Wasatiy Dalam Memahami Tafsiran Maksud Dharb Menurut Ulama (Wasat, Edisi no. 18/December 2017)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

Wasatiy Dalam Memahami Tafsiran Maksud Dharb Menurut Ulama

Oleh Ustaz Mohammad Yusri Yubhi bin Md. Yusoff, Ustazah Khairunnisaa Abdul Rahim & Ustazah Zanaria Jusary

(Artikel ini merupakan sedutan sebahagian dari tulisan ilmiah bertajuk Maksud Nusyuz dan Dharb: Kajian Perbandingan Antara Tafsiran Golongan Feminis Muslim dan Ulama Islam yang merupakan  projek jurnal bersama Ustazah Khairunnisaa Abdul Rahim dan Ustazah Zanaria Jusary yang perlu disiapkan sebagai sebahagian dari program Kursus Intensif Asatizah Singapura dengan tema: ‘Tafsir Al-Qur’an dan Tajdid Pemikiran: Metodologi, Tema dan Permasalahan’ anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Pusat Studi Al-Quran pada 27 Mei – 2 Jun 2012 di Jakarta, Indonesia.)

be nicePendahuluan

Dengan kemajuan pesat kehidupan pada masa kini, terdapat suara-suara yang menggesa supaya tafsiran semula perlu dilakukan terhadap sesetengah ayat Al-Quran. Termasuk dalam perkara ini ialah tafsiran terhadap makna dharb dalam surah Al-Nisa’, ayat 34. Kajian ini berusaha untuk mengenal pasti maksud sebenar istilah dharb mengikut tafsiran ulama silam dan masa kini dalam konteks hari ini.

Sebab nuzul ayat 34, surah Al-Nisa

Bagi memahami maksud dharb secara menyeluruh, adalah sebaiknya dilihat terlebih dahulu konteks mengapa ayat ini diturunkan dan keadaan masyarakat Islam pada masa itu dari sudut layanan terhadap wanita terutamanya isteri.

Menurut riwayat Hasan Al-Basri, “Seorang wanita telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa suaminya telah memukulnya.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: “Ia akan dikenakan hukum qisas”. Maka Allah menurunkan ayat 34, surah Al-Nisa.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan kaum lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas golongan wanita, dan juga kerana kaum lelaki telah membelanjakan (Yakni memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka golongan wanita yang solehah itu ialah yang taat (Yakni kepada Allah), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (Yakni nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau mereka tetap masih berdegil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”

Diriwayatkan pula bahawa perempuan itu kembali ke rumahnya dan suaminya tidak mendapat hukuman qisas sebagai balasan terhadap tindakannya, kerana ayat ini membolehkan memukul isteri yang tidak taat kepada suaminya, dengan tujuan mendidik.[1]

Dalam satu riwayat yang lain pula disebutkan bahawa Sa’ad Bin Rabi` telah memukul isterinya yang nusyuz[2] bernama Habibah binti Zayd bin Abi Zuhayr. Si bapa kemudiannya telah membawa anak perempuannya mengadu kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata, “Saya telah mengahwinkan dia (iaitu Sa’ad) dengan anak saya, tiba-tiba dia telah memukulnya.” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Suruhlah dia mengambil qisas (iaitu membalas pukul) ke atas suaminya.” Maka beredarlah keduanya hendak memukul Sa’ad sebagai balasan kerana hukuman yang demikian telah ditetapkan oleh ayat yang telah terdahulu turunnya.

Tiba-tiba Nabi s.a.w telah menegah keduanya mengambil qisas seraya berkata: “Kembalilah kamu. Jibril telah datang kepada aku dan Allah taala menurunkan ayat ini. Kemudian Baginda pun berkata: “Kita berkehendakkan sesuatu, tapi Allah menghendaki yang lain pula. Apa yang dikehendaki oleh Allah itu yang baik”.

Dan dengan ini terangkatlah hukum qisas terhadap suami ini, kecuali yang membahayakan atau menyebabkan hilangnya nyawa.[3] Sebaik-baik-Kalian-adalah-yang-Terbaik-bagi-Keluarganya

Layanan terhadap isteri menurut Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Dalam menafsirkan maksud dharb, ada baiknya kita mengimbas terlebih dahulu dari aspek sunnah tentang anjuran Rasulullah s.a.w. dalam memberi layanan terhadap isteri melalui kehidupan berumahtangga beliau sendiri kerana tiada cara terbaik dalam menafsirkan ayat Al-Quran kecuali dengan melihat kehidupan Rasulullah s.a.w. sendiri, yang mana akhlak Baginda s.a.w merupakan cerminan Al-Quran.

Antara  contoh-contoh akhlak Baginda s.a.w. dalam pergaulan dan layanannya terhadap para isterinya yang dapat dikutip daripada ayat Allah dan Sunnah Nabi s.a.w. adalah seperti berikut:

Pertama: Suami wajib berbuat baik kepada isteri.

Allah taala berfirman, “Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Nisa’: 19)

Kedua:  Sebaik-baik lelaki suami ialah mereka yang paling baik terhadap isterinya.

Nabi s.a.w. juga mengingatkan suami dalam hal ini dalam sabdanya, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.”[4]

Ketiga: Melayan isteri dengan baik dan penuh kasih sayang.

Dari Hakim bin Mua’wiyah Al-Qusyairi, dari ayahnya, telah berkata kepada Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah bersabda, “Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian, tidak memukul wajahnya, tidak boleh mencelanya dan tidak boleh mendiamkannya melainkan di rumah.”[5]

Keempat: Membantu pekerjaan isteri.

Diriwayatkan di dalam Sahih Al-Bukhari bahawa Aswad bertanya Aishah r.a. apakah yang dilakukan, “Rasulullah s.a.w. di rumahnya?” Aishah r.a. menjawab, Baginda sentiasa melayani isterinya – iaitu membantu isterinya. Apabila masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat”.[6]

terbaik terhadap istriMelalui ayat Al-Quran serta hadith-hadith di atas jelas menunjukkan bahawa Allah taala memerintahkan setiap suami melayan isterinya dengan penuh kesantunan dan kebaikan. Malah, hal yang sama diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. bagi menggalakkan seorang suami melayan isteri dengan baik serta dengan penuh kasih sayang, hingga ke peringkat membantu pekerjaan isteri di rumah. Tidak pernah pula sama sekali direkodkan bahawa Rasulullah s.a.w. bertindak kasar kepada isteri-isterinya, apatah lagi memukul mereka.

Dharb: Analisa Sudut Bahasa  

Sebelum dibahaskan erti dharb dalam konteks ayat 34, dari surah Al-Nisa’, perlu diteliti dahulu asal penggunaannya di dalam bahasa Arab.

Perkataan dharb sering difahami sebagai bererti memukul. Namun, analisa yang teliti dari sudut bahasa Arab dengan merujuk pada kitab Lisan Al-`Arab, Maqayis Al-Lughah dan sebagainya, menunjukkan ia mempunyai beberapa makna bagi konteks yang berbeza.

Ibn Manzur menjelaskan beberapa penggunaan perkataan dharb boleh membawa makna-makna yang berbeza dalam bahasa orang Arab seperti berikut:[7]

  1. Mencetak, seperti dharaba al-dirham.
  2. Gigit atau sengat, seperti dharabat al-`aqrab.
  3. Berdegup, seperti di dalam penggunaan dharaba al-`irq wa al-qalb.
  4. Keluar untuk berniaga, berperang, mencari rezki atau mempercepatkan perjalanan. Ini seperti dharaba fi al-ardh.
  5. Menahan, seperti dharaba `ala yadihi.
  6. Beku, seperti dhuribat al-ard.
  7. Menyifatkan, menjelaskan dan memberi perumpamaan.
  8. Panjang, seperti dharaba al-layl.

Menurut Ibn Faris, perkataan dharb bererti memukul sesuatu.[8] Namun perkataan itu kemudian dipinjam atau dijadikan isti`arah untuk membawa erti lain seperti mencari rezeki, belayar dan mempercepatkan perjalanan. Ia juga boleh membawa maksud kepada membentuk sesuatu.[9]

Ibn Faris menghuraikan bahawa penggunaan perkataan dharb kemudian berkembang lagi sehingga ia digunakan dalam erti menahan sesuatu[10] atau bagi seorang menahan dirinya dari sesuatu yang diinginkan.[11]

M. Quraish Shihab pula menjelaskan kepelbagaian makna dharb melalui penggunaannya yang berbeza di dalam Al-Quran:[12]

  1. Memukul, seperti dalam Al-Nur: 31, Al-Anfal: 50 dan Muhammad: 27.
  2. Memenggal dan membunuh, seperti dalam Al-Anfal: 12 dan Muhammad: 4.
  3. Memotong atau memutuskan, seperti dalam Al-Anfal: 12.
  4. Meliputi seperti dalam Al-Baqarah: 61 dan Ali `Imran: 112.
  5. Berpergian, seperti dalam Al-Nisa’: 94 dan 101, Ali `Imran: 156 dan Al-Muzzammil: 20.
  6. Membuat, seperti dalam Taha: 77.
  7. Menjelaskan atau memberi perumpamaan seperti dalam Al-Nahl: 75 dan 112.
  8. Menutupi seperti dalam Al-Nur: 31 dan Al-Kahf: 11.

Jelas sebagaimana yang dinyatakan di atas, dharb bukan hanya bermakna memukul suapseperti yang masyhur digunakan dalam konteks mencederakan atau menyakiti secara fizikal. Ia telah berkembang sehingga digunakan dalam konteks selain dari yang sinonim dengan mencederakan secara fizikal.

Bahkan menurut M. Quraish Shihab, perkataan ini digunakan dengan pengertian ‘memberi perumpamaan’ sebanyak 28 kali. Penggunaannya dalam erti ‘berpergian’ dan ‘memukul’ sebanyak 10 kali. Manakala dalam erti ‘membunuh’, ‘memenggal’, ‘memotong’ dan ‘menutupi’ amat sedikit sekali digunakan.[13]

Dharb bermaksud pukulan secara literal

Imam Ibn Kathir dan Al-Qurtubi, dua tokoh Ilmu Tafsir silam, menyatakan lafaz dharb dalam ayat 34, surah Al-Nisa` ialah bermaksud pukul yang tidak mencederakan selepas langkah-langkah mendidik suami terhadap isteri sebelumnya tidak memberikan sebarang kesan.[14]

Pendapat yang sama juga turut dipersetujui oleh ulama semasa seperti M Quraish Shihab dalam kitab Tafsir Al-Mishbah, di mana beliau menyokong pendapat-pendapat para ulama silam.[15]

Beliau dan Sheikh Muhammad Sa`id Ramadan Al-Buti yang telah menjustifikasikan maksud pukulan secara literal pada ayat ini kerana suami telah mencuba sedaya upaya mendidik isteri dengan mengikuti langkah-langkah yang diajarkan Al-Quran iaitu dengan menasihati dan menjauhi katil iaitu tidak melakukan hubungan seks. Atas dasar itu, Al-Quran membenarkan pukulan dengan tujuan mendidik dan secara tidak langsung untuk menakutinya.[16]  Pendapat ini dirumuskan kerana terdapat hadith yang jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. pernah menjelaskan tentang cara pukulan yang tidak menyakitkan, walaupun Nabi s.a.w. sendiri tidak pernah memukul isteri-isterinya.

Penerangan tentang konsep pukulan yang tidak mencederakan ini, diperjelaskan lagi oleh Dr. Muhammad `Imarah yang menekankan betapa penting bagi suami mengamalkan cara ajaran Al-Quran ini termasuk pukulan yang tidak mencederakan sebagai salah satu cara mengislahkan dan menyelamatkan rumahtangga dan keluarga dari kehancuran. Namun mendidik isteri dengan cara ini, perlu kepada elemen kasih sayang dan bukan sebagai satu cara untuk siksaan atau mencederakan, memberi kemudaratan atau menyakitkan isteri, kerana itu sama sekali bertentangan dengan matlamat utama pernikahan.

Malah diletakkan syarat bahawa pukulan tersebut bukan sahaja tidak sampai mencederakan, tetapi juga tidak berbekas dan tidak boleh terhadap anggota muka atau bahagian anggota yang sensitif dan lembut. Namun sebaiknya pukulan  tidak dilakukan, jika suami meyakini bahawa dengan pukulan juga tidak mampu mendidik dan memberikan tindakan apa-apa. Ini bersesuaian dengan tujuan pensyariatan pernikahan atas dasar sakinah, mawaddah dan rahmah.[17]

Dr Muhammad `Imarah juga menambah bahawa para ulama mazhab Syafi`ii menyatakan bahawa meninggalkan pukulan adalah lebih baik, iaitu hanya menasihati dan memisahkan tempat tidur sahaja. Malah ulama mazhab Syafi`ii dan Maliki juga mensyaratkan bahawa hendaklah dengan pukulan ini mampu mendidik dan mengelakkan pihak isteri dari nusyuz. Jika tidak, tiadalah keperluan untuk memukul.[18]

hadiahDharb bukan bermaksud pukulan

Pada masa yang sama, terdapat juga para ulama semasa yang berpandangan bahawa dharb di sini bukan bermaksud pukulan, tetapi membawa maksud umum bagi kalimah dharb mengikut siyaq Al-Quran[19] iaitu memutuskan hubungan, memisahkan, meninggalkan  dan menjauhkan.[20] Ini mengambil kira amalan dalam Sunnah, iaitu Nabi s.a.w. memisahkan dirinya dari kediaman para isterinya apabila merasa tidak senang dengan mereka.

Inilah pilihan yang paling keras diambil Nabi s.a.w. terhadap isteri-isterinya, dan bukan memukul menyakiti fizikal isteri-isterinya. Nabi s.a.w berpada dengan memberi kesedaran kepada para isteri Nabi s.a.w. untuk sedar kesilapan mereka.[21]

Berdasarkan ini, pendapat ini memahami dharb dalam ayat yang dbicarakan ialah meninggalkan isteri sebagai upaya terakhir memberi kesedaran kepadanya untuk berubah dan tidak nusyuz.

Pengertian ini juga lebih utama dan sesuai dari makna pukulan yang membawa maksud kesakitan dan kecederaan fizikal dan kekerasan, kerana kesemua ini jauh dari maksud dari perhubungan mesra dan mulia hubungan suami isteri, bukan dari sifat kemanusiaan dan bukan merupakan cara dalam membina hubungan kasih sayang antara kedua suami isteri.[22]

Memahami konteks ayat dharb diturunkan dan aplikasinya

Timbul pula persoalan mengapa ayat ini diturunkan yang seolah membolehkan suami memukul isteri? Tidakkah ini bertentangan sendiri dengan tujuan syariah yang menggalakkan kehidupan yang harmoni dalam rumahtangga, serta perlakuan Nabi s.a.w. sendiri yang sangat menghormati para isterinya?

Di sinilah pentingnya kita melihat konteks ayat ini diturunkan pada ketika itu. Ayat tersebut sebenarnya menceritakan mengenai keutamaan perempuan yang solehah, bertakwa dan menjaga diri. Bagi beberapa ahli Ilmu Tafsir, ayat ini memberikan gambaran tentang keadaan sosial dan ekonomi masyarakat Arab pada saat itu. Untuk itu, nyata ini mempunyai pengertian yang sangat fleksibel dan mengandungi unsur sosio-sejarah.[23]

Senario yang berlaku pada ayat tersebut juga adalah terhadap isteri yang memberontak kepada suami yang berpegang teguh kepada agama dan keadilan, dan bukan pada senario suami yang tidak adil dan isteri terpaksa mempertahankan haknya terhadap suami yang sedemikian.

Pendapat ini jelas disokong oleh sarjana lain, yang menambah bahawa perkara ini tidak akan berlaku terhadap isteri yang berpegang teguh pada agama. Ini kerana walaupun terdapat kemungkinan mereka dari semasa ke semasa melakukan kesilapan, tetapi pastinya akan insaf sebelum sampai kepada peringkat pukulan.[24]

Perlu diambil kira juga mengapa ayat tersebut diturunkan walaupun ianya tidak diamalkan oleh Nabi s.a.w. sendiri. Faktor sosio-sejarah pada masa tersebut, zaman di mana norma patriarki[25] masih berleluasa perlu dijadikan pertimbangan. Jika kita lihat dari sabab al-nuzul, ayat tersebut diturunkan kerana aduan para sahabat terhadap suami yang memukul isterinya dan kemudian dinasihati Baginda s.a.w. supaya melakukan qisas, sebelum turun ayat tersebut yang menjelaskan langkah-langkah yang sewajarnya dituruti dahulu. Ini secara jelas menafikan hak suami untuk memukul isteri sesuka hati sebagai langkah pertama bagi tindakan untuk mendidik isteri.

Pada masa yang sama, terdapat tafsiran para ulama yang cenderung bahawa dharb bermaksud memukul walaupun terdapat beberapa maksud lain yang boleh dipertimbangkan sebagai tafsiran. Antara faktor yang mendorong kepada tafsiran ini ialah hakikat bahawa para mufassir yang kebanyakannya dari kaum lelaki. Ia juga mungkin terhasil dari faktor konteks mereka ketika itu sendiri yang penuh dengan elemen atau budaya yang patriarki.[26]

Jelas di sini, sama ada disedari atau tidak, sedikit sebanyak terdapat elemen patriarki dan bias dalam ahli-ahli tafsir. Pemahaman dan kecenderungan mereka, ditambah pula dengan faktor konteks kehidupan mereka ketika itu, telah menyumbang ke arah perkara ini.

Dengan itu penulis lebih cenderung agar langkah mendidik isteri hanya memadai dengan sekadar memisahkan dirinya dari kediaman isteri, sesuai dengan membawa maksud umum bagi kalimah dharb iaitu memutuskan hubungan, memisahkan, meninggalkan dan menjauhkan. Ini kerana konteks kehidupan masyarakat Islam hari ini rata-rata adalah lebih maju dan menghormati wanita terutama di kalangan masyarakat di negara yang lebih maju, dan mempunyai perspektif penerimaan yang lebih tinggi terhadap kaum wanita seperti kebanyakan negara di Asia Tenggara dan Barat. rabbana hab lana

Berdasarkan ini, penulis lebih cenderung pada pendapat yang tidak membolehkan pukulan dalam konteks hari ini, bersesuaian dengan amalan Rasulullah s.a.w. yang merupakan amalan terbaik bagi kita umatnya dalam melayan isteri, kerana Baginda s.a.w. tidak pernah sekalipun memukul isterinya. Bahkan, terdapat riwayat yang menegah pukulan pada isteri dalam sabdanya, “Adakah patut seseorang kamu memukul isterinya bagaikan memukul seseorang hamba kemudian menidurinya pada malamnya”.[27]

Kesimpulan

Wasatiy atau kesederhanaan dalam memahami tafsiran ayat dharb bukanlah bermaksud menafikan sama sekali wujudnya tafsiran secara literal bagi dharb sebagai pukulan. Ini kerana sabab nuzul secara jelas menunjukkan sedemikian, selain banyak sekali tafsiran para ulama yang bersetuju bahawa maksud dharb di sini bermaksud pukulan. Selain itu, ada juga hadis Rasulullah s.a.w. yang memberi maksud sedemikian, walaupun Baginda s.a.w. sendiri tidak mengamalkannya terhadap isteri-isterinya.

Pada masa yang sama, ia juga tidak wajar difahami bahawa tafsiran tersebut boleh digunapakai sebagai salah satu cara mendidik isteri dalam konteks kehidupan hari ini.

Dengan itu, dapat difahami bahawa antara maksud wasatiy juga ialah keharusan bagi diwacana dan dikaji semula pandangan ulama terdahulu, kerana ia juga tidak terkecuali dari kesilapan atau kemungkinan ketidaksesuaian dengan konteks masa kini walaupun lahir dari pemikiran ulama Islam.[28]

Masyarakat Islam termasuk para agamawan perlu jelas dengan konteks ayat Al-Quran ini diturunkan dan keadaan masyarakat pada masa itu. Tujuannya ketika itu adalah membataskan pukulan sebagai solusi pertama dalam mendidik isteri yang nusyuz, tetapi sebaliknya diajarkan beberapa langkah dahulu dalam mendidik isteri. Ini ditambah pula dengan contoh perilaku Nabi s.a.w dalam melayan isteri dengan penuh hormat dan kasih sayang. Kesemuanya ini merupakan satu proses dalam membentuk masyarakat yang menghormati dan melayan isteri dengan baik yang merupakan tanggungjawab seorang suami.

Penulis juga beranggapan bahawa tafsir pada ayat-ayat tertentu seperti ayat dharb juga perlu dinilai semula dengan perspektif yang lebih menyeluruh sesuai dengan konteks pada masa ayat ini diturunkan dan juga konteks pada masa kini. Terutamanya dalam konteks kemajuan wanita hari ini yang perlu kepada kefahaman yang baru sesuai dengan prinsip dan tujuan syariah yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah. Namun tafsiran semula sebegini perlu berpegang teguh pada kaedah dan kerangka yang telah ditetapkan dalam Ilmu Tafsir.

Dalam usaha menafsirkan semula Al-Quran juga, hendaklah tidak mengabaikan turath (warisan ilmu yang ada) agar kesinambungan sejarah keilmuan tafsir akan terpelihara. Ini kerana apa yang tidak berguna masa lalu, boleh jadi boleh berguna pada masa akan datang, sebagaimana yang berguna pada masa lalu, tidak semestinya masih berguna di hari ini.

———————————

Nota:

[1]Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, Beirut: Dar Al-Jil, jld.1, ms. 465

[2]Nusyuz menurut kebanyakan ulama silam seperti Al-Tabari, Al-Qurtubi dan Ibn Kathir memberi makna ketidaktaatan isteri terhadap suami yang meliputi sikap tidak mematuhi perintah yang diwajibkan Allah ke atas mereka, meninggi diri daripada suaminya, meninggalkan perintah suami, menjauhkan diri daripadanya serta mengelakkan diri dari suaminya. Sila lihat Al-Imam Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr Al-Qurtubi (2006). Al-Jami` Li Ahkam Al-Quran, ed. Dr. `Abd Allah bin `Abd Ml-Muhsin Al-Turki et al, Damsyiq: Muassasah Al-Risalah, jld. 6, ms. 285 dan juga Ibn Kathir Al-Dimashqi (1998), Muhammad Husayn Sham Al-Din (ed.), Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyyah, jld. 2, ms. 492.

[3]`Ali bin Ahmad Al-Wahidi, Asbab Nuzul Al-Quran, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, ms. 155.

[4]Al-Tirmidzi, Sunan Al-Tirmidzi, Kitab Al-Manaqib, Bab Fadhail Azwaj Al-Nabi s.a.w., hadis no. 3895.

[5]Abu Daud, Sunan Abu Daud, Kitab Al-Nikah, Bab Fi Haq Al-Mar’ah `Ala Zawjiha, hadis no. 2142.

[6]Al-Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab Al-Azan, Bab Man Kana Fi Hajati Ahlih Fa Uqimat Al-Sholah Fa Kharaja, hadis no. 676.

[7]Ibn Manzur (1990), Lisan Al-Arab, Beirut: Dar Sadir, jld.1, ms. 543.

[8]Ibn Faris (2001), Mu’jam Maqayis Al-Lughah, Damsyiq: Dar Al-Fikr, jld.3, ms. 397.

[9]Ibid, ms. 398

[10]Ibid.

[11]Ibid, ms. 399

[12]M. Quraish Shihab (2007), Ensiklopedia Al-Quran: Kajian Kosa Kata, Jakarta: Lentera Hati, jld.1, ms. 172.

[13]Ibid.

[14]Al-Qurtubi (2006), jld. 6, ms. 285. Lihat juga Ibn Kathir Al-Dimashqi (1998), jld. 2, ms. 492.

[15]M. Quraish Shihab (2002), Tafsir Al-Mishbah, Jakarta: Lentera Hati, jld. 2, ms. 519.

[16]Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti (2009), Women Between The Tyrany of the Western System and the Mercy of the Islamic Law, Nancy Roberts (terj.), Beirut: Dar Al-Fikr, ms. 169

[17]Prof. Muhammad `Imarah (2010), Haqaiq Wa Shubhat Hawla Makanat Al-Mar’ah Fi Al-Islam, Kaherah: Dar Al-Salam, ms. 171.

[18]Ibid.

[19]Siyaq adalah petunjuk yang digunakan untuk menetapkan makna yang dimaksudkan oleh pembicara atau susunan kata. Ia adalah bingkai yang didalamnya terhimpun unsur-unsur teks dan kesatuan kebahasaan yang berfungsi menghubungkan, bukan sahaja kata, tetapi juga rangkaian kalimat serta situasi dan kondisi yang menyertainya, lalu dari himpunan keseluruhan unsur tersebut ditemukan oleh pembaca/pendengar teks, makna atau idea yang dimaksud oleh teks. Sila lihat M. Quraish Shihab (2013), Kaidah Tafsir: Syarat, Ketentuan dan Aturan Yang Patut Anda Ketahui Dalam Memahami Al-Quran. Jakarta: Penerbit Lentera Hati, ms. 253-254

[20]Dr `Abd Al-Hamid Abu Sulayman (2002), Dharb Al-Mar’ah: Wasilah Khilafat Al-Zawjiyyah, Virginia: International Institute of Islamic Thought, ms. 26.

[21]Ibid, ms. 29.

[22]Ibid, ms. 30

[23]Syafiq Hashim (2001), Hal-Hal Yang Tak Terfikirkan Tentang Isu-Isu Keperempuanan Dalam Islam, Bandung: Penerbit Mizan, ms. 187

[24]Dr. Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti (2009), ms. 170

[25]Jenis kelamin yang dimaksud di sini adalah golongan lelaki, sesuai dengan makna kata patriarki (patriarch), yang bererti bapa.  Dengan demikian, patriarki adalah sebuah aturan kehidupan yang hanya disandarkan kepada nilai-nilai yang berkembang di lingkungan golongan lelaki.  Secara teori, istilah patriarki sebenarnya lebih dekat kepada disiplin sosiologi dari teologi. Kalangan sosiologi misalnya, menggunakan istilah patriarki bagi menggambarkan situasi masyarakat yang segala aturan kehidupannya didasarkan pada peraturan dari pihak lelaki. Sila lihat: Syafiq Hashim (2001), ms. 81

[26]Dr. H. Abdul Mustaqim (t. t.), Paradigma Tafsir Feminis: Membaca Al-Quran Dengan Optik Perempuan, Yogyakarta: Logung Pustaka, ms. 27.

[27]Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, Beirut: Dar Ibn Kathir, ms.168

[28]Yusuf Al-Qaradawi (2017), Islam Agama Wasatiy, Rosli Mokhtar (terj.), Kuala Lumpur: Ilham Books, ms. 75.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: