Melayu Yang Hebat: Menanggapi Sejarah Dengan Kaca Mata Kesederhanaan (Wasat, Edisi no. 19/February 2018)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

songket2

Oleh Mohammad Hafiz Kusairi

Dewasa ini menyaksikan peningkatan di dalam minat awam terhadap identiti bangsa Melayu dan sejarah yang berkaitan dengannya melalui penulisan dan pembacaan bahan-bahan yang berunsur akademik.

Keadaan ini menambah menarik kerana penghasilan karya-karya ini tidak lagi terbatas kepada para pembaca kalangan akademik sahaja tetapi sudah menarik perhatian pembaca umum. Sebagai contoh, buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu: Pribumi Asia Tenggara Menjawab Kekeliruan Sejarah yang diterbitkan oleh Hijjaz Records Publishing telah laris dalam masa 21 hari semenjak percetakannya pada tahun 2017 dan kini sudah melalui cetakan kelima.

Hal ini juga boleh disebabkan oleh cara karya-karya ini ditulis dan dipersembahkan: lengkap dengan petak-petak informasi dan gambar replika untuk menguatkan lagi pemahaman dan penghargaan pembaca.

Buku “Teknologi Kesultanan Melaka: Membongkar Keagungannya Berdasarkan Catatan Portugis” karya Hasanuddin Yusof dari Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara turut menggunakan pendekatan yang sama.

dunia melayuPerkembangan yang sihat ini didorong oleh faktor-faktor seperti globalisasi yang bukan sahaja menyaksikan maklumat yang semakin merentasi maya, bahkan juga melihat bertambahnya pergerakan manusia melintasi perbatasan fizikal sesebuah negara yang diduduki masyarakat Melayu.

Ia juga turut dipengaruhi oleh cara pemerintah memanfaatkan perkembangan terbaru ini untuk memajukan agenda mereka terutama dalam bidang ekonomi yang mana ia menyebabkan tanggapan bahawa penduduk Melayu di sesebuah tempat sedang dimarginalisasi.  Ini bukan sahaja dalam aspek material namun juga pada faktor-faktor yang berkait dengan identiti mereka sebagai bangsa asal seperti bahasa dan bahkan juga agama.

Di samping itu, perkembangan ini dianggap sebagai suatu pengulangan yang hampir serupa apabila Revolusi Industri mendorong pergerakan manusia merentasi sempadan terutama sekali usaha pihak Barat untuk memanfaatkan ramuan mentah yang terdapat di benua Asia dan Afrika untuk memajukan perindustrian di negara mereka sendiri. Hasil daripada hal ini turut menyaksikan penghakisan pada pendapatan kewangan para penduduk Melayu dan juga identiti mereka.

Seorang sejarawan, William J, Duiker menyifatkan penjajahan pihak Barat di Asia Tenggara sebagai berikut, “Where colonial masters encountered resistance and were forced to overthrow local political elites, they often adopted policies designed to eradicate the source of resistance and destroy the traditional culture. Such policies often had quite corrosive effects on the indigenous societies…”

Penghakisan identiti ini semakin diburukkan lagi dengan sikap para penjajah yang mula menetapkan bahawa maju mundur sesuatu kaum di dalam sesuatu bidang adalah disebabkan oleh nilai-nilai yang sedia ada pada diri mereka (inherent values).

Frank Swettenham yang merupakan Residen-Jeneral pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States) di dalam bukunya The Real Malay yang diterbitkan pada tahun 1980 menyifatkan orang Melayu sebagai, “…lazy to a degree, is without method or order of any kind, knows no regularity even in the hours of his meals, and considers time as of no importance. His house is untidy, even dirty but he bathes twice a day, and is very fond of personal adornment in the shape of smart clothes.”

Oleh itu, peningkatan pada bahan bacaan yang berkait dengan identiti bangsa Melayu ini boleh dibahagikan kepada tiga sebab:

  1. Realiti globalisasi yang menimbulkan keprihatinan tentang terhakisnya nilai-nilai keMelayuan akibat dipengaruhi budaya-budaya “luar” yang dianggap kurang sihat.
  2. Realiti hari ini yang dilihat bagai realiti “sejarah berulang kembali” melalui aspek penjajahan yang menghakis hak dan identiti orang Melayu.
  3. Kemahuan untuk merungkai kembali segala salah tanggap tentang identiti bangsa Melayu yang diwujudkan oleh k penjajah. Ini juga termasuk menggali kembali beberapa khazanah yang terkait dengan bangsa Melayu seperti sejarahnya yang sering disalahgunakan untuk menggambarkan kelemahan akal dan wibawa atau pun dianggap sebagai mitos semata yang tidak perlu diberikan perhatian serius sama sekali.

Dari tiga sebab yang disebabkan di atas ini, maka boleh juga disimpulkan tiga faedah yang boleh diraih daripada peningkatan minat terhadap bahan bacaan berkaitan identiti bangsa ini:

  1. Pengenalan dan penghargaan terhadap nilai-nilai mulia yang ada pada bangsa Melayu. Oleh itu, anak bangsa tidak menjadi insan yang hanya mengikut-ikut sesuatu tren yang jorok. Ini juga menambah penghormatan terhadap generasi terdahulu yang mengamalkan dan melestarikan nilai-nilai mulia ini.
  2. Menimbulkan penghargaan kepada pembelajaran sejarah itu sendiri. Sejarah bukan sekadar suatu proses pembelajaran tentang kejadian masa lampau tetapi sesuatu proses menghayati sebab dan akibat sesuatu kejadian di masa lampau dan berusaha untuk mengambil pembelajaran daripadanya agar
  3. kesultanan melakayang baik dapat diteruskan dan yang cela dapat dielakkan daripada berulang.
  4. Meluruskan kembali fakta sejarah berperanan membina jati diri suatu bangsa yang terhambat disebabkan bebanan sejarah yang dicoret oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab dan yang berkepentingan. Keyakinan diri seorang anak bangsa tidak dapat tidak akan terpalit semangat yang negatif disebabkan kepercayaan tentang asal-usulnya yang telah diasak bertubi-tubi oleh fakta-fakta yang kurang tepat.

Namun, tiga faedah yang disebutkan ini tidaklah bermakna bahawa kecenderungan yang ditunjukkan ini tidak bermasalah.

Sejarah dan realiti di sesetengah negara di dunia hari ini telah membuktikan bahawa penghayatan terhadap nilai kebangsaan yang tidak seimbang akan melahirkan sifat supremacist iaitu sifat melampau di dalam merasakan bahawa sesuatu kaum itu bukan sahaja hebat, tetapi kehebatannya melampaui kehebatan bangsa lain. Bahkan kehebatan bangsa lain pula direndahkan sama ada dengan mengaitkannya dengan dorongan-dorongan materialistik semata-mata ataupun lebih teruk lagi, melihat kaum lain sebagai hina dan keji.

Natijahnya lahirlah sifat takbur pada diri sendiri yang melahirkan kebencian dan diskriminasi terhadap bangsa lain. Ini bercanggah dengan fungsi sebenar sesuatu kaum digalakkan untuk mendalami pengetahuan mereka tentang identiti mereka sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Al-Quran,

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Dari sifat kebencian yang tersebut di atas ini lahirlah Ku Klux Klan di Amerika, bahkan antara sebab kenaikan Adolf Hitler ke persada kekuasaan dan seterusnya menjadi pencetus Perang Dunia Kedua adalah disebabkan oleh gabungan dua perkara merbahaya yang disebutkan di atas tadi: Kepercayaan yang melampau terhadap kehebatan bangsa sendiri dan kebencian terhadap bangsa lain.

Hari ini, tindakan pemerintah sesetengah negara yang menentang kemasukan pelarian perang ke dalam negara-negara mereka ataupun perancangan mengambil langkah drastik untuk membina tembok-tembok tinggi dengan justifikasi yang berbaur kebencian dan diskriminasi mendapat sokongan padu daripada rakyat mereka sendiri.

Selain daripada kegagalan mengimbangi kemuliaan pada diri sendiri dengan penghargaan terhadap bangsa lain kegagalan memupuk sifat bersederhana di dalam menanggapi sejarah bangsa sendiri akan melahirkan kecenderungan bernostalgia.

Segala usaha untuk mengkaji kembali dan melahirkan kegemilangan sejarah sama ada dari bentuk manuskrip dan pameran merupakan inisatif yang penting bagi memupuk kesedaran tentang kemurniaan dan kemuliaan sesuatu kaum yang telah terhakis dan dimakan masa.

Walau bagaimana pun, inisiatif seperti ini juga sepatutnya mencetus kesedaran di dalam jiwa kita tentang perlunya kita menyambung legasi hebat yang ditinggalkan oleh orang terdahulu.

Kekaguman kita terhadap kehalusan seni bangsa kita yang terserlah pada pembinaan bahtera-bahtera besar dan juga alat mempertahankan diri seperti keris tidak sepatutnya menjadikan kita teruja untuk semata-mata mencipta bahtera dan keris di zaman ini. Sebaliknya, ia sepatutnya menjadi premis untuk kita merenung tentang sifat orang terdahulu yang tekun, teliti, amanah dan berdaya saing di dalam melaksanakan sesuatu tangungjawab.

hang tuah

Bahtera pada zaman dahulu adalah lambang kekuasaan kerana ia merupakan wadah bagi mempertahankan tanahair dari musuh, wadah bagi meluaskan kekuasaan dan wadah bagi meraih keuntungan melalui perdagangan.

Sebahagian ahli sejarah pula menyifatkan bahawa kisah penerokaan Raja Chulan ke dasar lautan sebagai suatu gambaran tentang keperluan sesuatu bangsa itu mendalami lautan ilmu yang luas. Maka setiap pengamat sejarah sepatutnya membuat anjakan daripada ruang lingkar nostalgis dan sebaliknya merenungkan pula bagaimana semangat dan sifat yang menghasilkan kesan-kesan sejarah tersebut dapat dihidupkan semula untuk menghasilkan sumbangan-sumbangan yang lebih bermakna hari ini sesuai dengan firman Allah taala, “Dia (Allah) yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.” (Hud: 61)

Oleh itu, sebagai menambah nilai kepada peningkatan minat terhadap identiti dan sejarah bangsa Melayu, perlulah dipastikan bahawa ia tidak sekadar merupakan proses kesedaran terhadap nilai-nilai positif yang ada pada bangsa kita ataupun pembetulan terhadap kesilapan-kesilapan sejarah semata-mata. Sebaliknya ia perlu melahirkan usaha-usaha yang konkrit ke arah memakmurkan bumi Allah. Hanya dengan persepsi yang demikian di dalam menanggapi sejarah Melayu, barulah kita dapat menghidupkan kembali nilai-nilai yang kian pudar dan pada waktu yang sama menjadikan diri kita menyayangi dan disayangi oleh bangsa-bangsa lain yang tidak kurang hebatnya juga.

“Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang melanggar kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin pada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.”

(Melayu oleh Usman Awang)

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: