Fiqh Ma’al Dalam Pendekatan Dakwah (Wasat, No. 14/April 2017)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

Oleh Ustaz Mohammad Rizhan bin Leman

Pendahuluan

Berdakwah ke jalan Allah merupakan tugas sekalian para rasul. Tugas ini turut dipikul oleh para sahabat, tabi’in, dan generasi umat Islam setelah itu sehinggalah ke hari ini.

457080277-quote-Dennis-Potter-everything-we-do-has-consequences-208294_1Allah taala menyifatkan umat ini sebagai khairulummah kerana menjalankan tugas menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka dari kemungkaran. Bahkan Allah mengkhususkan dakwah sebagai salah satu sifat orang-orang mukmin sebagaimana disebut dalam firmanNya, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan…” (Al-Tawbah: 71)

Imam Al-Qurtubi berkata:

“Allah taala menjadikan mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran sebagai pembeza antara golongan mukmin dan golongan munafik. Ini menunjukkan bahawa sifat yang paling khusus bagi golongan mukmin ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran…”[1]

Dalam usaha mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, seorang pendakwah hendaklah melengkapkan dirinya dengan perkara-perkara berikut:

Pertama ialah berdakwah berdasarkan ilmu dan bukan kejahilan. Hal ini adalah penting agar beliau tidak mengajak kepada sesuatu yang disangkanya wajib tetapi pada hakikatnya perkara tersebut bukanlah wajib. Barangkali juga beliau mencegah manusia dari melakukan sesuatu yang disangkanya haram tetapi pada hakikatnya perkara tersebut tidak sampai kepada peringkat haram.[2]

Kedua ialah mengetahui keadaan golongan yang ingin didakwahnya. Ini adalah penting agar beliau dapat mempersiapkan dirinya bagi menghadapi mereka.[3]

Ketiga ialah mengetahui pendekatan yang sesuai untuk berdakwah.[4] Beliau hendaklah memikirkan natijah atau kesan yang bakal terhasil sekiranya sesuatu pendekatan itu digunakan. Adakah kesan tersebut sesuatu yang positif atau negatif?

Yang terakhir inilah yang lebih dikenali sebagai Fiqh Ma’al.

Apakah yang dimaksudkan dengan Fiqh Ma’al? Adakah ia disebutkan di dalam Al-Quran? Pernahkah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat memanfaakan Fiqh Ma’al dalam menjalankan aktiviti dakwah mereka? Bagaimanakah Fiqh Ma’al ini dapat diaplikasikan dalam pendekatan dakwah pada hari ini?

Inilah soalan-soalan yang akan dikupaskan di dalam artikel ini.wisdom-consists-of-the-anticipation-of-consequences-quote-1

Pengertian Fiqh Ma’al

Dari sudut bahasa, perkataan Al-Ma’al membawa erti tempat kembali dan kesudahan.[5]

Adapun dari sudut istilah, Al-Ma’al membawa erti, “kesudahan dan natijah sesuatu perbuatan, sama ada baik atau buruk dan sama ada diniatkan oleh orang yang melakukan perbuatan atau tidak.”[6]

Dalam artikel ini, yang dimaksudkan dengan Fiqh Ma’al adalah memikirkan kesan atau natijah yang bakal terhasil di sebalik sesuatu pendekatan dakwah.

 Fiqh Ma’al dalam Al-Quran

Memikirkan kesan atau natijah dari sesuatu pendekatan dakwah bukanlah sesuatu yang diada-adakan oleh para ulama zaman ini. Terdapat banyak contoh bahawa Al-Quran memberi perhatian pada Fiqh Ma’al dalam pendekatan dakwah.

Contoh yang dapat ditunjukkan ialah firman Allah taala yang memerintahkan Nabi s.a.w untuk menggunakan pendekatan lembut dalam berdakwah.

“Maka dengan sebab rahmat dari Allah, kamu telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.” (Ali Imran: 159)

Di dalam ayat ini, Allah taala mengajar Nabi s.a.w. agar menggunakan pendekatan lembut terhadap para pengikutnya dan bukan pendekatan kasar kerana pendekatan kasar tidak mendatangkan apa-apa kebaikan melainkan menyebabkan para pengikutnya menjauhkan diri mereka daripadanya. Ini merupakan contoh yang jelas bagaimana Al-Quran memberikan perhatian kepada kesan atau natijah di sebalik sesuatu pendekatan dakwah.

Fiqh Ma’al dalam pendekatan dakwah Rasulullah s.a.w.

Memikirkan kesan yang bakal terhasil dari sesuatu pendekatan dakwah bukan sahaja diajarkan Allah taala dalam Al-Quran, ia juga ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

kitab iktibar maalatDiriwayatkan dari Umar bin Al-Khattab bahawa terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi s.a.w. yang bernama Abdullah yang diberi gelaran himar (keldai). Beliau pernah membuat Rasulullah s.a.w. tertawa.

Pada suatu hari, beliau dibawa kepada Nabi s.a.w. kerana meminum arak. Nabi s.a.w. memerintahkan agar beliau disebat. Lalu beliau pun disebat. Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Sudah sering dia dibawa kepada Nabi s.a.w. untuk disebat.” Maka Nabi s.a.w. bersabda, “Janganlah melaknatinya. Demi Allah, tidaklah saya mengetahui (mengenainya) melainkan beliau mencintai Allah dan RasulNya.”[7]

Di dalam hadis di atas ini, Nabi s.a.w. melarang orang yang melaknatinya daripada mengucapkan kata-kata laknat meskipun kepada seseorang yang bersalah melakukan dosa besar kerana minum arak. Bahkan, Nabi s.a.w. menyebutkan satu sifat yang ada pada diri Abdullah iaitu beliau mencintai Allah dan RasulNya. Tujuannya adalah untuk membantu dan memberikan harapan kepada Abdullah untuk meninggalkan dosa meminum arak.

Jika diteliti peristiwa ini, kita akan dapati bahawa Rasulullah s.a.w. menerapkan Fiqh Ma’al dalam pendekatan dakwahnya, iaitu menerusi larangan melontarkan kata-kata laknat kepada Abdullah. Hikmahnya adalah untuk mengelakkan beliau daripada berputus asa untuk meninggalkan dosa tersebut. Dengan menyebutkan sifat yang mulia yang ada pada Abdullah, Rasulullah s.a.w. sebenarnya membantu dan memberikan harapan kepada Abdullah agar bertaubat dan meninggalkan dosa meminum arak.

Fiqh Ma’al dalam pendekatan dakwah para sahabat

Selain daripada Al-Quran dan Sunnah, penerapan Fiqh Ma’al juga dapat dilihat menerusi tindakan para sahabat Nabi s.a.w.

Suatu ketika, seorang wanita datang kepada Abdullah bin Al-Mughaffal lalu bertanya mengenai seorang wanita yang telah berzina kemudian mengandung. Apabila wanita tersebut melahirkan, dia membunuh anaknya.

Ibn Al-Mughaffal menjawab, “Apa kena dengannya? Baginya neraka.”

Wanita tersebut berpaling dalam keadaan menangis.fiqh maalat

Ibn Al-Mughaffal memanggil wanita tersebut lalu berkata, “Saya tidak melihat keadaan kamu melainkan termasuk dalam salah satu keadaan [dalam ayat ini], “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Nisa’: 110). Wanita tersebut pun mengesat air matanya kemudian beredar.[8]

Dalam kisah ini, Ibn al-Mughaffal pada mulanya memberikan jawapan yang tegas agar wanita tersebut tidak mengulangi perbuatannya sekali lagi. Namun, apabila Ibn Al-Mughaffal rasa khuatir bahawa pendekatannya itu boleh membuatkan wanita tersebut rasa putus asa dari rahmat dan pengampunan Allah taala, beliau membacakan sepotong ayat yang memberikan harapan kepada wanita tersebut agar kembali kepada Allah taala.

Fiqh Ma’al dalam pendekatan dakwah semasa

Sebagaimana yang dapat dilihat dari perbahasan di atas, Fiqh Ma’al mempunyai sandarannya di dalam Al-Quran, Sunnah dan juga tindakan para sahabat. Justeru, adalah perlu bagi para pendakwah masa kini untuk memikirkan implikasi di sebalik sesuatu pendekatan dakwah sebelum menjalankannya.

Berikut adalah beberapa langkah yang ingin disarankan untuk menerapkan Fiqh Ma’al dalam pendekatan dakwah semasa.

  1. Memilih masa yang sesuai untuk menjalankan aktiviti dakwah

Perkara pertama yang perlu diberikan perhatian oleh seorang pendakwah adalah berkaitan dengan masa.fiqh maalat 2

Sebelum mengajak kepada manusia kepada kebaikan atau mencegah manusia dari kemungkaran, hendaklah seorang pendakwah membuat penilaian sama ada masa yang dipilihnya itu adalah sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut.

Dalam sebahagian keadaan, adalah lebih wajar sekiranya sesuatu aktiviti dakwah ditangguhkan jika sekiranya ia boleh membawa kepada keburukan yang lebih besar jika dilakukan serta-merta.

Pernah satu ketika Sheikh Ahmad Al-Harrani dan pengikutnya berjalan lalu satu golongan Tatar di Damsyik yang sedang meminum arak. Sebahagian pengikutnya cuba mengingkari perbuatan tersebut. Sheikh Ahmad Al-Harrani memerintahkan pengikutnya agar membiarkan golongan tersebut dalam keadaan mabuk dengan alasan bahawa arak diharamkan kerana ia menghalang manusia dari mengingati Allah taala dan mendirikan solat. Adapun golongan tersebut, keadaan mabuk mereka telah menghalangi mereka dari menumpahkan darah dan merampas harta orang. Tujuan Sheikh Ahmad al-Harrani membiarkan golongan tersebut dalam keadaan mabuk adalah untuk mengelakkan berlakunya kemungkaran yang lebih besar.[9]

  1. Tidak tampil berbeza daripada kebiasaan masyarakat selama hal itu masih diperbolehkan dalam agama

Salah satu cara untuk menerapkan Fiqh Ma’al dalam pendekatan dakwah semasa adalah dengan tidak tampil berbeza dengan kebiasaan masyarakat selama hal itu masih diperbolehkan dalam agama. Malah, kadangkala meninggalkan beberapa amalan yang lebih utama adalah dibenarkan untuk menghindari fitnah.

Pendekatan di atas ini mempunyai sandaran dari perbuatan dan perkataan Nabi s.a.w. Di dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sekiranya bukan kerana kaummu yang baru sahaja meninggalkan kekufuran, nescaya saya akan hancurkan Kaabah, lalu saya akan bangunkannya semula di atas fondasi Nabi Ibrahim.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Pada zaman jahiliyah, kaum Quraish ingin membangunkan semula bangunan kaabah tetapi mereka kekurangan harta yang halal untuk melakukan yang sedemikian. Justeru, mereka hanya mampu untuk membangunkan kaabah seperti apa yang kita lihat pada hari ini.

Apabila Rasulullah s.a.w. menguasai kota Mekah, beliau berhasrat untuk membangunkan semula kaabah mengikut model yang dibangunkan oleh Nabi Ibrahim. Namun, Rasulullah s.a.w. membatalkan hasratnya kerana mempertimbangkan natijah buruk yang bakal timbul sekiranya rancangan tersebut diteruskan.

Pada ketika itu, kaum Quraish baru sahaja memeluki agama Islam dan keimanan mereka masih belum kuat. Perbuatan membangunkan semula Kaabah boleh menyebabkan kaum Quraish meninggalkan Islam kerana mereka merasakan bahawa setiap peninggalan mereka selalu diubah oleh Rasulullah s.a.w.[10]

Sungguh tajam pemahaman Imam Al-Bukhari mengenai hadis di atas ini kerana beliau 'Decision making would be so much easier if it weren't for the consequences.'meletakkan hadis ini di bawah bab yang berjudul, “Bab: (Disyariatkan bagi) seseorang untuk meninggalkan beberapa perkara ikhtiyar (lebih utama) jika dikhuatiri pemahaman sebahagian orang belum mampu untuk menerimanya sehingga mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam perbuatan yang lebih parah”.[11]

Al-Hafiz Al-Zayla’i berkata, “Dibenarkan bagi seorang insan untuk meninggalkan perkara yang lebih utama demi menyatukan hati dan menjaga kesatuan, serta jika khuatir menjadikan umat lari…”[12]

Sheikh Yusuf Al-Qaradawi berkata, “Imam Ahmad ibn Hanbal dan selainnya berpendapat bahawa seorang imam (solat) digalakkan untuk meninggalkan perkara yang pada pandangannya lebih utama, apabila hal itu dilakukannya demi menyatukan hati para makmum.

Umpamanya, pada pandangannya bahawa solat witir lebih baik dipisahkan, iaitu dengan memberi salam selepas rakaat kedua kemudian mendirikan satu rakaat, sedangkan beliau menjadi imam bagi satu kaum yang berpendapat bahawa solat witir yang terelok adalah digabungkan (dilakukan dengan satu salam sahaja).

Sekiranya beliau tidak mampu melakukan yang lebih utama, maka kemaslahatan yang tercapai dengan mengikuti cara mereka menggabungkan witir adalah lebih besar daripada kemaslahatan memisahkannya dan kebencian para mereka untuk mendirikan solat di belakangnya.

Demikian juga sekiranya beliau berpendapat bahawa membaca basmalah dengan cara perlahan atau kuat adalah lebih utama, sedangkan para makmum mempunyai pandangan yang berbeza, lalu beliau melakukan yang kurang utama demi mencapai kemaslahatan yang lebih besar iaitu al-muwafaqah (persamaan) dan ta’lif (menyatukan hati) daripada kemaslahatan mengamalkan pendapat yang lebih utama, maka ini adalah baik dan dibenarkan.”[13]

  1. Berbicara kepada manusia dengan kadar kefahaman mereka

Fiqh Ma’al dapat diterapkan dalam pendekatan dakwah semasa dengan melihat kepada orang-orang yang ingin kita berdakwah kepada mereka. Seorang pendakwah hendaklah menyampaikan ilmu kepada manusia mengikut kadar kefahaman mereka.

Dalam hal ini, Ali ibn Abi Talib berkata, “Berbicaralah dengan manusia dengan apa yang mereka fahami. Apakah kamu suka Allah dan RasulNya didustakan?”[14]

Ibn Mas’ud pula berkata, “Tidaklah kamu berbicara dengan satu kaum sesuatu yang tidak dapat mereka fahami melainkan ia akan menimbulkan fitnah bagi sebahagian dari kalangan mereka.”[15]

Tidak semua ilmu yang diketahui seseorang wajar disampaikan kepada masyarakat umum sebelum membuat pertimbangan-pertimbangan tertentu. Dalam hal ini, Imam Abu Ishaq al-Shatibi telah menggariskan empat perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum menyebarkan sesuatu ilmu. Beliau berkata:

“Panduannya: (Langkah pertama) kamu timbang perkara itu dengan syariat. Jika dibenarkan secara syariat, maka (langkah kedua) pertimbangkan akibat yang akan ditimbulkan darinya, tatkala disampaikan pada zaman dan masyarakat yang ada saat itu. Seandainya tidak menimbulkan mafsadah (kerosakan), maka (langkah ketiga) timbanglah perkara itu dengan fikiranmu, kira-kira akal masyarakat (telah mampu untuk memahami perkara itu), sehingga mereka mahu menerimanya atau tidak? Jika kamu pertimbangkan bahwa akal mereka telah mampu; maka (langkah keempat) sampaikanlah kepada masyarakat umum jika perkara itu boleh diterima secara umum, atau sampaikan pada kumpulan yang khusus, jika perkara itu tidak sesuai disampaikan secara umum. Jika perkara yang akan kamu sampaikan tidak memenuhi syarat-syarat di atas, maka yang selaras dengan maslahat menurut syariat dan akal sihat, adalah perkara tersebut tidak kamu sampaikan”.[16] 

  1. Memberikan alternatif apabila melarang sesuatu

consequence cartoon 2Langkah keempat yang boleh diambil untuk menerapkan Fiqh Ma’al dalam pendekatan dakwah adalah dengan memberikan alternatif atau jalan keluar apabila melarang sesuatu perbuatan atau ucapan. Pendekatan ini digunakan oleh Nabi s.a.w.

Abdullah bin Mas`ud meriwayatkan:

“Dahulu ketika kami mendirikan solat bersama Nabi s.a.w., kami berkata: Salam sejahtera kepada Allah dari hamba-hambaNya. Salam sejahtera kepada fulan dan fulan. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Janganlah mengatakan: Salam sejahtera kepada Allah kerana sesungguhnya Allah adalah Al-Salam tetapi katakanlah:

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ، وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ

Jika kamu membacanya, ia akan sampai kepada sekalian hamba yang berada di langit atau antara langit dan bumi. (Kemudian bacalah):

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Kemudian pilihlah doa yang paling kamu suka dan bacalah doa tersebut.” (Riwayat Al-Bukhari)

Adalah kurang wajar bagi seorang pendakwah untuk menghalang manusia daripada melakukan satu perbuatan tetapi tidak menunjukkan mereka jalan alternatif yang dibenarkan.

Apabila Islam menutup pintu zina, ia membuka pintu pernikahan. Apabila Islam menutup jalan riba, ia membuka jalan perniagaan. Beginilah keindahan ajaran Islam. Apabila ia menutup satu pintu kemaksiatan, ia membuka pula pintu ketaatan. Apabila ia menutup jalan yang dimurkai Tuhan, ia membuka pula jalan yang diredhaiNya. Dikhuatiri apabila para pendakwah tidak membimbing manusia kepada jalan alternatif yang diredhai Tuhan, sebahagian manusia akan kekal dalam jalan kemaksiatan.

Penutup

Memikirkan kesan atau natijah yang bakal terhasil di sebalik sesuatu pendekatan dakwah adalah penting bagi para pendakwah. Oleh kerana kepentingannya, ia ditekankan di dalam Al-Quran dan Sunnah, serta ditunjukkan menerusi tindakan para sahabat.

Para pendakwah pada hari ini harus bijak memikirkan implikasi di sebalik sesuatu pendekatan sebelum menjalankan aktiviti dakwah mereka agar natijah yang bakal terhasil membawa kemaslahatan bagi masyarakat dan bukan keburukan.

 

————-

Nota:

[1]Al-Qurtubi (2006), Al-Jami` Li Ahkam Al-Qur’an, Bayrut: Mu’assasah Al-Risalah, jld. 5, ms. 73.

[2]Muhammad bin Salih Al-`Uthaymin (1413H), Zad Al-Da`iyah Ila Allah, (t.tp.: Dar Al-Watan Li Al-Nashr, ms. 8.

[3]Ibid.

[4]Ibid.

[5]Yusuf bin `Abd Allah (2012), Mabda’ I`tibar Al-Ma’al Fi Al-Bahth Al-Fiqhi, Al-Riyad: Markaz Nama’ Li Al-Buhuth Wa Al-Dirasat, ms. 36.

[6]Ibid, ms. 38.

[7]Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Hudud, Bab Ma Yukrahu Min La’n Sharib Al-Khamr Wa Annahu Laisa Bi Kharij Min Al-Millah, no. hadith 6780.

[8]Al-Tabari (1994), Tafsir Al-Tabari, Bayrut: Muassasah Al-Risalah, jld. 7, ms. 476.

[9]Mustafa Malaikah (2002), Kewajipan Menguasai Enam Jenis Fiqh Bagi Pendakwah Islam Di Alaf Baru, Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, ms. 293-4.

[10]Abu Abdurrahman Abdullah Zaen (1429H), 14 Contoh Praktek Hikmah Dalam Berdakwah, Yogyakarta: Pustaka Muslim, ms. 118.

[11]Al-Bukhari (2004), Sahih Al-Bukhari, Bayrut: Dar Al-Ma`rifah, ms. 107.

[12]Al-Zayla`i (t. t.), Nasb Al-Rayah Li Ahadith Al-Hidayah, Jiddah: Dar Al-Qiblah Li Al-Thaqafah Al-Islamiyyah, jld. 1, ms. 328.

[13]Al-Qaradawi (t. t.), Fi Fiqh Al-Awlawiyyat: Dirasah Jadidah Fi Daw’ Al-Qur’an Wa Al-Sunnah, t. tp: t. pt, ms. 177.

[14]Al-Bukhari (2004), ms. 107.

[15]Muslim bin Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Muqaddimah, Bab Al-Nahy `An Al-Hadith Bi Kul Ma Sami’, hadith no. 14.

[16]Al-Shatibi (2009), Al-Muwafaqat, Al-Riyad: Dar Ibn Al-Qayyim, jld. 5, ms. 172.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: