Beberapa “Tip” Tentang Wasatiyah Dalam Dakwah (Edisi No. 12/December 2016)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

————————-

dakwah-cartoonOleh Ustaz Fathurrahman Bin Haji M. Dawoed

Pendahuluan

Dakwah kepada Allah adalah tugas utama para Nabi dan Rasul yang merupakan hamba-hambaNya yang terbaik. Ia juga adalah tugas utama para pewaris Nabi di kalangan para ulama. Ia adalah tugas yang paling mulia setelah iman kepada Allah taala kerana ia menghasilkan natijah yang paling mulia iaitu petunjuk kepada kebenaran dan penghindar dari kebatilan.

Dalam  hal ini, Allah taala telah berfirman yang bermaksud, “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah kepada Allah)!” (Al-Quran Al-Karim, 41:33)

Nabi s.a.w pula bersabda yang bermaksud, “Sampaikanlah daripadaku walau hanya satu ayat.”  (Riwayat Al-Bukhari)

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah mendefinisikan dakwah dalam bukunya Thaqafah Al-Da`iyah sebagai, “Dakwah kepada agamaNya, mengikut petunjukNya, berhukum dengan manhajNya di muka bumi ini, mengajak kepada mengesakan Allah dan beribadat, memohon pertolongan daripadaNya dan mentaatiNya, menyeru kepada pembersihan diri dari taghut, membenarkan apa yang dibenarkan Allah, menentang perkara yang dilarang Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.”[1]

Manakala istilah wasat dalam penggunaan umum sering kali dikaitkan dengan istilah pelampauan yang membawa makna berlawanan . Dalam Kamus Dewan, pelampauan diertikan sebagai sesuatu perbuatan yang dilakukan secara sangat keterlaluan atau berlebih-lebihan.[2]

Tawfik Hamid, seorang mantan anggota kumpulan pelampau di Mesir, mensifatkan Islam yang sederhana (wasat) sebagai satu bentuk fahaman Islam yang bukan hanya menolak pengganasan, tapi juga fahaman kebencian, kekerasan dan hukum-hukum yang bersifat diskriminatif.[3]

Dari pengertian yang dibawakan oleh Al-Qaradhawi dapat difahami dengan jelas bahawa matlamat akhir dakwah ialah mengajak manusia mentauhidkan Allah dan mentaati segala perintah dan larangannNya.

Dari segi cara pula, Al-Quran menganjurkan seseorang yang ingin memikul tanggungjawab dakwah melaksanakannya berlandaskan ilmu yang betul dan bukan sekadar dengan semangat yang tidak dipandukan dengan ilmu dan akal yang waras.

Allah taala berfirman yang bermaksud, “Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.” (Al-Quran Al-Karim, 12:108)

Selain itu, dakwah juga perlu dilakukan dengan penuh hikmah agar matlamat yang diinginkan dapat tercapai dan tidak membuahkan natijah yang sebaliknya.

Allah taala berfirman yang bermaksud, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Al-Quran Al-Karim, 16:125)

Berhikmah dalam dakwah adalah intipati dakwah yang wasati, iaitu dakwah yang tidak bersifat ekstrem seperti yang dijelaskan dalam definisi di atas, agar ia benar-benar dapat menggambarkan keindahan Islam, dan bukan sebaliknya.

Topik ini amat luar perbahasannya. Namun bagi tujuan penerbitan di Wasat, penulis hanya ingin berkongsi empat “tip” yang perlu diberi perhatian bagi sesiapa yang berdakwah bermanhaj wasati.

1. Bersifat lemah lembut dalam penyampaian.dakwah-poster

 

Menyampaikan dakwah dengan cara lemah lembut adalah asas dalam berdakwah.

Dasarnya ialah firman Allah taala yang sama (16:125) yang berbicara tentang hikmah di atas.

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibn Katsir berkata: “Allah taala memerintahkan RasulNya, Muhammad s.a.w agar menyeru manusia kepada agama Allah dengan cara hikmah. Apabila perlu berdialog serta bertukar pandangan pula, hendaklah ianya dilakukan dengan raut wajah yang baik, lemah lembut dan dengan tutur kata yang baik.”[4] 

2. Fokus pada persamaan, raikan perbezaan dan tidak mudah saling menyalahkan.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam berdakwah ialah memfokuskan dakwah kepada perkara yang dipersetujui bersama atau membina sesuatu atas dasar yang disepakati.

Ia bukan bermakna perkara khilaf atau tidak dipersetujui tidak boleh dibincangkan atau diketengahkan. Ia bertujuannya agar kita dapat membina persefahaman yang dasar dan mendekatkan jurang perbezaan. Hal ini akan memberi persepsi awal yang positif dan boleh diterima di antara pendakwah (da`i) dan orang yang didakwah (mad`u).

Setelah terjalinnya perhubungan yang baik antara da`i dan mad`u, perkara yang bersifat khilaf boleh diutarakan dan dibincangkan. Pada tahap ini, perbincangan pada perkara khilaf dapat dilakukan dengan lebih objektif. Hujah dapat diutarakan dan dinilai dengan akal yang waras tanpa sentimen dan emosi yang boleh menghambat tercapainya matlamat dakwah.

Juga perlu diberi perhatian agar pendakwah tidak terlalu mudah menyalahkan pandangan lain yang berbeza dengan pandangannya kerana ia akan mewujudkan kecelaruan di kalangan mad`u, khususnya mereka yang tiada asas mendalam dalam ilmu-ilmu asas.

Pendakwah seharusnya meraikan perbezaan yang wujud khususnya perbezaan yang muktabar dan boleh diterima pakai. Dalam masa yang sama pendakwah perlu mengutamakan adab dalam perbezaan pendapat.

Dalam hal ini, Allah taala berfirman yang bermaksud, “Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Al-Quran Al-Karim, 5:48)

3. Bersifat terbuka dan menghindari sifat taksub dalam menerima hujah serta mengutarakan pandangan.

Salah satu ciri keistimewaan yang wujud dalam Islam ialah bersederhana dan tidak bersifat ekstrem kerana umat Islam disifatkan sebagai umat pertengahan dalam firman Allah taala yang bermaksud, “Dan demikian (pula) Kami menjadikan kamu (umat Islam) ummatan wasathan (umat yang adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan manusia) dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu…” (Al-Quran Al-Karim, 2: 143)

Adapun sifat-sifat Ummatan Wasatan ialah:

  • ya kafir-2umat yang terhindar dari sifat fanatik dan taksub terhadap mana-mana pandangan agama
  • umat yang dapat membezakan di antara yang hak dengan yang batil, yang benar dengan yang salah berpandukan hujah yang nyata, bukan perasaan dan emosi yang melulu
  • umat yang bersifat objektif serta melihat agama secara menyeluruh dan bukan hanya mengambil sebahagian hujah dan meninggalkan yang lain hanya untuk menyokong pandangan sendiri
  • bersifat terbuka mendengar hujah dan pandangan yang berbeza serta mengimbanginya dengan neraca maqasid yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Atas dasar ini, para pendakwah perlu bersifat terbuka dalam mengutarakan hujah dalam berdakwah. Untuk itu pula, perlu menghindari sifat fanatik kepada mazhab atau sesuatu pandangan sehingga menidakkan pandangan lain. Bahkan lebih teruk lagi, apabila sifat fanatik ini menatijahkan perbuatan membid`ah serta mengkafirkan orang lain tanpa hujah yang nyata dan jelas.

4. Kenal pasti bidangkuasa untuk cegah kemungkaran.

Merubah kemungkaran adalah satu aspek penting dalam dakwah yang dianjurkan oleh agama.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Walau pun isi di atas adalah jelas bahawa mencegah kemungkaran perlu dilakukan dengan tangan, lidah dan seterusnya hati, namun apakah tafsiran yang tepat bagi hadis tersebut? Apakah yang dimaksudkan dengan tangan dan siapa yang mempunyai kuasa untuk mencegah sesuatu kemungkaran dengan tangan?

Agar tidak tersilap dalam berdakwah, hadis ini perlu difahami dengan lensa yang wasati. Para ulama menafsirkan bahawa tugas mencegah kemungkaran dengan tangan dibebankan kepada mereka yang memiliki kuasa atas sesuatu perkara. Ertinya, bukan semua orang yang melihat kemungkaran harus mencegahnya dengan tangan atau kuasa mereka sendiri. Jika kita melihat kemungkaran di jalanan, maka kita tidak boleh sewenangnya memikul tanggungjawab yang tidak dibebankan atas bahu kita untuk mencegah kemungkaran tersebut. Jika berlaku maka keadaaan hanya akan menjadi huru hara disebabkan setiap individu cuba mencegah kemungkaran dengan penafsiran “mungkar” dan kadar pencegahan yang berbeza. Ini juga bermakna memberi kuasa undang-undang di tangan semua orang yang akan menatijahkan kecelaruan dalam masyarakat.[5]

Penutup

Tugas dakwah adalah tugas yang murni dan perlu dipikul dengan penuh amanah serta berhikmah. Semangat yang berkobar dalam menyampaikan dakwah tanpa didasari dengan cara yang bertepatan dan berhikmah akan hanya menatijahkan kecelaruan. Oleh itu, tidak memadai bagi sesiapa yang ingin melakukan dakwah hanya berbekalkan kesedaran bahawa ia adalah sesuatu yang wajib dilakukan. Dia perlu juga membekalkan diri dengan, paling kurang, asas ilmu agama yang ingin didakwahkan dan manhaj dakwah yang wasati sebagaimana “tip” yang dinyatakan di atas.

man-ahsana-qawlan

 

———————-

Nota:

[1]Yusuf Al-Qaradhawi (1996), Tsaqafah Al-Da`iyah, Kaherah: Maktabah Wahbah, ms. 3.

[2]Kamus Dewan, “Pelampaun”, di http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pelampauan (15 November 2016).

[3]Tawfik Hamid (2010), “Don’t Gloss Over The Violent Texts”, Wall Street Journal, 1 September. Lihat di http://www.wsj.com/articles/SB10001424052748703369704575461503431290986 (15 November 2016).

[4]Ibn Katsir (1997), Tafsir Al-Quran Al-`Azim, Saudi Arabia: Dar Tayyibah 1997, jld. 4, ms. 613.

[5]Pergas (2016), “Wasatiyah Dalam Mengubah Kemungkaran”, Wasat, no. 9, June. Lihat di

https://wasatonline.wordpress.com/2016/06/01/wasatiyah-dalam-isu-mengubah-kemungkaran-dengan-tangan-edisi-no-9june-2016/ (15 November 2016).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: