Wasatiyah Dalam Masalah Pembahagian Ilmu Tauhid (Edisi no. 10/August 2016)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

belajar kampungOleh Ustaz Mustazah Bahari

Pendahuluan

 Ilmu Tauhid adalah ilmu yang disusun untuk membantu manusia mengenal Tuhan dan segala perkara yang berkaitan dengan keagungan-Nya.

Di dalamnya terdapat pembahasan mengenai zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan nama-nama-Nya yang mulia lagi sempurna.

Tujuan ilmu Tauhid disusun dan dibukukan ialah untuk memberi kemudahan kepada manusia memahami kebesaran dan keagungan Tuhan yang menciptanya dan mencipta sekelian alam ini.

Sejarah ilmu Tauhid

Seperti ilmu-ilmu Islam lain yang telah tersusun baik, ilmu Tauhid juga tidak dikenali dan didapati sebagai suatu subjek ilmu di zaman Nabi s.a.w dan para sahabatnya.

Di zaman awal Islam, pemahaman tauhid dicapai menerusi penjelasan Nabi s.a.w mengenai apa itu iman dan Islam secara umum. Ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan berkaitan Allah dibaca langsung kepada para sahabat dan mereka menerima dan memahami kewajipan mentauhidkan Allah secara spontan tanpa banyak persoalan.

Sukar untuk dipastikan secara tepat bilakah masanya ilmu Tauhid ini mula disusun dan dibukukan sebagai satu ilmu yang khusus.

Apa yang dapat dijejaki ialah menerusi catitan-catitan secara tidak langsung di dalam kitab-kitab hadis seperti Al-Muwatta’ tulisan Imam Malik yang meletakkan bab iman, bab tauhid dan bab ilmu dalam kitab tersebut.

Aktiviti penulisan dan penyusunan ilmu Tauhid bermula apabila muncul persoalan-persoalan yang berkaitan dengan Allah dan sifat-sifatnya sehingga mencetuskan kekeliruan antara umat Islam terdahulu kerana dikaitkan dengan kaedah falsafah Yunani.[1]

Menurut rekod, buku pertama yang banyak pengisian tentang persoalan-persoalan tauhid dan akidah ialah buku Al-Fiqh Al-Akbar karangan Imam Abu Hanifah. Buku tersebut mengandungi sanggahan terhadap pendapat-pendapat dari aliran Muktazilah, Jahmiyah, Qadariyah dan Syiah mengenai akidah yang telah menyimpang dari fahaman asal para sahabat dan tabiin.

 Tauhid ‘Tiga Serangkai’Tauhid Tiga Serangkai-1

Tauhid Al-Rubiyyah, Tauhid Al-Uluhiyyah dan Tauhid Al-Asma’ Wa Al-Sifat merupakan kaedah pembelajaran ilmu tauhid yang dikenali juga sebagai Tauhid Tiga Serangkai hari ini.

Secara ringkas, Tauhid Al-Rububiyyah merujuk kepada mengesakan Allah sebagai Tuhan yang menciptakan alam ini dan menafikan adanya Tuhan atau sebarang kuasa, selain Allah yang menciptakan alam.

Tauhid Al-Uluhiyyah pula merujuk kepada mengesakan Allah di dalam peribadatan, iaitu manusia dituntut untuk beribadah hanya kepada Allah sahaja, bukan kepada selain Allah.

Manakala Tauhid Al-Asma’ Wa Al-Sifat pula adalah menetapkan segala sifat-sifat dan nama-nama yang sempurna bagi Allah sebagaimana Dia sendiri menyifatkan dan menamakan diri-Nya.

Sejak kebelakangan ini, terdapat suara-suara yang mempersoalkan tentang kewajaran pendekatan ini diajarkan kepada masyarakat Islam.

Dakwaannya adalah ia menjadikan seseorang kurang imannya atau kufur kerana tidak menepati panduan ilmu tauhid yang dipelopori oleh imam Abu Hasan Al-Asy’ari yang merupakan seorang alim di dalam ilmu tauhid.

Menurut pendapat ini, ilmu Tauhid yang sebenar perlu dipelajari menerusi sifat 20 yang terangkum di dalamnya segala perkara yang berkaitan dengan keesaan Allah taala. Mereka mendakwa bahawa ilmu Tauhid tiga serangkai ini merupakan bid’ah dalam Islam kerana tidak pernah disebut oleh golongan salafussoleh.

Pendapat ini boleh dikritik melalui beberapa sudut:Tauhid Tiga Serangkai-2

  1. Sifat 20 yang dikaitkan dengan Imam Abu Hasan Al-Asy’ari juga tidak dikenali di zaman Nabi s.a.w dan para sahabatnya.
  2. Imam Abu Hasan Al-Asy’ari bukanlah orang pertama yang memulakan gerakan membasmi penyelewengan dalam ajaran tauhid. Beliau juga bukanlah orang pertama yang mengasaskan ilmu tauhid sebagai satu disiplin ilmu dalam pengajian Islam.
  3. Sebelum kedatangan Imam Abu Hasan Al-Asy’ari sudah terdapat tokoh-tokoh ulama yang telah lebih awal memperkatakan tentang tauhid. Antara nama-nama mereka ialah:[2]
  • Imam Abu Hanifah (w.150H) dengan kitabnya Al-Fiqh Al-Akbar.
  • Imam Abu `Ubaid Al-Qasim bin Sallam (w.224H) bersama kitabnya Al-Iman.
  • Imam Ibn Abi Syaibah (w.235H) dengan kitabnya Al-Sunnah.
  • Imam Ahmad bin Hanbal (w.240H) dengan kitabnya Al-Sunnah.
  • Imam Ibn Suraij Al-Baghdadi (w.306H) dengan kitabnya Kitab Al-Tauhid.
  • Imam Ibn Khuzaimah (w.311H) dengan kitabnya yang berjudul Kitab Al-Tauhid.

Sifat 20 tidak dapat dijejaki di dalam kitab-kitab yang disebutkan di atas.

Malah Imam Abu Hanifah menyebut di dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Absat, “Dan Allah taala diminta kepada-Nya dari atas bukan dari bawah kerana bawah bukanlah ada pada-Nya sifat Rububiyyah dan Uluhiyyah.”[3]

Imam Al-Muzani, seperti yang dinukilkan oleh Imam Al-Zahabi di dalam kitabnya Siyar A`lam Al-Nubala’ pernah berkata kepada seorang lelaki yang datang kepadanya bertanya mengenai ilmu kalam, “Saya tidak menyukainya, bahkan saya melarang (dari membahaskannya) seperti mana Al-Syafi’i pernah melarangnya. Saya pernah mendengar Al-Syafi’i berkata, “(Imam) Malik pernah ditanya mengenai ilmu kalam dan tauhid, lalu beliau berkata, “Mustahil bagi Nabi s.a.w mengajarkan umatnya mengenai perkara istinja’ tetapi tidak mengajar mereka tentang ilmu tauhid. Tauhid adalah adalah apa yang Nabi s.a.w sabdakan, “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan la ilaha illa Allah. Itulah tauhid yang memelihara nyawa dan harta manusia.”[4]

asyairah bukan ahlu sunnahSelain mereka, terdapat juga para ulama yang hidup sekurun dengan Imam Abu Hasan Al-Asy’ari yang masih lagi di dalam lingkungan era salaf menyebut tauhid terbahagi kepada tiga. Mereka adalah:

  • Imam Ibn Jarir Al-Tabari (w.310H), ketika mentafsirkan surah Al-Fatihah pada ayat kedua mengenai Rabb Al-`Alamin, berkata, “Mengkhabarkan tentang pemilikan dan Raja bagi semua jenis makhluk, yang perlu disertakan sifat-Nya itu dengan keagungan dan Uluhiyyah.”[5]
  • Imam Ibn Hibban Al-Busti (w.354H) juga menyebut di dalam mukaddimah kitabnya yang berjudul Raudat Al-`Uqala’ Wa Nuzhat Al-Fudhala’, “Segala puji bagi Allah yang Esa dengan Uluhiyyah-Nya serta mulia dengan keagungan Rububiyyah-Nya…”[6]
  • Imam Al-Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Ishaq bin Yahya Bin Mandah (w.395H), dalam kitab beliau Kitab Al-Tauhid Wa Makrifat Asma’ Allah Azza Wa Jalla Wa Sifatih `Ala Al- Ittifaq Wa Al-Tafarrud, menjelaskan beberapa tajuk yang berkaitan dengan Tauhid Rububiyyah, beberapa tajuk yang berkaitan dengan Tauhid Uluhiyyah dan beberapa tajuk lain berkaitan Tauhid Al-Asma’ Wa Al-Sifat.[7]

Pandangan ulama kontemporari

Syaikh Hasan Al-Kamali, seorang tokoh ulama di Morocco apabila ditanya adakah pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan Al-Asma’ Wa Al-Sifat, satu bid’ah, menjawab bahawa ia adalah satu pendekatan atau kaedah di dalam ilmu Tauhid yang dilihat sesuai untuk memahamkan seseorang tentang tauhid, sepertimana juga di dalam ilmu-ilmu Islam yang lain. Beliau berhujjah bahawa kebanyakan ilmu Islam yang ada hari ini juga adalah baru, seperti Ulum Al-Quran. Begitu juga istilah-istilah tertentu di dalam ilmu fiqh tidak dikenali di zaman Nabi s.a.w dan para sahabatnya dan tidak pula dipertikaikan sama ada ia bid’ah atau tidak.[8]

Syeikh Muhammad Hasan Al-Dadou, seorang tokoh ulama dari Mauritania berkata mazhab akidah dari kalangan Hanbali hari ini, Asya’irah dan Maturidiah tergolong dalam Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah. Semua mereka berijtihad dalam memahami nas-nas yang berkaitan sifat-sifat Allah dan tidak wajar mana-mana mereka diperkecilkan.[9]

Dalam dunia Melayu khususnya di Singapura, pengajian tauhid yang berkonsepkan Uluhiyyah dan Ubudiyyah telah diajarkan kepada masyarakat Islam. Ustaz Haji Osman bin Jantan,[10] seorang tokoh agamawan yang dihormati, telah menjelaskan dalam bukunya yang berjudul Pedoman Ilmu Tauhid;

pedoman ilmu tauhid-osman jantan“Keesaan Tuhan dikatakan tauhid. Tauhid bererti meng-Esakan Tuhan. Menilik lapangannya maka Tauhid ini dapatlah kita bahagi kepada dua bahagian yang besar:

  • Tauhid Uluhiyah, iaitu meng-Esakan Allah s.w.t dalam erti meng-Esakan Zat-Nya yang tidak tersusun dan sebagainya, meng-Esakan sifat-Nya, meng-Esakan perbuatan-Nya.
  • Tauhid Ubudiyah, iaitu benar-benar menyerahkan amal ibadatnya hanya kepada Allah s.w.t. Benar-benar di dalam beramal itu ia menyerahkan amalnya itu hanya kepada satu Allah sahaja. Tidak dengan memakai perantaraan, tidak mengharap puji dan sebagainya. Hanya Allah Jalaluh sahajalah yang ditakutinya.

Jelas dari penjelasan di atas bahawa baik Tauhid Uluhiyyah mahupun Tauhid Ubudiyah diperintahkan kepada tiap-tiap umat Islam. Orang-orang yang bertauhid dinamakan dengan Muwahhid.”[11]

Seperti ilmu kalam yang berunsurkan falsafah di dalam bidang ilmu akidah, terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama mengenai kewajarannya untuk dijadikan sebagai kaedah ilmu bagi mengenal Allah.

Imam Abu Hanifah dan Imam Al-Ghazali merupakan antara tokoh ulama yang berbicara mengenai ilmu kalam. Sebaliknya, Imam Malik dan Imam Al-Syafi’i menolak keras falsafah sebagai alat untuk berbicara mengenai tauhid dan akidah.

Dalam hal ini, komentar Pak Hamka yang wasatiy mengenai kaedah mengenali Allah di dalam karyanya yang berjudul Pelajaran Agama Islam. Beliau mengkritik pendapat seorang tokoh bernama Syeikh Mahmoud Khayat dari Medan yang mengatakan sifat 20 adalah bid’ah atas alasan keempat-empat imam mazhab tidak mengizinkan untuk dipelajari ilmu sifat dua puluh itu bahawa pendapat sedemikian menghalang pertumbuhan ilmu pengetahuan. Beliau selanjutnya berkata:pelajaran agama islam-hamka

 “Islam pada zaman jayanya telah memelihara kemerdekaan berfikir begitu luas. Tasawuf telah begitu berkembang dan luas, sehingga terlalu luasnya telah menimbulkan suatu golongan yang berfaham tasawuf “wahdatul wujud”: “Di antara yang menyembah dengan yang disembahnya adalah satu jua.” Dan ilmu kalam pun telah terlepas daripada batas yang boleh dijangkau oleh akal manusia sehingga akhirnya bertele-tele. Sampai dibicarakan apakah perbezaan di antara zat dan sifat? Apakah sifat itu `ain zat juga atau bukan? Kesudahannya hilanglah kemerdekaan berfikir, kerana sudah sangat merdeka… Timbullah yang satu mengatakan yang lain tersesat. Timbullah pertentangan yang hebat di antara mazhab Muktazilah dengan mazhab Asy’ari. Dan kita di belakang ini mesti taklid sahaja ke dalam lingkungan yang mana kita dimasukkan. Berlainan sedikit pendapat kita, kita dituduh Muktazilah. Dan yang lain berlainan pula sedikit pendapatnya, dia dituduh mujassimah (memberi Tuhan bertubuh). Sedangkan membahas zat insan ini lagi sulit, apatah lagi zat Allah.

Tetapi apabila kita kembali kepada pokok asal pengajian, tidaklah lekas kita menyesali ulama-ulama Islam yang terdahulu itu. Keadaan yang terdapat pada zamannya memaksa mereka membanting otak buat fikir. Dan maksud mereka adalah baik. Bukanlah mereka hendak merosak agama atau menghilangkan bekas rasa agama itu dalam sanubari, lalu menggantinya dengan debat bersitegang urat leher.”[12]

Biasanya pada setiap Jumaat di Singapura dan Malaysia, para khatib akan sering memulakan khutbahnya yang kedua dengan sebutan, “Iqraran bi Rububiyyatih wa irghaman liman jahada bihi wa kafar” (sebagai pengakuan pada rubibiyyah-Nya dan anacaman ke atas sesiapa yang ingkar dan kufur terhadap-Nya). Namun, tidak pernah menjadi satu isu bahawa ia membahayakan akidah seorang Muslim.

Kesimpulan

Istilah-istilah yang disebut di dalam lapangan ilmu Tauhid dan seluruh ilmu Islam tidak pernah dikenali di zaman Nabi s.a.w mahupun sahabat.

Apabila istilah-istilah itu diperkenalkan, tiada pula dikalangan umat terdahulu yang menolak atau jauh sekali membid’ahkannya.

Tidak pernah diketahui ilmu Tafsir Al-Qur’an, Ulum Al-Quran, Mustalah Al-Hadith, Usul Al-Fiqh, Qawa`id Fiqhiyah dan ilmu-ilmu yang lain sebagai perkara bid`ah di dalam Islam.

Matlamat mempelajari ilmu Tauhid adalah untuk mengenal Allah. Bagi mencapai tujuan itu, para ulama membahaskan kaedah-kaedah tertentu yang dilihat sesuai untuk diketengahkan bagi tujuan memberi kemudahan bagi masyarakat untuk memahaminya.

Lumrahnya manusia berbeza pada tahap pemahaman dan pemikiran. Justeru, kaedah-kaedah ilmu yang pelbagai dapat memberi kemudahan kepada mereka untuk mencapai pemahaman mengenal Allah taala.

Bukanlah menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang mempelajari ilmu Tauhid menerusi sifat dua puluh atau melalui kaedah yang dikatakan sebagai Tiga Serangkai itu kerana kedua-duanya membahaskan tentang keagungan Allah taala dan menafikan segala kekurangan serta keaiban pada-Nya.

Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim di dalam kitabnya berjudul, Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan Kebatinan[13] yang diterbitkan oleh JAKIM Malaysia telah membahagikan ilmu Tauhid kepada dua manhaj;

  • Manhaj pertama: Akidah dalam bentuk sifat dua puluh.[14]
  • Manhaj kedua: Akidah dari Al-Quran dan Sunnah yang sahih. Di antaranya ialah mengenal Allah menerusi Al-Asma’ Wa Al-Sifat.[15]

salaf khalaf coverSelanjutnya beliau berkata mengenai perselisihan antara mazhab Asy’ari dan Maturidi yang dinukilkan dari kitab Ittihaf Al-Saadah Al-Muttaqin oleh Al-Sayyid Muhammad Al-Zubaidi,

“Secara kebetulan, pengikut Asy’ari adalah penganut mazhab Syafi’e dan pengikut Maturidi adalah penganut fiqh Hanafi. Di antara dua mazhab ini terdapat perbezaan-perbezaan tetapi tidak sampai kepada membid’ahkan di antara satu sama lain. Contoh perbezaan di antara Asya’irah dengan Maturidiyah ialah dalam masalah sifat takwim atau sifat af’al dan iman muqallid tetapi di antara satu sama lain ada perbezaan, sama seperti keadaan perbezaan di antara fiqh Syafi’e dengan fiqh Hanafi.”[16]

Adab seperti ini yang perlu ditanam dalam hati umat Islam, khususnya di kalangan para pendakwah dan asatizah. Perbezaan pendapat mengenai isu akidah atau hukum yang bersifat furu`iyah (cabang) tidak harus mencetuskan perselisihan dan pertelingkahan sesama sendiri, apatah lagi untuk menghukum kafir bagi pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan yang diberi.

Sikap ekstrem terhadap pemahaman tauhid dan penyelewengannya balik kepada individu yang mengambil pandangan yang sememangnya jauh dari kebenaran.

Misalnya, apabila berbicara tentang sifat Allah, dengan meletakkan Allah bersama setaraf dengan manusia adalah suatu yang jelas salah. Sebagai contoh ialah konsep Wahdat Al-Wujud yang telah ditolak para ulama kerana jelas kebatilannya.

Golongan ekstrem seperti ISIS hari ini, percaya bahawa Islam perlu ditegakkan dengan pedang. Orang bukan Islam selayaknya dibunuh tanpa diajak kepada Islam terlebih dahulu. Siapakah di kalangan ulama Islam yang membenarkan dakwaan itu? Jelas sekali bahawa pemikiran ekstrem mereka terbentuk kerana kejahilan mereka terhadap pengendalian nas-nas agama.

Prof Hamka berkata;

“Rasa agama harus kita usahakan mengembalikannya kepada sinar yang menyinari hari Salafus-Salihin. Mereka beriman bahawa Allah Taala itu ada, yang adanya berbeza dengan yang baharu. Kadang-kadang baik juga kita melihat fahaman pragmatisme, yang mengutamakan nilai sesuatu bagi jiwa, daripada mengetahui hakikat sesuatu. Elektrik ada, dan faedah elektrik itu telah nyata pula. Kita tak perlu mengetahui apakah hakikat elektrik, kerana akan membuang tempoh sahaja. Kalaupun dipandang perlu menyusun cara berfikir tentang adanya Tuhan, dan memang perlu pada zaman hebatnya gejala ilhad dan ateis ini, bukanlah cukup dengan Sifat Dua Puluh saja. Segala ilmu yang telah didapat oleh manusia pada zaman moden, fizik, kimia, ilmu alam dan matematik, adalah semuanya alat yang paling baik dan utuh sekali buat mententeramkan jiwa tentang adanya Tuhan. Sebab hakikat kepercayaan tentang adanya Tuhan, tetaplah tersemat dalam sanubari manusia, baik dia seorang awam biasa, atau dia seorang ahli atom pada abad kedua puluh sekalipun.”[17]

_____________________

Nota: 

[1]Bagi menjejaki sejarah permulaan ilmu Tauhid dan Akidah memerlukan ruangan yang khusus untuknya. Ruangan ini tidak memadai bagi membincangkan huraiannya.

[2]Muhammad Yusri (2005), `Ilm Al-Tauhid `Inda Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama`ah: Al-Mabadi` Wa Al-Muqaddimat, Cairo: Dar Al-Yusr, ms. 151-152.  Boleh dimuat turun dari http://waqfeya.com/book.php?bid=187 (15 Julai 2016).

[3]Ahmad bin Nu’man (t.t.), Al-Fiqh Al-Absat, Cairo: Matba`ah Al-Anwar, ms. 51.

[4]Al-Zahabi (1981), Siyar A`lam Al-Nubala’, Beirut: Muassasah Al-Risalah, jld. 10, ms. 26.

[5]Ibn Jarir Al-Tabari (1994), Jami` Al-Bayan `An Ta’wil Ayi Al-Qur’an, Beirut: Muassasat Al-Risalah, lld. 1, ms. 64.

[6] Muhammad bin Hibban Al-Busti (t.t.), Raudat Al-`Uqala Wa Nuzhat Al-Fudhala’, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, ms. 14.

[7]Sebutan Rububiyyah, Uluhiyyah dan nama-nama bagi Allah diulang-ulang di dalam serata kitab tiga jilid ini. Lihat Abdillah Muhammad bin Ishaq bin Yahya Bin Mandah (1989),Kitab Al-Tauhid Wa Makrifat Asma’ Allah `Azza Wa Jalla Wa Sifatih `Ala Al-Ittifaq Wa Al-Tafarrud, Madinah: Maktabah Al-`Ulum Wa Al-Hikam. Boleh dimuat turun dari http://waqfeya.com/book.php?bid=8817 (15 Julai 2016).

[8]Sa`id Al-Kamali (2014), Hal Taqsim Al-Shaykh Ibn Taimiyah Rahimah Allah Li Al-Tawhid Amr Muhdath, 14 Februari, di https://www.youtube.com/watch?v=2m5Je-ETXWI (15 Julai 2016).

[9]Muhammad Hasan Al-Dadao (2015), Tanbih Al-Khilaf Bayn Al-Hanabilah Wa Al-Asya`irah Fi Al-I`tiqad, 23 April, di https://www.youtube.com/watch?v=GWPcTd3JQYs (15 Julai 2016).

[10]Lihat profil Ustaz Osman bin Jantan di  http://www.pustaka.com.sg/Synopsis_files/Penulis_Kami/Osman_Bin_Jantan.html (15 Julai 2016) dan

http://ibnyahya.com/2011/osman-bin-jantan/ (15 Julai 2016).

[11]Osman Jantan (2009), Pedoman Ilmu Tauhid, Singapura: Pustaka Nasional, ms. 115.

[12]Hamka (2010), Pelajaran Agama Islam, Selangor: Pustaka Dini, ms. 81-82.

[13]Abdulfatah Haron Ibrahim (2002), Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan Kebatinan, Kuala Lumpur: Jakim.

[14]Ibid, ms. 56.

[15]Ibid, ms. 66-67.

[16]Ibid, ms. 26.

[17]Hamka (2010), ms. 82.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: