Wasatiyah Dari Sudut Pandangan Pendita Za’ba (Edisi no. 8/April 2016)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

zaba2Oleh Ustaz Mustazah Bahari

Pendahuluan

Masyarakat Islam di nusantara tidak terkecuali dari seruan untuk menjalankan kehidupan yang berteraskan prinsip wasatiyah. Golongan ilmuwan dari bangsa Melayu telah turut berjuang menggalakkan masyarakat mereka agar sentiasa bertindak secara adil dan melakukan yang terbaik. Tokoh yang ingin diperkenalkan kali ini dalam membahaskan kepentingan prinsip wasatiyah ialah Pendita Za’ba.

Kenali Za’ba

Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad ialah seorang tokoh bahasa dan pemikir Melayu. Beliau dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Ibunya Intan Awaluddin berketurunan Minangkabau. Ayahnya yang berketurunan Bugis Linggi merupakan orang yang berharta, berpengetahuan agama dan satu-satunya penduduk di kampung itu yang tahu membaca dan menulis Jawi.

Pendidikan awal Za’ba, termasuk pelajaran asas agama dan tulis-menulis (Jawi), bermula di rumahnya sendiri. Pada bulan Julai 1907, Za’ba belajar di Sekolah Melayu di Batu Kikir dan kemudiannya dia bersekolah di Linggi. Di samping meneruskan pendidikan sekolah Melayu pada waktu pagi, Za’ba belajar agama dan nahu bahasa Arab di Masjid Linggi pada waktu petang daripada Abas bin Zakaria, ulama terkenal di Negeri Sembilan.

Za’ba muncul sebagai pelajar sekolah Melayu terbaik dalam peperiksaan darjah Lima, semasa di Linggi. Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan selama hampir 40 tahun. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.

Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba meninggal pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.

Prinsip beliau dalam menegakkan kebenaran dan semangat wasatiyah walaupun perlu menarik balik pandangannya yang lama, jelas dalam kata-katanya di dalam salah satu karyanya,

“Saya dulu menentang kemasukan bahasa Indonesia ke dalam bahasa Melayu, tetapi sekarang saya kalah. Saya sendiri telah menggunakan bahasa Indonesia itu. Kalau ada yang bertanya mengapa kita ikut menggunakan perkataan ‘organisasi’ atau ‘demonstrasi’ tidak organisation atau demonstration saya akan menjawabnya, itu adalah bahasa Indonesia bukan bahasa Belanda kerana kita mengambilnya dari bahasa Indonesia.”

zaba-perangaiPemikiran Za’ba

Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri adalah tajuk buku bagi atas nama Za’ba yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada tahun 1982, yang kemudiannya diulang cetak pada tahun 1984 dan 2005.

Buku ini pada asalnya adalah himpunan risalah-risalah yang berbentuk kata-kata nasihat dan pandangan beliau mengenai perihal kehidupan orang Melayu, dari sudut pemikiran, sikap, amalan beragama, ilmu dan lain-lain lagi.

Antara kandungan yang menarik dalam buku ini ialah pendapat beliau mengenai sikap bergantung kepada diri sendiri yang menjadikan sesuatu bangsa itu maju atau mundur. Kejayaan dan kemenangan bergantung kepada diri sendiri dari segi amal usaha dan Tuhan tidak pernah menyuruh manusia untuk berharap kepada sedekah tahlil dari orang yang masih hidup seperti Tok Lebai apabila telah mati nanti.

Za’ba bukan sekadar seorang ilmuwan bahasa semata, beliau juga seorang ilmuwan agama yang tersohor. Namun sikap agama yang begitu konservatif pada era beliau telah membunuh kewibawaan tokoh-tokoh yang seumpama beliau.

Za’ba menilai bangsa Melayu ketika itu masih kurang sifat kuat berusaha, bekerja dan membuat sendiri usaha sesuatu pekerjaan berdasarkan kebolehan sendiri. Ada yang mengakui kelemahan diri tetapi tidak pula berusaha untuk keluar daripada keadaan tersebut. Contohnya, jika hendak memasukkan anak ke sekolah, kerap kali hendakkan perkhidmatan yang percuma, mengaku miskin, tapi tidak tahu berusaha dan tidak pandai berjimat-cermat mengumpulkan wang untuk
menyekolahkan anak-anak. Perkataan yang amat popular ialah “Tolonglah!”.

Melakukan perbandingan antara orang Melayu dan bangsa-bangsa lain dianggap sesuai kerana ia amat mempengaruhi keadaan mereka ketika itu hinggakan Za’ba menyifatkan bangsa-bangsa lain sanggup berusaha dengan bersungguh-sungguh melalui berkebun sayur, menjual kayu api, air batu, mengayuh beca, menahan lapar dan membayar pendidikan anak-anak mereka bagi setiap yang diminta.

Beliau berkata, “Ketika mereka ini datang sebagai “sengkek” – tanpa ada wang dan harta, hanya tulang dan akal ikhtiar serta kebolehan diri lalu mengumpul wang, membuka kedai sehingga za'ba-perangai 2memenuhi pekan kecil dan besar. Semua keadaan tersebut disebabkan bangsa-bangsa ini berpegang kuat dengan kepercayaan bahawa mereka boleh melakukannya sendiri.”

Prinsip wasatiyah yang dapat dilihat di sini ialah usaha beliau untuk mengembalikan orang Melayu kepada keyakinan terhadap diri sendiri tanpa mengharap kepada bantuan orang lain. Apabila isu tahlilan diberi sebagai contoh, bukanlah bererti tahlilan itu yang dikritik tetapi sikap hanya bergantung kepada tahlilan tanpa usaha untuk mencukupkan bekalan bagi kehidupan akhirat yang menjadi tumpuannya. Ertinya, sikap hanya mengharapkan bantuan dan sokongan pihak lain semata-mata tanpa usaha adalah sikap yang merugikan diri manusia dan ia bercanggah dengan prinsip wasatiyah yang dianjurkan oleh Al-Quran.

Dari sudut amalan keagamaan pula, Za’ba membangkitkan isu taklid atau mengikuti sesuatu ajaran secara melulu tanpa usul periksa. Beliau berkata,

“Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya. Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang-orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor-pelopor mereka yang dahulukala itu. Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan di dapati mereka itu hanya biasa bertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta! Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu – iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Al-Quran dan hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang – maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulukala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat.”

Dalam menghambat sifat negatif ini, Za’ba memberi saranan dan nasihat kepada dua golongan yang melakukannya seperti berikut:

1.     Bagi golongan awam, hendaklah mereka berusaha agar terus belajar untuk memahami apa yang diamalkan selama in dan jangan merasa selesa dengan apa yang tersedia ada sehingga berhenti untuk meningkatkan lagi kefahaman ilmu agama mereka.
2.     Bagi golongan ilmuwan; hendaklah mereka juga mendalami serta mengulangkaji ilmu yang mereka telah pelajari. Tajamkan ilmu bahasa Arab agar memahami pengertian sebenar maksud firman Allah dan sabda Nabi. Elakkan dari menurut pandangan tertentu yang tidak sesuai dengan keadaan hidup masa kini. Perbezaan pendapat dalam perkara agama tidak boleh diabaikan tetapi harus menjadikannya sebagai bahan yang mematangkan pendirian seseorang dalam mencari yang terbaik.

Za'ba-tukilanMalah dalam bab ‘Fahaman yang sempit’ beliau mengkritik orang-orang alim yang menganggap diri sebagai alim, tapi apabila mengarang buku menampakkan kehinaan dan kebinasaan diri sendiri, tidak seperti ulama terdahulu.

Beliau berkata,

“Maka terbit dari fahaman yang sempit ini kerap kalilah kita terjumpa umpamanya dalam pendahuluan kitab-kitab karangan setengah-setengah orang alim kita sekarang berperasaan demikian, mereka melafazkan harapan akan mendapat ‘al-ajra wa al-thawab’ (pahala dan ganjaran) sebagai upah kepenatan mereka mengarang kitab itu. Misalnya selalu kita terjumpa perkataan-perkataan seperti ‘mudah-mudahan diberi Allah pahala akan fakir dan dijadikannya kitab ini jalan kelepasan bagi fakir di akhirat’, seolah-olah pengarang itu sudah tentu akan kena hukum keras di sana kelak dan kitab karangannya itu itulah salah satu amal baiknya yang diharapnya akan jadi satu perkakas melepaskan dia. Tentang adakah atau tidak manfaat kitabnya itu kepada orang-orang yang menggunakannya kelak tidaklah dikiranya, hanya diharap-harapnya pertolongan kitab itu kepada dirinya sendiri sahaja.”

Seterusnya beliau menjelaskan bahawa ulama terdahulu sentiasa menyerahkan usaha-usaha mereka kepada Allah semata-mata dengan penuh keikhlasan diri.

Prinsip wasatiyah jelas disebut oleh Za’ba di dalam bab ‘Fahaman yang luas’ yang bertajuk ‘Erti baik dan jahat’ di mana beliau membuat rumusan setelah menghuraikan maksud kebaikan dan kejahatan serta contoh-contohnya dengan berkata,

“Kita disuruh berlaku sama timbang (adil) pada baik dan jahat, sama ada tentang membalas atau tentang mendahului. Kita disuruh berbuat baik kepada orang lain (ihsan) bukan dengan kiraan sama timbang dan bukan kerana membalas, tetapi berbuat baik sahaja kepada orang walaupun orang itu tidak ada berbuat baik apa-apa kepada kita, bahkan walaupun ia menjahati kita. Kita disuruh memberi-beri dan melakukan perbuatan baik kepada orang lain sama seperti kita memberi-beri dan melakukan baik kepada saudara daging sendiri, sama ada pemberian dan perbuatan baik itu berupa barang-barang kebendaan atau pertolongan tulang urat atau nasihat pengajaran atau kasih saudara yang tulus mesra sahaja dengan tidak ada kiraan membalas atau berharap balas.”

Banyak lagi isu-isu yang dibangkitkan oleh Za’ba mengenai prinsip wasatiyah yang perlu ditanamkan dalam diri orang Melayu Islam serta mengamalkan prinsip itu dalam kehidupan seharian.

Kesimpulan

Buku setebal seratus tiga muka surat ini sarat dengan teguran dan nasihat yang amat sesuai untuk masyarakat Melayu. Dalam menegakkan prinsip dan nilai wasatiyah, Za’ba tidak bersendirian dalam usaha tersebut. Malahan terdapat juga golongan ilmuwan Melayu yang sama-sama menongkah arus selesa masyarakat Melayu agar kembali melakukan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat seperti yang diusahakan oleh Pak Hamka.

Sesiapa yang membaca dan meneliti karya-karya yang diterbitkan oleh golongan ilmuwan seperti mereka akan dapati seolah-olah mereka belajar di tempat atau sekolah yang sama. Namun hakikatnya tidak, mereka tidak pernah bertemu dan tempat pengajian mereka juga tidak sama. Apa yang unik adalah mesej dan prinsip wasatiyah itu adalah suatu kebenaran yang didukung oleh semua golongan pejuang kebenaran dari setiap pelusuk dunia.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: