Manhaj Wasati Dalam Berinteraksi Dengan Ilmu Hadis (Edisi no. 9/June 2016)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

bukharaOleh Ustaz Umar Muhammad Noor

Manhaj wasati dan Ilmu Hadis

Apabila mengamati wacana intelektual Islam semasa, terutama yang berlaku di rantau Asia Tenggara, kita akan melihat sekurang-kurangnya dua sikap yang saling bertentangan berkenaan ilmu kritikan hadis.

Satu kumpulan membayangkan kritikan hadis terlalu susah bahkan hampir mustahil dilakukan. Setiap orang yang melakukan penilaian status hadis segera dilihat dengan pandangan negatif dan skeptikal. Sebaliknya, satu kumpulan yang lain membayangkan kritik hadis sangat senang semudah melayari internet untuk mendapatkan pandangan tokoh-tokoh tertentu berkenaan hadis tersebut.

Kedua-dua kumpulan ini berkongsi pandangan melampau dalam melihat ilmu kritikan hadis yang telah menjadi sebahagian daripada ilmu-ilmu keislaman sejak berkurun lamanya.

Pandangan wasati dalam perkara ini ialah membuka pintu kritik hadis bagi setiap pengkaji yang terlatih di bawah bimbingan guru pakar untuk menghafal dan mengenali rijal (para perawi hadis), mengkaji sanad, menyingkap ‘illah (kecacatan) dan memahami ucapan pakar-pakar terdahulu (nuqqad) dengan sempurna.

Pintu kritikan hadis masih terbuka walaupun terhad hanya kepada para pakar sahaja. Apabila ucapan Ibn Al-Salah dilihat seolah-olah berusaha menutup pintu tashih (usaha menentukan kesahihan hadis) pada masanya,[1] sekurang-kurangnya 16 orang ulama hadis selepas beliau menyatakan penentangan mereka antaranya ialah Al-Nawawi, Ibn Kathir, Al-`Iraqi, Al-Bulqini, Ibn Hajar dan ramai lagi.[2]

Al-Suyuti mencuba mentafsirkan maksud Ibn al-Salah bahawa beliau hanya menutup kemungkinan untuk menilai hadis sahih li zatih (sahih kerana pada sifatnya sendiri) sahaja namun masih membenarkan penilaian hadis sahih li ghayrih (sahih kerana sokongan dari luar).

Beliau menegaskan: “Saya telah mengkaji setiap hadis yang disahihkan oleh mereka (ahli hadis selepas Ibn Al-Salah), dan saya dapati kesemua hadis-hadis tersebut termasuk dalam kategori sahih li ghairih bukan li zatih.”[3]hadith-classifications

Ini menunjukkan bahawa para ulama sepakat membuka peluang bagi sesiapa yang berkelayakan untuk melakukan kritikan hadis pada masa itu dan seterusnya.

Rentetan daripada perbezaan pandangan berkenaan ilmu kritikan hadis, berlaku juga perbezaan sikap dalam berinteraksi dengan hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab klasik (turath) hasil karya para ulama terdahulu.

Satu kumpulan melihat seolah-olah semua hadis tersebut adalah hujah muktamad yang tidak boleh dipersoalkan semula. Setiap orang yang mencuba untuk meragukan kesahihan hadis-hadis tersebut dianggap tidak beradab kepada para ulama terdahulu yang telah mengarang kitab-kitab tersebut.

Satu kumpulan yang lain pula terlalu melampau dalam membuka pintu ijtihad lalu bersikap sangat skeptikal kepada semua hadis termasuk yang telah disepakati kesahihannya oleh ahli hadis terdahulu.

Kedua-dua sikap ini telah melampaui prinsip keilmuan dan sikap kesederhanaan.

Manhaj wasati dalam perkara ini ialah: kita mesti menerima realiti yang tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua hadis yang terkandung dalam kitab-kitab klasik itu sahih dan tidak semua pengarang kitab-kitab tersebut menguasai ilmu hadis yang memadai untuk memastikan kesahihan hadis-hadis tersebut.

Justeru, tidak hairan jika sering terdapat hadis palsu dan mungkar dalam kitab-kitab tersebut tanpa menjejaskan kewibawaan para pengarang kitabnya.

Syeikh Abdul Hay Al-Laknawi berkata, “Oleh kerana itu, para ulama telah menetapkan [pendirian untuk] tidak mengambil kira hadis-hadis dalam kitab-kitab huraian (syarah fiqh atau lain-lain) selagi tidak terlihat sanadnya atau diketahui ahli hadis telah memuktamadkannya, meski pun pengarangnya seorang ahli fiqh yang berwibawa dan tokoh muktamad dalam wacana halal dan haram.”[4]

Pada masa yang sama, kita mesti menerima realiti yang tidak dapat dipertikaikan juga bahawa ahli hadis terdahulu telah mengkaji dan menetapkan status kesahihan setiap hadis dengan begitu teliti sekali.

Kajian tersebut menghasilkan perkara-perkara yang telah disepakati dan juga yang diperselisihkan. Seorang pengkaji hadis pada masa ini mesti menghormati kesepakatan ahli hadis terdahulu dan memfokuskan kajian kepada penetapan pandangan yang terkuat dalam perkara-perkara yang diperselisihkan.

semak hadis palsuImam Al-Baihaqi berkata:

“Hadis-hadis yang diriwayatkan terbahagi kepada tiga.

Pertama: hadis-hadis yang disepakati kesahihannya oleh ulama hadis, maka (hadis-hadis tersebut) tidak boleh ditinggalkan selagimana tidak dimansukh.

Kedua: apa yang disepakati oleh mereka akan kelemahannya, maka tidak boleh seseorang berpegang dengannya.

Ketiga: apa yang diperselisihkan oleh mereka. Sebahagian dari mereka melemahkannya kerana cacat sebahagian perawi yang terlihat bagi mereka namun tidak terlihat oleh yang lain; atau sebahagian dari mereka tidak mengetahui keadaan perawi itu yang menyebabkan diterima riwayatnya, sementara yang lain mengetahuinya; atau alasan yang membuat ditolak hadisnya oleh sebahagian ahli hadis, tidak dianggap sebagai cacat oleh yang lain; atau sebahagian dari mereka mengetahui adanya keterputusan dalam sanad atau sebahagian lafaznya, atau sebahagian perawi memasukkan satu kalimat dari ucapan perawi ke dalam matannya, atau masuk sanad ke dalam sanad yang lain, namun semua perkara ini tidak diketahui oleh ahli hadis yang lain. Oleh yang demikian, wajib ke atas ulama hadis yang terkemudian memperhatikan ikhtilaf mereka dan berusaha mengetahui kaedah mereka dalam menerima dan menolak (hadis), lalu memilih sebahagian daripada pendapat mereka yang paling benar. Semoga Allah memberikan taufik.”[5]

Manhaj wasati dalam khilaf dalam kritikan hadis

Ucapan Al-Baihaqi di atas menetapkan berlakunya khilaf di kalangan ahli hadis sebelum beliau mengenai status beberapa hadis tertentu.

Jurang khilaf tersebut semakin meluas seiringan dengan peredaran masa dan kematian tokoh-tokoh hadis yang pakar dan mahir dalam bidang ilmu itu.

Pada masa-masa berikutnya, perbincangan tentang penetapan status kesahihan hadis turut disertai oleh golongan yang bukan pakar hadis dengan membawa kecenderungan mazhab dan aliran masing-masing.

Perspektif dan metodologi yang mereka amalkan seringkali menyalahi kaedah ahli hadis terdahulu sehingga beberapa kecacatan (`illah) yang sebelum ini dilihat dapat melemahkan hadis tidak lagi dilihat sedemikian.[6]

Melihat wacana hadis kontemporari, kaedah kritikan hadis rekaan baharu yang tidak selari dengan kaedah-kaedah ilmu hadis yang lalu telah banyak muncul seperti menilai hadis mengikut kesesuaian kandungannya dengan penemuan sains moden, keberkesanan petuanya dan kewujudan ramalannya. Ada juga yang menilai hadis berpandukan ilham dan kasyf (penyingkapan ghaib).[7]

Sikap wasati dalam berinteraksi dengan ikhtilaf kritikan hadis bukanlah meraikan kesemua pendapat tetapi dengan menilai setiap pendapat mengikut kaedah ilmu hadis yang telah diasaskan oleh para ulama terdahulu.Ilmu Hadits-shiddique

Ahli hadis sendiri terbahagi kepada dua golongan: mutasahil (terlalu bermudah dalam menilai perawi ataupun hadis) dan mu’tadil (adil dalam menilai).

Tokoh-tokoh hadis yang termasuk dalam kalangan mu’tadil ialah Al-Bukhari, Muslim, Abu Hatim, Abu Zur`ah, Abu Dawud, Al-Nasa’i, Al-Daraqutni, al-Baihaqi, Ibn `Abd Al-Bar, aA-Zahabi dan lain-lain. Adapun tokoh-tokoh mutasahil ialah: Al-Tirmizi, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Al-Hakim yang terkenal bermudah dalam mensahihkan hadis.[8]

Sebaliknya, Ibn Al-Jauzi, Al-Jauzaqani dan Al-Saghani pula dinilai mutasahil kerana bermudah-mudah dalam menilai palsu sebuah hadis.[9]

Termasuk kalangan mutasahil ialah Al-`Iraqi, Ibn Hajar dan Al-Suyuti yang dikatakan sering menaik taraf hadis-hadis yang sangat lemah dan palsu dengan hujah yang tidak kuat.[10]

Kaedah umum apabila berlaku pertembungan pendapat antara seorang tokoh mutasahil dengan seorang tokoh mu’tadil ialah memenangkan pandangan mu’tadil ke atas pandangan mutasahil.

Contohnya ialah hadis keutamaan siwak yang dinilai sahih oleh Al-Hakim namun dilemahkan oleh Al-Baihaqi. Al-Nawawi berkata dalam masalah ini, “Al-Baihaqi lebih pakar dalam ilmu hadis berbanding guru beliau iaitu Al-Hakim.”[11]

Kaedah umum ini boleh diamalkan oleh setiap orang yang tidak memiliki kepakaran dalam menganalisa sanad dan perawi. Adapun seseorang yang memiliki kepakaran tersebut, dia mesti mengkaji dan menimbang kedua-dua pendapat mengikut kaedah-kaedah kritikan ilmu hadis, lalu mentarjih pendapat yang menurutnya lebih kuat.

Manhaj wasati dalam berinteraksi dengan hadis lemah

Hadis lemah ialah setiap hadis yang tidak mencapai darjat hasan ataupun sahih kerana mengandungi salah satu kecacatan yang melemahkannya. Kecacatan pada riwayat hadis sangat banyak berkaitan dengan aspek sanad dan matan seperti keperibadian atau darjat hafalan perawi yang lemah, keterputusan sanad, syuzuz (ganjil), idtirab (percanggahan), dan sebagainya.[12]

Darjat hadis lemah bertingkat-tingkat mengikut tahap keseriusan kecacatannya. Hadis lemah yang paling tinggi darjatnya ialah mursal dan yang paling rendah ialah maudu` (palsu).[13]

naquib al-attas-hadis cinaPara ulama sepakat bahawa hadis palsu tidak boleh diamalkan dan dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. Namun mereka berbeza pendapat berkenaan hukum mengamalkan hadis lemah yang tidak mencapai darjat palsu.

Terdapat satu golongan tidak menerima hadis lemah dalam semua perbincangan samada wacana akidah, hukum-hakam, fadail (kelebihan amal), targhib (anjuran beramal) dan tarhib (anjuran meninggalkan) dan lain-lain. Satu kalangan lain pula menerima hadis lemah, bahkan sangat lemah, dalam semua aspek. Bahkan sebahagian daripada kalangan kedua ini menilai hadis lemah tersebut bila kandungannya selari dengan realiti dan terbukti berkesan.

Sikap wasati dalam perkara ini ialah: hanya menerima hadis yang sahih dan hasan sahaja dalam perkara akidah dan hukum, pada masa yang sama membenarkan beramal dengan hadis-hadis lemah dalam bab-bab nasihat, fadail, targhib dan tarhib yang memenuhi tiga syarat yang ditetapkan oleh Ibn Hajar sebagaimana berikut:

  1. Kelemahan hadis itu tidak terlalu serius.
  2. Kandungan hadis termasuk dalam kaedah umum syarak dan tiada dalil khusus yang melarangnya.
  3. Pengamalan tersebut dilakukan sekadar untuk berjaga-jaga (ihtiyat), bukan untuk diyakini bahawa hadis tersebut berasal dari Rasulullah.[14]

 

Abdul Rahman bin Mahdi berkata, “Apabila kami meriwayatkan hadis daripada Nabi dalam perkara halal-haram dan hukum, kami mengetatkan kajian tentang sanad dan kami amat kritikal para perawinya. Jika kami meriwayatkan dalam perkara kelebihan amal, pahala dan dosa, maka kami beringan-ringan dalam sanad dan kami bermudah-mudah dalam kritikan perawinya.”

Imam Ahmad berkata, “Hadis-hadis raqa’iq (nasihat) adalah terbuka untuk dipermudahkan sehingga mendatangkan perbincangan tentang hukum.”

Manhaj wasati dalam beramal dengan hadis

Sesetengah golongan mengamalkan pandangan literal dalam memahami dan mengamalkan kandungan hadis serta memandang negatif para fuqaha dan kitab-kitab fiqh yang dilihatnya sering tidak selari dengan sunnah Nabi s.a.w.

Sebahagian  yang lain pula memustahilkan proses mengeluarkan hukum daripada hadis dan kuat berpegang dengan kitab-kitab fiqh. Apabila hadis sahih menyalahi pandangan mazhab, mereka segera menolaknya dengan pelbagai alasan.

Manhaj wasati dalam perkara ini ialah menetapkan hadis sahih sebagai rujukan yang wajib diterima dan diamalkan walaupun tidak selari dengan pandangan muktamad dalam sesuatu mazhab.

sunnah bidahPada masa yang sama, kita mesti menjauhkan sikap bermudah dalam mengeluarkan hukum daripada hadis kerana dunia hadis adalah ibarat persimpangan jalan yang menyesatkan melainkan bagi para ulama.[15]

Mengeluarkan hukum daripada hadis menuntut kepakaran, ketelitian dan ketakwaan yang tinggi. Menurut Imam Al-Syafii, kandungan hadis mesti difahami dan ditafsirkan dalam kerangka Usul Fiqh dan bahasa Arab. Beliau berkata: “Hadis Rasulullah s.a.w adalah ucapan berbahasa Arab. Sebahagian daripadanya yang berlafaz umum berasal daripada Rasulullah, sebagaimana yang telah aku jelaskan tentang Al-Qur’an, dikeluarkan dalam bentuk umum dan maknanya juga umum. Dan (sebahagian yang lain) dikeluarkan dalam bentuk umum namun maknanya khusus.”[16]

Apabila berlaku pertembungan antara makna hadis Nabi s.a.w dan ijtihad seseorang ulama, kita tidak boleh terus berfikiran negatif terhadap ulama berkenaan. Sebaliknya, kita mesti berusaha untuk memahami hujah ulama tersebut dengan teliti dan dengan  minda terbuka.

Semua imam mujtahid pengasas mazhab selalu berpesan untuk meninggalkan ijtihad mereka apabila bertentangan dengan hadis sahih. Syeikh Muhammad Hayat Al-Sindi berkata, “Ucapan yang sering terdengar: kita mesti mengamalkan fiqh bukan hadis, adalah yang tidak bermakna. Sebabnya sangat jelas bahawa fiqh tidak lain berasal daripada makna Al-Kitab dan sunnah.”[17]

Mengikut Ibn Taymiah, semua ulama yang menjadi ikutan umat sangat taat kepada Rasulullah s.a.w. Setiap kali menemukan hadis yang sahih sanadnya dan jelas kandungan matannya, mereka segera mengamalkan hadis itu. Jika ada pendapat mereka yang menyalahinya, mereka segera memperbaikinya. Apabila kita melihat seorang pakar fiqh tidak mengamalkan sebuah hadis, maka mesti ada alasan kuat di sebalik sikap ini antaranya ialah:

  1. Ulama itu tidak meyakini hadis tersebut berasal daripada Nabi s.a.w. Mereka meragui kesahihannya kerana kecacatan tertentu walau pun disahihkan oleh ahli hadis yang lain.
  2. Ulama itu meyakini kandungan hadis itu bukan ditujukan untuk satu-satu masalah yang spesifik. Mungkin kerana kalimatnya ditakhsis (khususkan) oleh hadis lain, ditafsirkan oleh hadis lain, atau atas sebab-sebab lain.
  3. Ulama itu meyakini bahawa hukum yang terkandung di dalam hadis itu telah dimansukh. Hadis mansukh tidak boleh diamalkan.[18]

 Manhaj wasati berkaitan hadis sifat Tuhan

Hadis sifat Tuhan ialah hadis yang mengandungi sebutan sifat-sifat Allah yang seolah-olah menyerupakan Tuhan dengan makhluk seperti memiliki tangan, wajah dan kaki; berjalan, berlari, marah, gembira, kagum dan lain sebagainya.

Perbezaan pendekatan berkenaan hadis-hadis ini mencetuskan perbezaan aliran teologi yang berusia ribuan tahun. Kalangan mujassimah dan musyabbihah memahami makna kalimat-kalimat tersebut secara hakikat justeru quarrelmenetapkan sifat-sifat makhluk bagi Tuhan.[19] Sebaliknya, kalangan Muktazilah menolak semua hadis ini walaupun sahih sanadnya kerana bertentangan dengan prinsip-prinsip Al-Quran dan rasional.

Manhaj wasati dalam perkara ini ialah menerima hadis-hadis sahih berkenaan sifat-sifat Tuhan lalu mengimani kandungannya, pada masa yang sama mensucikan minda daripada tasybih dan tajsim (menyerupakan Allah dengan makhluk). Sikap ini disepakati oleh aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terdiri dari Ahlul Hadis, Asy`ariyah dan Maturidiyah.[20] Ketiga-tiga puak ini sepakat bahawa akidah tasybih dan tajsim bukan bahagian daripada akidah Islam.[21]

Ikhtilaf berlaku berkaitan dengan penetapan sikap yang tepat dalam berinteraksi dengan hadis-hadis tersebut. Aliran Ahlul Hadis (Hanabilah) berpendapat, “Semua yang disebutkan oleh Allah dan Rasul-Nya berkenaan dengan sifat-sifat Allah wajib dibiarkan sepertimana adanya (tumarru kama jaat) tanpa ditambah ataupun dikurang, sambil mengiktiraf kelemahan diri daripada mencapai hakikat perkara ini.”[22]

Asy`ariyah pula berpendapat pandangan seperti ini membuka peluang tasybih untuk menyusup ke minda umat Islam terutama kalangan umat Islam. Oleh itu, mereka membenarkan lafaz-lafaz yang samar-samar dalam hadis-hadis tersebut ditakwil berpandukan kaedah-kaedah bahasa Arab bagi menafikan tasybih dan tajsim secara tegas.[23]

Walaupun begitu, Al-Ghazali mengingatkan bahawa perkara ini wajib dibincangkan secara tertutup di kalangan para ulama dan kaum terpelajar sahaja. Cukup bagi orang awam ditanamkan akidah bahawa Allah wujud dan tiada yang menyerupai-Nya sedikitpun.[24]

Sikap wasati dalam perkara ditegaskan secara ringkas dan padat oleh Al-Hafiz Ibn Daqiq Al-`Id (w. 702 H). Beliau berkata: “Berkenaan sifat-sifat yang musykil, engkau harus bersikap bahawa sifat-sifat itu benar adanya sebagaimana yang dikehendaki Allah. Jika seseorang mentakwilnya, maka kita harus memperhatikan: jika takwilnya dekat dengan kaedah-kaedah bahasa Arab, maka kita tidak mengingkarinya. Namun jika jauh, kita tidak boleh menerimanya sebaliknya kembali kepada sikap mengimani sambil mensucikan Allah (dari penyerupaan dengan makhluk).”[25]

quran n sunnahKesimpulan

Al-Quran dan hadis merupakan faktor terpenting dalam pembentukan pandangan sejagat (worldview) seorang Muslim.

Kesilapan dalam berinteraksi dengan kedua-dua sumber asas ini akan membawa kesan yang sangat besar dalam aspek akidah, syariah dan akhlak umat Islam.

Sikap ekslusif sesetengah golongan yang mengakibatkan fenomena perpecahan dalam umat Islam, bahkan keganasan, berpunca daripada ketiadaan metodologi dalam berinteraksi dengan kedua-dua teks wahyu tersebut.

Pendekatan cetek mereka menghasilkan pelbagai kesimpulan yang merosak imej Islam di mata dunia.

Manhaj wasati, sebagaimana huraian di atas, merupakan huraian yang dapat memupuk kesefahaman di kalangan masyarakat sekaligus memulihkan imej Islam.

Sebagai penutup, saya ingin mengajukan beberapa cadangan praktikal untuk kalangan ilmuwan yang berminat mendalami ilmu hadis;

  • Hidupkan ilmu sanad dan menghafal nama-nama perawi. Jangan cukupkan diri dengan hanya menguasai ilmu hadis secara teori yang terkandung dalam kitab-kitab Mustalah. Tapi, kajian tersebut mestilah berlanjut kepada usaha untuk memahami kaedah ahli hadis terdahulu yang terkandung dalam kitab-kitab `ilal dan rijal.
  • Ilmu hadis tidak sepatutnya didalami terasing daripada ilmu-ilmu lain seperti ilmu-ilmu Al-Quran, bahasa Arab, Balaghah, Usul Al-Fiqh, Ilmu Kalam dan lain sebagainya. Semua ilmu ini mesti dilihat sebagai cabang-cabang ilmu sokongan hadis yang akan memberi kefahaman yang komprehensif berkenaan kritik hadis dan istinbat
  • Jangan rumuskan kesimpulan hanya berasaskan satu hadis sahaja. Sebaliknya, mesti dikumpulkan seluruh hadis yang berkaitan dengannya untuk memastikan ketiadaan naskh (pemansukhan), takhsis (pengkhususan), taqyid (pembatasan makna) dan mu`arid (dalil yang bertentangan) bagi hadis tersebut.
  • Perkenalkan ilmu hadis kepada masyarakat dengan cara yang berhikmah dan berkesan tanpa mencetuskan polemik dan kontroversi.

Pada masa yang sama, saya mencadangkan kepada pencinta ilmu hadis daripada kalangan awam untuk melakukan perkara-perkara berikut;

  • Meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. menerusi kajian hadis-hadis baginda dan mengamalkan sunnah-sunnah baginda.
  • Bersangka baik kepada seluruh ulama dan umat Islam secara amnya.
  • Kenali tokoh-tokoh hadis semasa untuk menjadi rujukan dalam memastikan status hadis.
  • Hindari perbalahan dan budayakan perkongsian.

Note:

[1]Lihat ucapan beliau dalam Ibn Al-Salah Al-Syahrazuri (2002), `Ulum Al-Hadis. Damsyik: Dar Al-Fikr, ms. 17. Menurut Dr. Hamzah Al-Malyabari, Ibn al-Salah tidak menutup pintu kritik hadis bagi para ulama selepas beliau. Sebaliknya, beliau tidak membenarkan tashih (penilaian sahih) bagi hadis-hadis yang diriwayatkan menerusi kitab-kitab ajza’ al-hadisiyyah yang ditulis oleh ulama mutaakhirin. Hal itu kerana sanad-sanad hadis tersebut tidak memenuhi kepiawaian yang ditetapkan ahli hadis terdahulu. Lihat Tashih  Al-Hadis `Inda Ibn Al-Salah. Beirut: Dar Ibn Hazm, 1417H.

[2]Lihat Abdul Hay Al-Laknawi (1964), Al-Ajwibah Al-Fadilah `Ala Al-As’ilah Al-`Asyrah Al-Kamilah. Aleppo: Maktab Al-Matbu`at Al-Islamiyah, ms.149-158; Abd Al-Razzaq Khalifah Al-Syayiji (1999), Mas’alah Al-Tashih Wa Al-Tahsin Fi Al-`Asr Al-Muta’akhirah. Beirut: Dar Ibn Hazm, ms. 28-42.

[3]Ucapan ini dinukilkan oleh Nur Al-Din `Itr dari kitab Al-Suyuti yang bertajuk Risalah Al-Tanqih Li Mas’alah Al-Tashih. Lihat Nur Al-Din `Itr (1997), Manhaj Al-Naqd Fi `Ulum Al-Hadis. Damsyik: Dar Al-Fikr, ms. 282-3.

[4]Abdul Hay Al-Laknawi (1964), ms. 29.

[5]Ahmad bin Al-Husayn Al-Baihaqi (1991), Ma`rifat Al-Sunan Wa Al-Athar, Damsyik: Dar Qutaybah, jld. 1, ms. 182.

[6]Apabila Ibn Al-Salah menyebutkan syarat ketiadaan syuzuz (keganjilan) dan `illah bagi hadis sahih, Ibn Daqiq Al-`Id memberi komen, “Pensyaratan ini bermasalah mengikut perspektif fuqaha. Kebanyakan `illah (cacat) yang melemahkan di sisi ahli hadis tidak terima pada perspektif fuqaha.” Lihat Taqiyudin bin Daqiq Al-`Id (1986), Al-Iqtirah Fi Bayan Al-Mustalah, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, ms. 5; Taqiyudin bin Daqiq Al-`Id  (1997), Al-Ilmam Bi Ahadis Al-Ahkam, Riyad: Dar Al-Atlas, jld. 1, ms. 59-60.

[7]Kaedah kritikan seperti ini tidak diterima sebagai kaedah kritikan yang sah kerana mengandungi unsur subjektiviti yang sangat tinggi, justeru tidak diambil kira oleh ahli hadis terdahulu dan semasa. Imam Yahya bin Said Al-Qattan (w. 198H) berkata, “Jangan tertipu dengan kandungan hadis tetapi telitilah sanadnya. Jika sahih sanad tersebut, sahihlah hadis itu. Jika tidak, janganlah tertipu dengan kandungan hadis apabila sanadnya tidak sahih.” Lihat Muhammad bin Ahmad bin `Uthman AlZahabi (2008), Siyar A’lam Al-Nubala, Beirut: Muassasat Al-Risalah, jld. 9, ms. 188. Saya telah mengulas berkenaan kaedah kritik berpandukan kasyf dalam majalah al-Ustaz, isu 43, kolum fokus. Saya juga menulis artikel berkenaan kelemahan kaedah kritik hadis berpandukan realiti dan keberkesanan dalam majalah Solusi, isu 90 dan 91, kolum Muhaddis.

[8]Lihat Ibn Al-Salah, (2002), ms. 22. Juga Abdul Hay Al-Laknawi (1964), ms. 160-181.

[9]Al-Laknawi (1964), ms. 164.

[10]Berkenaan Al-`Iraqi dan Ibn Hajar, Syeikh Ahmad Al-Ghumari berkata, “Al-Hafiz (Ibn Hajar) dan guru beliau Al-`Iraqi mutasahil dalam menilai hadis. Kedua-duanya hampir tidak menilai palsu sebuah hadis melainkan apabila sejelas matahari di siang hari.” Abu Al-Faid Ahmad bin Siddiq Al-Ghumari (1998), Al-Mughir `Ala Al-Ahadis Al-Maudu`ah Fi Al-Jami` Al-Saghir, Kaherah: Maktabah Al-Qahirah, ms. 7. Berkenaan Al-Suyuti, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah berkata, “Semoga Allah mengampuni tasahul (sifat bermudah) Al-Hafiz Al-Suyuti yang menguatkan hadis palsu dengan hadis palsu.” Abdul Fattah Abu Ghuddah (2008), Lamahat Min Tarikh Al-Sunnah Wa `Ulum Al-Hadis, Aleppo: Maktab Al-Matbu`at Al-Islamiyah, ms. 90.

[11]Yahya bin Syaraf Al-Nawawi (2001), Majmu` Syarh Al-Muhazzab, Beirut: Dar Ihya Al-Turath Al-`Arabi, jld. 1, ms. 148. Hadis yang dimaksudkan ialah riwayat Muhammad bin Ishaq daripada Ibn Syihab daripada `Urwah daripada `Aisyah: Rasulullah bersabda: “Solat dengan siwak lebih baik berbanding 70 solat tanpa siwak.” Hadis ini dinilai lemah kerana Muhammad bin Ishaq yang mudallis tidak menyatakan sama` (dengar secara langsung) dalam riwayat beliau daripada Ibn Syihab.

[12]Ibn Hajar mengembalikan sebab-sebab kelemahan hadis kepada dua cacat utama iaitu terputusnya sanad dan wujud kecacatan dalam diri perawi. Lihat Ibn Hajar Al-`Asqalani (2000), Nuzhat Al-Nazar Fi Taudih Nukhbat Al-Fikar, Damsyik: t. p., ms. 80.

[13]Mursal ialah sanad terputus dalam tingkatan sahabat Nabi. Sebahagian ulama Kufah berpendapat bahawa mursal termasuk dalam kategori sahih. Lihat Muhammad bin Abdillah Al-Hakim Al-Naisaburi (2001), Al-Madkhal Ila Ma`rifat Kitab Al-Iklil, Damsyik: Dar Al-Faiha, ms. 66.

[14] Al-Laknawi (1964), ms. 43.

[15]Diriwayatkan daripada Sufyan bin `Uyainah (salah seorang guru Imam Al-Syafii dan Ahmad), “Hadis ialah padang luas yang menyesatkan melainkan bagi para fuqaha.” Lihat penjelasan tentang makna ucapan ini dalam Ahmad bin Ali bin Hajar Al-Haitami (t.t.), Al-Fatawa Al-Hadisiyah, Beirut: Dar Al-Ma`rifah, ms. 283. Ucapan ini turut dinisbahkan kepada Abdullah bin Wahb, seorang ulama hadis dan fiqh asal Mesir. Lihat Al-Qadi `Iyad bin Musa Al-Yahsubi (1983), Tartib Al-Madarik Wa Taqrib Al-Masalik Li Ma`rifat A`lam Ashab Malik, Maghribi: Matba`at Al-Fudalah, jld. 1, ms. 91.

[16]Muhammad bin Idris Al-Syafii (1985), Ikhtilaf Al-Hadis, Beirut: Muassasat Al-Kutub Al-Thaqafiyyah, ms. 64.

[17]Muhammad Hayat Al-Sindi (1993), Tuhfat Al-Anam Fi Al-`Amal Bi Hadis Al-Nabi `Alayhi Al-Salah Wa Al-Salam, Beirut: Dar Ibn Hazm, ms. 35.

[18]Lihat Ahmad bin Abd Al-Halim bin Taymiyah (1423H), Raf` Al-Malam `An Al-A`immah Al-A`lam. Riyad: Al-Ri’asah Al-`Ammah Li Idarat Al-Buhuth Al-`Ilmiyah Wa Al-Ifta’ Wa Al-Da`wah Wa Al-Irsyad, ms. 9.

[19]Lebih lanjut berkenaan sejarah kemunculan aliran musyabbihah dan pelbagai puak pecahannya, sila rujuk Abd Al-Qahir bin Tahir Al-Baghdadi (1995), Al-Farq Bayn Al-Firaq, Beirut: Maktbah Al-`Asriyah, ms. 225.

[20]Abu Ya`la, tokoh Hanbali yang sangat keras kepada aliran Asy`ariyah dan menetapkannya sebagai ahli bid`ah yang wajib dijauhi, mengakui bahawa Asy`ariyah menerima hadis-hadis sifat walaupun mereka mentakwil kandungannya. Itu kerana takwil hanya berlaku selepas penerimaan. Sikap ini berbeza dengan Muktazilah yang menolak sama sekali hadis-hadis tersebut. Lihat Abu Al-Husayn Muhammad bin Abu Ya`la Al-Farra’ (2010), Tabaqat Hanabilah, Riyad: Dar Al-Malik `Abd Al-`Aziz, cet. 3, jld. 3, ms. 391.

[21]Al-Qadi Abu Ya`la Al-Hanbali yang beraliran salafi berkata, “Siapa yang beriktikad bahawa Allah s.w.t. berjisim dan menetapkan bagi-Nya sifat-sifat jisim seperti bersusun dan berpindah, dia kafir kerana tidak mengenali Allah. Hal itu kerana Allah mustahil memiliki sifat-sifat ini. Siapa yang tidak mengenal Allah, dia telah kafir.” Lihat Tabaqat Hanabilah, jld. 3, ms. 394. Perkara yang sama turut ditegaskan oleh tokoh-tokoh aliran Asy`ariyah salah seorangnya ialah Abu Al-Muzaffar Al-Isfirayini yang berkata, “Siapa yang mengamati ucapan aliran musyabbihah ini, dia akan meyakini kekufuran dan kesesatan mereka.” Lihat Abu Al-Muzaffar Syahanfur bin Tahir Al-Isfirayini (t.t.), Al-Tabsir Fi Al-Din Wa Tamyiz Al-Firqah Al-Najiah `An Al-Firaq Al-Halikin, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, ms. 108.

[22]Abu Ya`la Al-Farra’ (2010), jld. 3, ms. 388. Kaedah ini menjadi asas bagi beliau dalam berinteraksi dengan hadis-hadis sifat dalam kitab Ibtal Al-Ta’wilat Li Akhbar Al-Sifat.

[23]Antara kitab yang mengumpulkan hadis-hadis tersebut lalu menjelaskan maknanya berasaskan kaedah takwil ialah Musykil Al-Hadis Wa Bayanuh karya Ibn Furak Al-Isbahani dan Daf` Syubhat Al-Tasybih karya Ibn Al-Jauzi.

[24]Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali (2001), Al-Iqtisad Fi Al-I`tiqad, Damsyik: Maktabat Al-Ahbab, ms. 49.

[25]Ibn Hajar Al-`Asqalani berkata, “Ini huraian yang sangat terperinci. Jarang sekali ada orang yang mengingatkannya.” Ahmad bin Ali bin Hajar Al-`Asqalani (2001), Fath Al-Bari’ Syarh Sahih Al-Bukhari, Damsyik: Dar Al-Fayha, jld. 13, ms. 468-9.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: