Sikap Ulama Saudi Terhadap Polisi Wasatiyah Putera Muhammad bin Salman Al-Saud (Wasat, No. 21/Jun 2018)

saudi banner

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

Oleh Ustaz Mustazah Bahari

Pendahuluan

Sekali lagi wasatiyah disebut-sebut dan menjadi tumpuan dunia terhadap istilah dan prinsipnya. Di samping promosi dan sokongan yang kuat yang dilakukan oleh ramai pihak, ada juga pihak yang meremehkannya dan malah menolaknya secara total. Menurut mereka, wasatiyah adalah satu gambaran yang tidak dapat dilaksanakan. Ia adalah satu fantasi semata-mata.

Hakikatnya, prinsip wasatiyah memang jelas disebut di dalam Al-Quran dan hadis. Para ilmuwan telah berusaha untuk menerangkannya agar ia difahami dengan maksud yang sebenar dan dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Para ulama telah berkurun lama mengaitkan kebenaran, kebaikan dan keadilan berpusat pada prinsip wasatiyah yang sebenarnya mampu memberi ruang yang selesa untuk meraikan kepelbagaian kehendak dan keperluan manusia yang hidup di benua yang berbeza.

Apabila Putera Muhammad bin Salman Al-Saud, Putera Mahkota kerajaan Saudi Arabia, menyebut tentang wasatiyah dalam ucapannya, dunia memerhatikan apakah sudut wasatiyah yang beliau maksudkan untuk dilaksanakan di negaranya.

Pelbagai artikel telah mengupas inisiatif Putera Muhammad untuk kembalikan Saudi kepada prinsip wasatiyah yang sebenar, artikel ini berniat untuk memberi sumbangan berbeza, iaitu meninjau pandangan ulama Saudi dan sikap mereka terhadap inisiatif ini.  

Wasatiyah yang diinginkan oleh Ibn Salman

Menerusi wawancara dan sebaran media, Putera Muhammad menjelaskan harapan beliau terhadap pembangunan kerajaannya untuk jangka masa tiga puluh tahun akan datang. Semenjak beliau dinobat menjadi bakal pengganti ayahnya Raja Salman, beberapa pendedahan telah dilakukan untuk menunjukkan wawasan beliau mempertingkatkan lagi daya saing kerajaan Saudi di mata dunia.

Visi 2030 yang diutarakan pada tahun 2016 menjelaskan perancangan masa panjang bagi pembangunan kerajaan Saudi yang lebih kukuh lagi. Wawasan tersebut memberi tumpuan kepada tiga perkara asas;

  1. Menjadikan Arab Saudi sebagai jantung hati bagi dunia Arab dan Islam.
  2. Menjadikan Arab Saudi sebagai pusat penjana pelaburan antarabangsa.
  3. Menjadikan Saudi sebagai hab yang menyatukan dunia yang menghubungkan Asia, Eropah dan Afrika.

Umumnya yang jelas dari apa yang ingin beliau lakukan, menurut kata-kata beliau, merujuk pada pembangunan kerajaan Saudi yang lebih progresif, menjadi rujukan utama dan meletakkannya sebaris dengan kepimpinan dunia yang disegani dan dihormati.

Beliau berkata, “Visi kami adalah membangun Saudi Arabia yang teguh, maju dan kukuh yang dapat memberi peluang kepada semua. Visi kami adalah sebuah Negara yang bersifat toleransi dengan Islam sebagai perlembagaannya dan wasatiyah sebagai caranya. Kami akan menyambut individu-individu yang layak yang datang dari seluruh dunia dan akan menghormati mereka yang datang untuk bersama-sama di dalam perjalanan kami menuju kejayaan.”[1]

Merujuk kepada wawancara Al-Arabiya pula, Putera Muhammad ingin mengembalikan pembangunan kerajaan Saudi seperti yang dibangunkan oleh Raja Abdul Aziz dahulu. Menurutnya, Raja Abdul Aziz membangunkan Saudi bersama-sama pegawai-pegawainya tanpa meletakkan harapan kepada hasil minyak. Begitu juga kerajaan Saudi tidak dibangunkan dengan Al-Quran dan Sunnah. Pemikiran seperti ini perlu diperbetulkan menurut beliau.[2] Maksudnya wasatiyah yang ingin dikembalikan ke Saudi adalah perkara-perkara yang tidak terkait dengan urusan hukum agama atau mazhab dan pembangunan negara yang berjaya tidak tertakluk kepada peranan agama sebagai dasar utamanya.

Seterusnya ketika diwawancara oleh saluran CBS dan ditanya mengenai maksud wasatiyah yang beliau ingin laksanakan untuk kerajaan Saudi, ialah mengembalikan suasana dahulu sebelum tahun 1979 di mana lelaki dan perempuan tidak dipisahkan dari mendapatkan hak masing-masing seperti peluang pekerjaan misalnya.[3]

Namun, inisiatif ini juga berkaitan dengan keinginan golongan muda di Saudi lebih kebebasan untuk mengecapi apa yang dianggap sebagai hak mereka. Melalui inisiatif wasatiyah, Putera Muhammad ingin menunjukkan bahawa dia melakukan sesuatu yang betul dan sesuai bagi generasi muda sekarang dan seterusnya.

Rumusannya ialah inisiatif wasatiyah menggambarkan keinginan Putera Muhammad untuk mengembalikan semula sikap wasatiyah ke dalam Saudi adalah dari sudut-sudut pembangunan insan dan negara, bukan isu keagamaan. 

Pandangan ulama Saudi senior scholars

Ramai ulama Saudi berpendapat perkara wasatiyah yang diwar-warkan oleh Putera Muhammad bukanlah sesuatu yang baru. Bagi mereka, ia adalah perkara teras dalam agama yang perlu dilaksanakan dalam segala aktiviti, sama ada yang berkaitan dengan urusan kehidupan seharian mahupun dalam urusan amalan keagamaan dan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w menjadi rujukan dalam memahami konsep ini. Ia juga adalah sesuatu yang selama ini yang diajarkan oleh mereka di Saudi.

Mereka berpendapat ulama Saudi tidak pernah ketinggalan di dalam menggalakkan amalan beragama berteraskan prinsip wasatiyah yang dapat dilihat dari pandangan-pandangan yang dikeluarkan secara rasmi, misalnya dari Kementerian Urusan Agama, Dakwah dan Panduan[4] dan oleh Kepimpinan Awam bagi Kajian Ilmiah dan Fatwa dalam melaksanakan tugasnya dalam masyarakat.[5] Malah prinsip yang sama juga dipegang kuat oleh Jabatan Anjuran Kepada Kebaikan dan Cegah Kemungkaran dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan amalan agama selama ini.[6]

Mereka yakin bahawa apa yang dilakukan selama ini khususnya dalam urusan amalan keagamaan telah berpandukan prinsip wasatiyah yang berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w mengikut mazhab Hanbali di samping penyesuaian pada sosio-budaya di Saudi itu sendiri.

Atas dasar ini, golongan ini berpendapat inisiatif wasatiyah Putera Muhammad ibarat sesuatu yang bersifat lewah (redundant). Oleh itu, sikap mereka terhadap inisiatif yang dilakukan ibarat suam-suam kuku semata-mata.

Sebilangan lain dari ulama Saudi tidak bersetuju dengan inisiatif wasatiyah Putera Muhammad kerana ia dilihat sebagai pembuka jalan bagi kemaksiatan dan kemungkaran.

Ada pula yang mengambil sikap membeza-bezakan aspek wasatiyah yang dikemukakan. Usaha yang berkisar pada isu-isu muamalat seperti hubungan dengan dunia antarabangsa yang lebih terbuka, isu sosio- budaya yang dipelbagaikan dan seumpamanya, dianggap harus dan wajar, selama mana isu yang terbabit tiada kaitan dengan urusan agama secara langsung, seperti soal hukum hakam dan akidah dan boleh pula mendatangkan kebaikan bagi kehidupan manusia.

Atas sebab inilah, rancangan untuk membuka semula panggung wayang di Saudi menjadi isu nasional yang mendapat tentangan dari tokoh-tokoh ulama Saudi; Mufti Besarnya, Sheikh Abdul Aziz Al Al-Syaikh dan Sheikh Saleh Al-Maghamisi.  Namun akhirnya, pembukaan panggung wayang tidak dilarang secara mutlak, tapi diletakkan panduan-panduan yang tertentu demi mengelak dari bercanggah dengan mana-mana hukum Islam dan budaya setempat.

Adapun usaha membenarkan kaum wanita memandu kereta, ia tidak dibantah keras kerana tiada dalil agama yang memang melarangnya, hanya larangan itu dipertahankan atas sebab-sebab sosio-budaya yang diniali unik bagi masyarakat Saudi.

Sebagai contoh, Sheikh Dr. Saad bin Nasir Al-Syathry, salah seorang anggota Majlis Tertinggi Ulama Saudi menjelaskan bahawa setelah berbincang dengan pihak kerajaan mengenai isu ini, para ulama bersetuju bahawa hukum asalnya adalah harus, hanya perlu dipastikan agar tiada kemudaratan dari sudut pelanggaran hukum dan menjatuhkan maruah wanita.

Isu ini sebenarnya isu telah lama ditimbulkan dan telah dianggap bukan isu yang berkaitan dengan hukum hakam agama.

Terdapat juga sebahagian ulama Saudi pula dilihat lebih terbuka seperti Salman Al-Auda, Dr. Aidh Al-Qarni dan Dr. Hatim Al-Auni dan berbeza dengan majoriti ulama yang lebih bersikap konservatif dan tradisional. Mereka ini bersedia untuk bersikap kritikal terhadap golongan tradisional dan konservatif. Mereka turut menganjurkan pembaharuan agama dan masyarakat di Saudi yang memberi ruang persamaan yang lebih luas dengan inisiatif Putera Muhammad. Antara pendapat yang muncul dari kalangan ini juga ialah pakaian wanita di Saudi tidak perlu lagi memakai abaya tetapi apa sahaja yang sesuai untuk mereka.

senior scholars-bookKesimpulan tentang sikap ulama Saudi

Umumnya, para ulama Saudi beranggapan fahaman dan amalan Islam di Saudi, tidaklah bercanggah dengan amalan-amalan Islam. Yang ada hanya pendekatan yang berbeza dalam perkara-perkara khusus berkaitan masyarakat Saudi yang sebilangan pihak tidak bersetuju dengannya lalu menentang cara mereka.

Namun, seperti di negara lain, Saudi juga mempunyai barisan ulama yang berbeza pandangan sesama mereka.

Perbezaan pandangan antara golongan ulama dan raja Saudi sudah berlaku sejak dari dahulu lagi. Tetapi ia tidak merosakkan hubungan baik antara mereka. Ulama Saudi akan mengeluarkan kenyataan atau bersuara jika ada yang dilihat bercanggah dengan prinsip Islam secara umum. Namun mereka juga menghormati keputusan pihak istana dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara. Ini kerana mereka sedia maklum bahawa raja-raja Saudi berpegang juga pada sumber Al-Quran dan Sunnah dalam mentadbirkan urusan rakyat dan negara.

Berikutan dari pernyataan Putera Muhammad mengenai inisiatif wasatiyahnya, hampir tiada ulama Saudi yang keluar dan membuat kenyataan untuk menyokong atau menolak kenyataan itu. Ini mudah difahami kerana mereka berkeyakinan bahawa selama ini Saudi telah mengamalkan prinsip wasatiyah.

Penutup 

Memang tidak dinafikan dan boleh dijangka bakal adanya keresahan di kalangan masyarakat Saudi dan penduduknya mengenai perubahan yang ingin dilakukan oleh Putera Abdullah. Kumpulan konservatif akan menolak idea keterbukaan itu, manakala golongan muda pula melihat ia sebagai satu wawasan baru yang segar dan menjanjikan kebebasan mereka untuk hidup dan mendapat hak yang saksama.

Sikap yang saksama dan wasatiy dalam hal ini ialah untuk tidak menghalang dan membangkang tapi memastikan garis pandu agar ia dilakukan dengan betul sebagaimana dalam contoh panggung wayang dan memandu bagi kaum wanita.

Agensi yang berkuasa mengurus masalah ini meletakkan perundangan yang sesuai sesuai dengan kerangka undang-undang di Saudi sebagai negara Islam yang berdaulat.

Dengan adanya sebilangan ulama Saudi yang bersikap terbuka dalam ruangan yang masih diluluskan agama, dan juga ulama yang lebih cenderung untuk berdiam diri dari membuat sebarang komen, maka boleh dijangka satu masa nanti Arab Saudi boleh menjadi seperti negara jirannya di teluk seperti Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain yang lebih moden dan progresif.

Banyak pihak di merata dunia, khususnya dunia Islam masing-masing mendakwa mengamalkan prinsip wasatiyah dalam amalan keagamaan. Secara umumnya ia boleh diterima kerana wasatiyah berbalik kepada kesesuaian perlaksanan sesuatu amalan menurut tempat dan keadaannya tersendiri. Tetapi dalam usaha-usaha itu juga, terdapat pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan merosakkan prinsip tersebut.

Memang tidak dapat dinafikan ada pihak yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam yang sebenar tetapi pada hakikatnya mereka merosakkan agama seperti kumpulan pengganas Al-Qaeda, IS dan sekutu-sekutu mereka.

Malah terdapat juga golongan agamawan yang sempit pemikirannya tentang amalan agama sehingga menyalahkan pihak lain yang tidak sependapat dengannya, sedangkan isu yang dibangkitkan adalah isu khilaf yang perlu diraikan. Sikap seperti ini perlu ditangani dan diuruskan dengan baik, bukan sahaja di Saudi tetapi di mana-mana negara sekalipun.

Isu yang berbentuk khilaf tidak boleh diubah menjadi isu yang disepakati, begitu juga sebaliknya. Tidak dinafikan terdapat pandangan-pandangan yang ekstrem dikeluarkan oleh ulama Saudi tetapi bukan mereka sahaja yang melakukan perkara seperti itu, malah pemikiran yang sempit boleh sahaja berlaku dari agamawan negara lain juga seperti Mesir, Morocco, Jordan, Yaman dan sebagainya.

Dalam tradisi mazhab Islam misalnya, terdapat pengikut-pengikut mazhab yang ekstrem. Ada segelintir pengikut yang begitu fanatik sehingga mencerca pengikut mazhab yang lain. Apabila ia berlaku, bukan bererti mazhab tersebut mengajar pengikutnya untuk berkelakuan begitu. Ia berbalik kepada individu itu sendiri sahaja.

Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa berlakunya sifat radikal dan ekstrem boleh berlaku dalam pelbagai kelompok dan mazhab dalam Islam. Di Pakistan, kumpulan Barelvi Sunni yang merujuk kepada aliran sufi juga telah muncul dan melakukan banyak serangan ganas terhadap masyarakat awam, baik Muslim atau bukan Muslim.[7]

Selain itu, pengganasan hari ini sudah tidak lagi berpandukan doktrin, metodologi atau pemikiran tradisi Islam tertentu. Ia sudah menjadi satu identiti yang tersendiri yang tiada kaitan langsung dengan Islam mahupun agama-agama lain yang ada di dunia.

Sebagaimana yang telah dinyatakan yang perlu difahami ramai, ulama Saudi melihat amalan dan fahaman Islam mereka ialah berteraskan mazhab Hanbali, salah satu mazhab sah di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah dan generasi salafus soleh yang diakui dalam tradisi ilmu Islam, baik dari segi akidah atau fiqh, dan bukan mazhab, iaitu Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, yang mengasaskan gerakan Wahabi. Wahabi hanyalah satu gerakan reformasi, dan bukan mazhab baru dan berbeza dari mazhab-mazhab Sunni yang sedia ada. saudi cartoon

Oleh kerana mazhab Hanbali diakui sebagai salah satu mazhab sah, pegangan agama di Saudi dinilai konservatif di sisi sesetengah pihak tidak harus diingkari. Sebaliknya, ia patut dihormati oleh mana-mana pihak dan tidak boleh pula dihukumkan terkeluar dari wasatiyah kerana ia sama seperti amalan negara lain yang mempunyai mazhab rasmi lain seperti Syafi’ii. Manakala penyesuaian pada sosio-budaya Saudi pula adalah bersesuaian dengan prinsip mengamalkan Islam sesuai pada konteks tertentu. Oleh itu juga, tidak seharusnya dipersoalkan hak sesuatu negara atau masyarakat untuk mengamalkannya selama mana ia diterima oleh masyarakat itu dan bersesuaian dengan sosio-budaya mereka, sebagaimana juga tidak wajar jika pendapat itu ingin dipaksakan kepada masyakarat yang berlainan sosio-budayanya. Hal ini kerana perbezaan dalam kerangka empat mazhab yang muktabar hanyalah perbezaan pada isu-isu cabang sahaja, yang tidak menatijahkan mereka menjadi sesat dan terkeluar dari Ahli Sunnah, apatah lagi dari Islam itu sendiri.

Ironinya, negara Oman yang berpegang dengan mazhab Ibadhiyah, dianggap sebagai kumpulan yang termasuk dalam Islam menurut pendirian yang dikeluarkan oleh Amman Message, sedangkan mazhab itu juga asalnya adalah pecahan dari kumpulan Khawarij di masa silam. Ia tidak menjadi isu besar kerana Ibadhiyah sekarang bukan lagi seperti yang dahulu. Hari ini mereka mengamalkan Islam di sana dengan sikap yang baik. Masyarakatnya secara umum menerima dan mengamalkan mazhab itu dengan baik. Mereka tidak membuat onar dengan mengatakan mazhab mereka yang paling tepat dan perlu diikuti oleh semua umat Islam.  Mereka juga yakin terhadap pegangan agama mereka tidak terpisah dari prinsip wasatiyah.

 

————————————-

Notes:

[1]Muhammad bin Salman (t.t). Our Vision: Saudi Arabia.. the heart of the Arab and Islamic worlds, the investment powerhouse, and the hub connecting three continents. Lihat: http://vision2030.gov.sa/en/foreword  (8 May 2018).

[2]Al Arabiya (2016) Al Arabiya interviews Deputy Crown Prince Mohammed bin Salman 25 April. Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=jju7ErdRot0  (8 May 2018).

[3]Muhammad bin Salman (2018), Tarjamah Ihtirafiyah Al-Liqa’ Li Wali Al-‘Ahd Muhammad bin Salman Ma’a Qanat CBS Al-Amrikiyah, 18 March. Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=tvdZNR4GRC8   (8 May 2018).

[4]Ministry of Islamic Affairs, Dawah and Guidance (1439), ‘Udw Hai’at Kibar Al-Ulama Dr. Al-Syathry Hadir ‘An Isham Al-Da’iyah Fi Ta’ziz Al-Wasatiyah Fi Al-Mujtama’, 11 Rajab Lihat: https://www.moia.gov.sa/MediaCenter/News/Pages/11071439_3.aspx  (8 May 2018).

[5]Ri’asat Al-‘Ammah Li Al-Buhuth Al-‘Ilmiah Wa Al-Ifta’ (t.t), Majallat al-Buhuth. Lihat: http://www.alifta.gov.sa/Ar/Search/Pages/SearchResults.aspx?k=%D8%A7%D9%84%D9%88%D8%B3%D8%B7%D9%8A%D8%A9  (8 May 2018).

[6]Markaz Al-Buhuth Wa Al-Dirasat Bi Ri’asat Al-‘Ammah Li Hai’at Al-Amr Bi Al-Ma’ruf Wa Al-Nahy ‘An Al-Munkar (1439H), Juhud Al-Ri’asah Al-‘Ammah Li Hai’at Al-Amr Bi Al-Ma’ruf Wa Al-Nahyi `An Al-Munkar Fi Ta’ziz Al-Intima’ Al-Watani Wa Al-Amn Al-Fikry, 27 Sya’ban, ms. 11.  Lihat: https://www.pv.gov.sa/PresidencyLibrary/Books/Documents/taeziz%20alaintima%20alwatanii.pdf (8 May 2018).

[7]Muhammad Suleman. (2017) The Rise of Barelvi Extremism in Pakistan, 21 September. Lihat: https://iapsdialogue.org/2017/09/21/the-rise-of-barelvi-extremism-in-pakistan/; Kashif N Chaudry (2017), Pakistan and the Rise of Barelvi Sunni Extremism, 9 January. Lihat: https://www.huffingtonpost.com/entry/pakistan-and-the-rise-of-barelvi-sunni-extremism_us_5874493ae4b08052400ee5bc  (16 May 2018)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: