Wasatiyah Dalam Memahami Konsep Berjemaah Dalam Islam (Edisi no. 8/April 2016)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

book cover2(Artikel ini dipetik, dengan sedikit suntingan dan pengubahsuaian, dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Muslim Di Singapura, terbitan Pergas, 2004. Nota kaki dari artikel ini ditiadakan bagi menjimat ruang. Untuk rujukan penuh, sila rujuk ke buku Pergas.)

Salah satu aspek yang perlu diluruskan dalam persoalan berjemaah ialah tanggapan seorang Muslim bahawa kebenaran itu adalah milik mutlak jemaah yang dianggotainya. Jemaah lain adalah salah. Bahkan mereka yang tidak menganggotai jemaah berkenaan atau meninggalkannya dihukum dengan kufur kerana telah berpaling dari kebenaran. Selain dari itu, ialah tanggapan menjadikan jemaah sebagai sumber kebenaran.

Kesemua ini adalah gambaran-gambaran sikap taksub yang dicela dan terkeluar dari batas-batas kesederhanaan dalam Islam.

Sememangnya, hidup berjemaah adalah salah satu dari ajaran penting Islam. Berikut adalah sebahagian dari dalil-dali yang menunjuk sedemikian.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang meninggalkan berjemaah walau sejengkal, maka dia telah merungkai ikatan Islam dari tengkuknya.” (Riwayat Al-Turmuzi, Al-Hakim dan Ibn Hibban)

“Hendaklah kau bersama dengan jemaah orang-orang Islam dan imam mereka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

“Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku adalah Rasulullah, dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Jika mereka melakukan yang sedemikian, terpeliharalah dari aku darah-darah dan harta-harta mereka kecuali atas hak Islam, dan hisab mereka kepada Allah.”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

“Allah tidak akan menyatukan umatku dalam kesesatan. Sesungguhnya tangan Allah bersama dengaan jemaah. Siapa yang berasing diri, maka dia berasing diri dalam neraka.” (Riwayat Al-Turmuzi)

Kesemua hadis di atas memberitahu akan kepentingan berjemaah dan mencela perbuatan berpisah dari berjemaah atau tidak berjemaah.

Tiada masa yang lebih penting bagi umat Islam dalam menghidupkan budaya hidup berjemaah yang betul dari hari ini. Hal ini adalah kerana salah satu dari masalah besar dan musibah utama umat Islam ialah perpecahan. Perpecahan merupakan sebab utama yang menjerumuskan umat Islam ke darjat sosial, ekonomi dan politik hari ini.

Allah taala berfirman:

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Ali Imran :103)

“Dan janganlah kamu jadi seperti mereka yang berpecah belah dan berselisih setelah datang kepada mereka kenyataan-kenyataan. Dan bagi mereka itu, azab yang besar.” (Ali Imran : 105)

Keseluruhan masalah umat Islam hari ini tidak mungkin dapat ditangani melalui usaha individu atau kumpulan-kumpulan secara berasingan. Untuk menyatukan umat Islam dan mengatasi perpecahan, budaya hidup berjemaah yang betul perlulah disemarakkan.

Erti jemaah dalam Islam

Persoalannya ialah apakah maksud berjemaah dalam dalil-dalil yang dinyatakan di atas? Memahami persoalan ini adalah penting kerana ia akan menentukan sejauh mana kebenaran dakwaan-dakwaan yang dinyatakan di atas dan hukum menyesatkan orang lain kerana tidak bersama dalam jemaahnya atau meninggalkan jemaahnya.

Para ulama telah mengertikan jemaah dalam dalil-dalil syara` dengan beberapa erti.

Pertama, ia bermaksud masyarakat Islam yang ramai (al-sawad al-a`azam).

Kedua, ia bermaksud para ulama yang mujtahid.doa untuk saudara

Ertinya, Allah taala menjamin bahawa para ulama Islam tidak akan sama sekali bersepakat dalam kesesatan.

Ini adalah pandangan Imam Al-Bukhari dan ramai ulama usul dan salaf. Imam Al-Bukhari memberi tajuk bagi satu bab dalam bukunya, “Bab ‘dan demikian itu kami jadikan kamu satu umat pertengahan’ dan apa yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w untuk melazimi jemaah, iaitu ahli ilmu.

Al-Turmuzi berkata, “Dan tafsir jemaah di sisi ahli ilmu ialah ahli fiqh, ilmu pengetahuan dan hadis.”

Al-Kirmani berkata, “Ketentuan perkara dalam melazimi jemaah ialah wajib bagi seorang mukallaf untuk mengikuti apa yang telah diijma’ oleh para ulama yang mujtahid.”

Ketiga, ia bermaksud para sahabat Nabi s.a.w secara khusus.

Keempat, ia bermaksud jemaah kaum Muslimin dibawah kepimpinan seorang pemimpin.

Dalam kontek sini, ia merujuk kepada sekumpulan masyarakat Islam yang apabila telah bersetuju untuk berada di bawah satu kepimpinan politik dalam sebuah negara atau pemerintahan. Maka tidak boleh berlepas diri dari taat setia (bai`ah) yang diberikan kepada pemimpin itu.

Kelima, ia bermaksud jemaah umat Islam keseluruhannya (ahl al-Islam).

Maka yang dimaksudkan di sini ialah bersama dengan umat Islam dalam anutan agamanya, tidak berjemaah bermaksud tidak menganut Islam dan meninggalkan berjemaah bermaksud murtad dari agama.

Apabila dinilai pandangan para ulama mengenai jemaah, dapat disimpulkan erti jemaah merujuk kepada:

1.     Jemaah dalam erti satu struktur politik iaitu apabila satu masyarakat Islam yang telah bersepakat ke atas satu kepimpinan dan pemerintahan.

Mereka telah bersetuju untuk memberi taat setia (bai`ah) kepadanya. Jemaah ini boleh dalam satu masa hilang dan tidak wujud. Termasuk di sini ini ialah kuasa politik Islam di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w semasa hidupnya dan sebuah negara Islam.

Hal ini adalah seperti yang dikatakan oleh hadis:

“Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibenci dari pemimpinnya, hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang keluar dari jemaah sejengkal maka matinya seumpama mati jahiliyah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

“Hendaklah kau bersama jemaah orang-orang Islam dan pemimpin mereka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Ibn Hajar meriwayat bahawa Al-Tabari berkata, “Yang benar berkaitan hadis mengenai wajib melazimi jemaah ialah taat kepada siapa yang umat Islam telah sepakati  kepimpinannya. Siapa yang membatalkan bai`ahnya, maka dia telah keluar dari jemaah.”

2.     Jemaah dalam erti manhaj Islam yang mendasari kehidupan bagi manusia dan umat Islam.

Hakikat ini adalah kerana erti jemaah tidak boleh dipisahkan dari hadis-hadis yang berkaitan dengan firqah (kumpulan) yang berjaya dari tujuh-puluh tiga firqah yang berpecah dalam umat Islam. Jemaah dalam erti ini tidak akan hilang dan akan sentiasa wujud hingga hari Kiamat. Termasuk di sini ialah jemaah dalam erti para sahabat yang sentiasa mencontohi Rasulullah s.a.w, para ulama fiqh, usul, hadis dan ahli ilmu yang menjadi tunggak dan memelihara manhaj Islam sejajar dengan contoh dari Rasulullah s.a.w dan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mewakili kumpulan besar (al-sawad al-a`zam) dari umat Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda:ya kafir-2

“Telah berpecah umat Yahudi kepada tujuh-puluh satu kumpulan dan berpecah umat Nasrani kepada tujuh-puluh dua kumpulan. Umatku akan berpecah kepada tujuh-puluh tiga kumpulan, tujuh-puluh dua dalam neraka dan satu di dalam syurga.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Al-Hakim dan Al-Darimi)

Mengenai siapakah kumpulan yang masuk syurga itu, maka terdapat riwayat-riwayat berikut:

a.   “Satu di dalam syurga iaitu al-jamaah

b.   “Semua di dalam neraka kecuali al-sawad al-a`zam

c.    “Apa yang aku dan sahabat berpegang dengannya”

Kesemua erti yang di atas saling menyempurnakan pengertian jemaah dan ia tidak merujuk kepada satu struktur tetapi satu manhaj – manhaj Rasulullah s.a.w yang bersandarkan kepada Al-Quran dan Sunnah.

Berdasarkan apa yang dinyatakan, dapat difahami bahawa pengertian jemaah tidak merujuk kepada satu kumpulan Islam dalam erti kata sebuah gerakan atau organisasi atau perkumpulan, samada yang rasmi atau tidak.

Maka menganggap kumpulan sedemikian sebagai jemaah yang wajib disertai dan meninggalkannya adalah dosa dan kufur yang mengakibatkan mati jahiliyah, adalah satu pandangan yang menyeleweng dan melampau.

Jemaah yang terdapat dalam dalil-dalil yang dinyatakan merujuk kepada persoalan prinsip beragama yang wajib bagi seorang Muslim untuk bersama dan berpegang dengannya sedangkan jemaah dalam erti sebuah gerakan Islam hanyalah satu wasilah bagi dakwah.

Masyarakat Islam boleh memilih mana-mana dari jemaah ini untuk menunaikan tanggungjawab dakwah secara kolektif. Ia boleh memilih jemaah berkenaan atas dasar bahawa ia adalah jemaah yang terdekat kepada kebenaran tetapi dia tidak boleh mendakwa bahawa hanya jemaah dia adalah yang benar dan jemaah lain adalah sesat.

Menanggapi kepelbagaian kumpulan Islam

Jika badan-badan Islam atau jemaah Islam yang mengumpulkan manusia atas tujuan untuk menunaikan tanggungjawab dakwah bukan yang dimaksudkan sebagai al-jamaah bagi semua kaum Muslimin, maka badan dan jemaah sedemikian hanyalah sebagai perkumpulan orang-orang Islam atas tujuan untuk tolong-menolong dalam perkara yang baik dan ketakwaan.

Sekiranya badan-badan itu berpegang dengan ajaran Islam yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memperjuangkan Islam yang benar samada secara menyeluruh atau sebahagian darinya, kesemua itu dianggap sebagai sebahagian dari al-jamaah bagi kaum Muslimin yang lebih besar.

Ikhwah berantemKewujudan kepelbagaian badan-badan Islam yang seperti itu adalah satu perkara yang lumrah yang sememangnya tidak dapat dielakkan kerana hakikat usaha dakwah itu mempunyai ruang yang besar bagi melakukan ijtihad dan dalam apa jua bidang yang berlaku ijtihad, akan pasti wujud khilaf dan perbezaan pendapat.

Kewujudan pelbagai jemaah dan badan dakwah yang sedemikian di mana-mana tempat sekalipun tidak lain kecuali ibarat kewujudan pelbagai mazhab dan tarikat dalam Islam. Setiap satu harus menerima kewujudan yang lain dan menghormati pendirian masing-masing.

Setiap satu dalam meyakini kebenaran manhaj dakwahnya tetapi juga berkata mungkin yang lain itu juga betul.

Kesemua kumpulan-kumpulan itu, jika pandangannya didasari oleh kaedah istidlal dan istinbat yang muktabar yang boleh diuji dan dinilai, ia adalah ijtihad yang jika benar mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala.

Para imam mazhab yang terdahulu tidak pernah mencela antara satu sama lain dan tidak pernah menuduh yang lain sebagai sesat atau terkeluar dari Islam kerana tidak bersama dalam kumpulannya. Mereka tidak mejadikan perbezaan ini sebagai sebab perpecahan atau alasan untuk menjauhkan hati masing-masing.

Walaupun badan-badan Islam yang bekerja dalam bidang dakwah bukanlah al-jamaah bagi kaum Muslimin yang dimaksudkan dalam hadis-hadis yang telah disebutkan sebelum ini tetapi ini tidak bermakna bahawa kita meringan-ringankan penglibatan seorang Muslim di dalam kumpulan-kumpulan dakwah.

Penglibatan dalam kumpulan-kumpulan dakwah adalah amat dianjurkan oleh Islam dan boleh sampai ke tahap wajib. Hal ini adalah kerana keadaan masyarakat Islam yang jauh dari ajaran Islam memerlukan usaha pengislahan. Usaha islah dan dakwah ini telah disepakati oleh para ulama sebagai satu kewajiban agama.

Sesiapapun yang merenungi masalah umat Islam, baik di Singapura atau di dunia akan sedar bahawa ia tidak akan dapat diatasi melalui usaha individu-individu. Sebaliknya ia hanya boleh dicapai melalui usaha kolektif. Maka jatuhlah hukum penglibatan dalam kumpulan-kumpulan dakwah di bawah kaedah, “jika satu kewajiban tidak dapat disempurnakan kecuali dengan sesuatu perkara, maka jadilah perkara itu juga satu kewajiban.”

Dengan ini, dapat ditetapkan bahawa tanggapan seseorang bahawa kumpulannya adalah jemaah yang sebenar yang wajib setiap Muslim bergabung dengannya, jika tidak dihukum berdosa, dan haram berpisah darinya, kerana boleh menyebabkan kekufuran adalah satu sikap taksub yang dicela dalam Islam sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, “Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyah (taksub pada kumpulan). Bukan dari kalangan kami orang berperang atas asabiyah. Bukan dari kalangan kami orang yang mati atas asabiyah.” (Riwayat Abu Daud)

Apa yang dilarang oleh Islam sebenarnya ialah kewujudan firqah, iaitu kumpulan yang berpisah dari sama sekali masyarakat Islam kerana manhajnya yang menyimpang dari prinsip ajaran Islam itu sendiri.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: