Wasatiyah Dalam Iman Pada Akhirat dan Persiapan Menghadapinya (Wasat, edisi no. 13/Februari 2017)

 

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

afterlife-all-faiths

oleh Ustaz Mustazah Bahari dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan

Pendahuluan

Setiap manusia yang berakal tahu dan percaya bahawa kematian itu pasti. Yang membezakan antara mereka ialah kepercayaan tentang kehidupan setelah kematian.

Berbeza dengan golongan yang beragama, golongan ateis, pada umumnya, tidak mempercayai kewujudan Akhirat. Bagi mereka, mati adalah noktah terakhir bagi setiap kehidupan di dunia.[1] Akhirat, bagi mereka, hanyalah momokan ke atas manusia untuk tujuan menakut-nakutkan semata-mata kerana kewujudan dan hakikatnya adalah sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan empirikal.

Bagi Muslim yang beriman pula, perkara Akhirat telah lama disampaikan oleh para utusan Allah sepanjang sejarah. Ia bukan perkara baru yang ditimbulkan oleh Nabi Muhammad s.a.w tetapi telah sesuatu yang disampaikan berkurun lama sebelum beliau.

Di antara golongan yang beriman tersebut, terdapat pula golongan-golongan yang berbeza pandangan mengenai cara menghadapi Akhirat. Ada yang terlalu asyik dan takut dengan alam Akhirat, ada yang menghadapinya secara sambil lewa dan ada pula yang berimbang antara kedua keadaan tadi.

Dalam apa jua isu, Islam menegaskan kepentingan wasatiyah (sederhana dan seimbang). Justeru penting untuk seorang Muslim tahu dan faham tentang sikap sedemikian untuk menghadapi Akhirat kerana kesilapan dalam hal ini mempunyai kesan yang besar terhadap individu Muslim yang hidup di dunia ini. Ia juga boleh menjejaskan nama baik Islam itu sendiri.

Artikel ini membicarakan sikap wasatiyah yang dikontraskan dengan beberapa bentuk pelampauan dalam kehidupan Muslim berkaitan iman pada Akhirat.

Kedudukan iman pada Akhirat dan pengaruhnyaunderstanding-death

Iman pada Akhirat adalah tunggak ajaran Islam. Hal ini dapat difahami melalui hakikat-hakikat berikut:

  • Ia dijadikan salah satu dari rukun iman dalam Islam.
  • Ia adalah sesuatu yang sentiasa disebut dan diulang-ulang dalam Al-Quran dari mula hingga akhir.
  • Ia adalah intipati ajaran semua anbiya’ yang diutus oleh Allah taala kepada manusia.
  • Ia adalah sesuatu yang disepakati oleh semua ulama Islam, tanpa kira aliran mazhab mereka.
  • Ia adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai sebahagian dari qat`iyyat/muhkamat (kebenaran mutlak) dalam Islam.

Bahkan, iman pada Akhirat merupakan kepercayaan majoriti manusia yang beragama sejak berkurun lamanya.

Sebahagian dari dalil-dalil syarak yang secara jelas menyebut tentang Akhirat, kewajipan beriman padanya dan kecelaan serta azab bagi yang menginkarinya ialah ayat-ayat Al-Quran, 2:62, 2:177, 11:25-6, 12:37, 23:15-6, 50:1-3, 70:26, 75:3-4 dan 101:1-11.

Antara hadis yang menjadi dalil tentang iman pada Akhirat ialah hadis terkenal mengenai kedatangan Jibril menemui Nabi s.a.w di hadapan para sahabatnya menanyakan tentang erti iman, Islam dan ihsan. Apabila ditanya tentang iman, Nabi s.a.w menjawab, “Iman adalah, engkau beriman kepada Allah; malaikatNya; kitab-kitabNya; para RasulNya; hari Akhir, dan beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w ada memberitahu bila Kiamat akan berlaku sebagai permulaan bagi kehidupan di Akhirat, “Hari Kiamat tidaklah terjadi kecuali pada hari Jumaat.” (Riwayat Muslim)

Rasululllah s.a.w juga ada memberitahu mengenai dekatnya masa ketibaan Kiamat dan Akhirat, “Aku diutus dan kiamat seperti dua (jari) ini. Anas berkata: Beliau melekatkan jari telunjuk dan jari tengah.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, menafikan kebenaran wujudnya alam Akhirat bagi Muslim adalah satu salah faham yang besar kerana bukti-bukti mengenainya terlalu banyak hingga tidak terkira dan jelas.

Walaupun secara empirikalnya Akhirat tidak dapat dibuktikan kerana ia termasuk dalam perkara ghaib dan pengetahuan khusus Allah taala sahaja, namun kajian empirikal dapat membuktikan bahawa Al-Quran yang banyak menceritakan tentang Akhirat adalah wahyu Tuhan, bukan tulisan manusia.[2] Oleh itu, kebenaran Al-Quran sebagai wahyu boleh dijadikan sebagai bukti proksi akan kebenaran Akhirat. Dengan ini, iman pada Akhirat bukan hanya setakat satu keyakinan yang diimani semata-mata tetapi ia adalah satu yang keyakinan yang rasional.

Kepentingan iman pada Akhirat dalam Islam bukan hanya kerana kedudukan dan nilainya yang lebih tinggi dan kekal berbanding kehidupan di dunia, tapi juga kerana ia mempunyai pengaruh yang kuat terhadap bagaimana seseorang itu menjalani kehidupan dan mengamalkan agama di dunia ini. Bahkan kekuatan pengaruh Akhirat dalam mencorak dan mengawal tingkah laku manusia adalah salah satu sebab iman padanya dijadikan tunggak ajaran dan akidah Islam.

religions-n-afterlifeSeringkali harapan dan keyakinan pada ganjaran besar di Akhirat mendorong untuk mengamalkan ajaran agama, walau pun jika amalan itu berat dan bahkan tidak wajib pula seperti melakukan solat Terawih 20 rakaat setiap malam di bulan Ramadan. Juga keyakinan dan takut pada hukuman di neraka menjadi pendinding dari melakukan maksiat, walau pun perbuatan berkenaan berpotensi memberi kenikmatan yang besar di dunia seperti menerima rasuah jutaan dolar. Selain itu, kesedaran tentang adanya perhitungan segala amal dan tingkah laku semasa di dunia di hadapan Allah taala kelak menjadi pertahanan dalaman yang ampuh dari mengikuti bisikan-bisikan syaitan, walau pun ketika bersendirian atau melibatkan sesuatu yang tidak kelihatan oleh mata manusia seperti riyak. Ramai yang sanggup bersedekah jutaan dolar, bahkan mengorbankan nyawanya di jalan Allah, kerana iman pada Akhirat.

Namun tidak semua pengaruh Akhirat dalam diri manusia wujud dalam bentuk yang positif dan benar di sisi agama. Ada kalangan manusia yang mengamalkan agama secara melampau atau tidak seimbang disebabkan pemahaman yang salah mengenai. Dengan ini, Akhirat mempengaruhi kehidupannya di dunia secara negatif, bukan positif sebagaimana yang sepatutnya.

Terdapat banyak elemen dalam iman pada Akhirat yang mempengaruhi manusia. Disebabkan keterbatasan ruang, artikel ini hanya akan membicara manifestasi pelampauan dari dua elemen penting sahaja, iaitu a) elemen syurga dan neraka, dan b) elemen nilai Akhirat berbanding kehidupan dunia.

Syurga dan neraka dan pengaruhnya

Salah satu elemen Akhirat yang penting ialah syurga dan neraka sebagai balasan baik bagi golongan yang soleh dan hukuman ke atas golongan yang jahat. Dalil-dalil syarak mengenai kededuanya amat banyak sekali untuk dinafikan. Terkait dengan syurga dan neraka ialah perasaan gembira/optimis/harapan dan sedih/pesimis/takut.

Elemen dan perasaan yang terkait yang dinyatakan di atas amat mempengaruhi manusia dalam mencorak kehidupan manusia di dunia ini sebagai persiapan menghadapi Akhirat.

Manifestasi pelampauan yang boleh ditemui dalam masyarakat berkaitan elemen ini ialah sikap terlalu memberi fokus pada aspek siksaan neraka. Ia menjadikan takut pada neraka sebagai pendorong yang dominan untuk melakukan ibadah dan meninggalkan maksiat sehingga seolah-olah Islam ini adalah agama hukuman dan Allah pula adalah Tuhan penyiksa.

Ada pula yang terlalu memfokuskan aspek syurga hingga tiada sensitiviti terhadap ancaman dan hukuman Tuhan kelak. Ini menatijahkan pula sikap ambil ringan perbuatan dan pelaku maksiat atas alasan Tuhan Maha Pengasih dan Pengampun.

Nilai Akhirat berbanding dunia dan pengaruhnya

Nilai Akhirat berbanding dunia merujuk pada persepsi seseorang terhadap kedudukan Akhirat berbanding dunia dan bagaimana hirarki kedudukan ini mempengaruhi gaya hidupnya di dunia ini dan persiapan untuk Akhirat.

Segolongan manusia yang memberi nilai tinggi pada Akhirat berbanding dunia condong untuk mencela dan mengabaikan penglibatan dalam selain dari ibadah dan urusan kerohanian, iaitu aspek muamalah dan kebendaan dalam kehidupan dunia kerana tanggapan apa jua selain ibadah dan aktiviti kerohanian jatuh dalam urusan mencari dunia yang rendah dan hina di mata Tuhan, bakal mengotori kerohaniannya hingga merendahkan kedudukannya di sisi  Tuhan dan menyibukkan diri dari apa yang lebih utama pada tempoh kehidupan yang singkat ini.

Sikap ini bukan satu fenomena kontemporari. Sebaliknya ia telah wujud sejak di zaman Nabi s.a.w lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh hadis tentang tiga orang sahabat Nabi s.a.w yang ditegur kerana ingin beribadah hingga tidak mahu tidur, hidup seperti biarawan tidak mahu kahwin dan berpuasa berterusan tanpa berbuka.[3]

Segolongan yang lain pula bersikap sebaliknya. Ada yang berpada-pada sahaja dalam urusan ibadah dan kerohanian atas alasan bermuamalah dan aspek-aspek kebendaan juga tuntutan agama dan adalah ladang bagi Akhirat. Ada pula yang tidak ambil peduli langsung soal Akhirat dalam tingkah laku kehidupannya kerana mengutamakan urusan muamalah dan kebendaan, walau pun mereka mengakui beriman pada Akhirat.

Perkara ini juga bukan baru. Kewujudan ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan keutamaan Akhirat dan ketinggian nilainya berbanding dunia dan kemewahannya dan ancaman kepada mereka yang terlalu menyibukkan diri dengan urusan dunia hingga mengabaikan tanggungjawab agama yang lain adalah teguran kepada golongan ini yang sebahagiannya adalah Muslim.[4] Di dalam tradisi ilmu Islam juga ada kisah seorang hamba Allah yang miskin di zaman Nabi s.a.w. Kerana kesulitan hidupnya, dia meminta agar Nabi s.a.w mendoakan kekayaan bagi dirinya. Nabi s.a.w lalu memberinya seekor kambing untuk dipelihara. Setelah tempoh tertentu, kambing itu membiak begitu banyak hingga menyibukkan hamba Allah ini hingga dia tidak lagi sering mendatangi masjid untuk solat berjemaah seperti sebelumnya. Keadaannya yang semakin mewah pula menyebabkan dia keberatan untuk membayar zakat apabila diminta oleh Nabi s.a.w. Akhirnya, dia dicela oleh Nabi s.a.w. dan zakatnya dilarang dari diterima. Walau pun kisah ini bukan bersandar hadis yang sahih, tapi ia wujud dalam karya para ulama silam yang memberi petunjuk bahawa fenomena yang dinyatakan di atas ada dan dibicarakan oleh para ulama sejak dahulu.[5]

Perspektif wasatiyahiman-bil-akhirat

Yang diperlukan adalah keseimbangan (wasatiyah) kerana apa jua tindakan yang tidak berteraskan wasatiyah akan menimbulkan sifat pelampauan yang bukan hanya membabitkan soal muamalah keduniaan, tapi juga amalan peribadatan seperti yang dinyatakan di atas.

Al-Quran sendiri mengambil pendekatan yang seimbang dalam memberi panduan mengendalikan urusan dunia dan Akhirat. Sheikh Abdul Razzak Nawfal dalam kitabnya yang berjudul Al-I`jaz Al-`Adadiy Li Al-Quran Al-Karim berkata terdapat sebanyak 115 ayat yang membicarakan tentang Akhirat dalam pelbagai bentuk dan cara, seperti memberi harapan dan ancaman, memberitahu kebaikan dan keburukan yang ada padanya, menggambar nikmat dan azab dan menceritakan kisah kegembiraan dan kesedihan dengan tujuan membina iman dan amal yang seimbang dalam diri Muslim.[6]

Hal ini diperkuatkan lagi oleh perintah menjauhi pelampauan dalam beribadat dan bermuamalah oleh Nabi s.a.w dalam sabdanya, “Telah binasa golongan yang melampau.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w bersabda, “Janganlah kamu memberat-beratkan dirimu sendiri, sehingga Allah Azza wa Jalla akan memberatkan dirimu. Sesungguhnya suatu kaum telah memberatkan diri mereka, lalu Allah Azza wa Jalla memberatkan mereka. Sisa-sisa mereka masih dapat kamu saksikan dalam biara-biara dan rumah-rumah peribadatan, mereka mengada-adakan rahbaniyyah (ketuhanan/kerahiban) padahal Kami tidak mewajibkannya atas mereka.” (Riwayat Abu Daud).

Maka berpandukan ini juga, para ulama meletakkan prinsip mudah bagi memahami wasatiyah dalam Islam, iaitu la ifrat wa la tafrit, yang bermaksud tidak bersifat melampau dalam bentuk berlebih-lebihan (hingga membebankan, ifrat) dan meringan-ringankan (hingga mencuaikan, tafrit),  bagi memandu segala bentuk fahaman dan amalan agama.

Persoalannya ialah bagaimana ini boleh dicapai dalam konteks persiapan menghadapi Akhirat. Tiga panduan yang bukan bersifat menyeluruh (exhaustive) dicadangkan bagi rabbana-atinaorang awam membimbing diri sendiri dan asatizah membimbing masyarakat.

  1. Kenal pasti dan akui kesan buruk sikap dan amalan tanpa wasatiyah

Salah satu cara mudah untuk berwasatiyah dalam iman pada Akhirat dan persiapan menghadapinya ialah dengan mengetahui kesan buruk dari pelampauan, samada dalam bentuk berlebihan-lebihan atau meringan-ringankan dalam beramal.

Islam adalah agama yang rasional dalam kebanyakan hal. Mengenalpasti kesan buruk sesuatu perkara, termasuk dalam perkara ibadah dan iman, adalah diakui dalam tradisi ilmu Islam. Apa yang dikenalpasti akan menatijahkan keburukan yang lebih dari kebaikan perlu dibaiki atau dijauhi. Sikap bahawa soal Akhirat adalah soal prinsip agama, tanpa mengambil kira amalannya yang menatijahkan keburukan adalah salah. Oleh itu, mengambil kira keburukan sifat keduniaan menjadi lebih utama lagi. Mendedahkan keburukan sikap yang berkaitan juga membantu meyakinkan Muslim akan sebab ia adalah satu kesalahan dan perlu ditolak.

Dalam tradisi agama, terlalu cintakan dunia akan membawa pada kehanyutan dengan nikmatnya hingga lupa kepada tanggungjawab melaksanakan ibadah kepada Allah taala dan pada takut mati. Kededua cinta dunia dan takut mati dicela oleh agama dan nas-nas syarak yang ada bertujuan untuk memberi peringatan kepada golongan ini dan tentang sikap kejar dunia hingga menggadai Akhirat, bukan bertujuan untuk mencela dunia pada zatnya atau menolak aktiviti keduniaan dan kebendaan semata-mata.[7] Hal ini dapat disokong oleh pelbagai kajian sosial sains dan realiti semasa mengenai mereka yang terlalu kemaruk (obsession) dengan urusan dunia. Salah satu hasil kajian yang menarik dalam hal ini ialah dapatan bahawa golongan yang beragama, umumnya, lebih bahagia dari yang tidak beragama dan antara salah satu sebabnya ialah kerana kepercayaan pada Akhirat memberi pelbagai mekanisme bagi manusia menghadapi cabaran hidup (coping mechanism).[8]

Alternatif bagi sikap melampau ini, tidak semestinya dalam bentuk tinggalkan urusan dunia kerana Akhirat, tapi carilah dunia sebanyak mana pun tanpa abaikan nasib di Akhirat kelak, iaitu dengan menjaga niat, akhlaq dan aturan hukum yang ditetapkan oleh Allah taala.

Hakikat bahawa Al-Quran mengandungi kisah-kisah beberapa insan yang mulia di sisi Allah taala sedangkan mereka adalah kaya raya dan berkuasa, bukan mereka yang hidupnya kelihatan miskin atau biasa-biasa, menyokong perkara di atas. Daud dan anaknya Sulaiman adalah Nabi pilihan Allah taala dan mereka adalah raja yang kaya, kuat dan amat berkuasa.[9] Kekayaan Sulaiman begitu hebat hingga menguasai jin, binatang dan angin.[10] Ada juga kisah Zul Qarnain, seorang raja yang kaya dan berkuasa dari Barat hingga Timur dunia, tapi tidak lupa pada Tuhan dan berakhlak baik dengan menegakkan keadilan dan membantu golongan yang memerlukan.[11] Pastinya kesemua figur-figur ini disebut bukan sebagai satu kisah sejarah, tapi juga sebagai contoh tauladan hingga akhir zaman. Yang dicontohi dari mereka pula bukan hanya sudut keimanan dan kerohanian sahaja, tapi keupayaan mereka untuk mengimbangi antara tuntutan Akhirat dan peranan keduniaan.

Sememangnya kisah kezuhudan Nabi Muhammad s.a.w. dan gaya hidupnya yang amat sederhana adalah sesuatu yang dimaklumi. Namun, ia bukan hujah mutlak bagi semua wabtaghiMuslim hidup sedemikian kerana Nabi s.a.w sendiri dikelilingi oleh para sahabat yang gaya hidupnya berbeza dari beliau kerana kekayaan yang dimiliki seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Bahkan isteri beliau Khadijah juga terkenal dengan kekayaannya. Nabi s.a.w tidak melarang mereka meneruskan kehidupan sedemikian atau suruh mereka semua hidup seperti dirinya. Bahkan sejarah menunjukkan golongan ini memainkan peranan yang penting dalam perjuangan Nabi s.a.w melalui kekayaan mereka.

Golongan yang terlalu asyik dengan ibadah pula sehingga melepaskan dirinya dari urusan dunia perlu tahu bahawa sikap mereka bukan tidak terlepas dari keburukan, baik pada dirinya atau Islam. Dengan kelakuan sebegini, imej Islam boleh tercemar kerana dianggap oleh masyarakat dunia bahawa Islam agama yang mundur dan sempit. Sedangkan Al-Quran menyeru manusia mempersiapkan bekalan untuk hari Akhirat tanpa lupa bahagian dunia yang perlu diusahakan dan dinikmati[12] yang kemudiannya dicontohkan pula melalui kisah Nabi Daud, Sulaiman dan Zul Qarnain. Kisah-kisah ini memberitahu bahawa Al-Quran mahu, paling kurang, ada segolongan dari Muslim yang berusaha di dunia ini mengumpul kekayaan dan kuasa seperti mereka, asal sahaja tidak menggadai kepentingan Akhirat. Sekaligus, ia juga memberitahu bahawa kemuncak pencapaian dunia seperti Nabi Daud, Sulaiman dan Zul Qarnain boleh dicapai tanpa pengabaian pada Akhirat, asal sahaja seseorang itu tahu caranya, iaitu ikut panduan Allah taala.

Dari hadis pula boleh didapati kisah Hanzalah dan Salman Al-Farisi sebagai tauladan mengenai wasatiyah antara dunia dan Akhirat.

Secara ringkas mengenai kisah Hanzalah, beliau menganggap dirinya telah menjadi munafik kerana dia akan merasa gerun sehingga menangis apabila duduk bersama Nabi s.a.w sambil mendengar nasihat-nasihat dan peringatan yang diberi. Namun, perasaannya berbeza apabila pulang ke rumah bersama isteri dan anak-anak di rumah. Dia bergurau dan bergembira sambil ketawa riang bersama mereka, seolah lupa akan Akhirat yang diperingatkan. Beliau pun mengadu kepada Nabi s.a.w akan sikapnya di rumah yang dianggapnya sebagai munafik. Mendengar pengaduan itu, Nabi s.a.w pun memberi nasihat, “Wahai Hanzalah, demi yang jiwaku di tangan-Nya andai kamu tetap seperti kamu di sisiku dan terus berzikir nescaya, para malaikat akan berjabat tangan kamu, sedang kamu berada di atas tempat tidur dan di jalan raya, tapi, wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu).” (Riwayat Muslim).

Hadis mengenai Salman pula ialah kisah beliau menegur sikap sahabatnya Abu Dar’da yang terlalu asyik dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap diri, keluarga dan hal ehwal kepentingan dunianya. Salman menasihatkan beliau agar memberi hak yang sepatutnya bagi Tuhan, diri dan keluarganya. Apabila khabar itu sampai Nabi s.a.w, baginda bersabda, “Benar kata-kata Salman.” (Riwayat Al-Bukhari).

  1. Hayati al-khawf dan al-raja’ dan berseimbang dengan kededuanya

rahmatu-rabbika-khairWasatiyah dalam iman pada Akhirat dan persoalan menghadapinya juga boleh dicapai melalui nilai al-khawf (takut) dan al-raja’ (harapan) yang diajarkan oleh para ulama sejak dahulu lagi.

Nas-nas syarak menunjukkan bahawa setiap manusia perlu ada perasaan takut kepada azab dan hukuman Allah dan, pada masa yang sama juga, sentiasa mengharap rahmat dan pengampunanNya. Kededuanya perlu diamalkan secara seimbang. Jika tidak, ia akan membawa kepada pelampauan yang dicela oleh Islam.

Antara nas-nas dari Al-Quran yang membicarakan kededua nilai ini ialah 5:98, 17:57, 18:110 dan 21:90 dan dari hadis pula ialah;

  • Dari Anas bin Malik r.a, beliau berkata, “Nabi s.a.w telah menziarahi seorang pemuda yang berada di ambang kematian. Baginda bertanya kepadanya, “Bagaimana keadaan kamu sekarang ini?” Pemuda itu menjawab, “Demi Allah wahai Rasullah, aku amat mengharap kepada Allah dan aku takut akan dosa-dosaku.” Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah bersatu dua perasaan ini dalam diri seorang hamba ketika menghadapi saat seperti ini melainkan Allah akan mengurniakan kepadanya apa yang diharapkan dan mengamankannya dari apa yang ditakuti.” (Riwayat Al-Bukhari)
  • Nabi s.a.w bersabda, “Allah taala telah berfirman, “Demi kemuliaan-Ku, Aku tidak menyatukan bagi hambaKu dua ketakutan secara serentak dengan dua keamanan secara serentak juga. Jika dia berasa aman di dunia, Aku akan takutkannya pada hari Kiamat. Jika dia takut kepadaKu di dunia, Aku akan berikannya keamanan pada hari Kiamat.” (Riwayat Ibn Hibban)

Berdasarkan dalil-dalil ini, lahirlah satu ungkapan yang masyhur di kalangan para ulama yang bermaksud, “Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah dengan cinta sahaja, dia adalah seorang zindiq.[13] Sesiapa yang mengabdikan diri dengan rasa takut sahaja, dia adalah seorang haruri,[14] Sesiapa yang mengabdikan diri dengan harapan sahaja, dia adalah seorang murji’ah.[15] Sesiapa yang mengabdikan diri kepada-Nya dengan cinta, takut dan harapan, dia adalah seorang mukmin yang muwahhid.”[16]

Penghayatan pada nilai al-khawf dan al-raja’ dengan seimbang mempunyai akar yang kuat dalam tradisi para ulama yang wajar diambil berat dan dihayati oleh orang ramai juga. Beberapa nukilan di bawah boleh dijadikan rujukan dan pedoman dalam hal ini:

  • Imam Al-Ghazali berkata, “Ketahuilah bahawa rasa takut itu adalah terpuji. [Namun] mungkin ada yang menyangka bahawa semakin takut seseorang kepada Allah, dia menjadi semakin baik. Itu silap. Perasaan takut adalah ‘rotan’ Allah yang mengajak manusia untuk terus belajar dan beramal agar mereka mendapat darjat yang paling dekat dengan Allah…. kelemahan dan pelampauan dalam mengendalikan perasaan takut ini, yang mana sebaik-baiknya adalah sikap pertengahan…..membawa kepada sifat putus asa dan kecewa..”[17]
  • Ali bin Abi Talib berkata kepada sebahagian dari anak-anaknya, “Wahai anakku, takutlah kepada Allah dengan ketakutan yang mana jika kamu menghadapNya dengan kebaikan seluruh ahli bumi, Dia tidak menerimanya dari kamu, dan berharaplah kepada Allah seperti keadaan kamu menghadapNya dengan dosa-dosa seluruh ahli bumi, Dia mengampunkan kamu.”[18]
  • Fudhail bin ‘Iyadh berkata, “Jika kamu ditanya, adakah kamu takut kepada Allah, maka diamlah (jangan jawab), kerana jika kamu kata tidak, kamu boleh menjadi kafir, jika kamu kata ya pula, nescaya kamu berdusta.”[19]
  • Hasan Al-Basri berkata, “Sekiranya seorang mukmin itu tidak melakukan dosa, nescaya dia mampu untuk terbang ke alam malaikat. Namun, Allah padankannya dengan kelakuan dosa.”[20]
  1. Elakkan lensa pilih-satu-sahaja (either or) dalam melihat Akhirat dan dunia dalam wacana dan amalan.ascetic

Islam tidak anjurkan sikap buang dunia kerana Akhirat. Sikap yang betul yang dianjurkan oleh Islam ialah merangkul kededuanya sekali disamping penegasan bahawa Akhirat lebih tinggi nilai dan lebih utama dari dunia.

Soal merangkul kededuanya jelas dalam doa yang danjurkan oleh Al-Quran, “Wahai Tuhan kamu, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.” (Al-Quran Al-Karim, 2:201) dan ayat lain yang berbunyi, “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” (Al-Quran Al-Karim, 28:88). Ia juga disokong oleh figur Nabi Daud dan Sulaiman a.s serta Zul Qarnain dan para sahabat Nabi s.a.w.

Soal keutamaan Akhirat dari dunia ada disebut dalam banyak ayat-ayat Al-Quran, 3:185, 6:32, 9:38, 16:30, 18:45-6, 20:131, 29:64 dan 93:4. Ayat kedua di atas juga boleh dijadikan salah satu dalilnya.

Apa yang menarik ialah, walau pun Al-Quran mempunyai sikap mengutamakan Akhirat yang jelas, tetapi doa yang diajarkannya pula dimulakan dengan permohonan kebaikan di dunia dahulu. Ini pastinya bukan sesuatu yang rawak. Tidak mungkin pula ia difahami sebagai anjuran utamakan dunia dari Akhirat kerana akan menyalahi ayat-ayat yang lain. Walau pun maksud sebenarnya hanya diketahui oleh Allah taala, tapi boleh diandaikan dengan munasabah ia merupakan peringatan agar tidak abaikan dunia, walau ketika beribadah (doa). Sesekali mendahulukan dunia dari Akhirat pula boleh dimaksudkan sebagai peringatan untuk seimbang – kebaikan dunia diperlukan dahulu sebelum dan bagi mencapai kebaikan Akhirat. Sebagai contoh untuk membanyakkan zakat dan sedekah bagi meraih pahala di Akhirat, seseorang  itu perlu berharta yang banyak dan ini memerlukan pula usaha keras dalam bidang muamalah dan kebendaan. Rumusan ini pula selari dengan pesan ayat kedua di atas, iaitu “janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi”.

Akhir sekali, Al-Quran menjadikan manusia khalifah Allah di muka bumi ini yang peranannya ialah untuk memakmurkan bumi ini, di samping menanti waktu kembali ke Akhirat kelak. Tidak mungkin konsep memakmurkan bumi ini dimaksudkan dengan kehidupan yang miskin dan bersifat kerahiban semata-mata kerana bumi tidak dapat dimajukan dengan cara yang sedemikian.

Penutup

Kesimpulan dari apa yang dinyatakan di atas ialah Islam bukan agama untuk urusan ibadah khusus semata-mata sebagai persiapan bagi Akhirat. Lebih awal dari itu ia adalah agama yang menggalakkan kepentingan melakukan muamalah di dunia dan mengakui ia juga jalan bagi persiapan untuk Akhirat. Ia bertujuan membentuk peribadi manusia yang terbaik dalam urusan hidupnya di dunia dan seterusnya peribadi yang terbaik itu akan membawanya kepada kejayaan di Akhirat nanti.

Islam bukan agama yang menumpukan pada Akhirat semata-mata, bukan agama yang anjurkan mengutamakan Akhirat hingga mengabaikan dunia dan bukan juga agama yang anjurkan muamalah keduniaan hingga leka akan Akhirat yang pasti.

Islam bukan agama yang menganjurkan kezuhudan dalam bentuk cara hidup golongan miskin kepada semua manusia. Zuhud sedemikian ada dalam tradisi Islam dan diamalkan oleh tokoh-tokoh dalam Islam tapi ia wujud sebagai satu pilihan dalam memanifestasikan zuhud dan kecintaan pada Akhirat. Hal ini kerana tradisi Islam juga kaya dengan tokoh-tokokh Islam yang memilih manifestasi zuhud dalam bentuk yang kontras dengan golongan miskin. Antara mereka ini ialah Nabi Daud dan Sulaiman, Zul Qarnain dan para sahabat seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Awf.

Zuhud dan cinta dan utamakan Akhirat dalam Islam adalah nilai dalam diri, bukan tingkah laku dalam bentuk kemiskinan. Seorang yang kaya boleh zuhud dan cinta Akhirat, sebagaimana juga orang yang miskin boleh sombong dan tamak.

qulub-la-tashtahi-illa-ridhakaBagi mendapatkan gambaran jelas dan berimbang mengenai tanggungjawab terhadap urusan dunia dan Akhirat, masyarakat perlu membaca Al-Quran dan hadis secara menyeluruh. Seterusnya perkongsian kisah sejarah para tokoh Islam silam perlu diimbangi dengan adil agar tidak tersalah gambaran bahawa mereka semua memberatkan urusan Akhirat sehingga meninggalkan kepentingan dunia.

Atas dasar ini juga, para pendakwah, khususnya para asatizah, perlu menyampaikan mesej yang berimbang kerana terlalu banyak menyampaikan bahan-bahan yang menakutkan tentang alam Akhirat, boleh menatijahkan sikap tidak produktif dalam urusan dunia. Dari sudut psikologi pula, ia boleh mengakibatkan timbul rasa takut yang melampau sehingga putus harapan kepada rahmat Allah untuk menuju ke alam Akhirat, menjauhkan orang pada Islam dan boleh juga mengakibatkan was-was dalam diri.

Perlu juga difahami kejayaan kita di Akhirat kelak bukan ditentukan oleh amalan di dunia semata-mata, tapi  yang lebih penting ialah oleh rahmat Allah taala sebagaimana sabda Nabi s.a.w, “Tidak ada amalan seorangpun yang mampu memasukkannya ke dalam syurga, dan menyelamatkannya dari neraka. Begitu juga aku, kecuali dengan rahmat dari Allah.” (Riwayat Muslim)

Untuk memperoleh rahmatNya, seorang hamba perlu menurut segala perintah dan menjauhi dari laranganNya. Namun, ia bukan mesti dicapai dengan berpakaian tertentu dan tidak semestinya juga orang yang zahirnya suka pada hal keduniaan jauh dari rahmatNya kerana suka pada dunia bukan sesuatu yang dilarang agama (lihat Al-Quran Al-Karim, 3:14) dan berusaha gigih dalam urusan dunia dan mengumpulkan harta juga adalah anjuran agama (Al-Quran Al-Karim, 28:88). Imam Abu Hanifah dan Malik diriwayatkan suka berpakaian indah dan mewah apabila keluar dari rumah.[21]

Pastinya Allah s.w.t bersifat Maha Adil dan tidak memungkiri janjiNya. Bagi yang mentaati perintahNya, menuruti ketetapanNya dan berlaku baik, samada sebagai seorang yang kaya atau miskin, sudah pasti akan diberi ganjaran yang dijanjikan.

Demikianlah juga sebaliknya. Allah taala merahmati semua hambaNya yang taat, bukan hanya yang miskin sahaja, jika ingkar, maka janganlah dia menyalahkan dan Allah taala mengganjari semua amalan keduniaan yang sesuai dengan kehendakNya dan dilakukan ikhlas keranaNya sebagaimana dia mengganjari solat, puasa dan zikir ahli ibadat di masjid-masjidNya.

——————–

Nota:

[1]The Atlantic (2010), What Do Atheists Think Of Death?, 16 May, di http://www.theatlantic.com/daily-dish/archive/2010/05/what-do-atheists-think-of-death/187003/ (12 Disember 2016).

[2]Lihat Muhammad Mustafa Al-A`zami (2011), The History of the Qur’anic Text: From Revelation to Compilation a Comparative Study with the Old and New Testaments, Malaysia: Islamic Book Trust.

[3]Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

[4]Lihat Al-Quran Al-Karim 18:28, 32-46, 57:20  dan 64:14-5.

[5]Lihat kitab-kitab tafsir berkaitan ayat Al-Quran Al-Karim, 9:75-7.

[6]Lihat `Abd Al-Razzaq Nawfal (1987), Al-I`jaz Al-‘Adadiy Li Al-Quran Al-Karim, Beirut: Dar Al-Kitab Al-`Arabiy. Lihat di: http://ia601408.us.archive.org/17/items/waq56820/56820.pdf (19 Disember 2016).

[7]Lihat hadis, Nabi s.a.w bersabda, “Hampir saja para umat mengerumuni kalian dari berbagai penjuru, sebagaimana mereka berkumpul menghadapi makanan dalam piring”. Kemudian seseorang bertanya,”Katakanlah wahai Rasulullah, apakah kami pada saat itu sedikit?” Rasulullah berkata,”Bahkan kalian pada saat itu banyak. Akan tetapi kalian bagai sampah yang dibawa oleh air hujan. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian ’Wahn’. Kemudian seseorang bertanya,”Apa itu ’wahn’?” Rasulullah berkata,”Cinta dunia dan takut mati.” (Riwayat Abu Daud). Lihat Al-Quran Al-Karim, 87:17 dan 93:4 sebagai contoh.

[8]Lihat Peter C. Hill and Kenneth I. Pargament (2003), “Advances in the conceptualization and measurement of religion and spirituality: Implications for physical and mental health research”, American Physcologist, vol. 58 (1), pp. 64-74, January; Andrew E. Clark and Orsolya Lelkes (2009), Let us pray: religious interactions in life satisfaction, PSE Working Papers no. 2009-01. Lihat di https://halshs.archives-ouvertes.fr/halshs-00566120/document (19 Disember 2016).

[9]Lihat Al-Quran Al-Karim, 21:79, 27:15-6 dan 34:10-1.

[10]Lihat Al-Quran Al-Karim, 27:15-44 dan 34:12-4.

[11]Lihat Al-Quran Al-Karim, 18:83-98.

[12]Lihat Al-Quran Al-Karim, 28:77.

[13]Orang yang tiada pegangan agama.

[14]Salah satu kumpulan Khawarij.

[15]Golongan yang berpendapat amal kebaikan atau maksiat tidak memberi kesan kepada iman kerana segalanya telah ditetapkan/ditakdirkan oleh Allah.

[16]Orang yang mengesakan Allah.

[17]Al-Ghazaliy (2005), Ihya’ `Ulum Al-Din, Beirut: Dar Ibn Hazm, ms. 1505.

[18]Ibid. ms. 1513.

[19]Ibid. ms. 1505.

[20]Ibid. ms. 1499.

[21]Hisham `Abd Al-Mun`im (2014), “Al-Imam Malik.. Imam Dar Al-Hijrah”, islamstory.com, 7 April, di  http://islamstory.com/ar/%D8%A7%D9%84%D8%A7%D9%85%D8%A7%D9%85-%D9%85%D8%A7%D9%84%D9%83-%D8%A8%D9%86-%D8%A7%D9%86%D8%B3 (19 Disember 2016).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: