DARI MEJA PENYUNTING… (WASAT, EDISI NO. 20/APRIL 2018)

bismillah(Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.)

Alhamdulillah, Wasat masih dapat terus diterbitkan bagi edisi no. 19/April 2018.

Moga edisi baru ini terus memberi manfaat kepada para pembaca dan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah taala.

Terbitan Wasat edisi baru ini bersempena dengan bulan Rajab yang kemudiannya diikuti pula dengan bulan Syaaban yang mana keduanya adalah petanda bahawa Ramadan yang mulia semakin dekat.

Ramadan yang mulia dikenali sebagai bulan beribadah dan mujahadah. Semua umat Islam perlu bercita-cita untuk menghidupkan Ramadan dengan ibadah dan mujahadah dengan penuh kesungguhan agar Ramadan yang akan datang menjadi lebih baik dari yang lalu dan kehidupan setelah itu lebih dari sebelumnya.

Namun ini hanya dapat dicapai, jika persiapan untuk menghidupkan Ramadan dibuat dengan baik dan seawal mungkin. Sebab itulah, adalah elok bagi umat Islam untuk berbanyakkan doa keberkatan bagi Rajab dan Syaaban dan usia yang panjang untuk bertemu Ramadan supaya mereka sentiasa ingat untuk membuat persiapan dan bukan hanya menanti kedatangannya sahaja.

Moga Allah taala memudahkan kita semua untuk mempertingkatkan ibadah sebagai persiapan bagi Ramadan dan dipertemukan pula dengan Ramadan sehingga ia menjadi bulan terbaik bagi kita semua, Amin.

Wasat, pada kali ini, mengemukakan empat artikel pilihan.

Artikel pertama bertajuk Wasatiyyah Dalam Memahami Ruqyah Syar`iyyah, sumbangan Ustaz Mohammad Rizhan Bin Leman. Artikel ini menyentuh fahaman yang saksama dalam Islam dalam soal ruqyah bagi tujuan merawat penyakit. Atas premis bahawa ruqyah memang mempunyai sandarannya dalam Islam, penulis mengemukakan empat poin kepada pembaca bagi membentuk fahaman dan sikap yang wasatiy dalam isu yang dibicarakan; 1) ruqyah syar`iyyah bukan khusus untuk kes-kes yang melibatkan gangguan makhluk halus, 2) ruqyah syar`iyyah tidak terhad kepada menggunakan Al-Quran sahaja, 3) ruqyah syar`iyyah tidak bertentangan dengan tawakal, 4) ruqyah syar`iyyah tidak menafikan usaha untuk mencari rawatan dari golongan doktor perubatan, dan 5) ruqyah syar`iyyah tidak semestinya dilakukan oleh pihak lain. Penulis juga menyebut syarat-syarat sesuatu ruqyah itu boleh digunapakai dalam Islam dan beliau mengakhiri artikel ini dengan tiga saranan; 1) pengajian ruqyah syar`iyyah harus diluaskan, 2) kemahiran pakar perubatan, ahli psikologi dan para pengamal ruqyah harus dimanfaatkan, dan 3) ruqyah yang menjurus kepada syirik harus dibendung. Bagi perincian, bacalah artikel ini.

Artikel kedua bertajuk Apabila Seseorang Dakwa atau Alami Karamah dan Perkara Luar Biasa: Apa Sikap Yang Saksama?, sumbangan Ustaz Mustazah Bahari. Artikel ini membicarakan sikap yang benar dan saksama apabila seseorang berhadapan dengan dakwaan bahawa seseorang yang lain mempunyai karamah atau mampu melakukan perkara-perkara yang diluar dari kebiasaan atau jika dia sendiri mengalami perkara sedemikian i.e. mampu melihat perkara-perkara ghaib dan menyembuh penyakit dengan cara yang luar biasa.

Artikel ketiga bertajuk Kepelbagaian Di Dalam Menyampaikan Ilmu: Sebuah Renungan Ringkas Tentang Lanskap Majlis Ilmu Di Singapura, sumbangan Mohammad Hafiz Kusairi. Memandangkan profil masyarakat Muslim Singapura sudah berubah, penulis berhujah akan kepentingan bagi para asatizha mempelbagaikan cara dalam penyampaian ilmu agama mereka. Hal ini juga bersesuai, di sisi penulis, dengan sunnah Nabi s.a.w yang menggunakan pelbagai teknik dalam mengajar umat Islam di zamannya. Untuk mempelbagaikan cara, asatizah dianjurkan agar memperkasakan diri dengan pelbagai teknik yang boleh dipelajari dalam pelbagai bidang ilmu dengan berpandukan juga empat ciri majlis ilmu yang baik; 1) mesra pelajar, 2) persiapan yang rapi, 3) mengaitkan isi penyampaian dengan konteks yang sesuai, dan 4) meninggalkan buah tangan dan rumusan untuk dibawa pulang (diingati). Kaitan artikel iin dengan isu wasatiyah ialah ia mencadangkan idea-idea yang dapat mencemerlangkan asatizah, salah satu sifat utama wasatiyah, dalam usaha penyebaran ilmu sesuai dengan perubahan profil masyarakat hari ini.

Artikel ketiga ialah artikel berbahasa Inggeris yang bertajuk Between Western Revisionism and Islamic Traditionalism in Islamic History: A Case Study of the Multireligious Environment of Early Islam, oleh Ustaz Azfar bin Anwar. Penulis berhujah bahawa masyarakat Mekah sebelum dan semasa perutusan Nabi s.a.w bukanlah satu masyarakat yang seragam, iaitu jahiliyah dan penyembah berhala. Penulis mengemukakan laporan-laporan dari para sejarawan Islam silam sebagai bukti wujudnya kepelbagaian kepercayaan, termasuk yang bertaskan tauhid, di Mekah di awal kedatangan Islam yang mana setiap satu mempunyai kesan kepada keseluruhan masyarakat di zaman itu. Keinginan untuk melihat dan menilai kembali fahaman yang sedia secara kritikal adalah sesuatu yang terpuji dan ciri-ciri wasatiyah yang baik yang doa rajabwajar dicontohi bagi pembaca artikel ini.

Sekian.. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta.

Leave a comment