Kepelbagaian Di Dalam Menyampaikan Ilmu: Sebuah Renungan Ringkas Tentang Lanskap Majlis Ilmu Di Singapura (Wasat, Edisi no. 20/April 2018)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

songket2

oleh Mohammad Hafiz Kusairi

Di dalam era globalisasi yang menyaksikan kepesatan maklumat yang diperolehi seseorang, profil rakyat Singapura melalui kepelbagaian yang semakin ketara dan pesat.

Kepelbagaian ini meliputi aspek fizikal seperti gaya kehidupan, ketrampilan dan juga aspek yang bersifat dalaman (intrinsic) seperti cara pemikiran (mindset) dan tanggapan terhadap pandangan-alam (world-view). Kepelbagaian ini turut mempengaruhi profil para penuntut ilmu yang menghadiri kelas-kelas agama di merata negara ini.

Oleh itu, tidak dapat tidak, lanskap dakwah di Singapura turut menjalani perubahan-perubahan bagi menampung kepelbagaian ini.

Sebagai contoh, ilmu agama sudah tidak lagi terbatas kepada ruang masjid semata-mata, malahan sudah semakin banyak pusat-pusat pendidikan yang didirikan untuk memenuhi kehendak mereka yang lebih selesa dengan pendekatan yang lebih fokus dan berstruktur seperti yang dikelolakan oleh Pergas, Andalus dan Sekolah Ugama Radin Mas (SURM).

Bahkan kelas-kelas agama di masjid juga memperkenalkan pendidikan bermodul melalui program ADIL kelolaan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Terdapat juga perkembangan yang memberangsangkan melalui kelas-kelas yang mesra belia yang tidak terbatas oleh kehendak sukatan pelajaran tetapi lebih kepada aspek penerapan nilai-nilai mulia di tengah-tengah kemodenan hidup seperti kelas Heroes dan Back2Masjid.

Aspek kepelbagaian turut terserlah dalam cara asatizah mengendalikan kelas-kelas agama mereka. Pusat-pusat seperti Tradisi Halaqah dan Rubat Singapura semakin mendapat tempat di tengah-tengah masyarakat melalui penerapan kaedah pembelajaran secara berhalaqah di mana kitab-kitab agama klasik atau lebih dikenali dengan kitab-kitab kuning dikupas oleh asatizah di dalam suasana yang mirip dengan pusat-pusat pendidikan tradisional yang terdapat di kawasan Hadramaut (Yaman), Pattani (Thailand), Kelantan dan Kedah.

Tidak kurang juga asatizah yang memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat di dalam pengajaran mereka dengan menggunakan slaid Powerpoint di dalam suasana yang mirip pula dengan kuliah-kuliah yang terdapat di politeknik dan universiti tempatan mahupun luar negara.

Artikel kali ini bertujuan untuk mengiktiraf kepelbagaian di dalam pendekatan dakwah di Singapura dewasa ini, di samping berkongsi pemerhatian penulis tentang beberapa pendekatan yang menarik yang diamalkan oleh asatizah di Singapura dan juga memberikan beberapa saranan untuk menambah nilai pendekatan yang sedia diamalkan kini.ust zahid

Skop artikel ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian:

  1. Rasulullah s.a.w dan kepelbagaian di dalam pembelajaran yang ditunjukkan Baginda (differentiated learning)
  2. Empat ciri majlis ilmu yang cemerlang
  3. Memperkasa pendekatan-pendekatan yang sedia ada di Singapura.

Rasulullah s.a.w. dan kepelbagaian di dalam pembelajaran yang ditunjukkan Baginda

Antara kekeliruan utama yang sering ditimbulkan di dalam membincangkan pendekatan yang terbaik di dalam menyampaikan ilmu ialah bahawa pendekatan ini sangat terbatas pada satu cara sahaja merangkumi aspek material yang digunakan, pendekatan guru dan juga infrastruktur tempat pembelajaran itu sendiri.

Bahkan sudah ada perspektif di tengah masyarakat bahawa semakin daif suatu institusi pendidikan itu, semakin berkemampuan ia melahirkan pelajar-pelajar yang berkaliber disebabkan kecekalan yang diterapkan melalui suasana yang tersebut.

Tidak kurang juga yang menempelkan kehebatan seorang pelajar itu kepada infrastruktur fizikal pendidikan yang serba canggih.

Kesimpulan-kesimpulan sedemikian seringkali melupakan skop yang lebih luas yang digagaskan oleh metodologi Rasulullah s.a.w. di dalam menyampaikan ilmu iaitu:

  1. Kaedah pendekatan Rasulullah s.a.w. di dalam mendidik masyarakat bersifat komprehensif dengan mengambil kira suasana sekitaran dan kemampuan individu menggarap ilmu yang disampaikan.
  2. Ilmu pengetahuan tentang seni penyampaian (pedagogical knowledge) merupakan suatu yang dititikberatkan di dalam Islam dan memerlukan usaha berterusan untuk memperkasa ilmu mengenainya dan mengamalkannya.

Syaikh Abdul Fattah Abu Guddah di dalam kitabnya Al-Rasul Al-Muallim Wa Asalibuh Fi Al-Ta’lim (terjemahan bertajuk Mendidik & Mengajar Ala Rasulullah: Menyelami 40 Sistem Pendidikan Serta Pengajaran Yang Dilakukan dan Diberikan Oleh Rasulullah, oleh Ust. Umar Hussein Assegaf, terbitan Layar Publishing, Yogyakarta, 2015) sendiri menekankan bahawa “…Rasulullah s.a.w. ketika mengajar memilih sistem yang paling baik dan paling utama, yang lebih berkesan di hati orang, lebih mudah untuk dihadam dan difahami dan lebih melekat di dalam kotak pemikiran orang tersebut.”

Oleh itu, di dalam memikirkan pendekatan yang terbaik di dalam menyampaikan ilmu, adalah teramat penting untuk kita mengiktiraf kepelbagaian suasana sekitar yang semakin kerap berubah dan juga kepelbagaian corak pemikiran kemanusian di dalam berurusan dengan fakta.

Oleh itu juga, pendekatan yang berbagai-bagai di dalam penyampaian ilmu perlu dihargai di samping menjauhi pemikiran bahawa hanya satu cara sahaja yang ulung dan patut diterima oleh semua penuntut ilmu.

Terlebih teruk lagi ialah apabila kaedah orang lain direndah-rendahkan sebagai tidak Islamik. Bahkan kitab karangan Syaikh Abdul Fattah Abu Guddah yang disebut di atas mengetengahkan 40 kaedah pendekatan Rasulullah di dalam menyampaikan ilmu. Di dalam bukunya yang bertajuk How the Messenger of Allah (p.b.u.h) Taught his Students – The Sunnah in Today’s Classroom pula, Jahangir Mahmud mengetengahkan 72 kaedah pengajaran Rasulullah s.a.w yang boleh diamalkan oleh para penyampai ilmu.

ajar cara nabiEmpat ciri majlis ilmu yang cemerlang

Apabila kita mampu untuk menghargai kepelbagaian di dalam penyampaian ilmu, penulis ingin berkongsi empat ciri majlis ilmu yang cemerlang hasil daripada pengalaman beliau menghadiri majlis-majlis ilmu tempatan.

Diharapkan agar artikel dapat mencetus renungan mahupun perbincangan di kalangan para pendidik sekarang dan akan datang tentang keperluan memperkasa isi dan penyampaian di dalam suasana dunia yang sentiasa berubah.

Empat ciri ini ialah:

  1. Mesra pelajar

Terdapat beberapa asatizah yang memulakan majlis mereka dengan bertanyakan khabar para jemaah. Pengisian majlis ilmu seringkali melibatkan material yang bersifat berat dan memerlukan penumpuan dan perhatian bagi pengajar dan juga pelajar. Oleh itu, ia kerap tidak lari daripada suasana yang bersifat serius.

Sifat asatizah yang menampakkan keprihatinan dan ada masanya bertanyakan pendapat para jemaah tentang suatu isu yang berkait tidak meredakan suasana majlis yang tegang bahkan turut mewujudkan ikatan mesra antara pengajar dan pelajar.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Al-Tabarani, diriwayatkan bahawa seorang sahabat bernama Safwan Ibn Assal r.a mendatangi Rasulullah s.a.w ketika Baginda berada di dalam masjid lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Aku datang untuk menuntut ilmu.”

Rasulullah s.a.w menjawab, “Selamat datang wahai penuntut ilmu! Sesungguhnya para malaikat mengelilingi para pencari ilmu dengan sayap-sayap mereka dan saling menunggangi antara satu dengan yang lain hingga ke langit disebabkan kecintaan mereka terhadap apa yang dicari oleh pencari ilmu. Apakah yang ingin engkau pelajari?”

Termasuk dalam kaedah mesra pelajar juga ialah kemampuan pengajar untuk menyediakan suasana pembelajaran yang memudahkan penyerapan maklumat para pelajar.

Ini termasuk penggunaan Powerpoint untuk kemudahan para pelajar. Apatah lagi Powerpoint ini lengkap dengan maklumat tambahan dalam bentuk grafik dan video singkat untuk memantapkan lagi pemahaman pelajar. Saya memerhatikan bahawa penggunaan Powerpoint ini bukan terbatas kepada asatizah muda yang mungkin dianggap lebih mesra teknologi maklumat tetapi terdapat para asatizah mapan yang sudah memanfaatkan penggunaan Powerpoint untuk kuliah-kuliah mereka yang walaupun menggunakan kitab-kitab kuning tetapi berjaya diserasikan dengan penggunaan teknologi maklumat.

Bantuan visual (visual aid) di dalam pendidikan turut  ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya bahawa Saidina Jabir telah berkata: Kami sedang duduk bersama Nabi s.a.w. lalu Baginda membuat garisan lurus di depan Baginda menggunakkan tangan lalu berkata, “Ini adalah jalan Allah ta’ala.” Kemudian Baginda membuat dua garis di sebelah kanan dan kiri (garisan awal) lalu berkata, “Ini adalah jalan-jalan syaitan.” Baginda lalu meletakkan tangan Baginda di atas garisan yang tengah lalu membaca, “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

2. Persiapan rapi

Persiapan rapi yang dibuat seorang pengajar untuk majlis ilmunya akan tampak ketara. Penyampaiannya akan tersusun kemas dan tidak menerawang pada isi kandungan yang tidak berkait dengan isi kandungan bahan yang sepatutnya dihuraikan.

Antara ciri pengajaran yang tersiap rapi ialah:

  • Penyampaian yang terfokus terhadap tajuk yang diberi atau bahan yang digunakan.
  • Mengulangkaji bahan yang diajarkan pada minggu lepas dan kaitannya dengan pelajaran bagi minggu ini
  • Mampu berkongsi ringkasan (summary) bagi bahan minggu terkini
  • Menunjukkan kepada para pelajar bahagian-bahagian yang perlu diberikan tumpuan yang lebih padanya

Sebaliknya, persiapan yang kurang rapi pada pihak pengajar juga kelihatan ketara apabila pengajar lebih banyak menghabiskan masanya berbual tentang perkara-perkara yang tidak terkait dengan isi pengajaran.

Ini termasuk mempromosikan produk perniagaan dan perancangan masa depan untuk perniagaan yang bakal diceburi yang, tentu sekali, mengambil masa para pelajar yang tentu sekali telah meluangkan masa mereka untuk dimafaatkan.

Cukuplah seorang pengajar itu berpegang kepada hadith Rasulullah s.a.w. yang masyhur iaitu, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab atas kepemimpinanmu” sebagai peringatan bahawa hadith ini turut mencakupi urusan amanah di dalam membuat persiapan menyampaikan ilmu.

3. Mengaitkan isi penyampaian dengan konteks yang sesuaiadil

Tidak dapat dinafikan bahawa di dalam pembelajaran ilmu yang berkait dengan agama, akan terdapat kesukaran di dalam memahami isi kandungan yang disampaikan kerana ia bersifat teknikal ataupun contoh yang diberikan sebagai keterangan pula menggunakan konteks yang wujud di dalam suasana dan zaman yang berbeza dengan keadaan kita hari ini.

Maka terdapat asatizah yang menggunakan contoh-contoh yang bersifat kontemporari untuk memberikan pemahaman kepada para pelajar lain.

Ini sering kelihatan di dalam kelas-kelas yang dihadiri para muda remaja yang membawa bersama mereka pemahaman dan nalar pemikiran yang lebih kompleks dan tersendiri.

Kelas-kelas ini seringkali dipenuhi dengan suasana yang santai, penuh keceriaan namun penuh pengisian; sesuai untuk berhadapan dengan jiwa remaja yang terdedah kepada kemurungan dan sangat memerlukan pembangkit semangat.

Rasulullah s.a.w. menekankan kepentingan untuk menyampaikan ilmu menurut kemampuan orang yang menerima ilmu tersebut.

Seorang lelaki telah meminta nasihat kepada Baginda dengan berkata, “Berikan aku wasiat, namun jangan banyak agar aku dapat memahaminya.” Lalu Baginda berpesan kepadanya untuk tidak marah walaupun diasak dengan soalan yang sama berkali-kali.

Begitu juga pesanan ringkas Baginda kepada seorang badwi untuk menyembah Allah, jangan  menyekutukanNya dengan sesuatu, mendirikan solat, menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadhan yang disahkan sendiri oleh badwi tersebut bahawa dia tidak akan menambah mahupun mengurangi sedikitpun daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w itu. Kedua-dua hadith ini diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari.

4. Rumusan dan buah tangan

Secara purata, kuliah-kuliah agama di Singapura memakan masa sekurang-kurangnya 45 minit (kuliah Subuh dan Maghrib) dan dalam masa ini, pelbagai maklumat dikongsikan oleh pengajar untuk dihadam oleh para pelajar.

Antara perkara yang dilakukan untuk memudahkan proses penghadaman ini ialah dengan membuat rumusan bagi sesi pengajaran yang baru berlalu.

Sebahagian asatizah turut memastikan bahawa perkongsian ilmu ini mempunyai nilai pemerkasaan (empowerment) agar segala ilmu yang dipelajari dapat diamalkan secara praktikal di dalam kehidupan seharian para pencari ilmu.

Rasulullah sendiri mempamerkan cara mendidik dengan mengetengahkan ilmu yang bersifat umum sebelum memperincikannya.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Sungguh celaka! Sungguh celaka! Sungguh celaka!” Para sahabat bertanya, “Siapakah (yang dimaksudkan) ya Rasulullah?” Baginda bersabda, “Seseorang yang mendapati orang tuanya yang lanjut usia sama ada salah seorang atau keduanya tetapi dia tidak memasuki syurga.”

Memperkasa pendekatan yang sedia ada di Singapura

Setelah memerhatikan beberapa ciri majlis ilmu yang cemerlang, perlu wujud usaha-usaha untuk menambah nilai pendekatan yang sedang diamalkan di Singapura.

Secara amnya, perlu ada lebih kerjasama sesama asatizah untuk mengendalikan program-program keilmuan yang walaupun berbeza pendekatannya, namun dapat membawa para pelajar ke arah matlamat yang sehaluan.

Sesama asatizah juga perlu meneruskan semangat untuk terus belajar daripada kaedah yang berbeza daripada yang biasa diketengahkan oleh diri sendiri.

Ini boleh dilakukan melalaui proses peer observation yang bertujuan untuk mencetus perspektif-perspektiff baru yang diharapkan dapat meningkatkan penghargaan sesama asatizah terhadap kaedah mengajar yang berbeza dengan kebiasaan mereka.

young caliphKesimpulan

Artikel ini telah menunjukkan betapa kepelbagaian profil pelajar mempengaruhi juga pendekatan mengajar. Di kalangan para pengajar dan pelajar juga setentunya terdapat kecenderungan terhadap pendekatan-pendekatan tertentu.

Namun, yang lebih perlu untuk difahami ialah keperluan masyarakat Singapura mutakhir ini bukanlah tentang kaedah ataupun pendekatan mana yang ulung.

Sebaliknya, apa yang terlebih penting untuk diusahakan ialah memupuk kesedaran di dalam diri dan masyarakat tentang betapa setiap pendekatan yang sedia ada masih mempunyai ruang untuk ditambah nilai.

Kegagalan untuk menyedari hakikat ini hanya akan merugikan kedua pengajar dan pelajar.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: