Wasatiyyah Dalam Memahami Ruqyah Syar`iyyah (Wasat, Edisi no. 20/April 2018)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

banner 3

oleh Ustaz Mohammad Rizhan bin Leman

Pendahuluan

Kehidupan di dunia ini adalah tempat ujian manakala Akhirat kelak merupakan tempat menerima keputusan. Ujian yang dihadapi manusia dalam kehidupan ini berbeza-beza.

Allah menjelaskan di dalam KitabNya, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 155)

Penyakit yang dihadapi manusia juga merupakan satu bentuk ujian daripada Allah. Setiap penyakit yang menimpa hamba-hambaNya mengandungi hikmah-hikmah tertentu.

Kadangkala Allah menguji seseorang dengan penyakit agar darjat hamba tersebut dapat ditinggikan dan dosa-dosanya diampunkan. Kadangkala pula ujian yang datang dalam bentuk penyakit merupakan satu teguran daripada Allah agar manusia kembali dan bertaubat kepadaNya.

Islam tidak pernah melarang pengikut-pengikutnya daripada mencari rawatan bagi penyakit yang mereka hadapi. Nabi s.a.w. bersabda, “Wahai hamba-hamba Allah! Berubatlah! Sesungguhnya Allah tidak menetapkan penyakit melainkan Dia menetapkan baginya penawar.” (Riwayat Al-Tirmidhi)

Buku DSYFADi antara cara yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. untuk merawat penyakit adalah dengan menggunakan kaedah ruqyah syar`iyyah. Ruqyah syar`iyyah adalah kaedah rawatan dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, zikir kepada Allah atau doa-doa yang bertepatan dengan syariat.

Penerimaan manusia terhadap ruqyah syar`iyyah sebagai kaedah rawatan berbeza-beza. Ada yang menganggapnya sebagai satu kaedah rawatan yang bertentangan dengan perubatan moden. Ada pula yang menganggapnya sebagai satu kaedah rawatan yang hanya diperlukan sekiranya tidak ditemukan jalan penyelesaian menerusi perubatan moden.

Apakah kefahaman yang wasatiy mengenai ruqyah syar`iyyah?

Artikel ini memberikan penjelasan mengenai ruqyah syar`iyyah dengan berpandukan Al-Quran dan Sunnah serta kefahaman para ulama yang muktabar.

Pendekatan wasatiy dalam memahami ruqyah syar`iyyah

Pertama, ruqyah syar`iyyah bukan khusus untuk kes-kes yang melibatkan gangguan makhluk halus.

Bagi sebahagian masyarakat, ruqyah syar`iyyah hanya dikaitkan dengan rawatan kes-kes yang melibatkan gangguan makhlus halus atau sihir.

Adakah ini kefahaman yang sahih?

Kajian terhadap hadis-hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ruqyah syar`iyyah bukan khusus untuk kes-kes sedemikian.

Abu Sa`id Al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa malaikat Jibril datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata, “Adakah kamu sedang mengadu kesakitan?” Nabi s.a.w. menjawab, “Ya.” Malaikat Jibril membaca,

بسم الله أرقيك من كل شيء يؤذيك ، ومن شر كل نفس أو عين حاسد الله يشفيك ، بسم الله أرقيك

(Ertinya: Dengan nama Allah saya meruqyah kamu daripada setiap sesuatu yang menyakitimu, daripada kejahatan setiap diri atau mata orang yang berdengki. Semoga Allah menyembuhkan kamu. Dengan nama Allah saya meruqyah kamu.)” (Riwayat Muslim)

Imam Ibn Al-Qayyim meletakkan hadis ini di dalam kitabnya Zad Al-Ma`ad di bawah fasal yang berjudul, Petunjuk Nabi s.a.w. perihal rawatan umum bagi setiap pengaduan (sakit) dengan ruqyah ilahiyyah.[1]

Ini menunjukkan bahawa ruqyah syar`iyyah adalah satu kaedah rawatan yang umum, baik bagi penyakit biasa mahupun penyakit yang melibatkan sihir atau gangguan makhluk halus.

Kedua, ruqyah syar`iyyah tidak terhad kepada menggunakan Al-Quran sahaja.

Rawatan menggunakan ruqyah syar`iyyah tidak dihadkan kepada pembacaan ayat-ayat Al-Quran sahaja. Ruqyah syar`iyyah juga boleh dilakukan dengan menggunakan zikir-zikir dan doa-doa yang bertepatan dengan syariat.perubatan islam-danial

Antara perkara yang diajarkan oleh Allah taala dan RasulNya adalah berdoa dengan menggunakan nama-nama Allah.

Allah taala berfirman, “Bagi Allah, nama-nama yang baik, maka berdoalah dengannya.” (Al-A`araf: 180)

Di dalam sepotong hadis, Nabi s.a.w. mengajarkan kita sebuah doa,

اذهب البأس ربّ الناس، اشف أنت الشافي، لا شفاء إلا شفاءك، شفاء لا يغادر سقما.

(Ertinya: Hilangkanlah kesakitan wahai Rab sekalian manusia. Sembuhkanlah sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Menyembuhkan. Tiada penyembuhan melainkan penyembuhanMu. Penyembuhan yang tidak meninggalkan apa-apa penyakit.)” (Riwayat Abu Dawud)

Ketiga, ruqyah syar`iyyah tidak bertentangan dengan tawakal.

Meruqyah diri sendiri atau meruqyah orang yang sakit tidak bertentangan dengan tawakal. Tawakal adalah pergantungan yang sebenarnya kepada Allah taala dalam meraih manfaat dan menolak kemudaratan dengan melakukan perkara-perkara yang diperintahkan olehNya.[2]

Nabi s.a.w. merupakan contoh tauladan yang terbaik dalam bertawakal. Ketika beliau s.a.w. berhijrah dari Mekah ke Madinah, beliau s.a.w. mengambil seorang penunjuk jalan untuk membimbingnya dan beliau mengambil jalan yang kebiasaannya tidak diambil oleh orang lain.[3]

Ini menegaskan lagi bahawa tawakal yang hakiki adalah gabungan antara usaha dan menyerahkan urusan kepada Allah taala.

Justeru rawatan dengan menggunakan ruqyah syar`iyyah tidak bertentangan dengan tawakal kerana ia termasuk dalam kategori usaha yang merupakan salah satu komponen yang penting dalam pengertian tawakal.

Keempat, ruqyah syar`iyyah tidak menafikan usaha untuk mencari rawatan dari golongan doktor perubatan.

Satu perkara yang harus ditekankan adalah rawatan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, zikir, serta doa-doa yang bertepatan dengan syariat tidak bercanggah dengan usaha mencari rawatan dengan menggunakan perubatan moden. Tiada halangan untuk memanfaatkan kedua-keduanya sekali.

Bukankah Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sentiasalah melakukan apa yang memberikan manfaat kepadamu dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu merasa lemah.” (Riwayat Muslim)

Merawat diri sendiri, baik dengan menggunakan ruqyah syar`iyyah mahupun perubatan moden, termasuk di dalam kategori melakukan perkara yang memberikan manfaat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas.

ya syafiBahkan, menurut Majma` Al-Fiqh Al-Islami Al-Duwali, hukum berubat boleh sampai kepada tahap wajib dan sunat dalam sebahagian keadaan.

Hukum berubat boleh menjadi wajib jika dengan meninggalkannya akan mengancam keselamatan nyawa atau dapat melumpuhkan salah satu anggota badan atau penyakit yang dideritai itu boleh menular kepada orang lain.[4]

Hukum berubat boleh sampai ke tahap sunat jika dengan meninggalkannya boleh melemahkan badan dan tidak menimbulkan kesan seperti yang disebutkan di atas.[5]

Kelima, ruqyah syar`iyyah tidak semestinya dilakukan oleh pihak lain.

Kaedah rawatan menggunakan ruqyah syar`iyyah tidak semestinya dilakukan oleh pihak yang lain. Ianya boleh dilakukan oleh pesakit itu sendiri. Bahkan Rasulullah s.a.w. meruqyah dirinya sendiri.

Um Al-Mukminin `Aisyah r.a. meriwayatkan, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila merasa sakit, Baginda akan membaca ke atas dirinya sendiri Al-Mu`awwizat (surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan Al-Nas) dan Baginda meniupnya. Ketika mana sakitnya sudah tenat, saya yang membacakan untuknya dan saya menyapu dengan tangannya kerana mengharapkan keberkatannya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. juga mengajarkan para sahabat untuk meruqyah diri mereka sendiri.

Diriwayatkan dari Uthman bin Abi Al-`As Al-Thaqafi r.a. bahawa dia mengadu kepada Rasulullah s.a.w. kesakitan yang beliau rasakan pada badannya sejak beliau memeluk agama Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: Letakkanlah tangan kamu kepada anggota yang sakit pada jasadmu kemudian bacalah sebanyak tiga kali:

بسم الله

(Ertinya: Dengan nama Allah.)

Dan bacalah sebanyak tujuh kali:

أعوذ بالله وقدرته من شر ما أجد وأحاذر

(Ertinya: Saya berlindung kepada Allah dan kudratNya daripada keburukan yang saya rasakan dan saya takuti.) (Riwayat Muslim)

Keenam, tidak semua yang mendakwa menggunakan ruqyah sebagai cara rawatan termasuk dalam kategori ruqyah syar`iyyah.

`Awf bin Malik Al-Ashja`i r.a. berkata: Kami melakukan ruqyah pada zaman jahiliah. Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah pandangan kamu mengenai perkara tersebut? Rasulullah s.a.w. menjawab: Bentangkanlah kepadaku ruqyah yang kamu lakukan. Tidak mengapa melakukan ruqyah selagi mana tidak mengandungi kesyirikan. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa bukan semua jenis ruqyah diterima di dalam Islam. Para ulama membahagikan ruqyah kepada dua kategori.

  • Ruqyah yang mengandungi unsur-unsur kesyirikan dinamakan sebagai ruqyah syirkiyyah. Ruqyah sedemikian ditolak oleh Nabi s.a.w.
  • Ruqyah yang bertepatan dengan ajaran syariat dinamakan sebagai ruqyah syar`iyyah.

Menurut para ulama, ruqyah yang bertepatan dengan syariat mesti memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Menggunakan Al-Quran atau zikir kepada Allah atau doa-doa yang disyariatkan.
  2. Menggunakan bahasa Arab atau apa yang difahami maknanya.
  3. Beriktikad bahawa ruqyah tidak memberikan pengaruh melainkan dengan keizinan daripada Allah.[6]

Penutup dan saranan

Apa yang dibentangkan di atas merupakan sedikit penjelasan mengenai beberapa isu yang berkaitan dengan ruqyah. Sebelum menutup tirai perbahasan, penulis ingin menyarankan tiga perkara.

Pertama, pengajian ruqyah syar`iyyah harus diluaskan.huwa yasyfin

Pengajian ruqyah syar`iyyah secara holistik harus diluaskan kepada masyarakat Islam di Singapura. Ini adalah penting demi mengelakkan masyarakat daripada diperdayakan oleh golongan yang mendakwa menggunakan kaedah rawatan ruqyah tetapi hakikatnya pengubatan yang mereka gunakan adalah ruqyah syirkiyyah.

Kedua, kemahiran pakar perubatan, ahli psikologi dan para pengamal ruqyah harus dimanfaatkan.

Salah satu penyakit yang boleh dimanfaatkan ruqyah syar`iyyah sebagai kaedah rawatan adalah penyakit yang melibatkan gangguan makhluk halus atau sihir.

Pada pemerhatian penulis, kefahaman masyarakat mengenai penyakit boleh dibahagikan kepada beberapa kategori.

Segolongan berlebihan dalam menisbahkan penyakit kepada sihir atau gangguan makhluk halus. Golongan ini begitu cepat menghukum seseorang itu terkena sihir atau gangguan makhluk halus walaupun mereka tidak merujuk kepada golongan yang berkemahiran dalam bidang ini.

Berbeza dengan golongan pertama, golongan kedua pula menafikan secara total hubungan mana-mana penyakit dengan sihir atau gangguan makhluk halus.

Justeru, apakah pendekatan yang wasatiy dalam isu ini?

Pada pandangan penulis, pendekatan wasatiy dalam isu ini adalah berpegang teguh dengan firman Allah taala, “Bertanyalah kepada Ahl Al-Dhikr (Ahli Ilmu) sekiranya kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl: 43)

Para ahli ilmu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Kemahiran golongan pakar perubatan, ahli psikologi, serta pengamal ruqyah yang berkemahiran dan berpengalaman perlu dimanfaatkan untuk membezakan antara penyakit biasa dan penyakit yang melibatkan sihir atau gangguan makhluk halus.

Seorang yang pakar dalam bidang perubatan atau psikologi belum tentu pakar mengendalikan kes-kes melibatkan sihir dan gangguan makhluk halus.

Begitu juga sebaliknya. Para pakar dalam pelbagai bidang ini tidak sepatutnya merendahkan antara satu sama lain. Mereka perlu bekerjasama dan meyumbang kepakaran mereka demi kemaslahatan masyarakat.

Ketiga, ruqyah syirkiyyah harus dibendung.

Di negara kita ini, asatizah yang ingin mengajar agama kepada masyarakat perlu mendapatkan pentauliahan sebelum dibenarkan untuk mengajar manakala individu-individu yang mengamalkan ruqyah syirkiyyah dibiarkan bebas dalam keadaan tidak dipantau oleh mana-mana badan.

Pengamalan ruqyah syirkiyyah akan hanya memudaratkan pengamalnya dan juga orang yang meminta bantuan daripada mereka.

Pengamalan ruqyah syirkiyyah harus dibendung demi mengelakkan kemudaratannya yang besar kepada masyarakat.

Semoga Allah memelihara akidah kita di atas landasan yang benar sebagaimana yang diredhaiNya, jauh dari unsur-unsur kesyirikan, jauh dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaanNya.

 

——————————–

Nota:

[1]Ibn Al-Qayyim, Zad Al-Ma`ad Fi Hady Khayr Al-`Ibad, Beirut: Muassasah Al-Risalah, 1998, jilid 4, ms. 160.

[2]Muhammad Salih, Al-Tawakkal, Jeddah: Majmu`ah Zad, 2009, ms. 10.

[3]Mahdi Rizq Allah Ahmad, Al-Sirah Al-Nabawiyyah Fi Dhaw’ Al-Masadir Al-Asliyyah, Riyadh: Dar Imam Al-Da`wah Li Al-Nashr Wa Al-Tawzi`, 1424, jld. 1, ms. 316.

[4]Majma` Al-Fiqh Al-Islami Al-Duwali, Qarar Bi Al-Sha’n Al-`ilaj Al-Tibbi, http://www.iifa-aifi.org/1858.html (disaksikan pada 10 Mac 2018).

[5]Ibid.

[6]Ibn Hajar Al-`Asqalani, Fath Al-Bari’, Cairo: Dar Al-Hadith, 2004, jld 10, ms. :220; Al-Nawawi, Sharh Sahih Muslim, Dar Al-Bayan Al-`Arabi, 2006, jld 7, ms. 342-343.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: