Skim Pengiktirafan Asatizah Mandatori: Satu Analisa (Wasat, No. 14/April 2017)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

Oleh Ustaz Firdaus Yahya

ars bannerLatar belakang sejarah

Singapura sudah lama menghasilkan guru Al-Quran, asatizah dan ulama. Pada tahun 1954, sekumpulan asatizah dan ulama yang diterajui oleh almarhum Kiyai Ahmad Zohri bin Mutamim menubuhkan PERGAS, sebuah persatuan yang mereka harap dapat melindungi hak para guru agama.

Dalam perjuangan mempertahankan hak para guru agama dan membela nasib mereka, PERGAS dipincangkan dengan ketiadaan buku daftar para guru agama di Singapura. Maka mengenal pasti siapakah guru agama bergantung kepada pemakluman orang ramai dan pengakuan guru agama berkenaan serta latarbelakang pendidikan mereka.

Mereka yang diiktiraf sebagai guru agama oleh PERGAS layak untuk menganggotainya. Namun, sudah pasti ramai guru agama yang tiada dalam pengetahuan PERGAS kerana kewujudan mereka tidak diketahui. Keadaan ini menimbulkan masalah apabila masyarakat ingin mengetahui adakah seseorang individu itu layak mengajar agama atau layak dianggap sebagai guru agama.

Apabila kes-kes ajaran menyeleweng dan sesat disebarkan oleh individu yang menggelarkan dirinya sebagai ulama dan guru agama, PERGAS hanya boleh ambil tindakan jika individu tersebut merupakan anggotanya.

Jika dia tidak dalam senarai keanggotaannya, PERGAS tidak dapat mengesahkan status individu tersebut.

Beberapa usaha telah dilakukan untuk menambah bilangan anggota PERGAS agar lebih ramai asatizah berada dalam senarai anggota PERGAS. Pertambahan bilangan asatizah sebagai ahli PERGAS boleh dijadikan sebagai satu pangkalan data untuk masyarakat mengetahui kesahihan dakwaan mana-mana individu yang mengaku sebagai guru agama.

Keperluan untuk membangunkan pangkalan data untuk semua guru agama di Singapura, tidak kira sama ada mereka adalah ahli PERGAS atau tidak semakin terasa pada lewat tahun 90an apabila masyarakat dikejutkan oleh kes seorang guru agama berwarganegara Singapura yang ditangkap dan didakwa oleh pihak penguasa agama di sebuah negara jiran kerana beristeri lebih dari empat dalam satu masa. Namun idea untuk pangkalan data tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tiada sokongan daripada MUIS.

Pada tahun 2001, masyarakat dikejutkan lagi dengan berita kewujudan kumpulan pelampau Jemaah Islamiyah (JI) yang bertujuan memporak-perandakan negara Singapura. Tujuan mereka adalah untuk memulakan pergeseran dan pergaduhan antara umat Islam dan bukan Islam agar mereka dapat akhirnya menubuhkan sebuah negara Islam di white paperSingapura dan kawasan Nusantara ini. Plot-plot keji mereka untuk meletakkan bom-bom di beberapa kawasan awam terbongkar dan anggota serta guru kumpulan ini ditangkap.

Berikutan dari insiden ini, idea PERGAS untuk mengadakan sebuah pangkalan data para asatizah dibangkitkan semula dan mula disambut baik oleh MUIS hingga mendapat sokongan dari pemerintah pula. Usaha-usaha dimulakan untuk membangunkan pangkalan data itu. Pada tahun 2005, ia dilancarkan secara rasmi oleh MUIS dan PERGAS sebagai satu kerjasama antara keduanya.

Pangkalan data ini juga boleh dijadikan sebagai wadah untuk mengiktiraf keahlian guru agama untuk mengajar. Dengan itu lahirlah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Sebuah lembaga ditubuhkan untuk bagi Skim ini. ARS hanya berbentuk sukarela kerana tiada kuasa undang-undang untuk memaksa semua guru agama mendaftarkan diri mereka dengan Lembaga Pengiktirafan Asatizah bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai guru agama.

Untuk membantu menarik lebih ramai guru agama mendaftarkan diri mereka, MUIS bersetuju untuk mengadakan latihan dan kursus bagi asatizah yang terdaftar bagi meningkatkan taraf kemahiran dan kemampuan mereka berdakwah dan menjalankan amanah mereka sebagai pewaris anbiya’.

Di peringkat ini, walau pun ARS disambut baik oleh pemerintah, segala kos untuk melaksanakannyai dan menjayakannya perlu ditanggung oleh masyarakat Islam sendiri, tanpa sebarang bantuan kewangan daripada pemerintah kerana polisi sekular yang dipegangnya.

Melalui Skim ini, semakin ramai asatizah yang bersedia untuk diiktiraf. Antara dorongan mereka ialah agar mereka diizinkan untuk mengajar di madrasah-madrasah sepenuh masa dan di masjid-masjid. Ini adalah kerana MUIS mengeluarkan peraturan bahawa hanya asatizah yang diiktiraf di bawah ARS sahaja yang dibenarkan untuk berkhidmat menyampaikan ilmu agama di madrasah dan masjid.

Setelah berjalan selama 11 tahun, masyarakat Islam dikejutkan dengan pengumuman Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, ketika Rapat Hari Kebangsaan 2016 bahawa ARS akan diwajibkan atas semua guru agama. Dengan erti kata lain, seseorang yang tidak mempunyai ‘lesen’ untuk mengajar agama Islam, tidak dibenarkan untuk mengajar di Singapura, tidak kira sama ada di madrasah, masjid, institusi swasta malah di rumah sekali pun.

Penguatkuasaan ini bermula pada 1 Januari 2017.

Sebab penguatkuasaan ARS Mandatori

Persoalan-persoalan timbul mengenai sebab dan tujuan menjadikan ARS mandatori atau wajib atas semua asatizah di Singapura. Antaranya ialah berikut:

  • Mengapa hanya pendakwah dan guru agama Islam sahaja yang diwajibkan untuk mendaftarkan diri mereka sebelum dibenarkan untuk mengajar agama Islam? Mengapa guru agama lain tidak dikenakan undang-undang yang sama?
  • Adakah mewajibkan ARS atas asatizah adalah salah satu cara pemerintah memantau dan memastikan siapakah yang layak mengajar?
  • Adakah idea mewajibkan ARS ini datang dari pemerintah sendiri?
  • Mengapa undang-undang ini diluaskan kepada guru-guru Al-Quran yang sememangnya tidak mengajar agama? Mereka hanya mengajar mengenal huruf Al-Quran dan membaca serta menghafalnya. Apakah tujuan mereka juga dikawal oleh pemerintah?
  • Mengapakah sebuah pemerintah sekular campur tangan dengan pengamalan dan pemahaman agama?

pergas arb logoUsaha untuk mencari jawapan bagi soalan-soalan seperti di atas perlu bermula dengan mengkaji terlebih dahulu tujuan menjadikan ARS mandatori. Ia diikuti pula dengan penelitian terhadap peraturan yang dibangunkan khusus untuk dijadikan ‘tulang belakang’ dan ‘taring’ kepada sistem ARS  yang diwajibkan.

Ramai yang beranggapan bahawa idea mewajibkan ARS ini ditimbulkan oleh pemerintah. Apatah lagi yang mula mengumumkannya ialah Perdana Menteri sendiri di wadah nasional yang terpenting – Rapat Hari Kebangsaan. Mereka juga menganggap bahawa tujuannya adalah untuk mengawal dan memantau guru agama Islam akibat latarbelakang dunia sekarang yang mana keganasan dan pelampauan dikait rapat dengan Islam dan penganutnya.

Sebenarnya permintaan untuk menjadikan ARS wajib dan mandatori bukan datang dari pemerintah. Sebagai negara yang sekular, prinsip pemerintah Singapura ialah untuk tidak mencampuri urusan pengamalan dan pengajaran mana-mana agama melainkan apabila ia menjejas keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa atau menggugat keselamatan negara.

Permintaan agar ARS dijadikan mandatori sebenarnya datang dari asatizah mapan yang duduk dalam Lembaga Pengiktirafan Asatizah. Lembaga ini beroperasi di bawah kerjasama antara MUIS dan PERGAS. Ia adalah sebuah lembaga yang tiada kuasa undang-undang kerana , pada asalnya, pendafataran di bawah ARS berbentuk sukarela. Asatizah tidak perlu mendaftar dengan lembaga tersebut untuk mengajar. Pendaftaran hanya satu nilai tambah kepada yang mendaftar sahaja.

Masyarakat Islam secara umumnya menghormati golongan asatizah sebagai golongan yang alim dalam agama. Atas dasar itu juga, masyarakat meletakkan jangkaan tinggi kepada mereka dari sudut akhlak dan ketakwaan. Kelakuan yang dipandang biasa dan boleh diterima dari orang awam kemungkinan tidak dapat diterima jika datang dari golongan asatizah. Apatah lagi jika asatizah itu melakukan kesalahan atau maksiat besar.

Namun, asatizah juga manusia. Apabila bilangan asatizah semakin ramai, sudah pasti ada di kalangan mereka yang tidak menepati akhlak yang diperlukan sebagai guru agama. Setandan pisang, sudah pasti ada yang busuk. Lagi banyak tandan pisang, lagi banyak pisang yang busuk.

Kes-kes asatizah yang buruk perangai, melakukan maksiat besar dan melakukan jenayah bertambah. Ada di kalangan mereka yang telah pun mendaftar di bawah ARS. Apabila mereka masih berdegil dengan kelakuan dan akhlak yang melanggar hukum agama, norma-norma manusia atau undang-undang negara, Lembaga Pengiktirafan Asatizah akan menarik balik pengiktirafan terhadap mereka.

Pembatalan pengiktirafan ini bermakna guru agama tersebut tidak boleh lagi mengajar di masjid dan di madrasah. Namun, dia masih boleh terus mengajar di rumah-rumah dan pusat pengajian swasta yang mungkin mereka sendiri tubuhkan. Lembaga Pengiktirafan Asatizah tidak mampu menahan ‘guru agama’ ini daripada terus mengajar dan masyarakat akan terus terdedah dengan bahaya ajaran ‘guru agama’ sedemikian.

Atas dasar ini, para asatizah mapan yang duduk dalam Lembaga ARS melihat kepentingan ARS diberikan ‘taring’ undang-undang untuk menyekat terus guru agama yang didapati menyeleweng daripada mengajar agama Islam. Dengan erti kata lain, mereka mahukan kuasa undang-undang di mana sesiapa pun guru agama yang didapati mempunyai kelakuan buruk yang membawa kepada maksiat besar atau melanggar undang-undang negara, keizinannya untuk mengajar agama ditarik terus tanpa ada sebarang peluang bagi individu tersebut mengajar.

Keinginan Lembaga Pengiktirafan Asatizah ini mungkin bertepatan dengan hasrat pemerintah untuk memastikan bahawa masyarakat Islam tidak terdedah dengan ajaran-ajaran yang menjejas keharmonian masyarakat dan menggugat keselamatan negara yang dibawa oleh penceramah dan guru agama dalam dan luar negara.

Maka ARS dinaik-taraf daripada sebuah skim pengiktifaran berdasarkan sukarela kepada sebuah skim pengiktirafan asatizah yang wajib.

Inilah sebab pengiktirafan guru agama hanya berlaku pada masyarakat Islam sahaja dan bukan pada masyarakat lain. Golongan agamawan masyarakat lain mungkin tidak atau belum meminta pemerintah agar mewajibkan pengiktirafan guru-guru agama mereka. Mungkin mereka ada cara mereka sendiri untuk menangani guru-guru agama mereka yang menyeleweng tanpa memerlukan campur tangan undang-undang negara.

innama yakhsha allahPeraturan ARS Mandatori

Setelah pemerintah menyahut permintaan asatizah mapan dalam Lembaga Pengiktirafan Asatizah agar diwajibkan ARS atas semua guru agama Islam dan Perdana Menteri mengumumkannya kepada negara dapat Rapat Hari Kebangsaan, bermulalah aktiviti rancak oleh MUIS dalam membangunkan rangka peraturan di bawah AMLA (Administration of Muslim Law Act) yang memenuhi permintaan tersebut.

AMLA merupakan rang undang-undang yang khusus untuk masyarakat Islam. Ia dibangunkan dan diluluskan pada tahun 1966 dan merangkumi hampir kesemua aspek kehidupan orang Islam di Singapura.

Terdapat dua seksyen yang boleh digunakan untuk menjadikan ARS wajib. Pertama, seksyen 87 yang bersangkutan dengan sekolah agama. Kedua, seksyen 139 yang bersangkutan dengan ajaran sesat.

Perbincangan demi perbincangan diadakan antara MUIS dan Pejabat Peguam Negara. Setelah menilai kedua-dua seksyen tersebut, didapati bahawa seksyen 87 lebih sesuai digunakan untuk membangunkan peraturan baru untuk ARS yang wajib.

Seksyen 139 hanya bersangkutan dengan ajaran sesat. Sedangkan kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian guru agama bukanlah dari sudut pengajarannya tetapi dari sudut akhlaknya. Oleh itu, mereka tidak boleh didakwa di bawah undang-undang ajaran sesat yang membawa saman tidak melebihi $2,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Dalam seksyen 87 pula, di bawah perenggan 9, MUIS diberi kuasa undang-undang untuk menggubal apa juga peraturan bagi melaksanakan tujuan seksyen 87, iaitu menyelia, memantau dan mendaftar mana-mana sekolah agama.

Untuk menggunakan seksyen 87(9) bagi mewajibkan ARS ke atas asatizah, MUIS perlu memberikan definisi baru untuk sekolah agama. Jika pada asalnya sekolah agama dalam AMLA ditafsirkan sebagai madrasah sepenuh masa sahaja, tafsiran baru MUIS adalah ia merangkumi bukan sahaja madrasah sepenuh masa, tetapi apa jua kelas agama yang  dijalankan secara tetap dengan pelajar-pelajarnya tiada hubungan kekeluargaan dengan guru yang mengajar.

Dengan tafsiran baru ini, peraturan baru yang dibangunkan MUIS dengan nasihat Pejabat Peguam Negara di bawah kuasa yang diberikan oleh seksyen 87(9) dapat menutup segala peluang untuk mengajar bagi guru agama yang telah ditarik balik pengiktirafannya.

Peraturan ARS Mandatori yang dibangunkan ini merangkumi tiga aspek: 1) peraturan yang bersangkutan dengan sekolah agama, 2) peraturan yang bersangkutan dengan guru agama dan guru Al-Quran, dan 3) kod etika bagi guru agama dan guru al-Quran

Untuk menutup apa jua peluang bagi seseorang menyebarkan agama Islam tanpa pengiktirafan dari ARS, peraturan ini merangkumi semua tempat yang dianggap boleh dijadikan pusat pengajaran Islam secara tetap. Ia termasuk masjid, madrasah, pusat pendidikan swasta malah di rumah juga.

Mereka yang ingin mengadakan kelas agama secara tetap di Singapura, perlu memohon permit daripada MUIS, menyerahkan butiran kurikulum, silibus, guru yang mengajar, bilangan murid dan apa jua maklumat lain yang MUIS inginkan dari masa ke semasa.

Bagi yang ingin mengajar agama Islam dan mengajar Al-Quran, mereka perlu memohon pengiktirafan daripada MUIS. Walaupun seseorang itu mempunyai ijazah sarjana dalam bidang Islam atau seorang yang sudah diiktiraf sebagai mahaguru Al-Quran, mereka tetap arb memberstidak boleh mengajar selagi mana pengiktirafan untuk mengajar belum diberikan oleh MUIS. Pengiktirafan tersebut pula adalah untuk selama 3 tahun sahaja. Selepas 3 tahun, MUIS perlu melanjutkan pengiktirafan itu setiap 3 tahun selagi mana MUIS berpuas hati bahawa individu berkenaan memenuhi keperluan sebagai guru agama di Singapura.

Dalam menentukan kelayakan seseorang untuk mengajar agama dan Al-Quran, beberapa syarat perlu dipenuhi. Antaranya ialah kelayakan pendidikan individu tersebut. Dia juga perlu menghadiri latihan selama 30 jam untuk guru agama atau 10 jam untuk guru Al-Quran sepanjang tempoh pengiktirafan yang diberikan kepadanya.

Kod etika yang ada dalam peraturan ARS Mandatori ini mengandungi garis-pandu umum akhlak, pendekatan dan cara pengajaran yang wajib dipatuhi oleh semua guru agama dan Al-Quran. Pelanggaran kod etika ini boleh menyebabkan pelakunya dipanggil untuk dinasihati oleh MUIS. Jika dia tidak berubah, pengiktirafannya untuk mengajar akan ditarik balik.

Mana-mana guru agama dan Al-Quran yang tidak diluluskan permohonannya atau ditarik balik pengiktirafannya, boleh merayu kepada Menteri Bertanggungjawab Atas Hal-Ehwal Orang Islam.

Dalam tempoh rayuannya, jika dia terus mengajar, individu berkenaan boleh dikenakan saman tidak melebihi $2,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali. Hukum yang sama juga dikenakan bagi mereka yang mengajar agama Islam tanpa pengiktirafan dan pemilik sekolah agama yang mengambil guru yang tidak ada pengiktirafan dari MUIS.

Penilaian terhadap peraturan ARS Mandatori

Peraturan ARS Mandatori yang berkuat-kuasa pada 1 Januari 2017 memberi kuasa mutlak kepada MUIS untuk mengawal, memantau, meluluskan dan membatalkan mana-mana kelas agama/Al-Quran dan guru agama/Al-Quran. Tiada sesiapa lagi yang boleh sewenang-wenangnya mengajar agama Islam dan Al-Quran tanpa kebenaran dari MUIS.

MUIS juga boleh mengawal mutu pengajaran Islam dan guru yang menyampaikannya, dan secara langsung dapat mengurangkan penyebaran ajaran sesat dan penyelewengan mereka yang tidak layak mengajar agama Islam.

Dengan ini, kemurniaan pendidikan agama Islam dapat dijaga daripada dicemari oleh individu-individu yang berselindung disebalik gelaran ‘guru agama’ tetapi melakukan perkara-perkara mungkar bagi kepentingan nafsunya.

Seperti pisau, peraturan ini bukan setakat boleh memotong, malah ia juga boleh membunuh jika disalah guna.

Pengkritik peraturan ARS Mandatori ini menimbulkan persoalan berikut: Jika MUIS mengawal semua guru agama dan Al-Quran di Singapura, siapa yang mengawal MUIS? Pihak mana yang dapat menghalang MUIS jika peraturan ini disalah-guna untuk menarik pengiktirafan guru agama yang tulen tetapi mengajar fahaman yang MUIS lihat sebagai salah?

Jika ada yang mengatakan bahawa Lembaga Pengiktirafan Asatizah ada kuasa untuk menahan MUIS daripada melakukan sedemikian, anggapan sedemikian meleset sama sekali.

Untuk menjadikan peraturan ARS Mandatori ini sah di bahawa undang-undang negara, Lembaga Pengiktirafan Asatizah dianggap tidak wujud. Lembaga ini tiada sokongan undang-undang. Ia hanyalah satu jawatankuasa kecil tidak rasmi yang ditubuhkan oleh ars websiteMUIS untuk membantunya mengenal pasti siapakah yang layak untuk mengajar dan siapakah yang tidak. MUIS secara undang-undang, tidak terikat dengan apa jua rekomendasi daripada Lembaga Pengiktirafan Asatizah.

Jika ada yang menyatakan bahawa PERGAS boleh memainkan peranan penting kerana ARS dimulakan oleh PERGAS dan Lembaga ARS merupakan kerjasama MUIS dan PERGAS, anggapan demikian juga meleset sama sekali.

PERGAS hanyalah satu pertubuhan. Ia tiada sebarang kuasa undang-undang di bawah AMLA. Hanya MUIS, ROMM dan Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai kuasa undang-undang di bawah AMLA sebagai badan berkanun.

Dengan peraturan ARS Mandatori ini, peranan PERGAS dalam rangka pengiktirafan asatizah lenyap sama sekali. Bahkan, sijil pengiktirafan kepada asatizah sekarang hanya boleh memaparkan logo MUIS sahaja. Logo PERGAS perlu ditiadakan kerana ia hanya sebuah pertubuhan dan bukan badan rasmi pemerintah. Logo Lembaga Pengiktirafan Asatizah juga perlu ditiadakan kerana dari sudut undang-undang ia tidak wujud sama sekali.

Dimanakah peranan Mufti dalam penentuan keahlian seseorang boleh mengajar Islam atau tidak?

Dalam peraturan ARS Mandatori, Mufti tiada peranan secara langsung. Peranannya hanyalah tertumpu kepada tanggungjawabnya sebagai pengerusi Jawatankuasa Fatwa. Jawatankuasa Fatwa disebut dalam peraturan ARS Mandatori sebagai rujukan kepada pengajaran yang dianggap menyeleweng atau tidak. Namun, Jawatankuasa Fatwa hanya boleh mengeluarkan fatwa jika ditanya. Secara semulajadi, Jawatankuasa Fatwa perlu bersifat pasif dan bukan reaktif.

Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa tiada kuasa untuk menahan MUIS jika MUIS mengambil tindakan untuk menarik pengiktirafan mengajar seseorang guru agama.

Secara umumnya, dengan peraturan ARS Mandatori ini, penentuan mana satu mazhab dan pengajaran agama yang boleh diajar di Singapura terletak pada satu pihak sahaja, iaitu Menteri Yang Bertanggungjawab Terhadap Hal-ehwal Masyarakat Islam. Menteri diberi kuasa untuk menentukan, jika dia mahu, siapakah yang menerajui MUIS, siapakah yang akan disarankan kepada Presiden Singapura untuk duduk di kerusi Mufti, siapakah yang menganggotai Jawatankuasa Fatwa dan siapakah ahli lembaga ARS (jika MUIS masih mahu lembaga itu wujud). Maka menteri tersebut memegang semua mekanisme keagamaan masyarakat Islam di Singapura. Dengan peraturan ARS Mandatori ini, dia mampu, jika dia mahu, mencorakkan masyarakat Islam di Singapura dengan fahaman agamanya tanpa tentangan.

Jika dahulu, asatizah berpeluang untuk bersuara jika ada pengajaran dan pandangan yang ulama warathah anbiyabertentangan dengan Islam dibiarkan berleluasa di Singapura, sekarang hak untuk bersuara itu terikat dengan keizinan MUIS dan akhirnya Menteri (kerana semua rayuan terhadap keputusan MUIS kembali kepada Menteri). Sekiranya pihak-pihak tersebut tidak senang dengan suara-suara asatizah tersebut, pengiktirafan mengajar mereka boleh ditarik balik.

Maka, amat penting bagi masyarakat Islam memastikan bahawa jawatan Menteri tersebut diserahkan kepada orang yang tidak mencorakkan pegangan agama masyarakat Islam dan amalan keagamaan mereka dengan fahaman peribadinya. Namun, ini satu perkara yang amat rumit kerana pelantikan kepada jawatan tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri, bukannya masyarakat Islam.

Dalam keadaan sekarang di mana PERGAS sudah kehilangan kuasa dalam pengiktirafan asatizah, PERGAS masih boleh jadi wadah yang penting dalam memastikan tiada salah guna dalam pelaksanaan peraturan ARS Mandatori. Suara rasmi PERGAS tidak terikat dengan peraturan tersebut. Namun, semua kelas-kelas agama PERGAS boleh, secara teori, diarahkan untuk ditutup dibawah peraturan tersebut dan ahli penuh PERGAS boleh, secara teori, dihalang mengajar dan kehilangan sumber pendapatan mereka.

Apakah senario-senario ini telah dibayangkan oleh para asatizah mapan dalam Lembaga Pengiktirafan Asatizah tahun lalu? Kemungkinan besar adalah, ya. Namun, persoalan tetap timbul, iaitu adakah mereka dirujuk dalam proses pembangunan peraturan ARS Mandatori?

Jika dilihat masa antara pengumuman Perdana Menteri pada bulan Ogos 2016, dan penguatkuasaan peraturan ARS Mandatori pada 1 Januari 2017, amat jelas bahawa hanya empat bulan sahaja diperuntukkan untuk menggubal peraturan tersebut.

Tempoh masa yang terlalu singkat ini tidak mengizinkan MUIS mengambil maklumbalas dari masyarakat Islam secara umum dan asatizah secara khusus (kalaupun MUIS mahukannya). Maklum-balas hanya diambil daripada Lembaga Pengiktirafan Asatizah dan ahli Majlis yang dipengerusikan oleh Presiden MUIS. Ahli Majlis ini mewakili sebilangan pertubuhan Islam di Singapura.

Pepatah Arab ada mengatakan, “perbuatan yang dibuat secara tenang dan perlahan adalah lebih selamat, sedangkan perbuatan yang dibuat secara terburu-buru akan mengundang kekesalan”.

Mungkin tempoh masa yang diberikan untuk membangunkan peraturan ARS Mandatori ini terlalu singkat. Mungkin dengan lebih banyak masa, pandangan-pandangan daripada berbagai pihak, dan yang terlebih penting suara-suara asatizah, dapat diambil kira. Maklum-balas yang dihadkan kepada kalangan anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah dan ahli Majlis menghasilkan maklum-balas yang terhad juga.

Oleh kerana peraturan ARS Mandatori ini hanyalah peraturan yang dibangunkan dalam rangka AMLA, dan bukan undang-undang AMLA itu sendiri, pengubalan dan perubahan peraturan itu lebih mudah dibuat.

Kita hanya boleh mengharapkan bahawa jika ada penggubalan peraturan tersebut, masa yang lebih panjang akan diperuntukkan untuk mengumpul lebih banyak maklum-balas.

Advertisements

One Comment

Add yours →

  1. Reduan b Ibrahim April 1, 2017 — 7:58 am

    Satu idea dan usaha yg baik oleh Pergas. Masyarakat perlu tahu siapakah orang2 disebalik usaha ini. Usaha murni untuk menyelamatkan anak2 dan keturunan kita drp ajaran sesat dan orang2 yg berselindung disebalik nama agama. Pergas harus tegas mempertahankan usaha ini dan terus menjadikan institusi asatizah institusi berwibawa, diyakini dan dihormati masyarakat.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: