Wasatiyah Dalam Isu Mengubah Kemungkaran Dengan Tangan (Edisi no. 9/June 2016)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

book cover2(Artikel ini dipetik, dengan sedikit suntingan dan pengubahsuaian, dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Muslim Di Singapura, terbitan Pergas, 2004.)

Kita pernah mendengar berita dari negara jiran mengenai sekumpulan pemuda yang berasal dari satu kumpulan Islam telah keluar di jalanan untuk melakukan operasi pencegahan maksiat dan kemungkaran.

Mereka telah menyerang rumah-rumah pelacuran dan kelab-kelab malam sebelum bulan puasa dengan alasan untuk memaksa mereka menghentikan aktiviti yang bercanggah dengan Islam.

Tindakan seperti ini kemudiannya disandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w:

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya kefahaman mereka terhadap hadis ini yang sedemikian adalah satu kefahaman yang salah dan perbuatan mereka sebenarnya adalah terlarang dan terkeluar dari lunas-lunas Islam yang sederhana.

Kita mengatakan sedemikian kerana:

a. Tafsiran mereka terhadap merubah kemungkaran dengan tangan adalah satu tafsiran yang salah.

Memang benar bahawa Islam menganjurkan umatnya agar mencegah kemungkaran dengan tangan bagi memenuhi tanggungjawab dakwah, namun para ulama menafsirkan bahawa perintah mencegah kemungkaran dengan tangan dibebankan ke atas Ulil Amri (mereka yang memiliki kuasa ke atas sesuatu perkara).

Setiap aspek kemungkaran mempunyai Ulil Amri yang berkuasa untuk mengubah dengan tangan.

Sebagai contoh kemungkaran dalam sebuah keluarga, Ulil Amrinya ialah si ayah dan ibu. Mereka yang bukan Ulil Amri dalam keluarga berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk mencegah kemungkaran dengan tangan. Di sekolah, Ulil Amri ialah pengetua sekolah berkenaan.

Ulil Amri dalam bidang kehidupan yang berbeza pula mempunyai kuasa mencegah kemungkaran dengan tangan yang berbeza. Sebagai contoh, walaupun Ulil Amri di peringkat keluarga boleh mencegah kemungkaran dengan tangan terhadap mana-mana ahli keluarganya tetapi dia tidak boleh bertindak melakukan hukuman hudud ke atas ahli keluarganya, jika mereka didapati bersalah melakukan kesalahan seperti minum arak kerana hanya pemerintah sahaja yang berhak melakukan sedemikian melalui institusi kehakiman.

Maka dalam kehidupan sosial seperti kemungkaran kelab-kelab malam dan rumah pelacuran, oleh kerana ia berlaku dalam ruang lingkup kehidupan sosial, Ulil Amrinya ialah pemerintah yang bertanggungjawab untuk menjaga tingkah laku sosial.

Maka pemerintahlah yang harus berusaha untuk menghentikan operasi kelab-kelab malam dan rumah-rumah pelacuran.fpi-razia

Tiada individu atau kumpulan Islam yang mempunyai kuasa untuk menyerbu tempat-tempat berkenaan kemudian bertindak dengan merosakkan tempat berkenaan dan menyerang mereka yang mengendali tempat itu.

Tanggungjawab mencegah kemungkaran bagi individu dan kumpulan Islam dalam masalah seperti ini hanyalah dengan melakukan pencegahan dengan lidah melalui amar makruf dan nahi mungkar dan nasihat yang berkesan, bukan dengan penentangan.

Tindakan konkrit melalui tangan hanya boleh dilakukan mengikut kuasa yang mereka ada seperti menganjurkan program bagi menarik pekerja di rumah-rumah berkenaan untuk meninggalkan kerja di sana ke satu bentuk pekerjaan yang baru yang lebih bersih.fpi-razia-2

Sekiranya Ulil Amri tidak memainkan peranan sebagaimana yang sepatutnya dan mencuaikan usaha mencegah kemungkaran dalam kehidupan sosial, individu dan kumpulan Islam tiada pilihan kecuali beriltizam dengan pencegahan dengan lidah dan bersabar atas keterbatasan yang ada.

Sesungguhnya dakwah itu hanya diwajibkan mengikut kadar keupayaan dan kemampuan yang ada, sebagaimana firman Allah taala yang berikut:

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah megikut kemampuan kamu.” (Al-Taghabun: 16)

“Sesungguhnya Allah tidak membebankan seseorang kecuali mengikut kemampuannya sahaja.” (Al-Baqarah :286)

Kelemahan pemerintah seperti ini termasuk di dalam erti hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibenci dari pemimpinnya, hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang keluar dari jemaah sejengkal maka matinya seumpama mati jahiliyah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Persoalan ini boleh dilihat dalam perbincangan mengenai pemimpin yang menyeleweng yang telah dibincangkan sebelum ini [dalam buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Muslim Singapura, Pergas, 2004].

Abdul Karim Zaidan telah menulis:

“Adapun jika Ulil Amri yang telah kami sebutkan tidak melakukan tugas itu, harus atau wajib bagi orang-orang Islam melakukan tugas ihtisab (penguasaan), menyiapkan pegawai-pegawai penguasa dan memberi nafkah kepada mereka untuk melakukan tugas penguasaan itu pada batas-batas memberi peringatan dan petunjuk sahaja tanpa menggunakan kekerasan agar kekerasan itu tidak menjurus kepada kucar kacir dan fitnah sehingga manusia mengambil peluang untuk bercakap mengenai hisbah dan pegawai muhtasib secara batil dan tindakan ke atas muhtasib oleh pemerintah.”[1]

b. Tindakan yang sedemikian tidak sejajar dengan anjuran dakwah secara lembut yang amat dianjurkan oleh Islam.

Hal ini disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang berikut:

“Sesungguhnya Allah itu maha lembut dan suka kepada kelembutan dan Dia beri kepada kelembutan apa yang tidak diberi kepada kekasaran.” (Riwayat Muslim)

“Sesungguhnya kelembutan itu tidak wujud dalam sesuatu kecuali dia akan mencantikkannya dan tidak dicabut dari sesuatu kecuali dia akan menghodohkannya.”(Riwayat Muslim)

compassionAbdul Karim Zaidan menulis lagi:

“Sesungguhnya manusia dengan tabiat dan apa yang telah difitrahkan kepadanya menerima anjuran dan larangan dengan cara halus dan lembut dan kata-kata yang lunak lebih dari melalui cara yang keras. Bahkan mungkin sahaja kekerasan itu mendorongnya untuk lebih berterusan dengan kemungkaran sebagai balasan bagi yang sedemikian dan menunjukkan kedegilannya…… Sesungguhnya penguasaan yang berkesan ialah penguasaan yang menjadikan orang yang dicegah kemungkarannya menerima tindakan itu dengan reda dan berpuas hati akan kepentingan pencegahan itu sehingga timbul dari dirinya sendiri satu dorongan menghalangnya dari kembali kepada kemungkaran. Semua ini hanya mungkin dicapai jika pegawai penguasa bersikap lembut, tidak marah-marah, tidak kasar dan dengan berhujah dan perbincangan yang tenang dan memuaskan hati.”[2]

c. Tindakan yang sedemikian itu berkemungkinan besar mencetus kemudaratan dan kemungkaran yang lebih besar.

Telah dinyatakan dalam perbincangan mengenai pemerintah yang zalim dan menyeleweng [dalam buku Kesederhanaan Dalam Islam, Pergas, 2004] bahawa usaha menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak boleh dilakukan sehingga mencetus kemungkaran yang lebih besar atau kemudaratan yang lebih besar atau menghilangkan maslahat yang lebih banyak .

Dalam persoalan mencegah kemungkaran, kaedah-kaedah berikut juga hendaklah diambil perhatian:

  1. Tidak boleh melakukan kemudaratan yang bahaya dan membahayakan.[3]
  2. Bahaya itu mesti dihilangkan.[4]
  3. Bahaya itu dihindari sesuai dengan kemampuan.[5]
  4. Bahaya tidak boleh dihilangkan dengan bahaya yang sama.[6]
  5. Bahaya yang besar dihilangkan dengan bahaya yang lebih ringan.[7]
  6. Apabila wujud konflik antara dua kerosakan, maka diperhatikan kerosakan yang paling besar dengan melakukan yang paling ringan di antara keduanya.[8]
  7. Menghindarkan kerosakan itu lebih utama dari mengambil manfaat.[9]
  8. Bahaya yang khusus itu dipertahankan untuk menghindari bahaya yang umum.[10]
  9. Tidak boleh melakukan perbuatan yang menjadi wasilah kepada yang haram, walaupun perbuatan itu asalnya dibenarkan.[11]

 


Note:

[1]Abdul Karim Zaydan (1976), Usul Al-Da`wah, Maktabah Al-Manar Al-Islamiah, ms. 192.

[2]Ibid, ms. 188.

[3]Jalal Al-Din Al-Suyuti (1979), Al-Asybah Wa Al-Nazair, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiah, ms. 83.

[4] Ibid.

[5]Jum`ah Amin Abdul Aziz (1997), Fiqh Dakwah: Prinsip Dan Kaidah Asasi Dakwah Islam (terj. Al-Da`wah : Qawa`id Wa Usul), Solo: Citra Islami Press, ms. 158.

[6]Al-Suyuti (1979), ms. 86.

[7] Ibid, ms. 87.

[8]Ibid.

[9]Ibid.

[10]Abdul Aziz (1997), ms. 158.

[11]Ibid, ms. 150.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: