DARI MEJA PENYUNTING… (EDISI NO. 7/FEBRUARI 2016)

(Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah)

number-oneAlhamudlillah kerana Wasat dizinkan untuk terus diterbitkan bagi edisi ke 7. Penerbitan Wasat no. 7 ini juga bermakna Wasat telah pun mencapai umur setahun. Tidak syak usia setahun masih terlalu muda. Orang Melayu kata, “baru setahun jagung”. Namun mencapai usia setahun ini tetap perlu disyukuri dan dihargai kerana dalam bidang penulisan, keupayaan sesebuah penerbitan untuk bertahan selama setahun dan menghasilkan 7 edisi berterusan dan tepat pada masa adalah satu pencapaian yang baik.

Pastinya, hal ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan dari pelbagai pihak, khusus para penyumbang artikel. Atas dasar ini, barisan penyunting Wasat ingin merakamkan terima kasih tertinggi kepada mereka ini dan mendoakan agar Allah taala memberi ganjaran yang besar. Marilah sama-sama kita berdoa agar Wasat dapat terus menyumbang, bahkan membaiki sumbangannya pada bulan-bulan akan datang sesuai dengan objektif yang telah dilakarkan sejak awal lagi.

Bagi edisi ini, Wasat menampilkan 4 lagi artikel.

Artikel pertama bertajuk Wasatiyah Dalam Memahami Teks Agama, oleh Ustaz Izal Mustafa bin Kamar. Dalam artikel ini, beliau membicarakan kepentingan cara yang betul memahami teks agama dengan baik hingga dapat menatijahkan fahaman yang wasati. Beliau mengingatkan teks agama tidak boleh difahami hanya pada makna zahirnya sahaja. Sebaliknya ia perlu melalui proses pentafsiran teks. Tanpa pentafsiran, teks bukan hanya akan menatijahkan kefahaman yang dangkal dan keluasan ilmu yang ada padanya menjadi hilang atau terbatas, tapi kefahaman yang dihasilkan juga boleh tersilap. Natijahnya ialah penyelewengan dalam memahami agama dan mengamalkannya. Atas dasar itu juga, beliau menegaskan kepentingan penggunaan metodologi tafsiran teks agama yang betul untuk menatijahkan fahaman yang wasati. Bahkan, boleh juga dirumuskan, bahawa mengetahui metodologi tafsiran teks yang betul membantu seseorang untuk menilai samada sesuatu pendapat dalam isu-isu agama itu kredibel atau tidak kerana jika pendapat itu sukar disokong oleh metodologi yang betul atau dilihat jelas tidak menggunakan metodologi yang betul, pastilah status kebenarannya meragukan.

Artikel kedua pula adalah sumbangan Ustaz Mustazah Bahari bertajuk Wasatiyah Dalam Menilai Hadis-hadis Nabi s.a.w.. Kali ini, Ustaz Mustazah membicarakan tentang pendekatan yang berhemah dalam menentukan samada sesuatu hadis itu sahih atau tidak sebelum menyampaikannya atau mengamalkan isinya. Artikel ini relevan kerana dari dulu hingga sekarang soal penyebaran hadis yang lemah dan amalan yang berdasarkan hadis yang diragui sering menimbulkan perdebatan. Bahkan dewasa ini telah wujud kempen yang menganjurkan orang ramai agar memeriksa apa jua hadis yang disebarkan di internet untuk dipastikan kesahihannya. Walau pun menegaskan kepentingan menilai hadis sebelum mengamalkannya, namun Ustaz Mustazah juga mengingatkan bahawa proses melakukan penilaian bukanlah mudah. Oleh itu, 1) jangan mengambil ringan usaha para ulama silam, 2) kerumitan bidang ini bermakna penilaian sesuatu hadis diterima hanya dari mereka yang memang terlatih dalam bidang ini, dan 3) jangan pula cepat menerima apa jua kesimpulan yang ada kerana seringkali status hadis itu berubah-ubah dan dikhilafkan oleh para ulama. Yang menarik ialah di akhir artikel ini, Ustaz Mustazah memberi tips mudah bagaimana menghadapi isu ini bagi orang awam, asatizah dan lain-lain.Artikel ini juga relevan bagi Wasat kerana sepanjang masa memang ada kecenderungan-kecenderungan yang tidak wasati dalam berurusan dengan hadis – ada yang menyebarkan apa sahaja yang didakwa sebagai hadis, ada pula yang menilai bukan berdasarkan penilaian mereka yang ahli dalam bidang ini, ada pula yang menilai berdasarkan mazhab pegangannya sahaja, seolah-olah tiada khilaf pada hadis itu dan ada pula yang menolak mentah-mentah sesuatu yang baik hanya kerana ia bukan bersandarkan hadis yang sahih.

Artikel ketiga bertajuk Dealing With Futur (Slackening) in Da`wah Work, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Artikel ini membicarakan fenomena futur yang biasa menimpa sesiapa sahaja yang menceburkan diri dalam bidang dakwah, termasuklah asatizah. Artikel ini relevan dengan isu wasatiyah kerana antara inti pati makna wasatiyah yang ingin diwar-warkan ialah kecemerlangan sepanjang masa. Artikel ini membicarakan futur sebagai hambatan yang boleh menjejas seseorang itu terus cergas dalam dakwah hingga mencapai tahap cemerlang. Pesanan utama dari artikel ini ialah untuk mencapai wasatiyah, kita bukan hanya perlu memupuk sifat-sifat yang berkaitan dengannya, tapi juga peka akan unsur-unsur yang berlawanan dengan sifat-sifat itu seperti futur, yang boleh menimpa diri kita jika tiada langkah pencegahan diambil.

Akhirnya sekali Wasat menampilkan artikel sulung dari Ustaz Tarmizi Wahid bertajuk Square Pegs in Round Holes: Madrasah Graduates in Modern Singapore. Dalam artikel ini, Ustaz Tarmizi menyeru para pembaca, khususnya asatizah, agar merenung tentang peranan lulusan madrasah di Singapura hari ini berkaitan dengan harapan orang terhadap mereka dan realiti sosio-ekonomi negara ini. Konteks artikel ini ialah perdebatan mengenai apakah sumbangan signifikan lulusan madrasah hingga kini, bukan hanya dalam arena sosial, tetapi ekonomi negara dan kebimbangan akan wujudnya lebihan bekalan graduan pengajian Islam yang akan boleh menimbulkan kesan negatif di peringkat sosial dan ekonomi. Sering kali debat dan perbincangan dalam isu ini tidak disertai oleh data-data yang konkrit bagi menyokong pendapat-pendapat yang dikemukakan. Oleh itu, Ustaz Tarmizi mencadangkan agar satu inisiatif dapat dibuat untuk mengumpul data-data yang relevan untuk dijadikan analisa dan rumusan supaya gambaran yang tepat dapat diberikan mengenai perkara ini. Isu yang dibicarakan Ustaz Tarmizi relevan bagi isu wasatiyah kerana ia membabitkan sekali lagi konsep cemerlang sebagai inti pati makna wasatiyah. Kecemerlangan menuntut para lulusan madrasah sebagai agen utama wasatiyah untuk memastikan bahawa mereka kekal relevan dan menyumbang secara signifikan dan bukan hanya secara “biasa-biasa” sahaja.

Sekian, selamat membaca.

Wassalam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: