Wasatiyah Dalam Memahami Ayat-ayat Mutasyabihat Di Sisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah (Wasat, Edisi no. 17/October 2017)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

Wasatiyah Dalam Memahami Ayat-ayat Mutasyabihat Di Sisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah

ahlussunah asyairahOleh Ustaz TM Fouzy TM Mahid Jumat

Sebagaimana terdapat khilaf (perbezaan pendapat) dalam masalah cabang di dalam ilmu fiqh, ia juga wujud dalam perkara cabang ilmu akidah atau tauhid.

Yang tiada khilaf di sisi ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) hanyalah dalam masalah yang usul (dasar, seperti yang bersangkut paut dengan Zat Allah taala).

Namun terdapat segolongan yang mendakwa diri mereka sebagai ASWJ tetapi apabila dianalisa pendapat mereka dalam masalah ayat-ayat Al-Quran dan nas-nas hadith yang bersifat mutasyabihat (yang mempunyai maksud yang tidak jelas), didapati ia bertentangan dengan majoriti pegangan majoriti ASWJ.

Para sahabat dan nas mutasyabihat dan sejarah timbul metodologi takwil

Syeikh Al-`Allamah Muhammad bin Ibrahim bin Sa`dullah bin Jamaah, yang masyhur dengan nama Syeikh Badruddin bin Jamaah (wafat 727H), berkata dalam kitab Al-Idhah di muka surat 90-95, berkaitan firman Allah taala, “Tidak Kami utuskan dari seseorang Rasul melainkan diatas lidah (bahasa) kaumnya agar ia dapat menerangkan kepada mereka.” (Ibrahim, 4) bahawa Allah taala telah mengutus nabi Muhammad s.a.w dengan bahasa kaumnya yang berbangsa Arab yang fasih. Lalu diturunkan Al-Quran yang di dalamnya terdapat perkara keimanan, dalil-dalil hukum dan penerangan apa yang halal dan haram. Al-Quran berbicara kepada mereka dengan bahasa Arab yang mereka fahami dan terdiri dari kalimat yang mempunya makna sebenar (haqiqah) dan kiasan (majaz), bermakna jelas dan samar-samar, isti`arah dan kinayah, nas dan zahir, mutlaq dan muqayyad dan umum dan khusus.

Para sahabat r.a tidak mengajukan banyak persoalan ketika ayat Al-Quran diturunkan atau ketika hadith disampaikan kepada mereka kerana mereka memahaminya dengan baik. Sebab itu juga, mereka tidak bersusah payah untuk membahaskannya.

Oleh itu, apabila diturunkan ayat, “Jangan engkau jadikan tanganmu terikat di tengkokmu, dan janganlah membukanya sebuka-bukanya nescaya engkau akan tercela dan menyesal.” (Al-Isra’, 29), para sahabat tidak bersikap ragu-ragu bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ialah sifat kedekut dan pemurah, bukan bermaksud benar-benar tangan diikat dileher atau tangan yang dibuka luas.

Para sahabat tidak ragu-ragu bahawa yang dimaksudkan “turunkan” dalam ayat, “Dan Kami turunkan besi.” (Al-Hadid, 25), ialah “jadikan”.

Para sahabat r.a. juga tidak ragu- ragu bahawa sesuatu yang tidak layak untuk Allah taala bukanlah makna yang dikehendaki olehNya seperti Firman Allah taala, “Kemudian Allah beristiwa’ di atas arasy.” (Al-A`raf, 54) dan “Allah bersama kamu di mana jua kamu berada.” (Al-Hadid, 4) serta ayat-ayat mutasyabihat yang sama.

Demikian juga pendirian para sahabat terhadap mutasyabihat dalam hadith, seperti sabda Nabi s.a.w, “Setiap hari, Tuhan kita turun ke langit dunia.” (Riwayat Muslim).

Mereka memahami semua lafaz-lafaz mutasyabihat dengan makna yang sesuai dengan kebesaran dan keagungan Allah taala berdasarkan kaedah bahasa Arab itu sendiri, iaitu kesemuanya adalah lafaz majaz (metafora).

Oleh kerana kefasihan para sahabat dalam bahasa Arab membolehkan mereka memahami maksud dari kata kiasan itu, tidak timbul keperluan untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Jika mereka tidak memahami, mereka pasti bertanya Rasulullah s.a.w dan membahaskannya. Sebagai contoh, mereka bertanya tentang haid sehingga turunlah ayat, “Mereka bertanya kepada Engkau mengenai haid…” (Al-Baqarah, 222) dan mengenai harta anak yatim hingga turun ayat, “Mereka bertanya kepadamu perihal (harta) anak-anak yatim….” (Al-Baqarah, 220).

Jika para sahabat bertanya tentang soal haid kerana tidak faham, apakah mungkin mereka tidak bertanya soal sifat-sifat Allah taala ketika diturunkan kepada mereka jika tidak memahaminya. Sedangkan mengenal Allah taala adalah asas iman padaNya.

Namun, apabila Islam semakin berkembang luas, orang yang tidak menguasai bahasa Arab dengan baik menganut Islam pun semakin ramai. Mereka tidak memahami dengan baik lafaz-lafaz majaz, kinayah dan isti’arah dan sebagainya. Sehingga sebahagian mereka terjatuh ke dalam fahaman tajsim (menganggap Allah bertubuh badan seperti makhluk) dan sebahagian yang lain pula terjebak ke dalam ta`til (membatalkan sifat sifat Allah taala) hingga berpecah umat Islam kepada pelbagai puak dan golongan sebagaimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w:

“Bahawa Bani Israil telah berpecah kepada 72 golongan dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan, semuanya masuk neraka kecuali satu”. Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya: “Siapakah yang satu itu, ya Rasulullah?”  Nabi s.a.w menjawab: “Yang satu itu ialah orang yang berpegang (beriktikad) seperti peganganku (iktikadku) dan pegangan sahabat-sahabatku” (Riwayat Al- Tirmizi). salaf khalaf cover

Dalam hal ini, muncul ASWJ yang berdiri atas kebenaran membanteras fahaman yang direka cipta itu. Mereka ini terbahagi kepada dua mazhab.

Dua mazhab (cara) ASWJ dalam soal mutasyabihat

Pertama: Cara Takwil

Cara takwil adalah satu pendekatan ijtihad para ulama di bawah sesuatu usul yang ditetapkan.

Cara takwil ini membidas dan mematahkan golongan mujassimah (yang menganggap Allah taala seperti jisim dan bertubuh badan), golongan mua`ttilah (yang membatalkan sifat-sifat Allah taala yang menyerupai sifat makhluk), golongan musyabbihah (yang menyerupakan dan menyamakan Allah taala dengan makhluk) dan golongan mu`tazilah (yang lebih mengutamakan akal lebih dari nas Al-Quran dan hadith).

Cara takwil ini berusaha mengembalikan penggunaan ayat-ayat dan hadith-hadith yang mutasyabihat (samar- samar) kepada makna dan maksud yang sesuai dengan kebesaran dan keagungan Allah taala berdasarkan petunjuk dari bahasa Arab, logik akal dan nas syarak untuk membenarkan yang benar dan membatalkan yang batil.

Kedua: Cara Tafwidh

Mereka yang berpegang dengan pendekatan ini terdiri dari kalangan ulama yang berpegang dengan pendapat majoriti ulama salaf yang berfahaman bahawa ayat- ayat mutasyabihat tidak sama sekali bermaksud apa yang tidak layak bagi kebesaran dan keagungan Allah taala dan tidak pula mentakwil maksud lafaz-lafaz mutasyabihat dengan makna yang sesuai dan layak dengan kebesaran Allah taala.

Jadi dalam usaha memahami kalam Allah taala dalam bahasa Arab, hendaklah diketahui bahawa apa jua makna yang tidak sesuai dengan kebesaran Allah taala, ia sama sekali tidak dikehendaki olehNya.

Perlu juga diberi perhatian pada mana-mana lafaz bahasa Arab yang bersangkut paut dengan Zat Yang Maha Suci atau sifat-sifatNya yang agung, samada ia mengandungi hanya satu makna sahaja atau beberapa makna.

Jika lafaz itu tidak mengandungi melainkan satu makna yang sesuai dengan keagungan Allah taala seperti “ilmu”, wajiblah menetapkan makna itu untuk Allah Yang Maha Sempurna.

Jika ia mempunyai beberapa makna yang tidak jelas, memilih pendapat majoriti ulama salaf adalah lebih selamat dari mencari-cari makna yang tidak jelas maksudnya.

Namun, jika lafaz itu mengandungi beberapa makna yang sesuai dengan kebesaran Allah taala, ulama salaf dan khalaf menggunakan dua pendekatan yang bijak lagi selamat, iaitu samada menggunakan takwil atau tafwidh. 

Perbezaan antara cara tafwidh dan takwil yang diamalkan oleh ulama salaf dalam ASWJ berkaitan nas-nas mutasyabihat

Sebelum kita mengupas lebih lanjut isu ini, perlu dimaklumi bahawa ulama ASWJ terbahagi kepada dua golongan:

  • Golongan salaf, iaitu ulama yang hidup pada tiga kurun pertama hijrah.
  • Golongan khalaf, iaitu ulama yang hidup selepas tiga kurun yang pertama hijrah.

Apabila berhadapan dengan nas-nas mutasyabihat, ASWJ mengambil dua pendekatan sahaja.

Pendekatan pertama ialah pendekatan tafwidh yang, di sisi istilah syarak, bermaksud menyerahkan erti makna nas mutasyabihat itu kepada Allah taala tanpa memberikan ertinya sama sekali (tanpa takwil, tashbih dan tajsim).

amman messagePendekatan ini dalam masa yang sama menafikan persamaan Allah taala dengan makhluk dalam semua segi samada anggota, tempat dan sifat-sifat kekurangan yang juga dikenali sebagai ta’wil ijmali.

Pendirian tafwidh ini diambil memandangkan lafaz zahir nas mutasyabihat berkenaan sama sekali tidak dikehendaki kerana tidak sesuai dengan sifat keagungan dan kebesaran Allah taala. Kalau sekiranya nas mutasyabihat difahami secara literal, ia akan membawa kepada akidah tajsim sepertimana kaum mujassimah. Ia berlaku apabila mereka mengambil makna yang zahir kemudian menyerahkan kaifiatnya kepada Allah, dengan mendakwa mengikuti cara tafwidh yang digunakan ulama salaf sedangkan ulama salaf tidak mengambil makna yang zahir dari nas mutasyabihat kerana ada qarinah (sesuatu petunjuk) yang melarang mereka melakukan sedemikian.

Pendekatan kedua ialah cara takwil yang mana menurut istilah syarak bermaksud memalingkan sesuatu lafaz dari makna zahirnya ke makna yang sesuai dengan ayat itu kerana wujudnya qarinah yang memalingkannya.

Mereka mengertikan makna dan maksud nas-nas mutasyabihat itu selaras dengan bahasa Arab yang diturunkan Al-Quran ke atas Rasulullah s.a.w serta sesuai dengan kebesaran Allah dan keagunganNya yang suci dari menyerupai apa jua sifat-sifat makhluk.

Maka perbezaan cara tafwidh dan takwil adalah dalam menetapkan makna yang khusus, bersesuaian dengan kebesaran Allah taala yang kembali kepada usul yang sama, iaitu firmanNya, “Tiada bagi Allah seumpama sesuatu, sedang Dia maha mendengar lagi maha melihat.” (Al-Syura, 11)

Para ulama ASWJ telah bersepakat bahawa kedua-dua cara tafwidh dan takwil adalah sah dan harus diikuti kerana kedua-duanya berpaksikan bahawa Allah taala suci dari apa jua persamaan dengan makhluk. Kedua-dua cara ini adalah pendekatan para ulama salaf dan Asya`irah yang diwarisi oleh para sahabat dari Nabi s.a.w. Maka dapat difahami di sini bahawa akidah ulama salaf tidak ada beza dengan akidah Asya`irah dalam memahami nas mutasyabihat. Perkara ini disebut oleh Imam Al-Subuki di dalam kitabnya Tabaqat Al-Shafi`yyah Al-Kubra, “Ketahuilah sesungguhnya Abu Al-Hassan Al-Ash`ari tidak mengadakan suatu bid`ah pendapat dan tidak mencipta mazhab. Ia hanyalah membenarkan dan mengukuhkan mazhab salaf.”

Terdapat salah faham, apabila ada yang menyangka wujud perbezaaan ketara antara pendekatan tafwidh dan takwil. Yang sebenarnya adalah tidak. Pendekatan tafwidh tidak mengkhususkan makna yang sesuai bagi nas mutasyabihat, manakala pendekatan takwil pula mengkhususkannya.

Ini bukan bererti sebahagian ulama salaf yang tidak menetapkan makna yang khusus dan mereka tidak memahami maknanya sebagaimana sebahagian orang menyangka. Mereka melakukan sedemikian untuk menyelamatkan orang awam dari terjerumus dalam kesalahfahaman, jika mereka menyibukkan diri dengannya. Pada ketika itu pula, golongan mujassimah belum wujud dengan ramai dan idea yang mentakwilkan nas mutasyabihat dengan takwil yang batil belum tersebar luas. Mereka berpendapat, kerana melihat kepada kedaan semasa yang sedemikian, tidak meletak makna yang khusus adalah lebih baik.

Namun apabila golongan mujassimah menjadi semakin ramai, para ulama menukar pendekatan kepada cara takwil kerana mengelakkan orang awam dari terjerumus dalam akidah tajsim sebagaimana yang berlaku hari ini apabila pendekatan tafwidh disalahguna hingga ada yang jatuh dalam akidah tajsim.

Perbezaan yang berlaku di kalangan ulama salaf dan khalaf hanyalah dalam hendak mengertikan lafaz yang mutasyabihat. Kebanyakan ulama salaf memilih jalan tafwidh. Manakala ulama khalaf dan sebahagian ulama salaf memilih jalan takwil.  

Hal ini jelas sepertimana yang dikatakan oleh Al-Imam Al-Nawawi dalam kitab Majmu` Syarh Al-Muhazzab (1/25):

“Ulama ASWJ telah berbeza pendapat dalam ayat-ayat sifat dan hadith berkaitan, apakah ditakwilkan atau tidak? Maka ada yang berkata ditakwilkan dengan apa yang layak dengan nas-nas tersebut. Ini adalah mazhab yang masyhur dari salah satu dua mazhab bagi ulama Kalam (akidah). Berkata yang lain pula: Tidak ditakwilkan. Hanya dihentikan perbicaraan maknanya dan diserahkan ilmunya itu kepada Allah taala di samping hendaklah diitikadkan bahawa Allah taala tersuci dan ternafi dari sifat-sifat yang baharu. Seperti katanya: Aku beriman dengan firman Allah taala [yang bermaksud], “Kemudian Allah beristiwa’ di atas arasy”, tapi kami tidak tahu hakikat makna dan maksud yang dikehendaki Allah taala di samping kami beritikad bahawa Allah taala, “tidak seumpama sesuatu” dan bahawasanya Allah taala tersuci dari hulul (menyerap masuk dalam makhluk) dan dari sekalian sifat-sifat makhluk. Inilah dia jalan ulama salaf atau majoritinya dan cara ini merupakan lebih selamat.”

Pembahagian takwil

Ulama ASWJ telah membahagikan takwil kepada dua bahagian.

Pertama, ialah ta’wil ijmali, iaitu takwil secara umum tanpa ditentukan sesuatu makna. Ini yang dikenali sebagai tafwidh salaf.

Golongan ini bersetuju menerima pakai ta’wil ijmali, yang bermaksud Allah taala Maha Suci dari apa jua persamaan dengan makhluk. Ada pun nas-nas mutasyabihat itu bukan dimaksudkan dengan maknanya yang zahir kerana Allah taala tidak sama sekali menyerupai makhlukNya.

Kedua ialah ta’wil tafsili, iaitu takwil secara terperinci dengan menetapkan makna dan maksud yang dikehendaki secara jelas. Ini adalah pendekatan mazhab takwil yang dinyatakan di atas.

Dr. Syeikh Ramadhan Al-Buthi menulis dalam kitabnya Kubra Yaqiniyyat (ms.138):

“Mazhab salaf tidak membicarakan atau takwil atau tafsir secara terperinci nas-nas ini (mutasyabihat). Mereka berpada dengan menetapkan kepada Allah taala apa yang Allah taala sudah tetapkan bagi ZatNya serta menyucikan Allah taala dari semua kekurangan dan penyerupaan dengan segala yang baru. Jalan untuk yang sedemkian pula ialah dengan melakukan ta’wil ijmali segala nas-nas ini dan menyerahkan pengetahuan yang terperinci (ta’wil tafsili) kepada Allah taala……….. Adapun meninggalkan nas-nas ini atas zahirnya tanpa ditakwilkan, samada ta’wil ijmali atau ta’wil tafsili, adalah tidak harus. Ia adalah sesuatu yang tidak dicenderungi oleh ulama salaf dan khalaf.” 

Perkataan Imam Al-Shawkani dalam masalah takwil dan tafwidh resolusi 8

Imam Al-Shawkani menulis dalam kitab Irsyad Al-Fuhul `An `Ilm Al-Usul (ms. 155): 

“(Fasal Kedua) Pada perkara yang boleh ditakwil. Ianya ada dua bahagian:

Pertama: Kebanyakan perkara furu` (cabang) dan tiada khilaf dalam isu ini. 

Kedua: Perkara usul (dasar) seperti akidah dan asas-asas agama dan sifat-sifat Allah taala. Mereka telah berkhilaf pada bahagian ini kepada tiga mazhab.

Mazhab yang pertama: Tidak ada ruang untuk melakukan takwil [ayat-ayat mutasyabihat]. Bahkan diterima makna yang zahir dan tidak ditakwilkan apa-apa pun. Ini pendapat golongan musyabbihah. 

Mazhab yang kedua: Takwil wujud bagi ayat-ayat mutasyabihat tetapi kita menahan diri mentakwilkannya di samping beriktikad bahawa Allah taala Maha Suci dari sekalian penyerupaan dengan makhluk dan pembatalan (sifat-sifat Allah) kerana firman Allah taala, “..dan tiada yang mengetahui akan takwilnya melainkan Allah.” (Ali Imran, 7) 

Ibn Burhan berkata ini adalah pendapat salaf. 

Mazhab yang ketiga: Memberi takwil pada ayat-ayat mutasyabihat.

Ibn Burhan berkata mazhab yang pertama adalah batil. Dua mazhab lagi ada dinukil dari sahabat r.a dan dinukil mazhab yang ketiga dari Ali, Ibn Mas`ud, Ibn Abbas dan Um Salamah.”

Mutasyabihat di sisi ulama empat mazhab

Ulama empat mazhab berpendirian yang sama dengan para sahabat dan tabi`in, iaitu mereka tidak mahu membicarakan perihal nas-nas mutasyabihat.

Imam Malik apabila ditanya oleh seorang lelaki, bagaimanakah Allah beristiwa’, sebagaimana dalam ayat, tentang ayat, “Al-Rahman di atas arasy beristiwa’.”? Dia melihat orang itu lalu berkata, “Al-Rahman di atas arasy beristiwa’ seperti apa yang disifatkan Allah akan diriNya, dan tidak dikatakan kepadanya “bagaimana?”. Maha suci Dia dari soal “bagaimana. Engkau adalah lelaki jahat dan seorang ahli bid`ah.” 

Apabila ditanya tentang ayat-ayat mutasyabihat, Imam Al-Syafi`ii menjawab, “Jalankan ianya atas zahirnya.” 

Telah diriwayatkan dari Imam Ahmad sebagaimana terdapat dalam kitab Tabaqat Al-Hanabilah (2/291):

“Sesungguhnya bagi Allah taala itu “yadain (dua tangan)”, dan kededuanya adalah sifat bagi Allah pada ZatNya, Kededua bukan anggota, bukan bersusun, bukan jisim, bukan dari jenis jisim, bukan dari jenis sesuatu yang dilingkungi dan tersusun, tidak berbahagian dan beranggota dan tidak boleh diqiyaskan (disamakan)dengan yang seperti itu. Maka tiada baginya siku dan tiada baginya lengan dan tidak pada perkara yang menunjukkan kepada yang demikian itu dengan semata-mata sebutan mereka (para salaf) akan perkataan “tangan”, melainkan hanya untuk menyebut apa yang disbeutkan oleh Al-Quran dan yang telah sah datangnya dari Rasulullah s.a.w. dalam perkara ini.”

Perkataan ini jelas menunjukkan bahawa Imam Ahmad, salah seorang ulama salaf, berpendirian bahawa lafaz “yad (tangan)” tidak sama sekali menunjukkan kepada makna zahirnya, yang bererti satu anggota. Bahkan segala yang terfikir dari perkataan “yad” seperti berjisim, tersusun dan sebagainya ternafi dari Allah taala.

Demikianlah sikap para ulama kita yang awal. Mereka tidak mahu membicarakan perihal nas-nas mutasyabihat secara berlebih-lebihan kerana dikhuatiri mengundang salah faham dan fitnah.

Apakah takwil itu ta`thil, iaitu membatalkan sifat Allah taala?

Perbuatan ta`thil atau membatalkan sifat Allah atau menafikannya adalah perbuatan yang haram.

watasimuAda pun takwil, ia tidak membatalkan sifat Allah taala atau menafikannya. Tidak seorang pun dari ulama ASWJ (samada dari kalangan salaf atau khalaf) yang menafikan sifat-sifat Allah taala yang Dia telah tetapkan bagi ZatNya Yang Suci.

Sebagaimana telah kita sebutkan terdahulu bahawa para ulama telah sepakat bahawa Allah taala Maha Suci dari sekelian penyerupaan dengan makhluk. Maka apabila disebut sifat Allah taala seperti tangan, wajah dan beristiwa’, ulama ASWJ akan menegaskan bahawa kesemua itu tersuci dari apa jua penyerupaan dengan makhluk. Maka ASWJ mengithbatkan (menetapkan) adanya tangan dan wajah, seperti mana kata-kata mereka, “Sesungguhnya kami beriman bahawa bagi Allah taala “wajah” bukan seperti wajah-wajah  dan bagi Allah itu “tangan” bukan seperti tangan-tangan.”

Namun, apakah makna dan maksud sebenar kata-kata ini, kalau bukan pada makna anggota tubuh badan? Dalam  hal ini, para salaf menyerahkannya kepada Allah taala (tafwidh). Manakala para khalaf pula mentakwilkan dengan memberikan makna yang selaras dengan bahasa Arab kerana Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab.

Manakah yang lebih kuat; takwil atau tafwidh dan kenapa?

Setelah dianalisa ternyata penggunaan takwil lebih kuat berbanding tafwidh kerana: 

Pertama, bagaimana makna ayat-ayat mutasyabihat dapat diketahui, jika membicarakan makna ayat-ayat berkenaan dicegah? Dengan itu pula, bagaimana lintasan hati dapat dihentikan dari didatangi syak, was-was dan waham kepada sesuatu yang tidak sesuai dengan kebesaran Allah taala.

Kedua, pembersihan jiwa ialah dengan penjelasan makna dan pengetahuan yang berkait dengannya adalah lebih utama dari meninggalkan penjelasan di tengah-tengah kedatangan was-was dan syak yang akan membolak balikkan hati sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tinggalkan apa yang kamu ragu ragu kepada (ambillah) yang tidak meragukan kamu.” (Riwayat Imam Al-Tirmizi)

Ketiga, berusaha untuk membawa kepada kebenaran dan ilmu pengetahuan adalah lebih utama daripada berdiam tanpa pengetahuan sedangkan seseorang itu mampu berbuat demikian.

Keempat, berdiam atas menetapkan makna nas yang khusus (tafwidh), tanpa menjawab dengan memberikan makna yang khusus (takwil), walaupun ianya mungkin mencukupi bagi seorang Muslim yang bersetuju, tetapi tidak mencukupi bagi orang yang ingkar dari kalangan pengamal bid`ah, kafir atau orang yang sudah terjurumus dalam fahaman tasybih dan tajsim.

Kelima, berdiam tanpa penjelasan adalah satu sikap yang bertentangan dengan firman Allah taala:

  • “Ini (Quran) adalah penjelasan kepada manusia.” (Ali Imran, 138)
  • “Telah datang kepada kamu pelajaran dari Tuhan kamu dan penyembuh bagi apa (penyakit, was-was, syak dll) yang ada dalam dada-dada.” (Yunus, 58)
  • “Dengan bahasa Arab yang jelas lagi menjelaskan.” (Al-Syu`ara’, 195)
  • “Dan Kami (Allah) turunkan kepadamu Al-Quran agar engkau menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan ke atas mereka semoga mereka memikirkan.”(Al-Nahl, 44)

Begitulah keadaanya pada ayat-ayat seumpamanya. Andaikan Allah taala menurunkan ayat-ayat yang tidak difahami akan maknanya, tidak dapat diterima akal dan tidak ada tempat dalam bahasa Arab. Ia adalah mustahil kerana bagaimana dan untuk apa Allah taala berbicara kepada hamba hambaNya sesuatu topik yang tidak dapat difahami? Yang demikian itu menjadikan kata-kata Allah taala menjadi kosong, tidak bererti dan sia-sia. Maha Suci Allah dari melakukan sesuatu yang sia-sia.

Syeikh Al-Izz bin Abdul Salam, yang digelar Sultan para ulama, dinukil dalam kitab Ithaf Sadat Al-Muttaqin (2/109) berkata, “Jalan takwil dengan syarat syaratnya adalah lebih dekat kepada kebenaran.”ikhwah

Dalam kitab Mirqat Al-Mafatih (1/134), Imam Al-Haramain Al-Juwaini berkata, “Kalau manusia kekal seperti apa yang dahulunya, tidak kami diperintahkan dengan ilmu Kalam. Adapun sekarang telah banyak berlaku bid`ah. Oleh itu, tidak boleh ditinggalkan ombak fitnah bid`ah menghancurkan Islam melainkan dijelaskan apa-apa yang samar.” 

Keenam, kaedah Usul Al-Fiqh telah menetapkan, “Penerangan ketika berhajat adalah wajib.”

Atas dasar ini, jikalau tidak digunakan takwil dan ketiadaan penjelasan boleh mengelirukan bahkan boleh menyesatkan seseorang, hukum penerangan ketika itu menjadi wajib.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: