Pesanan Untuk Mahasiswa Tahun Pertama Universiti (Wasat, Edisi no. 17/October 2017)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

sg varsityPesanan Untuk Mahasiswa Tahun Pertama Universiti

Oleh Saudara Mohd Hafiz Kusairi

Tahun pertama di universiti sering dianggap sebagai tahun santai oleh sebahagian mahasiswa kerana ia merupakan tahun di mana mereka sekadar perlu mengambil modul-modul pengenalan bagi menarik minat pada bidang-bidang pengkhususan di tahun-tahun berikutnya. Namun jika tidak disertakan wawasan yang padu, tahun pertama seorang mahasiwa boleh membuang setahun daripada masa kehidupannya dan menjejas sisa-sisa masanya di universiti.

Baru-baru ini, saya telah diundang untuk berkongsi panduan bersama para mahasiswa baru yang akan memulakan tahun pertama di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).

Artikel ini merupakan intipati yang disampaikan di majlis berkenaan. Ia ditulis dan diterbitkan di Wasat bagi manfaat semua mahasiswa tahun pertama di institut pengajian tinggi yang lain, bakal mahasiswa di masa akan datang, baik di dalam atau luar negara dan mereka yang sudah pun memasuki tahun-tahun selanjutnya di menara gading.

Ia ditulis atas kesedaran bahawa fasa kehidupan sebagai mahasiswa adalah satu fasa yang penting bagi pembentukan peribadi seorang Muslim untuk capai kecemerlangan, salah satu dari ciri-ciri wasatiyah. Oleh itu, ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang telah dikurniakan nikmat untuk melalui fasa ini – nikmat yang hanya dikurniakan kepada segelintir sahaja dari kalangan para pelajar Muslim dari setiap kohot masing-masing. Sebagai satu nikmat ia perlu disyukuri yang ditunjukkan dengan usaha gigih untuk memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin. Kesemua ini amat sejajar dengan usaha meuar-uarkan amalan wasatiyah (kecemerlangan) dalam kehidupan segenap lapisan masyarakat Muslim di Singapura.

Kepentingan menetapkan matlamat

Matlamat seseorang, samada di universiti, tempat kerja, dalam rumahtangga atau peringkat mana pun kehidupan kita, hanya akan jelas seandainya dia terlebih dahulu menuju matlamat yang ditetapkan oleh Allah taala untuk setiap hambaNya.

Imam Raghib Al-Isfahani menyatakan bahawa matlamat kehidupan manusia terbahagi kepada dua. Pertama, ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah taala sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran, “…mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.” (Al-Bayyinah, 5)

Ibadah merupakan tali pengikat antara hamba dan Penciptanya. Di dalam mengharungi suasana pendidikan di universiti yang akan memperkasa kemampuan intelek kita, adalah penting untuk kita memperbanyakkan sujud kepada Allah taala agar sentiasa terpandu niat, akal dan perbuatan kita. Ibadah yang tulus akan juga melahirkan jiwa yang sentiasa merendah diri kerana menyedari bahawa keberadaan kita di universiti ini tidak lain hanyalah kurniaan dari Allah Yang Maha Kaya lagi Bijaksana. Sebaliknya, kebijaksanaan yang tidak berpaksikan hubungan dengan Allah taala dikhuatiri akan melahirkan insan yang bukan sahaja tidak lagi memuji PenciptaNya bahkan memuja kebijaksanaannya sendiri.

ntums

Nabi Sulaiman a.s di dalam mengenangkan kebijaksanaan, kemewahan dan kuasa yang dimilikinya mengatakan kalimah-kalimah berikut dengan penuh keinsafan, “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.” (Al-Naml, 40)

Kedua, ialah untuk membawa manfaat kepada setiap ciptaan Allah sebagaimana yang tersebut dalam Al-Quran, “Dia yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.” (Hud, 61)

Bagi mahasiswa yang merupakan kelompok istimewa bagi mana-mana masyarakat, masa yang dimiliki ini perlulah dimanfaatkan melebihi dari hanya untuk menyelesaikan tugasan ataupun kajian sendiri; tetapi juga untuk menyibukkan diri dengan inisiatif-inisiatif yang dapat meningkatkan keadaan masyarakat di sekeliling kita. Ini boleh direalisasikan sama ada dengan menyertai persatuan-persatuan yang bermatlamat demikian ataupun memulakan inisiatif sendiri untuk kebaikan masyarakat.

Kedua-dua yang matlamat yang disebutkan di atas ini perlu dipaksikan dengan tekad dalam jiwa untuk menjadi insan yang sentiasa berpedoman dan memanifestasikan hubungan dengan Allah taala dengan sentiasa menjadikan khidmat kepada ciptaanNya sebagai teras kewujudannya di dunia ini. Mahasiswa perlu mengelakkan diri daripada menjadi golongan yang merasakan hanya berusaha mensolehkan kehidupan beragama dirinya sahaja, tidak peka akan keadaan masyarakat dan tidak berusaha untuk turut menyibukkan diri dengan usaha mensolehkan masyarakat wasilah lain untuk mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan waktu di universiti tertumpu ke arah natijah yang telah didasarkan oleh Imam Raghib Al-Isfahani yang dinyatakan di atas. Berikut adalah lima langkah untuk direnungkan. 

  1. Mewujudkan halaqah kecil untuk meningkatkan kewibawaan jiwa

Ini boleh dilakukan secara rasmi melalui organisasi yang sedia ada atau secara tidak rasmi melalui usaha peribadi dan rakan-rakan lain. Sesi ini boleh melibatkan pembacaan Al-Quran bersama yang diikuti dengan perkongsian yang bersifat umum. Elakkan perbincangan tentang perkara yang berpotensi untuk menimbulkan perdebatan tentang perkara yang memang sudah sedia memecah-belahkan masyarakat seperti masalah sambutan maulid, bertahlil dan cara gerak dalam solat. Sebaliknya tumpukan perkongsian kepada perkara yang bersifat umum dan keprihatinan bersama secara konstruktif.

  1. Luangkan masa untuk membaca dan mengkaji

Usrah (1)Dalam zaman penggunaan media sosial yang berleluasa, minat kepada aktiviti membaca secara serius telah digantikan dengan kebiasaan membaca bahan-bahan daripada media sosial sahaja. Memang tidak dinafikan bahawa tidak semua bahan di media sosial perlu dipertikaikan dan ada mendatangkan faedah. Namun, secara keseluruhannya, membaca melalui media sosial masih belum mampu melahirkan natijah yang lebih hebat daripada kita duduk dengan berdisiplin untuk menghargai dan mendalami hasil tangan cendekiawan-cendekiawan sebelum kita. Membaca tentang jerih perih mereka sudah cukup untuk menjadi inspirasi. Bagikan bahan bacaan dan kajian kita kepada tiga perkara:

  1. Membaca bahan untuk memperkasa keperibadian dan wawasan diri.
  2. Membaca bahan yang berkait dengan tugasan dan pengkhususan kita.
  3. Membaca bahan untuk meneroka pelbagai cara untuk menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat.

Hal ini menjadi lebih genting bagi mahasiswa yang mana pembelajaran melalui kajian yang mendalam dan bersumber dari sumber-sumber primer adalah satu aspek yang penting bagi melahirkan insan-insan yang mempunyai daya intelek dan budaya ilmu yang tinggi. 

  1. Aktif di dalam perbincangan

Keghairahan membaca secara serius akan menajamkan pemikiran dan melahirkan persoalan mahupun perspektif baru yang perlu dirungkaikan. Hal ini hendaklah dicapai melalui sesi perbincangan sama ada secara rasmi di kelas (tutorials) mahupun di luarnya. Perbincangan yang bermanfaat mengandungi tiga ciri:

  1. Tulus untuk mempertahankan atau menguji keteguhan perspektif yang diyakini
  2. Ikhlas untuk memanfaatkan pendapat orang lain untuk memperbaiki perspektif yang sedia ada
  3. Menjadi semakin berakhlak mulia walaupun di dalam kesengitan mempertahankan dan memberi pendapat.

Secara amnya, sistem pendidikan universiti menyediakan ruang yang luas untuk membahaskan sesuatu tajuk dengan lebih terperinci dan mendalam. Peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Amat menyedihkan, jika berlalu sesi demi sesi perbincangan tanpa usaha di pihak mahasiswa untuk menyumbang buah fikiran pada sesuatu isu kerana kegagalan membuat kajian awal. Terdapat juga sebahagian mahasiswa yang hanya akan mengambil bahagian di dalam perbincangan hanya jika pemarkahan akhir bagi sesuatu modul mengambil kira penglibatan aktif di dalam perbincangan. Yang baik ialah menjadikan perbincangan sebagai budaya hidup dalam mencari ilmu dan bukan hanya untuk mendapat markah akhir yang baik.

  1. Membuka mata

Masa dan mata para mahasiswa di universiti tidak seharusnya tertumpu hanya pada buku dan nota sahaja. Jika satu kesimpulan mudah dapat dibuat, ilmu yang diperolehi di universiti adalah melalui sesi kuliah, kelas, pembelajaran dan kajian sedangkan amalnya pula adalah kesungguhan untuk meneroka ruang-ruang untuk menyumbang kepakaran demi kemaslahatan masyarakat dunia. Ini memerlukan kecelikan mata kepala yang sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat. Mata dan hati mahasiswa pula perlu untuk menyedari bahawa keberadaan di universiti bukanlah atas misi tunggal mendapatkan segulung ijazah tanpa pertimbangan pada keadaan sekeliling.

  1. Bijak memilih teman

 Selain matlamat hidup yang jelas, mahasiswa amat memerlukan sokongan insan yang dapat mendorongnya ke arah pencapaian matlamat tersebut. Selain daripada ibu bapa dan guru-guru, fungsi seorang teman amatlah penting. Adalah wajar bagi mahasiswa untuk memanfaatkan masa di universiti bagi meluaskan rangkaian kenalannya. Namun, jadikanlah teman yang paling akrab ialah teman yang berkongsi pendirian bahawa waktu di universiti bukanlah waktu untuk dibuang percuma; bahawa ia merupakan waktu terbaik untuk kita menyumbang kepada peningkatan diri dan suasannusmsa di sekeliling kita dan dicapai tanpa perlu menjadi kera sumbang di universiti.

Semoga artikel ringkas ini dapat menjadi panduan mudah untuk para mahasiswa menempuh hari-hari yang mendatang di universiti.

Jika mahasiswa meletakkan asas yang baik untuk langkah awal di universiti, dia akan sentiasa ditemani kebaikan walaupun setelah lama meninggalkan hari terakhirnya di universiti.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: