khazanah pengajaran yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dalam lembaran sejarah kehidupan baginda untuk kita ambil dan dijadikan pedoman dalam urusan kehidupan kita di dunia menuju ke akhirat. Mudah-mudahan dengan kesungguhan kita untuk sentiasa menjadikan kehidupan Rasulullah s.a.w dekat dan relevan dalam kehidupan seharian masyarakat akan mencerna sikap yang lebih toleran terhadap perkara-perkara yang sering menjadikan hubungan sesama ahli masyarakat menjadi tegang.

Mungkin di satu hari kita akan mampu untuk membicarakan tentang pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w diciptakan daripada nur, bacaan qunut Subuh, bacaan doa selepas solat tanpa perlu ada lagi ada perang saraf yang berlaku di peringkat keluarga mahupun di laman sosial kerana pada waktu itu, kita lebih meninggikan akhlak dan nilai persaudaraan sesama manusia apatah lagi yang seagama.

  • Tetapkan Matlamat Untuk Dibawa Pulang Dan Diaplikasikan Selepas Majlis Maulid.

fiqh sirahMajlis maulid, majlis zikir, majlis ilmu dan sebagainya sebenarnya mempunyai nilai pemerkasaan (empowering value) yang amat tinggi. Terutama sekali bagi majlis maulid yang seringkali menghimpunkan bilangan manusia yang ramai. Bilangan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk menggerakkan lagi masyarakat ke arah natijah yang bersifat konstruktif.

Di majlis maulid, kita sedang membincangkan seorang insan yang tersangat peka terhadap keadaan masyarakat di sekelilingnya dan menjadi kepekaan ini suatu paksi untuk beliau menggerakkan jentera dakwah bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul di tengah masyarakat.

Kita hidup di dalam dunia yang berserabut dengan masalah sehinggakan serpihan masalah tersebut turut mengenai kita di Singapura ini: permasalahan ini merangkumi masalah berkaitan dengan akhlak remaja yang semakin merudum dan masalah tekanan jiwa yang disebabkan perkembangan dunia yang terlalu pesat dan deras.

Maka jadikanlah majlis maulid ini sebagai suatu wadah untuk memperkasa para hadirin untuk bangkit memperjuangkan nasib diri dan masyarakat di sekeliling mereka.

Nasihat-nasihat yang konstruktif perlu diberikan; adalah menjadi suatu yang ‘ajaib’ bila pentas-pentas dakwah kita kurang memberikan penyelesaian yang konstruktif melainkan hanya lantunan retorik semata sedangkan Rasulullah s.a.w bukan sahaja berlapang dada terhadap masalah-masalah ‘dunia’ para sahabat baginda tetapi turut memberikan penyelesaian yang konkrit kepada mereka sama ada melalui fawaid (amalan yang berfaedah) mahupun nasihat yang bersifat fokus dan terperinci.

Ini boleh direalisasikan dengan memberikan ‘oleh-oleh’ (takeaways) untuk dibawa pulang oleh para hadirin di majlis maulid seperti yang berikut:

Kisah Pengajaran Aktiviti Lanjutan
Rasulullah s.a.w bangun hampir setiap malam untuk menunaikan solat tahajud. Rasulullah s.a.w tidak pernah menjadikan kesibukannya sebagai alasan untuk lalai beribadah Saya akan memastikan yang saya bangun setengah jam sebelum subuh setiap hari untuk beribadah agar mendapat fadhilat bangun malam
Rasulullah s.a.w sering berlumba lari dengan Saidatina Aisyah Rasulullah s.a.w meluangkan masa di tengah kesibukan jadualnya untuk ahli keluarganya Saya akan menghadkan masa sebanyak hanya sejam sehari pada hujung minggu untuk melayari lelaman sosial & Internet agar lebih masa dapat diberikan kepada keluarga
Rasulullah s.a.w meminta pendapat para sahabat tentang strategi perang seperti sebelum peperangan Badar, Uhud dan Ahzab Rasulullah s.a.w menghargai kepakaran setiap individu Di dalam mengagihkan tugas di pejabat, saya akan memberikannya mengikut kepakaran pekerja bawahan saya

 

 

  • Luaskan Pengertian Sumbangan Di Dalam Agama.

Saya sering terdengar kata-kata bahawa “Setiap hari adalah maulid” daripada sebahagian tokoh agama bagi mengingatkan masyarakat bahawa kasih sayang kepada Rasulullah s.a.w tidak terbatas kepada bulan Rabi` Al-Awwal semata. Bahkan kasih sayang ini perlu dihidupkan dalam kehidupan seorang Muslim setiap hari dalam setiap arena kehidupan yang diceburinya.

Saya akur dengan kata-kata ini. Namun jika kata-kata ini dibiar berlalu tanpa dipraktikkan, ia akan menjadi retorik kosong semata.

Bulan maulid janganlah sekadar dikenali dengan majlis-majlis di masjid-masjid dan di rumah-rumah persatuan, tetapi bulan maulid juga perlu mencernakan sifat-sifat terpuji orang yang mengaku cintakan Rasulullah s.a.w.

Ruang-ruang yang boleh dimanfaatkan untuk kita mengetengahkan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w yang tentu sekali merangkumi pelbagai bidang dan sudut perlu dicari.

Bulan maulid perlu dijadikan sebagai pencetus untuk kita mula menyingsing lengan bagi memulakan gerak kerja secara konkrit dengan matlamat yang jelas, kaedah yang tersusun dan pasukan yang sedia memacu ke arah matlamat yang disasarkan.

Usaha ini bukan sekadar terbatas ke arah ruang ‘keagamaan’ sebagaimana yang kita fahami semata-mata; perlu ada pasukan yang digerakkan untuk mendekati golongan yang terhimpit di estet-estet perumahan secara konsisten agar dapat melepaskan mereka dari lingkaran kemiskinan yang membinasakan, pasukan yang fokus terhadap usaha untuk memastikan kemaslahatan alam semula jadi terpelihara, pasukan yang mempunyai iltizam pada usaha meningkatkan sifat belas dan bertanggungjawab terhadap haiwan dan tumbuhan.

Saya yakin bahawa sudah terwujud organisasi ataupun gerakan yang saya sebutkan ini. Namun, penyertaan masyarakat Islam di dalam bidang yang pelbagai ini boleh digiatkan lagi.

Inisiatif-inisiatif ini pula memerlukan pelaburan masa yang berpanjangan dan bukan bermusim; sesuai dengan manifesto “Setiap hari adalah maulid.”

Oleh itu juga, ceramah-ceramah sempena majlis maulid ini perlulah berani mengorak langkah untuk membincangkan topik-topik yang luar dari batas-batas ‘keagamaan’ seperti “Rasulullah s.a.w dan Alam Semulajadi” ataupun “Rasulullah s.a.w dan Haiwan”.

Kesimpulanakhlak nabi

Sewaktu saya menjawab soalan mahasiswa tadi, saya memberikan sebuah tamsilan.

Seandainya Rasulullah s.a.w dihimpunkan semeja dengan para ahli rumah baginda, sahabat-sahabat, para paderi dari Najran yang hanya berjumpa seketika dengan baginda, bahkan dengan para musuh-musuhnya seperti Abu Jahal dan Umayyah bin Khalaf, kita pasti akan mendapati bahawa semua mereka tidak akan mempunyai masalah untuk mengiktiraf akhlak terpuji yang terdapat pada diri beliau.

Ini disebabkan cahaya akhlak beliau s.a.w yang menerobos bukan sahaja kepada setiap individu, malah kepada setiap golongan masyarakat.

Sudah tiba masanya kita memanfaatkan majlis-majlis maulid yang bakal menjelang ini untuk mencontohi keunggulan beliau s.a.w di setiap bidang kehidupan kerana dunia ini bermasalah dan sangat memerlukan penyelesaian.

Marilah kita, dengan berkat bulan maulid ini, mula mengorak langkah ke arah melaksanakan tanggungjawab yang sudah lama kita abaikan ini.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: