Wasatiyah Dalam Berbincang dan Berdebat (Wasat, edisi no. 13/Februari 2017)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

oleh Ustaz Izal Mustafa Kamar

debate-1Pendahuluan

Seringkali kita menyaksikan isu-isu hangat diketengahkan sebahagian individu serta diperdebatkan melalui pelbagai wadah antaranya melalui media sosial.

Ada yang memiliki niat yang ikhlas ingin mencari huraian bagi sesuatu isu agama yang dianggapnya penting. Namun, terdapat juga sebahagian individu yang hanya berminat untuk mengapi-api sentimen masyarakat dengan menggembar–gembur isu-isu agama yang diperselisihkan para ulama.

Sesuatu isu “dikitar semula” saban tahun mengikuti musimnya. Sebagai contoh, isu-isu berkaitan menyambut maulid Nabi s.a.w. apabila tiba musimnya dan menyedekahkan al-fatihah kepada Nabi s.a.w, mula diungkit-ungkit kembali. Isu-isu berkaitan menyambut malam Nisfu Shaaban, perbezaan pendapat ulama berkaitan solat terawih, samada 8 atau 20 rakaat hangat diperkatakan dan dibahaskan di media sosial pada Ramadan yang lalu dan sebagainya.

Persoalannya adalah, apakah respon yang terbaik bagi seorang Muslim ketika berhadapan dengan persoalan-persoalan tersebut? Adakah yang terbaik bagi dirinya untuk menjawab dan memberi pendapatnya? Sehingga kadangkala boleh menyumbang, secara sedar atau pun tidak, kepada kecelaruan dan perbalahan yang berpanjangan, atau seharusnya beliau mendiamkan diri?

Adab dalam berbahas

Imam Al-Ghazali menukil dalam kitabnya Ihya’ `Ulum Al-Din sebuah hadis Nabi s.a.w. yang seakan-akan mencela dan melarang perbahasan dan perdebatan, “Barangsiapa meninggalkan perdebatan sedangkan dia berada di pihak yang salah, maka Allah akan membangunkan baginya rumah di syurga. Dan barangsiapa meninggalkan perdebatan sedang dia berada di pihak yang benar, maka dibangun Allah baginya sebuah rumah dalam syurga yang paling tinggi.” (Riwayat Abu Dawud dan Al-Tirmizi).

Makna zahir hadis ini  seakan-akan tidak menggalakkan seseorang untuk berbahas dan berdebat. Sejajar dengan saranan Nabi s.a.w. dalam sebuah hadis lain yang mana ada kalanya berdiam itu lebih baik daripada berbicara, “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, maka hendaklah dia berkata baik ataupun dia senyap.” (Riwayat Al-Bukhari).

Pada waktu yang sama terdapat pula beberapa dalil yang lain yang mendorong Muslim untuk berbahas dan berdialog, serta tidak mendiamkan diri tatkala berhadapan dengan kebatilan, seperti firman Allah taala, “Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik.” (Al-`Ankabut, 46)

Maka apakah garis panduan yang sepatutnya bagi isu ini?

Berbahas ilmiah tidaklah dilarang agama. Namun, Islam menegaskan kepentingan untuk setiap pihak mengenal pasti tujuan utama tatkala berbahas. Tujuannya bukanlah untuk menentukan siapa yang menang ataupun kalah, tetapi tujuannya adalah mencari kebenaran, serta membimbing insan ke jalan Tuhan. Inilah kemuncak adab berbahas yang menjadi pegangan para ulama.

Imam Al-Shafi`ii diriwayatkan berkata, “Tidak pernah aku berbahas ilmu dengan seseorang, melainkan aku tidak menghiraukan, sama ada kebenaran itu timbul pada lisan aku ataupun pada lisannya.”debate-quotes-2

Apabila objektif utama ini tidak dihiraukan, perbahasan ilmiah tidak akan membawa hasil yang bermanfaat bagi mana-mana pihak.

Ia lebih berbentuk perdebatan yang mana yang dicari setiap pihak bukanlah kebenaran, tetapi kemenangan atas lawan, bermegah-megah akan kebolehannya, ujub dan takbur dan sebagainya. Ia juga boleh membawa kepada perletingkahan dan permusuhan, serta sindir-menyindir antara antara pihak-pihak yang terlibat.

Maka perbincangan yang disangkanya ilmiah pada awalnya, lebih menyerupai suatu pertandingan bola ataupun perlawanan tinju, dengan sorakan (dan kadangkala teriakan) daripada kedua-dua pihak yang menjadi penyokong.

Tatkala hilang adab dan etika dalam berbahas

Imam Al-Ghazali menegaskan di dalam kitabnya Al-Ihya’ akan bahaya perdebatan yang tidak berpaksi pada adab dan akhlak mulia, serta tidak menjadikan keredaan Allah taala dan mencari kebenaran sebagai tujuan utama ketika berbahas. Ia bukan sahaja memudaratkan ukhuwah antara sesama Muslim, bahkan menurut Imam Al-Ghazali, ia merupakan punca seseorang mendapat kemurkaan Allah taala.

Menurutnya seharusnya bagi setiap pihak yang ingin berbahas dan berdialog perlu memerhatikan sepuluh sifat yang dikeji yang kemungkinan besar akan lahir dalam diri mereka. Jadikan ciri-ciri tersebut sebagai kayu ukur buat diri kita. Sekiranya kita mendapati ianya di dalam diri tatkala sedang seronok berbahas ilmiah, ketahuilah ia merupakan satu petanda untuk seseorang menjauhi perdebatan, sehingga hati dapat diikhlaskan kepada Allah taala.

Pendekatan yang disarankan Imam Al-Ghazali serupa seperti pendekatan sahabat Nabi s.a.w., Huzaifah bin Al-Yaman r.a., yang sering bertanya kepada Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari tentang perkara-perkara yang buruk, supaya beliau dapat menjauhinya. Dengan mengenalpasti keburukan dan kerosakan yang mungkin akan timbul dalam diri seseorang, diharapkan dia mampu memelihara dirinya daripada sifat-sifat keji itu.

Sepuluh sifat mazmumah seperti yang dijelaskan Al-Ghazali seperti berikut:

  1. Dengi (Hasad)
  2. Takbur dan meninggi diri
  3. Dendam
  4. Mengumpat
  5. Memandang tinggi terhadap diri sendiri
  6. Mengintip keadaan orang lain
  7. Gembira dengan kesusahan orang lain
  8. Nifaq (berpura-pura)
  9. Menolak kebenaran
  10. Riyak

Menurut Imam Al-Ghazali, seseorang yang ingin berdebat dan berbahas, seharusnya memerhatikan sifat-sifat yang disebutkan, samada ia ada pada dirinya. Sekiranya beliau mendapatinya dalam diri, itu merupakan satu petanda bahawa sebaiknya beliau meninggalkan perdebatan tersebut. Perbahasan itu pula tidak akan mencapai matlamat yang diingini, iaitu mencari kebenaran.

Akhlak mulia punca kejayaan Muslim

Tidak dapat dinafikan, bahawa kesemua ciri-ciri yang dijelaskan Imam Al-Ghazali merupakan sifat-sifat keji dilarang agama.

Mungkin ada yang berpendapat, apa yang dikemukakan oleh Imam Al-Ghazali merupakan perkara yang kurang kepentingannya, memandangkan ia berkaitan dengan aspek kesucian hati yang tidak terzahir kesannya secara langsung dengan mata kasar.

hadis-innama-buithtuKerana menurutnya yang paling penting adalah kesan zahir dan natijah yang terhasil di sebalik suatu perbahasan ataupun perdebatan, serta berapa ramai individu yang berjaya dipengaruhinya dengan kekuatan hujah pembahas; samada ketika berbahas dalam satu majlis, ataupun tatkala saling berbalas hujah di media sosial.

Dari itu ada yang kurang memerhatikan kesan dan keburukan yang bakal timbul pada dirinya, kerana bertanggapan, asalkan niatnya baik untuk memberi kesan dan membawa perubahan kepada individu lain dengan melaksanakan ‘amr ma`ruf nahi mungkar, kesan-kesan penyakit hati tersebut tidak perlu dirisaukan.

Ia merupakan suatu pendekatan yang salah menurut Imam Al-Ghazali. Bahkan Imam Al-Ghazali, di tempat lain dari kitab Al-Ihya’, menegaskan kepentingan memerhatikan “cara” dan “aplikasi” yang betul dalam pergerakan dan muamalahnya.  Sekiranya cara seseorang itu salah, walaupun beliau berjaya mencapai objektif dan natijah yang benar tanpa disengajakan, ia tetap merupakan satu kesalahan.

Dalam erti kata lain, Islam bukan sahaja memerhatikan aspek zahir sahaja, tetapi ia juga menitikberatkan aspek dalaman (maknawiyah) iaitu, kesucian hati seseorang.

Akhlak merupakan maqasid ma`nawiyah (tujuan-tujuan kerohanian)

Islam amat menitikberatkan maqasid pemeliharaan kerohanian dan kesucian hati seseorang. Ia mungkin kurang diperhatikan sebahagian individu, walaupun ia sebahagian yang penting dari agama ini.

Perhatikan sahaja soalan-soalan yang sering berlegar di minda individu yang ingin menunaikan ibadah seperti solat, sebagai contoh. Yang sering diperhatikannya adalah persoalan tentang sah ataupun tidak solatnya, tentang rukun solat, berkaitan wuduk, kesucian badan dan pakaian; dan persoalan-persoalan lain yang mencerminkan kerisauan individu untuk memastikan bahawa beliau mencapai objektif zahiriyah utama di sebalik ibadah solat yang ditunainya, iaitu kesahihan ibadah solat tersebut.

Bagaimana pula tentang kesan dalaman (ma`nawiyah) di sebalik solat? Adakah solatnya mampu meninggalkan kesan yang diinginkan syarak? Kesan terhadap dirinya, terhadap pergerakannya, akhlaknya dan sebagainya.

Pemerhatian beberapa teks-teks agama, membuktikan bahawa syarak amat mementingkan aspek kerohanian, ataupun seperti yang diistilahkan Sheikh Al-Raysuni sebagai maqasid ma`nawiyah dalam pensyariatan hukum-hakam.

Sebagai contoh, Allah taala berfirman ketika mensyariatkan ibadah berpuasa, “…agar kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah, 183). Berkaitan dengan ibadah solat pula, Allah taala berfirman, “Dan dirikan solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Al-`Ankabut, 45). Bahkan amal ibadah yang mana majoriti ibadah tersebut terdiri daripada pergerakan fizikal, seperti haji dengan melaksanakan tawaf, sa’i, wuquf, Allah taala menegaskan kepentingan aspek ma`nawiyah dalam firmanNya, “…agar mereka menyaksikan kemanfataan buat diri mereka.” (Al-Haj, 28).

Menurut ulama tafsir, seperti Imam Ibn Kathir, kemanfataan yang dimaksudkan Allah taala disebalik ibadah haji itu adalah kemanfaatan Akhirat, dengan memperoleh keredaaan Allah; dan juga tidak dapat dinafikan kemanfataan duniawi yang terhasil daripada ibadah haji, melalui keuntungan perniagaan dan pengagihan daging sembelihan di musim itu.

Begitulah ketetapan syarak dalam kebanyakan amal ibadah zahiriyah. Dalamnya terdapat objektif ma`nawiyah – aspek kerohanian dan kesucian hati – yang ingin dicapai syarak. Ia perlu diberikan penumpuan yang sepatutnya kerana ia mampu memberi kesan sama ada baik ataupun buruk pada kesudahannya.

Memberi kesan melalui kesucian hatipromote-love

Saranan Imam Al-Ghazali, pada hemat saya, menjadi lebih penting sekiranya dilihat pada perspektif mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar. Kerana sering kali, kesucian hati (atau pun boleh diistilahkan sebagai kekuatan kerohanian seseorang) mampu memberi kesan yang berkekalan kepada para pendengar.

Ibn `Ata’illah Al-Sakandari pernah berkata dalam kumpulan kata-kata hikmahnya, “sejauh mana cahaya itu sampai, [sejauh itu] perkataan akan difahami.”

Bagaimana hati yang dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah tersebut mampu memberi kesan yang positif dan yang berkekalan kepada pendengar? Bahkan ditakuti sekiranya mereka yang mendengar pembahasan tersebut ataupun membaca penulisannya, bakal mewarisi akhlak mazmumah daripada “guru”nya.

Hujah-hujah dalam perdebatan dihafalnya, bukan bertujuan untuk mencari kebenaran, tetapi bertujuan supaya dirinya dapat menjadi jaguh debat, mencontohi gaya “ustaz”nya.

Yang duduk menyorak gembira dan bertepuk tangan diakhirnya adalah syaitan tatkala menyaksikan dua Muslim saling bertikam lidah berkaitan suatu masalah khilafiyah yang berumur ratusan tahun lamanya.

Kesesuaian media sosial untuk berbahas ilmiah

Seperkara lagi yang perlu diperhatikan semula ialah samada wadah media sosial itu sesuai untuk dijadikan perantara untuk berbahas ilmu.

Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan yang penting serta kritikal bagi menyebar maklumat dan juga pandangan agama zaman ini. Ia mengandungi manfaat dan kebaikan, tapi di waktu yang sama, ia juga ada keburukan sekiranya ia disalahguna. Wadah tersebut mungkin sesuai untuk berkongsi maklumat agama yang ringkas serta mudah difahami segenap lapisan masyarakat, tapi bukan bermakna sesuai menjadi wadah bagi seseorang untuk menuntut ilmu agama, apatah lagi sebagai wadah untuk berbahas ilmu.

Seringkali perdebatan “ilmiah” oleh dua tokoh ilmu, lebih-lebih lagi sekiranya isu yang dibahaskan adalah isu yang berbentuk masalah khilafiyah dan polemik, menjadi sumbang apabila dilihat oleh masyarakat awam kerana menyelesaikan perbezaan pendapat bukannya dengan membawa masyarakat awam yang tiada ilmu pengetahuan dan dasar yang kukuh dalam perbincangan.

Huraian yang sepatutnya dicapai melalui dialog dan perbincangan dua pihak yang berdasarkan ilmu pengetahuan, dengan niat mencari kebenaran dan mencapai keredaan illahi semata-mata, bukan andaian dan tekaan yang sering kali berlaku disebabkan keterbatasan dalam komunikasi melalui media sosial.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: