Tafsiran Wasati Bagi Maksud Nusyuz: Kajian Perbandingan Antara Golongan Ulama Islam & Feminis Muslim (Wasat, Edisi no. 19/February 2018)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

banner 2

Tafsiran Wasati Bagi Maksud Nusyuz: Kajian Perbandingan Antara Golongan Ulama Islam & Feminis Muslim

Oleh Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, Ustazah Khairunnisaa Abdul Rahim & Ustazah Zanaria Jusary 

(Artikel ini merupakan sedutan sebahagian dari projek jurnal yang bertajuk Maksud Nusyuz dan Dharb: Kajian Perbandingan Antara Tafsiran Golongan Feminis Muslim & Ulama Islam sebagai sebahagian dari program Kursus Intensif Asatizah Singapura dengan tema: ‘Tafsir Al-Qur’an dan Tajdid Pemikiran: Metodologi, Tema dan Permasalahan’ anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Pusat Studi Al-Quran pada 27 Mei – 2 Jun 2012 di Jakarta, Indonesia.)

Pendahuluan

Tulisan ini bertujuan untuk mengetahui maksud sebenar istilah nusyuz yang disebut dalam Al-Quran, surah Al-Nisa, ayat 34 (4:34) dan juga pada ayat 128 (4:128) di sisi golongan feminis Muslim[1] dan juga ulama yang meliputi para mufassir Islam dan ulama semasa, serta apakah tafsiran yang paling wasati antara keduanya.

 Analisa konteks surah Al-Nisa’

Sebelum kita pergi jauh pada maksud tafsiran nusyuz dari 4:34 dan juga 4:128, perlu diketahui juga latar belakang surah ini dan mengapa ia dinamakan surah Al-Nisa’.

Surah Al-Nisa’ yang terdiri dari 176 ayat ini adalah surah Madaniyyah yang terpanjang sesudah surah Al-Baqarah. Dinamakan sedemikian kerana dalam surah ini banyak dibicarakan hal yang berhubung dengan wanita serta merupakan surah yang paling banyak membicarakan hal itu dibandingkan dengan surah-surah Al-Quran yang lain. Surah lain yang banyak juga membicarakan perihal wanita ialah surah Al-Talaq. Dalam hubungan ini, surah Al-Nisa’ biasa juga disebut dengan gelaran surah Al-Nisa’ Al-Kubra (surah Al-Nisa’ yang besar), sedang surah Al-Talaq disebut dengan sebutan surah Al-Nisa’ alnisa 34Al-Sughra (surah Al-Nisa’ yang kecil).[2]

Siyaq[3] nas: mengapa disebut surah Al-Nisa’

Walaupun bukan semua kandungan surah ini berkisar atau eksklusif tentang hal wanita dan ia mengandungi banyak masalah yang tidak terkait sama sekali dengan hal wanita, timbul persoalan mengapa ia tetap dinamakan sebagai surah Al-Nisa’? Menurut Imam Al-Zarkasyi dan Al-Suyuti, antara alasannya ialah surah ini mengandungi banyak hukum-hukum tentang kaum perempuan yang tidak terulang pada surah-surah lain. Manakala Al-Qasimi pula memberi alasan lain, iaitu surah ini membicarakan tentang hal wanita lebih banyak daripada surah-surah yang lain.

Prof. Dr. Ibrahim Khalifah, seorang pakar tafsir di Universiti Al-Azhar, pula berpendapat cara memahami rahsia di sebalik nama sesebuah surah ialah dengan menelusuri seluruh kandungan surah secara mendalam sehingga akhirnya dapat menemukan semangat atau ruh yang terkandung pada surah tersebut. Menurutnya, ruh atau semangat itulah yang menjadi sebab penamaan sesebuah surah.[4]

Berdasarkan teori ini kita dapat menyimpulkan bahawa  semangat atau ruh surah ini tercermin pada dua hal; pertama ialah perlindungan dan penghormatan (al-insaf), sementara yang kedua pula ialah perbaikan (al-islah). Kedua hal tersebut terlihat begitu kuat dalam pembahasan tentang wanita dan tema-tema lainnya.

Sebagai contoh dalam ayat ke-3, surah ini memberikan perlindungan bagi wanita, khususnya di saat ia seorang yatim, seperti terlihat dalam sebab pewahyuan ayat poligami. Demikian pula ketika ayat tersebut menetapkan syarat ketentuan berpoligami. Di dalam ayat ke-4 pula, ia menetapkan mahar atau maskahwin bagi seorang lelaki ketika hendak menikahi seorang wanita sebagai tanda keseriusan dalam pertanggungjawapan terhadap wanita.

Dalam surah ini juga ditegaskan bahawa wanita berhak mendapat warisan dari orang tua dan kerabat yang terdekat. Sebelum Al-Quran diturunkan, harta warisan hanya dimonopoli oleh kaum lelaki sahaja. Sebagai bentuk perlindungan terhadap wanita, surah ini juga melarang wanita dijadikan sebagai warisan seperti layaknya harta, setelah si suami meninggal dunia kerana sebelum ini, kaum wanita yang ditinggal mati suami boleh diwarisi oleh saudara suaminya seperti halnya harta peninggalan yang lain seperti yang telah diperjelaskan dalam surah Al-Nisa’, ayat ke-19.[5]

Erti nusyuz dari segi etimologi  

Sebelum dibahaskan erti nusyuz di dalam konteks ayat 4:34 dan juga 4:128, perlu diteliti dahulu asal penggunaannya dalam Bahasa Arab.alnisa 138

Perkataan nusyuz berasal dari perkataan nashaza atau al-nashzu. Ia sering difahami sebagai bererti menderhaka atau tidak taat.

Di dalam Lisan Al-`Arab, Ibn Manzur menjelaskan asal makna nusyuz sebagai tempat yang tinggi dari bumi.[6]

Ibn Manzur menjelaskan lagi, perkataan nusyuz digunakan juga ketika menerangkan tentang Khatam Al-Nubuwwah (tanda mohor kenabian). Di mana Khatam Al-Nubuwwah diterangkan sebagai bidh`ah al-nasyizah iaitu ketulan daging yang tertimbul di bahagian badan. Beliau juga menerangkan bahawa perkataan nasyaza juga boleh bererti bangkit dari posisi duduk.[7]

Ibn Faris di dalam Maqayis Al-Lughah, menyatakan bahawa perkataan nasyaza menunjukkan sesuatu yang tinggi. Kemudian beliau menerangkan bahawa perkataan nasyaza dipinjam atau dijadikan isti`arah (kata kiasan) bagi wanita yang memberi bermaksud menyukarkan suaminya. Ia juga digunakan sebagai isti`arah bagi suami yang memberi maksud memukul dan meninggalkan isteri.[8]

Menurut M. Quraish Shihab, perkataan nusyuz terulang sebanyak 5 kali dalam 3 konteks perbahasan Al-Quran:

  • Konteks pertama, digunakan untuk membawa maksud berdiri untuk mempersilakan duduk bagi orang lain yang terlambat datang dalam sesuatu majlis.
  • Konteks kedua, digunakan ketika membicarakan tentang kederhakaan di dalam kehidupan rumah tangga.
  • Konteks ketiga, digunakan di dalam erti mengangkat sesuatu yang telah bercerai-berai.[9]

Daripada penjelasan tersebut, dapat disimpulkan bahawa perkataan nusyuz pada asalnya digunakan untuk merujuk pada sesuatu yang tertimbul, tinggi dan bangun. Ia juga menunjukkan bahawa bangsa Arab telah menggunakan perkataan nusyuz untuk wanita dan lelaki.

Perbandingan tafsiran maksud nusyuz mengikut pandangan ulama Islam dan feminis Muslim[10]

Perbahasan ini akan membincangkan pandangan para ulama Islam dari kalangan para mufassir dan fuqaha dari zaman silam dan semasa dalam menafsirkan erti perkataan nusyuz dalam 4:34 dan juga 4:128. Ia kemudian akan melihat pandangan dari sudut kacamata golongan feminis Muslim dan melakukan perbandingan pendapat antara keduanya.

Skop pandangan golongan feminis Muslim yang ingin diperbahaskan dalam kajian ini ialah feminis Muslim ‘rasionalis’ (lihat notakaki 11) seperti Amina Wadud dan Asma Barlas.

Nusyuz dari kacamata pandangan ulama

Menurut Imam Al-Qurtubi, tafsiran nusyuz ialah apabila isteri derhaka dan meninggi diri dari mematuhi apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka, seperti taat kepada suami.[11]

Meninggi diri terhadap suami ialah perbuatan seperti meninggalkan perintah suami, menjauhkan diri daripadanya, mengelak diri darinya serta menyebabkan suaminya marah dan memandang rendah terhadap suami.[12]

Bagi Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhayli, nusyuz di pihak isteri ialah apabila beliau derhaka terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, bersikap membencinya atau keluar rumah tanpa izin suami.[13]

Kebanyakan ulama silam seperti Al-Tabari, Al-Qurtubi, Ibn Kathir dan lain-lain memahami nusyuz dengan erti yang tidak lari dari maksud ketidaktaatan para isteri terhadap suami yang meliputi sebab tidak mematuhi perintah yang diwajibkan Allah ke atas mereka, meninggi diri ke atas suami, meninggalkan perintah suami, menjauhkan diri daripada suami serta mengelakkan diri dari suami.

Sekalian pendapat yang disebutkan tadi adalah merujuk kepada firman Allah dalam surah Al-Nisa ayat 34 yang bermaksud:

“Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Namun, nusyuz dalam Al-Quran bukan hanya eksklusif terhadap isteri sahaja, ia juga berlaku terhadap para suami juga yang disebut dalam 4:28, “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau berpaling dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan sulh yakni penamatan pertikaian yang sebenar-benarnya dan sulh itu lebih baik (bagi mereka)”   sulh

Menurut Said Hawa dalam kitabnya Al-Asas Fi Al-Tafsir, nusyuz di sini bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri, tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya.[14]

Selain itu, segala tindakan suami yang enggan menunaikan hak spiritual, material atau bertindak kasar terhadap isteri juga dikira sebagai nusyuz. Hak spiritual ini termasuklah keperluan untuk berhubungan yang baik dengan isteri, memenuhi kepuasan seksual, memberi pendidikan agama, tidak menghina dan mengasari isteri. Hak material isteri pula ialah memberikan maskahwin, nafkah dan mut`ah yakni pampasan jika berlaku perceraian tanpa nusyuz isteri.[15]

Ini juga dipersetujui pendapat ulama masakini, seperti Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhaily dan juga Prof. Dr. M. Quraish Shihab  yang menyatakan bahawa termasuk dalam perlakuan nusyuz suami ialah tiadanya sikap rahmah, baik dari percakapan serta meremehkan isteri dan menghalangi hak-hak yang sewajarnya diperolehi isterinya.

Dalam hal ini juga boleh disimpulkan dalam keadaan seorang isteri atau suami yang berzina atau curang dengan pasangan masing-masing dengan menjalin kasih dengan lelaki atau wanita lain juga termasuk dalam maksud nusyuz pada ayat 4:34 yang bermaksud derhaka, meninggalkan perintah suami mahupun tidak mematuhi perintah yang diwajibkan Allah ke atas mereka.[16] Ia juga tidak lari dari maksud tafsiran ayat 4:128 di sisi para ulama tafsir yang meliputi maksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri, memenuhi kepuasan seksual mahupun berlaku adil kepada isteri lantaran sikap suami yang menduakan isteri dengan wanita lain. Bahkan menurut Prof. Dr Hamka, maksud nusyuz di sini juga apabila hilangnya rasa cinta atau berpaling hati kepada orang lain sehingga ingin menceraikan isterinya atas sebab demikian.[17]

Ini dapat disimpulkan dengan baik oleh Al-Zuhaily yang menyatakan nusyuz adalah ketidakpatuhan salah satu pasangan terhadap apa yang seharusnya dipatuhi, atau rasa benci terhadap pasangannya. Dengan kata lain, tidak taatnya suami atau isteri kepada aturan-aturan yang telah diikat oleh perjanjian yang telah terjalin dengan sebab ikatan perkawinan tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak.[18]

Nusyuz dari kacamata feminis Muslim

Berbeza dengan tafsiran para ulama Islam pada ayat 4:34 dan juga 4:128, golongan feminis Muslim memberikan pengertian nusyuz dengan konotasi yang amat berbeza sekali.

Golongan ini mengistilahkan maksud nusyuz sebagai terjadinya keretakan di dalam rumah tangga atau ketiadaan harmoni antara suami isteri di dalam keluarga. Mereka seterusnya menolak tafsiran nusyuz yang bermaksud ketidaktaatan isteri kepada suami. Menurut mereka, kewajiban taat yang diambil dari lafaz qanitat pada ayat 4:34 mempunyai makna umum dan merujuk pada perilaku seorang manusia terhadap Allah s.w.t., yang meliputi juga suami, bukan khusus pada ketaatan isteri kepada suami sahaja.[19] Dengan itu, mereka tidak mengkhususkan nusyuz pada ayat ini hanya kepada isteri, tetapi juga pada suami.

Menurut Amina Wadud, Al-Quran tidak pernah memerintahkan isteri untuk mentaati para suami. Ia juga tidak pernah menegaskan bahawa ketaatan isteri terhadap suami merupakan antara ciri-ciri wanita yang baik.[20] Malah, Al-Quran juga tidak memaksa isteri Nabi s.a.w. supaya mentaatinya. Rasulullah s.a.w. juga tidak pernah memerintahkan isterinya untuk mentaatinya.[21]

Manakala menurut mereka perkataan nusyuz pada ayat 4:128 bukan sahaja merujuk kepada suami sahaja, tetapi juga isteri. Dalam hal ini, mereka mempertikaikan mengapa ayat ini tidak disebut sebagai ketidaktaatan suami terhadap isteri seperti mana tafsiran ulama Islam pada ayat 4:34, mengapa apabila perkataan yang sama dirujuk kepada isteri, ia ditafsirkan sebagai ketidaktaatan isteri kepada suami.

Menurut Asma Barlas, perkara ini berlaku kerana kefahaman para ulama terhadap ayat ini dipengaruhi oleh ketidaksetaraan gender dan bersifat memihak (bias) kepada kaum lelaki.[22]

Menurut Sayyid Abdurrahman bin Husein bin Umar, tafsiran yang memihak ini  couple-cartoon-fightingberpunca dari sudut hak suami atas isterinya iaitu dalam mendapatkan ketaatan, pelayanan yang baik, penyerahan diri, dan, yang terakhir, berlangsung ketenangan. Dengan demikian, nusyuz boleh terjadi di pihak isteri, jika berlaku pelanggaran empat perkara yang menjadi hak suami tadi.[23]

Dengan ini, melalui kacamata golongan feminis Muslim, kedudukan wanita menjadi sangat tergantung pada kaum lelaki. Seringkali, apabila berada dalam lingkungan hubungan suami-isteri, posisi wanita didefinisikan oleh pespektif suami dan ketika mereka berada di lingkungan keluarga, hak wanita pula sangat dibatasi oleh orang tua mereka, dan dalam hal ini adalah bapa dan saudara lelaki mereka. [24]

Pada masa yang sama, seperti mana dalam tafsiran ulama Islam, maksud nusyuz kedua ayat ini di sisi feminis Muslim juga meliputi keadaan seorang isteri atau suami yang berzina atau curang dengan pasangan masing-masing dengan menjalin kasih dengan lelaki atau wanita lain, kerana ini juga termasuk dalam maksud umum nusyuz akan ketiadaan harmoni antara suami isteri di dalam keluarga pada ayat 4:34, serta maksud ketidak taatan antara suami terhadap isteri atau sebaliknya pada ayat 4:128.

Kesimpulan

Perbahasan ringkas nusyuz dari kacamata ulama Islam dan golongan feminis Muslim menunjukkan perbezaan berlegar pada maksud ketaatan isteri terhadap suami pada ayat 34, surah al-Nisa.

Daripada kajian ini juga, didapati bahawa tafsir tradisional dan feminis berbeza di dalam memahami perkataan nusyuz. Penulis berpandangan bahawa di dalam hal ini, penafsiran tradisional adalah lebih wasati[25], tepat dan sesuai. Ini adalah kerana pengertian ketidaktaatan dan menentang suami lebih menepati dengan penggunaan asal nusyuz dari segi bahasa dan konteks bagi tafsiran ayat 34 bagi surah al-Nisa. Begitu juga dengan tafsiran ayat 128 yang dirujukkan kepada para suami sahaja.

Manakala pandangan feminis Muslim yang menyatakan bahawa nusyuz bukan bererti taat kerana wanita tidak diperintahkan untuk mentaati suami adalah bertentangan dengan hadith-hadith Rasulullah yang menunjukkan secara jelas kewajiban isteri untuk mentaati suami. Penafsirannya sebagai ketiadaan harmoni pada ayat ini adalah juga meliputi pihak suami dan bukan sekadar isteri sahaja. Oleh itu, ia tidak sesuai dengan konteks ayat yang dibincangkan kerana ayat tersebut mengaitkan nusyuz dengan para isteri (nusyuzahunna).

Walaupun begitu, tafsiran ulama Islam dan feminis Muslim ini tidak berselisih tentang langkah-langkah yang disarankan oleh Al-Quran bagi para isteri yang nusyuz, tidak kira sama ada isteri tersebut nusyuz dengan sebab tidak taat terhadap para suami mahupun kerana berlaku keretakan atau tiada harmoni antara kedua suami dan isteri dalam rumahtangga.

warna hidup-frontKesepakatan antara tafsiran para ulama tafsir Islam dan golongan feminis Muslim ini juga jelas dalam membicarakan maksud nusyuz dalam ayat 4:128, di mana kedua-dua golongan ini tidak berselisih pada pendapat maksud nusyuz dalam ayat ini yang memberi maksud mengabaikan isteri atau tidak melaksanakan tanggungjawab fizikal dan juga spiritual. Cuma bezanya, tafsiran feminis Muslim ini juga turut meliputi pihak isteri juga. Namun sekali lagi pendapat ini tidak sesuai dengan konteks ayat yang dibincangkan kerana ayat tersebut secara jelas dari sudut penggunaan bahasa dan ganti nama merujuk nusyuz di sini terhadap suami.

Melalui perbincangan ini dapat difahami di sebalik suara-suara lantang golongan feminis Muslim dalam menafsirkan semula ayat-ayat Al-Quran, mereka sebenarnya mempunyai hasrat yang baik dalam memberikan tanggapan yang benar pada Islam seperti golongan feminis Muslim rasionalis. Golongan ini menitikberatkan imej Islam sebagai agama yang sarat dengan nilai suci dan murni seperti nilai keadilan dan kesetaraan antara gender. Namun ini bukan bermakna bahawa segala apa yang dinyatakan mereka adalah benar belaka dan kita kita perlu menerima segala hujjah mereka.

Pada masa yang sama, apa yang penting sebagai asatizah atau sarjana Islam bagi menyanggah kekurangan pendapat mereka ini, perlulah terlebih dahulu arif dan memahami metodologi atau kerangka pemikiran mereka sebelum mengkritik secara melulu seperti mempelajari metodologi tafsir hermeneutika[26] yang mereka gunakan.

Kegagalan dalam memahami sumber pemikiran golongan ini seperti beranggapan bahawa mereka menentang ayat-ayat Quran, merupakan satu tindakan yang kurang tepat, sedangkan apa yang sebenarnya ialah tanggapan mereka  terhadap segolongan ulama yang bersikap memihak (bias) dalam menafsirkan ayat-ayat Al-Quran, dan bukannya ayat-ayat Quran itu sendiri yang dipermasalahkan.

Penulis juga beranggapan bahawa tafsir pada ayat-ayat tertentu juga perlu dinilai dengan pandangan atau worldview yang lebih menyeluruh sesuai dengan konteks pada masa ayat ini diturunkan  (asbab al-nuzul) dan juga konteks pada masa kini, namun berpegang teguh pada metod dan kerangka kerja yang telah ditetapkan oleh ulama silam, terutamanya dalam konteks kemajuan wanita hari ini dan perlu kepada kefahaman yang baru sesuai dengan prinsip syariah yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah, pendapat ini selari dengan pandangan Dr. Muhammad `Imarah dan juga Sheikh Muhammad Sa`id Ramadan Al-Buti.[27]

———————————

Nota:

[1]Istilah ‘Islamik Feminis’ atau ‘Muslim Feminis’ mula kedengaran pada tahun 1990an di beberapa negara-negara tertentu. Para sarjana Iran yang bernama Afsaneh Najmabadi dan Ziba Mr-Hosseini merupakan antara mereka yang mula menjelaskan bahawa istilah ini semakin digunapakai dalam arena penulisan tidak kira dari sarjana lelaki mahupun wanita dalam tulisan mereka di jurnal wanita Zaman yang diterbitkan oleh Shahla Sherkat pada tahun 1992. Sarjana Arab Saudi yang bernama Mai Yamani menggunakan istilah yang sama pada bukunya yang bertajuk ‘Feminism and Islam’ pada tahun 1996.  Sarjana Turki, Yesim Arat dan Feride Acar pada artikel mereka, begitu juga Nilufer Gole pada bukunya ‘The Forbidden Modern’ pada tahun 1991 ketika menjelaskan paradigma feminis baru yang berputik di Turki. Ia juga digunapakai oleh aktivis Afrika Selatan iaitu Shamima Shaikh pada tahun 1990an. Pada pertengahan tahun 1990an, istilah ini semakin jelas berkembang dan tersebar luas di kalangan para sarjana Muslim di segenap pelusuk dunia. Bagi sebahagian sarjana, istilah ini merujuk kepada advokasi Al-Quran sebagai kesetaraan gender dan keadian sosial. Walau bagaimanapun terdapat para para sarjana Muslim yang tidak ingin nama mereka dikaitkan dengan gelaran Feminis Muslim seperti Fatima Mernissi pengarang buku ‘Women and Islam: An Historical and Theological Enquiry’ (kali pertama diterbitkan dengan nama ‘Le harem Politique pada tahun 1978 dan dialihbahasa ke Inggeris pada tahun 1991 yang ingin lebih dikenali sebagai Feminis Sekular. Terdapat juga pengarang feminis lain seperti Amina Wadud yang merupakan ahli teologi berbangsa Afrika-Amerika yang juga merupakan pengarang buku ‘Qur’an and Woman: Rereading the Sacred Text from a Woman’s Perspective’ dan juga Riffat Hassan, ahli teologi asal Pakistani yang kemudian berpangkalan di Amerika, kededuanya dahulu keberatan dengan gelaran ini, mula berubah fikiran dan menerima hakikat gelaran tersebut, asal sahaja masyarakat mengiktiraf dan memahami hasil kerja mereka. Margot Badran (2009), Feminism in Islam: Secular and Religious Convergences, Oxford: Oneworld Publications, ms. 243-5.

[2]Al-Qur’an dan Tafsirnya (2004), jld.4-6, Semarang: PT. Karya Toha Putra.

[3]Siyaq adalah petunjuk yang digunakan untuk menetapkan makna yang dimaksudkan oleh pembicara atau susunan kata. Ia adalah bingkai yang di dalamnya terhimpun unsur-unsur teks dan kesatuan kebahasaan yang berfungsi menghubungkan, bukan sahaja kata, tetapi juga rangkaian kalimat serta situasi dan kondisi yang menyertainya, lalu dari himpunan keseluruhan unsur tersebut ditemukan oleh pembaca/pendengar teks, makna atau idea yang dimaksud oleh teks. Sila lihat M. Quraish Shihab (2013), Kaidah Tafsir: Syarat, Ketentuan dan Aturan Yang Patut Anda Ketahui Dalam Memahami Al-Quran. Jakarta: Penerbit Lentera Hati, ms. 253-4

[4]Muchlis M. Hanafi (2008), Mengapa Disebut Surah Perempuan (Al-Nisa)? (Tulisan persendirian dan tidak dibentangkan atau diterbitkan).

[5]Ibid. 

[6]Muhammad bin Mukarram ibn `Ali bin Ahmad bin Manzur (1990), Lisan Al-`Arab, Beirut: Dar Sadir, jld. 5, ms. 417.

[7]Ibid.

[8]Ahmad bin Zakariyya bin Faris (2001), Mu’jam Maqayis Al-Lughah, Damsyiq: Dar Al-Fikr, jld. 5, ms. 430.

[9]M. Quraish Shihab (2007), Ensiklopedia Al-Quran: Kajian Kosa Kata, Jakarta: Lentera Hati, ms. 20.

[10]Ghazala Anwar dalam wacana teologis feminis Muslim menggolongkan penafsiran feminis Muslim kepada lima kategori: i. Feminis apologis, meyakini bahawa Islam seperti yang tersirat dalam Quran dan Hadith telah memberikan semua yang diperlukan oleh kedua lelaki dan wanita bagi kesejahteraan dan pemenuhan peribadi masing-masing. ii. Reformis, menjadikan perbezaan antara teks otoritatif dengan tafsiran tentangnya. Bagi mereka teks-teks keagamaan tentang gender telah difahami secara tidak memadai dan disalah ertikan. iii. Transformasionis, bertujuan untuk mentransformasikan tradisi dengan tetap menggunakan hermeneutik klasik yang telah akrab dalam wacana Islam tradisional, namun dirumuskan dengan cara baru dan berbeza sama sekali dengan cara tradisional. Antara contoh feminis kategori ini ialah Masdar Farid Mas’ud, Mahmoud Muhammad Thaha dan sebagainya. iv. Rasionalis, timbul dari keyakinan bahawa Allah Tuhan yang Maha Adil, maka tentu Islam membawa misi keadilan terhadap sesiapapun, baik di antara, sesama manusia yang berbeza agama mahupun jenis kelamin. Menurut aliran ini, Al-Quran hadir dengan mengkedepankan wacana keadilan dan kesetaraan gender. Antara tokohnya ialah Fazlurrahman, Amina Wadud, Asma Barlas dan lain-lain. v. Rejeksionis, menganggap bahawa memang terdapat teks Al-Quran dan Hadith dalam kaitan dengan wanita yang misoginis, seksis dan diskriminatif. Contoh tokoh ini ialah Taslima Nasreen. vi. Posmodernis, berpendapat harus dilakukan ex-sentralisme, iaitu keluar dari apa yang meletakkan lelaki sebagai pusat dari kehidupan sosial dan spiritual wanita seperti Ali Asghar Engineer. Sila lihat: Dr MS. Abdul Mustaqim (TT), Paradigma Tafsir Feminis: Membaca Al-Quran Dengan Optik Perempuan, Yogyakarta: Logung Pustaka, ms. 149-157.

[11]Al-Qurtubi (2006), Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, ed. Dr. `Abd Allah bin `Abd Al-Muhsin Al-Turki et al, jld. 6, Damsyiq: Muassasah Al-Risalah, ms. 285.

[12]Ibn Kathir Al-Dimashqi (1998), Tafsir Al-Qur’an Al-`Azhim, Muhammad Husayn Sham Al-Din (ed.), Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah jld. 2, ms. 492.

[13]Dr. Wahbah Al-Zuhayli (1989), Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, jld. 7, Beirut: Dar Al-Fikr, ms.338.

[14]Said Hawa (1989), al-Asas fi al Tafsir, jld. 2, Beirut: Dar al-Salam, ms 1194.

[15]Al-Qurtubi (2006), Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, ed. Dr. `Abd Allah bin `Abd Al-Muhsin Al-Turki et al, jld. 5, Damsyiq: Muassasah Al-Risalah, ms. 422.

[16]Sila lihat Syariah Courts (2012), Singapore Syariah Appeals Reports 2012, Singapore: Academy Publishing.

[17]Prof. Dr Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (1983), Tafsir Al-Azhar, jld. 4, Jakarta: PT Pustaka Panjimas, ms. 304.

[18]Dr. Wahbah Al-Zuhayli (1989), Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, jld. 7, Beirut: Dar Al-Fikr, ms.338.

[19]Amina Wadud (1999), Qur’an and Woman: Rereading the Sacred Text from a Woman’s Perspective, New York: Oxford University Press, ms. 74.

[20]Ibid, ms. 77.

[21]Asma Barlas (2010), Believing Women in Islam: Unreading Patriarchal Interpretation of the Qur’an, Texas: The University of Texas Press, ms. 187.

[22]Ibid, ms.186.

[23]Syafiq Hashim (2001), Hal-hal Yang Tak Terfikirkan Tentang Isu-Isu Keperempuanan Dalam Islam, Bandung: Penerbit Mizan, ms. 260-1.

[24]Ibid.

[25]Wasati di sini adalah seperti mana yang dijelaskan oleh Al-Qaradawi iaitu mengimbangkan antara perkara tetap dalam syariat dan yang boleh berubah mengikut keadaan semasa. Mengekalkan objektif sebenar serta perkara asas yang merupakan teras syariat tetapi anjal dalam gaya, daya bahasa yakni uslub dan perkara cabang. Sila lihat Yusuf Al-Qaradawi (2017), Islam Agama Wasatiy: Menanggapi Wasatiyyah Dan Ekstremisme Menurut Pandangan Syarak, Rosli Mokhtar (terj.), Kuala Lumpur: Ilham Books, ms. 78.

[26]Bagi penerangan terperinci perbahasan bagi maksud hermeneutika dan metodologi tafsir hermeneutika ini, sila lihat M. Quraish Shihab (2013), Kaidah Tafsir: Syarat, Ketentuan dan Aturan Yang Patut Anda Ketahui Dalam Memahami Al-Quran. Jakarta: Penerbit Lentera Hati, ms. 428. Lihat juga Adian Husain et. al. (2007), Hermeneutika & Tafsir Al-Qur’an, Jakarta: Gema Insani, ms.xii dan Khudori Soleh (2004), “Hermeneutika Dan Metode Tafsir”, Psikoislamika, Fakultas Psikologi Universitas Islam Negeri (UIN), Malang. Jld. 1, boil. 1, ms. 26.

[27]Sila lihat wacana perbahasan isu yang sama melalui Prof. Muhammad `Imarah (2010), Haqaiq Wa Shubhat Hawla Makanat Al-Mar’ah Fi Al-Islam, Kaherah: Dar Al-Salam, ms. 171. Lihat juga Muhammad Sa`id Ramadan Al-Buti (2009), Women Between the Tyrany of the Western System and the Mercy of the Islamic Law, Nancy Roberts (terj.), Beirut: Dar Al-Fikr.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: