Tasawwur Islam: Wasatiyah dalam Menanggapi Barat (Edisi No. 12/December 2016)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

islam-west-divide

 

Oleh Ustaz Mustazah Bahari

Pendahuluan

 Tasawwur Islam yang bermaksud gambaran tentang Islam atau dikenali juga dengan Pandangan Alam Islam (diterjemahkan dari istilah Islamic Worldview) adalah satu subjek yang agak baru diperkenalkan dalam disiplin pengajian Islam.

Ia tidak pernah dikenali sebagai subjek ilmu di zaman Nabi s.a.w, para sahabat dan salafussoleh. Ia disusun bagi tujuan menjelaskan pengertian tentang Islam secara menyeluruh; dari aspek hubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan alam, interaksi manusia sesama mereka, mengamalkan ibadah yang dipertanggungjawabkan dan sebagainya yang berkaitan dengan Islam. Oleh kerana Islam adalah seperti yang dikatakan sebagai ‘a way of life’, maka ia mencakupi segala aspek kehidupan manusia.

Topik Tasawwur Islam amat luas. Maka perbincangan mengenainya perlu diperincikan kepada isu-isu tertentu agar lebih fokus dan terarah kepada rumusan yang ingin dicapai.

Artikel ini hanya akan membahaskan isu yang berkaitan dengan Islam yang dirasakan amat penting untuk ditangani di waktu ini, iaitu isu silang peradaban antara Islam dan Barat.clash-of-civilizations

Namun apa jua aspek yang hendak dibahaskan, prinsip adil atau wasati perlu diterapkan.

Perbincangan Tasawwur Islam terhadap hubungan Islam dan Barat juga tidak terlepas dari keperluan ini. Apabila setiap individu Muslim atau bukan Muslim berbicara tentang Islam, perlu ada sikap yang adil dalam perbicaraannya. Ia perlu dibahaskan sesuai dengan konteks semasa kerana Islam adalah agama yang perlu diamalkan sesuai dengan apa jua masa dan tempat di mana Muslim berada.

Islam & Barat

Secara dasarnya jika dilihat dari sudut sejarah awal, manusia bergerak dan berhubungan secara bebas antara benua dengan tiada halangan dan batasan. Setelah itu, batasan dibuat untuk memelihara kedaulatan negara dan keselamatan politik negara masing-masing. Namun, dari sudut perhubungan antara manusia untuk saling mengambil manfaat antara mereka, ia kekal bebas tidak terhalang.

Seringkali timbul isu pertembungan antara Islam dan Barat dikaitkan dengan penulisan Samuel P. Huntington yang berjudul ‘The Clash of Civilization and the Remaking of World Order’. Antara pandangan diketengahkan oleh beliau ialah Islam merupakan suatu budaya yang boleh mengancam dunia Barat dan ia perlu disekat.

Dr. Adian Husaini berkata, “Di antara berbagai tawaran alternatif hubungan Islam-Barat, tema ‘clash of civilisations’ kemudian menjadi yang paling popular dan menjadi kenyataan dalam kebijakan politik internasional.”[1]

Terdapat ramai ahli akademik yang bersuara untuk menolak dan mengkritik Huntington. Dunia Islam juga tidak terlepas dari mengkritik pandangan beliau. Dalam suasana debat yang berlaku antara dua pihak, Barat dan Islam, timbul juga dari kalangan Muslim yang mengambil sikap tegar hingga mengumumkan pula pendapat bahawa Barat memang memusuhi Islam dan Islam juga perlu melihat Barat sebagai musuhnya.

Di sinilah pentingnya melihat dan menghuraikan sesuatu isu mengikut kadarnya, bukan secara menghukum sama rata kerana cara ia tidak memberi solusi bagi masalah yang dihadapi.

Antara tokoh-tokoh Islam yang bersifat kritis terhadap Barat ialah Abu Hasan Ali Al-Nadwi dan Naquib Al-Attas.

Di dalam bukunya Al-Sira’ Bayn Al-Fikrah Al-Islamiyyah Wa Al-Fikrah Al-Gharbiyah, Al-Nadwi menyentuh tentang beberapa aspek pengaruh Barat yang antaranya ialah pengaruh Barat dalam aspek pendidikan yang meluas dalam negara Islam. Menurut beliau, umat Islam perlu membebaskan dari sistem pendidikan sekular atau mengambil sistem pendidikan Barat secara total. Menurutnya lagi, sistem pendidikan Barat merupakan suatu usaha mendalam untuk melenyap dan membasmi unsur-unsur keislaman. Beliau merujuk kepada kata-kata H.A.R Gibb dalam buku Whither Islam yang menyebutkan bahawa berjaya atau tidak modernisasi dan pembaratan di dunia Islam diukur pada meluasnya pengaruh pendidikan Barat di kalangan orang-orang Timur.[2]

Manakala Al-Attas pula berpendapat bahawa segala kekacauan yang timbul hari ini bermula dari krisis keilmuan yang datang dari Barat.[3]

crusadersIslam berprejudis terhadap Barat?

 Dalam menghurai isu pengaruh Barat, perlu diambil kira dari sudut hubungan politik dan individu. Ada kemungkinan secara individu di dalam masyarakat majmuk tidak merasa janggal untuk hidup dengan harmoni sesama mereka.

Berbeza pula dari sudut lensa media yang memaparkan kegiatan politik yang kelihatan seperti menghalang perlaksanaan hak-hak keagamaan. Sebagai contoh di Amerika, seringkali dipaparkan di media tentang penindasan yang berlaku ke atas golongan minoriti dan Islam dan pengabaian hak-hak mereka. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila berlaku serangan 9/11 di New York. Media menggambarkan keadaan huru hara yang berlaku disebabkan oleh kejahatan orang Islam. Sedangkan hubungan yang sedia akrab dan baik antara masyarakat majmuk di Amerika tidak sama seperti yang dipaparkan.

Hal ini disebutkan oleh Profesor Dr. Akbar Ahmed dari American University yang melaporkan bahawa perkembangan amalan dan kebebasan Islam semakin meningkat di Eropah dan Amerika. Sebagai contoh masjid-masjid semakin banyak dibina dan tiada masalah bagi umat Islam di sana untuk mengamalkan agama, walau pun tidak dinafikan terdapat cabaran dari sudut sosial dan politik. Beliau berpandangan bahawa zaman sekarang bukan lagi sesuai disebut sebagai zaman Islam vs West tetapi yang lebih tepat ialah Islam in the West.[4]

Pandangan beliau ini juga sama seperti yang diutarakan oleh Prof. Tariq Ramadan di dalam bukunya Western Muslims and Future of Islam.[5]

Imam Feisal pula mengatakan bahawa salah satu tanggapan yang masih wujud di dalam dunia Islam ialah tanggapan bahawa umat Islam di Amerika hidup dalam keadaan yang begitu sukar dan tidak dapat mengamalkan Islam secara bebas. Ini merupakan tanggapan yang salah dan perlu diperbetulkan. Yang benar, menurut beliau, ialah umat Islam masih terus dapat mengamalkan Islam; solat, puasa dan sebagainya.[6]

Sikap wasati terhadap Barat

Islam bersifat terbuka kepada setiap kebaikan yang boleh dimanfaatkan bersama. Perkara ini jelas disebutkan dalam Al-Quran, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah litaarafumenciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Apabila manusia berkenalan dan berinteraksi sesama mereka, akan terbit dari itu berbagai perkongsian yang lain seperti budaya dan adat-adat lama yang diterima baik.

Artikel ini bukan bermaksud untuk mempertahankan atau memuji Barat secara mutlak, tetapi hanya ingin mengajak kepada sifat adil dalam menerima kebaikan dan menolak kejahatan.

Barat menjadi tumpuan kerana penglibatan mereka secara agresif di dalam gerakan penjajahan. Akibat dari peristiwa itu, ia memberi kesan pada perasaan dan pemikiran manusia yang pernah dijajah, lantas terbentuklah satu ideologi yang membenarkan bahawa dunia Barat sememangnya membawa virus kepada dunia Islam khususnya sehingga menggugat akidah atau kepercayaan umat Islam kepada agama Islam itu sendiri.

Bagaimana pula pada masa hadapan jika ada arus perubahan baru yang dicetuskan oleh kuasa besar selain negara barat? Bukankah tumpuan akan beralih pula kepada kuasa besar yang baru itu? Jika sikap menyalahkan pihak lain semata-mata kerana kelemahan diri sendiri, tiada kemajuan akan berlaku. Keadaan yang sama akan berulang hingga berkurun lamanya kerana pemikiran masih dibelenggu dengan tanggapan yang menyeleweng.

Perbezaan dalam menjelaskan Tasawwur Islam bersebabkan juga berbagai-bagai faktor. Dalam menjelaskan kesan kepada pemikiran seorang manusia, Syeikh Muhammad Abu Zahrah meletakkan 4 faktor utama;

  1. faktor semulajadi kurniaan Tuhan, seperti kekuatan analisis, hafalan, kemampuan berfikir secara rasional, kefasihan dan seumpamanya.
  2. faktor guru-guru yang banyak mempengaruhi keilmuannya.
  3. faktor interaksi seseorang dengan kelompok dan majlis tertentu.
  4. faktor tren pemikiran yang berkembang pada masa kehidupan orang tersebut.[7]

Realiti hari ini

Dari sudut hubungan sosial dan atas dasar kemanusiaan, negara Barat seperti Jerman di antara negara Eropah yang membuka luas pintunya kepada pelarian Syria. Bahkan, semenjak dahulu lagi setelah berlakunya peperangan dunia ke dua, sejarah menyaksikan bagaimana pelarian-pelarian dari negara-negara Islam melakukan penghijrahan ke negara-negara barat seperti Perancis, Amerika, Australia dan sebagainya. Jika Barat memang kritis terhadap Islam dan masyarakatnya, sudah pasti mereka tidak akan membenarkan pelarian-pelarian itu memasuki negara mereka.

Hubungan antara masyarakat setempat dan pelarian-pelarian juga menjadi bertambah baik sehingga akhirnya mereka menjadi sebahagian dari rakyat negara-negara tersebut. Jika ada pun suara-suara pihak yang tidak senang dengan kehadiran mereka, ia bukanlah suara majoriti.

Sifat tidak senang dengan kehadiran pendatang luar bukan sahaja berlaku di Barat. Ia berlaku di merata dunia. Di negara-negara Arab juga berlaku double standard sesama mereka dan juga antara mereka dengan masyarakat bukan Arab.[8] Selain itu, di India[9], Pakistan[10] dan Afghanistan[11] misalnya masih lagi terdapat amalan menindas golongan yang berlainan kasta, dan majoriti mereka adalah Muslim.

Mantan Mufti Mesir, Syeikh Muhammad Abduh ketika melawat Eropah berkata, “Aku nampak Islam di Barat tetapi tidak nampak orang Islam, dan apabila aku pulang ke Timur, aku nampak ramai orang Islam tetapi tiada Islam.”[12]

tuntut-ilmu-ke-cinaInilah hakikat yang perlu diterima, walau pun pahit. Kemunduran akhlak, ketamadunan, kelemahan sistem pentadbiran dan lain-lain membelenggu umat Islam dan negara-negara Islam.

Mengambil ilmu dari Barat

Dari sudut keilmuan pula, Barat juga memainkan peranan di dalam menyebarkan kebaikan Islam. Sebagai contoh, Karen Amstrong, seorang yang begitu aktif menulis tentang kajian perbandingan agama telah banyak menulis dan memberi komentar untuk mempertahankan Islam.[13] Antara buku-buku beliau yang bercakap tentang Islam dan mempertahankanya ialah seperti, Islam: A Short History, Muhammad: A Prophet of Our Time dan Fields of Blood: Religion and the History of Violence.

Walaupun Al-Nadwi menekankan aspek bahaya pengaruh Barat ke atas Islam, dia juga menyebut beberapa individu yang berkhidmat untuk Islam sedangkan mereka adalah orang Barat dan bukan Muslim. Antara mereka yang menghasilkan penyelidikan yang baik yang wajar diberi penghargaan ialah Prof. T.W. Arnold, pengarang buku Preaching of Islam, Stanley Lane yang mengarang buku Saladin (Salahuddin al-Ayubi) dan Moors in Spains, Dr. Aloys Spenger Edward William Lane, A.W.J- Wensinck, yang telah menyusun Mu`jam Al-Hadith. Semua pengarang-pengarang ini menunjukkan keikhlasan mereka dalam membahaskan sesuatu isu tanpa dipengaruhi oleh faktor politik, ekonomi dan agama.[14]

Selanjutnya, dalam isu hubungan antara Islam dan Barat, Syeikh Muhammad Al-Amin Al-Syinqiti di dalam tafsirnya berkata, “Ketahuilah bahawa sejarah telah membuktikan dengan jelasnya mengenai pendirian orang Islam terhadap ketamadunan Barat. Dengan keterangan yang amat jelas itu, ia telah dapat membezakan antara yang bermanfaat dan mudarat, baik dan buruk, hak dan batil. Setelah dilakukan perincian yang mendalam, ia menunjukkan bahawa ketamadunan Barat mempunyai kebaikan dan kemudaratan. Kebaikan yang boleh dimanfaatkan dari mereka ialah kebaikan material (perkara-perkara berkaitan kemajuan duniawi), manakala keburukan yang ada pula ialah sudut tarbiah kerohanian dan akhlak mereka…”[15]

Malah di beberapa universiti Barat juga terdapat fakulti pengajian Islam atau pusat kajian Islam seperti di Oxford dan Durham di UK, Havard dan Georgetown di USA, Mcgill di Canada dan banyak lagi di tempat lain. Ahli fakulti di universiti-universiti tersebut, sebahagiannya juga merupakan orang Islam sendiri.

Jika Barat secara umumnya bersepakat dalam membenci Islam, sudah tentu tiada hubungan antarabangsa antara mereka dan peperangan besar akan terus berlaku.world-without-islam

Kesimpulan

Al-Quran menyebut bahawa bukan semua Ahli Kitab itu sama, “Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh. Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.” (Ali Imran: 113-5)

Syeikh Saleh Al-Maghamisi[16] ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa menghukum secara umum di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam adalah sesuatu yang tiada asal atau dasar dalam Islam.[17]

Sejajar dengan nukilan Syeikh Saleh di atas, sikap mengumumkan sesuatu perkara sebagai baik atau tidak merupakan satu sikap yang tidak wasati. Mana mungkin tanggapan yang diberi terhadap seseorang atau sesuatu kaum tertentu diterima sebulat suara sedangkan pada hakikatnya tanggapan tersebut hanya tertumpu kepada beberapa individu, atau berlaku pada waktu tertentu sahaja.

Memang tidak dinafikan telah berlaku penjajahan yang meluas oleh pihak Barat, tetapi itu tidak boleh dijadikan asas bagi memberi satu hukum yang sama pada Barat sepanjang zaman. Hari ini, terdapat juga orang-orang Barat yang memainkan peranan penting dalam memelihara nama baik Islam dan mempertahankan hak orang Islam. Tokoh seperti Hamzah Yusuf, misalnya, berjaya membangunkan kolej Islam dengan nama Zaytuna College di Amerika.undivided-past

Profesor Jonathan Brown dari Georgetown University pula berperanan dalam diskusi hadis yang memberi penekanan kepada kajian klasikal untuk dijadikan panduan bagi isu kontemporari. Dua tokoh ini pada asalnya adalah bukan Muslim yang membesar dengan sistem politik dan pendidikan Barat sekuler. Namun setelah memeluk Islam, pengamalan dan orientasi pembahasan ilmu Islam mereka begitu ketara terhadap orientasi tradisional Islam.

Apa yang dikhuatiri dari fenomena anti Barat ini ialah timbulnya kesan tanggapan negatif secara total dari setiap lapisan masyarakat khususnya orang awam yang mudah terpengaruh dengan pandangan yang diberi oleh para ilmuan.

Walaupun tidak dinafikan kritikan-kritikan yang dilontarkan oleh golongan ilmuan anti-Barat mempunyai landasannya, tetapi gambaran yang seimbang juga perlu ditonjolkan bersama, seperti yang dilakukan oleh Al-Nadwi.

Kejahatan atau kebaikan bukan diukur dengan ramai pelakunya tetapi ia berbalik kepada perbuatan itu sendiri. Siapa yang melakukan kebaikan, walau sebaliknya dia mempunyai latar belakang yang zalim, maka kebaikan itu wajar diambil kira.

Ibn Abbas berkata, “Sekiranya Firaun mengucapkan kepadaku, ‘Semoga Allah berkati kamu’, nescaya aku akan membalas, ‘untuk kamu juga’, tetapi Firaun sudah mati.”[18]

 

—————–

Nota:

[1]Seorang pemikir Islam kontemporari yang sering membahaskan isu peradaban Barat. Lihat biografi beliau di http://wisnualfarisy28.blogspot.sg/2012/03/biografi-adian-husaini.html. Nukilan dari nota beliau berjudul Penjajahan Pemikiran Luar.

[2]Mohd. Rumaizuddin Ghazali (2013), Pemikiran Abu Hassan Ali al-Nadwi: Satu Tinjauan Ringkas, 16 November, di http://www.mindamadani.my/jejak-ulama/item/84-pemikiran-abu-hassan-ali-al-nadwi-satu-tinjauan-ringkas.html (27 Oktober 2016).

[3]Khalif Muammar A. Haris (2012), “Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan”, Jurnal Hadhari, 4:1, ms 23-48. Lihat di di https://www.academia.edu/5461492/Antara_Tradisi_dan_Modeniti (27 Oktober 2016).

[4]Akbar S. Ahmed (1993), “Muslims in the West”, muslimcanada.org, di http://muslimcanada.org/livingislam3.html (17 Oktober 2016)

[5]Tariq Ramadan (2004), Western Muslims and the Future of Islam. New York: Oxford University Press, ms. .3-4.

[6]“Feisal Abdul Rauf Quotes”, barinyquote.com, di http://www.brainyquote.com/quotes/authors/f/feisal_abdul_rauf.html (7 November 2016).

[7]M. Abu Zahrah (1948), Al-Syafi`i: Hayatuh Wa `Asruh, Ara’uh Wa Fiqhuh, Kaherah: Dar Al-Fikr Al-Arabi, ms. 32-33.

[8]Peter Dahl (2015), Arabs shame rich Gulf States over refugee crisis, 2 September, di  http://www.dw.com/en/arabs-shame-rich-gulf-states-over-refugee-crisis/a-18690717 (11 Oktober 2016).

[9]Al Jazeera (2015), Dalit Muslims of India, 4 September, di  http://www.aljazeera.com/programmes/aljazeeraworld/2015/09/dalit-muslims-india-150902080746653.html  (11 Oktober 2016).

[10]Rabia Mehmood (2012), Pakistan’s caste system: The untouchable’s struggle, Tribune, 31 Mac, di http://tribune.com.pk/story/357765/pakistans-caste-system-the-untouchables-struggle/ (11 Oktober 2016).

[11]Nicole Lioukras (n. d.), Put An End To This Social Injustice, di http://afghanistancastesystem.weebly.com/call-to-action.html (10 Oktober 2016).

[12]Hasan Al-Attar (2015), “Islam bila Muslimin wa Muslimun bila Islam”, elaph.com, 4 Januari, di http://elaph.com/Web/opinion/2015/1/971112.html (3 Oktober 2016)

[13]Lisette Thooft (2015), “Karen Armstrong: “There is nothing in the Islam that is more violent than Christianity”, WIJ, 18 January, di http://www.nieuwwij.nl/english/karen-armstrong-nothing-islam-violent-christianity/  (3 Oktober 2016).

[14]Mohd. Rumaizuddin Ghazali (2013), “Pemikiran Abu Hassan Ali al-Nadwi: Satu Tinjauan Ringkas”, mindamadani.my, 16 November, di http://www.mindamadani.my/jejak-ulama/item/84-pemikiran-abu-hassan-ali-al-nadwi-satu-tinjauan-ringkas.html (27 Oktober 2016).

[15]Muhammad Al-Amin Al-Syinqiti (1426H), Adhwa’ Al-Bayan Fi Idhah Al-Quran bi Al-Quran, Makkah: Dar `Alam Al-Fawa’id, jld.4, ms. 477.

[16]Salah seorang tokoh tafsir kontemporari yang berasal dari Saudi Arabia.

[17]Lihat tafsir ayat oleh Saleh Al-Maghamisi (2012) di https://www.youtube.com/watch?v=wgQAOML6rJc (13 Oktober 2016).

[18]Al-Tabarani, Al-Mu`jam Al-Kabir. Lihat di http://library.islamweb.net/hadith/display_hbook.php?bk_no=477&pid=285437&hid=10469  (27 Oktober 2016).

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: