Liberal Dalam Beragama: Yang Diterima dan Ditolak (Wasat, edisi no. 15/June 2017)

islam liberal

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

Oleh Ustaz Mustazah Bahari

Pendahuluan

Hari ini, dunia Islam dipenuhi dengan pelbagai istilah, label, kumpulan dan pemahaman muncul dalam dunia Islam. Sebahagiannya adalah nama-nama lama yang telah wujud lama dalam sejarah Islam seperti Sunni, Syiah, Muktazilah dan Khawarij dan sebahagian yang lain adalah baru seperti Wahabi, Salafi, Tabligh, Ikhwan dan Liberal.

Sememangnya, Islam bukan datang untuk menyatukan cara berfikir dan fahaman di kalangan umat manusia dan Islam. Tujuan utama Islam hanyalah untuk mengajak manusia beriman kepada kewujudan Tuhan yang Esa dan menyembahnya dengan melakukan kebaikan, menegakkan keadilan dan membasmi kezaliman sesuai dengan panduanNya. Islam diturunkan sebagai untuk semua manusia. Fungsi utamanya ialah untuk menginsankan manusia, bukan mengarabkan mereka. Tidak mungkin Islam mudah diterima oleh pelbagai jenis manusia yang pastinya berbeza latarbelakang pemikiran dan budaya jika ia menekankan satu bentuk pemahaman dan amalan sahaja. Kerencaman pemikiran dan amalan di kalangan para sahabat Nabi s.a.w dahulu dalam mengamalkan Islam membuktikan hal ini.

Mereka saling berbeza pendapat dan hidup dalam suasana itu. Nabi s.a.w sebagai pemimpin, tidak menganggap itu sebagai penyakit atau musibah bagi umatnya. Bahkan, beliau meraikan perbezaan tersebut. Allah mahukan Islam terbuka pada kepelbagaian agar ia boleh anjal dan meluas, sehingga Al-Quran yang Dia turunkan pun dibenarkan untuk dibaca dengan tujuh huruf bagi meraikan pelbagai loghat kabilah-kabilah Arab ketika itu.[1]

Contoh dari kalangan ulama pula ialah kisah Imam Malik yang menolak saranan Khalifah Al-Mansur untuk menjadikan kitabnya Al-Muwatta’ sebagai rujukan rasmi bagi masyarakat Islam di zaman itu kerana tidak mahu membataskan amalan dan fahaman keagamaan pada pandangannya sahaja. Pada ketika itu, beliau dikelilingi oleh ramai ulama di Madinah yang mempunyai pandangan-pandangan yang tersendiri tentang amalan Islam.[2]

Hasilnya, tiada individu yang diaibkan kerana pendapat atau amalannya, diberi label tertentu kepada mereka, atau, lebih buruk lagi, dikafirkan. Yang jelas kesalahannya hanya dinasihati tanpa menghukum.

Artikel ini ditulis untuk memberi komentar ringkas berkaitan satu lagi label yang dilontarkan pada segolongan Muslim dan banyak dibicarakan fenomenanya, iaitu golongan liberal. Fokus komentar ini ialah berkongsi pendapat tentang apa yang masih boleh diterima walau dilontarkan dengan label liberal dan apa yang tidak boleh diterima.

Maksud liberalisme dan sejarahnya

Liberal dari sudut bahasa adalah bebas kepada semua idea yang baharu dan sanggup menerima pandangan atau sikap yang berlainan apa yang dipegang oleh diri sendiri.[3]

Sejarah golongan liberal berbalik kepada gerakan liberalisme yang muncul pada ketika dunia Barat memasuki zaman pencerahan (enlightenment period), iaitu pada sekitar abad ke 16 hingga awal abad 19. Ketika itu, muncul gerakan industri dan perdagangan dalam skala yang besar dan berlandaskan teknologi baru. Untuk mengendalikan kedua hal tersebut muncullah keperluan-keperluan baru seperti jumlah buruh bebas yang ramai, ruang gerak yang tidak terbatas dan kebebasan berkreativiti. Namun keperluan-keperluan ini terhalang oleh peraturan-peraturan yang dibuat oleh pemerintahan yang berbentuk feudal. Oleh itu, muncul golongan intelektual yang mengajukan unsur rasional dan memulakan gerakan faham liberalisme.[4]

Pemikiran liberalisme muncul dalam dunia Islam pada abad ke-18 Masihi, akibat terpengaruh oleh gerakan liberalisasi agama yang telah berlaku di Barat pada abad ke-16 dan abad ke-17 Masihi, iaitu pada zaman Renaisans. Gerakan ini dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti John Locke, Rousseau, Adam Smith dan John Stuart Mill yang memperjuangkan kebebasan individu sehingga menafikan nilai-nilai moral dan aspek-aspek transendental.[5]

a god who hatesPemikiran liberal yang ditolak

Jika ditinjau kepada penulisan dan pandangan golongan liberal yang menyimpang, ia selalunya dikaitkan dengan kebebasan berfikir dalam menentukan hala tuju pegangan dan pengamalan agama. Dalam erti kata lain, setiap manusia berhak untuk mendefinisikan dan mengamalkan agama menurut pandangan peribadinya tanpa terikat dengan sebarang pengaruh lain atau pandangan-pandangan tradisional dalam urusan agama.

Keutamaan yang ingin dicapai adalah hak peribadi yang sesuai dengan cara pemikiran masing-masing untuk mengabdikan diri kepada Tuhan kerana penghujungnya nanti, Tuhan yang akan menilai, bukan manusia.

Ulil Absar Abdalla, salah seorang tokoh yang dikaitkan dengan gerakan Islam liberal di Indonesia mengatakan bahawa semua agama adalah sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi Islam bukan yang paling benar.[6]

Prinsip memberi kebebasan mutlak kepada manusia untuk menentukan cara beragama dianggap salah kerana setiap bidang urusan manusia di dunia ini pasti ada perundangan, prinsip dan sistem yang dikenal pasti sesuai dengannya. Apa jua polisi yang dibentuk dan disusun oleh manusia pasti ada perundangan yang mengatur dan membatasnya. Begitulah juga dalam bidang agama, sudah pasti ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi dalam mengamalkan Islam dan, dalam Islam, syarat-syarat dan aturan ini harus berdasarkan sumber Al-Quran dan Sunnah. Setelah itu pula ialah persetujuan para ilmuwan Islam mengenai sesuatu perkara yang dianggap baik untuk diamalkan berpandukan kedua-dua sumber asas tadi.

Hukum hakam dan amalan yang berbentuk qat’ie seperti berwuduk untuk solat, solat lima waktu, puasa Ramadan, melaksanakan haji seumur hidup sekali tidak boleh diubah atau ditakwilkan kepada maksud yang lain.

Termasuk dalam golongan ini juga ialah pendapat yang memperjuangkan hak peribadi golongan LGBT dalam pemilihan pasangan dan pendapat yang menyeru untuk menilai semula Al-Quran yang diturunkan mengikut pandangan yang terbuka tanpa sekatan kepada ahli-ahlinya sahaja. Bagi Ulil Absar, Al-Quran adalah teks terbuka kepada penafsiran dari pihak mana pun. Hak berkenaan bukan eksklusif bagi golongan ortodoks. Malah golongan heterodoks yang dipandang sesat oleh ortodoks juga berhak untuk menafsirkan Al-Quran mengikut kefahaman mereka.[7]

Tidak dinafikan bahawa terdapat di kalangan golongan liberal yang menggunakan nas agama sebagai dalil bagi penghujahan pandangan mereka, tetapi nas-nas agama itu perlu juga dinilai dari sudut keasliannya dan metodologi penafsirannya.

Pemikiran liberal yang diterima

Terkait dengan definisi liberal yang bermaksud bebas dalam mengeluarkan idea dan boleh menerima pandangan lain yang berbeza dengan pandangan sendiri, Islam memberi banyak ruang untuk manusia untuk ini baik dalam bidang keagamaan atau kehidupan, walau pun terikat dengan syarat-syarat dan aturan.

Dewasa ini, terdapat kecenderungan untuk melabel individu atau kumpulan yang mengemukakan pandangan baharu dalam Islam sebagai seorang atau aliran liberal.radical reform

Persoalannya ialah, apakah tidak pernah berlaku dalam lipatan sejarah, perundangan yang berubah-ubah, sesuai dengan keadaan sekitaran ketika itu? Jika setiap pandangan baharu yang diketengahkan adalah bersifat liberal, nescaya ramai para ulama silam Islam rata-rata adalah golongan liberal dan tertolak. Misalnya, Imam Abu Hanifah yang mempelopori penggunaan konsep istihsan dan Imam Malik yang membangun idea Masalih Mursalah bagi tujuan mengeluarkan hukum di zaman masing-masing. Hari ini, kededua kaedah istinbat hukum ini amat popular bagi mereka yang berusaha melakukan ijtihad semula atau baru hukum-hukum Islam. Hakikatnya, kededua imam ini dihormati dan diterima sebagai pencetus dua dari empat mazhab utama fiqh Islam.

Hari ini kita dididik untuk menghormati dan meraikan perbezaan pandangan para ulama silam, tetapi adakah perbezaan pendapat yang patut diterima baik hanya dari ulama silam sahaja? Apakah jika terdapat pandangan baru yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang berkelayakan, terus sahaja ditolak dan dianggap sebagai liberal? Lebih menyedihkan lagi jika ada yang mengkritik pihak tertentu hanya kerana tidak ada persamaan dalam manhaj, tetapi apabila ‘geng’nya yang memberi pendapat yang sama, diterima pula dengan baik.

Kesimpulan

Pada dasarnya, perkataan liberal dari sudut bahasa tidak menyalahi sebarang perundangan atau sistem urusan hidup manusia. Memang secara dasar, manusia bebas dan tidak terbelenggu dengan sebarang perundangan sehinggalah datang kepadanya undang-undang yang baik dan perlu diamalkan bagi mewujudkan ruang keharmonian antara mereka dengan alam sekitarnya.

Namun, setiap perundangan perlu kepada dawabit. Jika membicarakan tentang perundangan Islam, pastinya ia dibangunkan dengan berpandukan sumber wahyu, Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Apa sahaja yang bercanggah dengan kedua sumber tersebut tidak dapat diterima.

Sebagaimana dalam bidang-bidang yang lain juga, apabila telah ditetapkan polisi atau perundangannya, manusia perlu akur dan perlu menerimanya.

Begitu juga dalam membicarakan tentang Islam, perlu dikenal pasti sudut yang tetap dan sudut-sudut yang boleh diraikan. Oleh kerana Islam itu luas, mencakupi segala aspek kehidupan manusia, sudah pasti perlu diberikan tumpuan khusus kepada aspek-aspek yang tertentu.

Akhlak yang baik adalah Islam, berhubungan baik sesama manusia adalah Islam, berpakaian baik dan sopan adalah Islam, berinovasi adalah Islam dan banyak lagi usaha-usaha manusia dalam kehidupan tidak terlepas dari prinsip Islam. Ada di antaranya yang telah diputuskan dan tidak boleh diubah, ada pula yang bersifat terbuka. Contohnya pandangan yang berbeza mengenai kewajipan solat lima waktu, tidak boleh diterima kerana ia sesuatu yang sudah disepakati dalam Islam. Hubungan atau pernikahan sejenis tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan fitrah manusia, tetapi bukanlah bererti golongan LGBT perlu dikutuk dan disisihkan dalam masyarakat.

Sangkaan dan tanggapan yang selalu menyesatkan pandangan seseorang terhadap sesuatu perkara, apatah lagi apabila ramai yang menyuarakan tentang sesuatu perkara sehingga menjadi isu yang perlu dibimbangi sedangkan ia tidak semestinya sebegitu, perlu pada teguran yang berimbang. Misalnya:

  • tanggapan seseorang terhadap sarjana Muslim yang melanjutkan pengajian di negara barat, dikatakan telah menjadi lemah imannya dan tidak lagi islamik
  • tanggapan terhadap pandangan mengenai keperluan menilai semula perkara-perkara tertentu di dalam Islam sebagai liberal, walau pun orang berkenaan mempunyai keahlian dalam ilmu yang dibicarakannya
  • tanggapan liberal terhadap seseorang kerana mufti dan anjingmempersoalkan tentang kewajaran amalan tertentu dalam Islam seperti pandangan bahawa memakai serban bukan sunnah, mempamerkan gambar bernyawa dalam rumah adalah harus, pakaian isbal bukan haram secara mutlak atau musik adalah halal pada dasarnya.

Apa yang wajar dilakukan ialah berdiskusi, atau berdebat secara ilmiah dan jauhi dari sikap takfir. Golongan ultra liberal yang memang nyata banyak menimbulkan kontroversi di dalam Islam perlu dinasihatkan tanpa perlu memurtadkan mereka kerana kuasa melalkukan takfir bukan di tangan individu atau kumpulan, tidak kira samada individu itu seorang tokoh agama atau kumpulan itu sebuah kumpulan Islam.

Berpandukan kepada Deklarasi Amman, setiap individu yang percaya kepada Tuhan, mengagungkan-Nya dan mengesakan-Nya, kemudian mengaku Muhammad s.a.w sebagai Rasul-Nya, seterusnya tidak menafikan rukun Islam serta tidak menafikan apa sahaja yang menjadi al-ma’lum min al-din bi al-darurah (apa yang diketahui dalam agama tanpa perlu ilmu mendalam), ia adalah seorang Muslim dan tidak boleh dikafirkan.[8]

Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi mengatakan bahawa setiap individu yang mengucapkan dua kalimah syahadat adalah seorang Muslim. Kesalahan dan maksiat yang dilakukan akan dihukum dengan dosa dan ancaman azab di akhirat, tapi tidak mesti mengakibatkan terkeluar agama.[9]

Dalam kumpulan apa sekalipun yang wujud pada zaman ini dan lampau, pasti terdapat di kalangan ahlinya yang bersikap ekstrem dalam menyuarakan pandangan. Boleh sahaja berlaku seorang yang mendakwa dirinya seorang salafi, tetapi pandangannya bercanggah langsung dengan manhaj salaf. Ada juga yang mendakwa diri sebagai sufi, tetapi bercanggah juga dengan displin ilmu tasawwuf yang diajarkan. Begitulah juga, dalam lingkungan golongan liberal, ada yang melampaui batasan-batasan dan prinsip yang ditetapkan dalam ruangan kebebasan fikiran dan berfikir.

Selain itu, seseorang yang terkenal dengan pandangan liberalnya tidak semestinya terus kekal menjadi liberal sepanjang hidupnya, atau salah dalam semua pandangan yang diberi. Adakalnya pandangan yang diberi adalah wajar dan patut diberi perhatian. Misalnya isu hukuman hudud potong tangan bagi jenayah mencuri, perlu dilihat dari sudut keadilan pemerintah dan keadaan sosial sebelum ia dilaksanakan.[10]

Pastinya isu-isu yang berkaitan urusan hidup yang terkait dengan urusan agama tidak dapat diputuskan atau dihadkan. Terlalu banyak kerencaman dan cabaran baru yang timbul. Setiap isu yang timbul perlu dibahaskan dengan disiplin ilmu yang telah diterima baik oleh ahli-ahlinya dan dinilai dengan sikap yang adil dan wasatiy.

—————————————

Nota:

[1]Rasulullah s.a.w bersabda, “Malaikat Jibril membacakan (Al-Quran) kepadaku (sesuai) dengan satu huruf. Lalu aku mengulang  membacanya, dan tidak hentinya aku minta untuk ditambah dan ia menambahkannya pula. Sampai pada tujuh huruf.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

[2]Abhath Hai’at Kibar Al-`Ulama, lihat di http://www.alifta.net/Fatawa/FatawaChapters.aspx?languagename=ar&View=Page&PageID=282&PageNo=1&BookID=1 (4 April 2017).

[3]Lihat English Oxford Living Dictionaries, “Liberal”, di https://en.oxforddictionaries.com/definition/liberal (11 Mei 2017).

[4] Edmund Fawcett (2014), Liberalism the Life of an Idea, New Jersey: Princeton University, ms. 7-8.

[5]Lihat Mazlan Ibrahim et. al. (2013), “Pengajian Islam Di IPT Malaysia Dalam Menangani Cabaran Islam Liberal”, Jurnal Hadhari, 5:1,  di http://www.ukm.my/jhadhari/makalah/V5n12013/makalah03.pdf (11 Mei 2017).

[6]Mohammad Kamil Abd Majid et. al. (2006), Islam Liberal: Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong,  Selangor: Kaya Bestari, ms. 161.

[7]Ulil Absar-Abdalla (2013), “Pandangan Muslim Liberal Tentang Al-Quran”, islamlib.com, 24 September, di http://islamlib.com/kajian/quran/pemahaman-tentang-quran/ (9 Mei 2017)

[8]Lihat Amman Message, di http://ammanmessage.com/the-three-points-of-the-amman-message-v-1/ (11 Mei 2017).

[9]Yusuf Al-Qaradhawi (2008), “La nukaffir hukkam aw mahkumin min Ahl Al-Sunnah ma damu lam yunaqidhu Islamahum bi `amal aw qawl –  al-raja’ darurat al-tafriq bayn al-kufr al-i`tiqad wa al-kufr al-`amal”, Youtube, 18 Oktober, di  https://www.youtube.com/watch?v=hc_PvGNiKc8 (9 Mei 2017).

[10] Masdar F. Mas’udi (2001), “Keadilan Dulu, Baru Potong Tangan”, islamlib.com, 27 Julai, di http://islamlib.com/kajian/fikih/masdar-f-masudi-keadilan-dulu-baru-potong-tangan/ (9 Mei 2017).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: