Wasati Dalam Memahami Kaedah Hermeneutika Dalam Tafsir (Wasat, No. 22/Aug. 2018)

home - designbygeometry on Banner Islamic Design

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

———————————

Oleh Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff

Pengenalan pada hermeneutika

Kaedah hermeneutika merupakan satu kaedah yang sangat kontroversi bagi menafsirkan ayat-ayat Al-Quran. Antara sebabnya ialah kerana rata-rata para feminis Muslim atau sarjana Muslim tertentu seperti Fazlur Rahman, Nasr Hamid Abu Zayd, Mohammed Arkoun, Amina Wadud, Asma Barlas dan sebagainya memilih kaedah hermeneutika dalam menafsirkan ayat-ayat Al-Quran.[1]

Memandangkan kaedah hermeneutika ini berbeza dengan kaedah tafsir tradisional yang digunapakai oleh para ulama tafsir Islam, terdapat pendapat yang menolak kaedah ini sama sekali.

Namun benarkan ianya tiada langsung landasan dalam kedah tradisional tafsir di isi ulama? Inilah yang ingin dikupaskan dalam kajian ringkas ini.

Kajian ini akan menyorot latar belakang kaedah hermeneutika, asal mulanya, perbezaan ketara agar dapat diketahui mengapa ia perlu ditolak dan kesamaan dengan tafsir yang digunapakai ulama Islam, jika ada.

Hermeneutika boleh diertikan sebagai seni dan ilmu untuk menafsirkan teks-teks yang mempunyai otoriti, khususnya teks suci.

Rata-rata golongan feminis Muslim berpandangan bahawa tafsir secara hermeneutika dapat diertikan sebagai sekumpulan kaedah yang harus diikuti oleh seorang mufassir dalam memahami teks agama.

Pada asalnya, hermeneutika bukan suatu bidang ilmu yang diperkenalkan oleh ulama Islam silam, tetapi dari tokoh-tokoh bukan Islam semasa.

hermeneutic definitionSecara ringkas pula, terdapat dua model hermeneutika yang utama, iaitu:

Pertama, hermeneutika objektif

Hermeneutika jenis ini dikembangkan oleh tokoh-tokoh klasik, khususnya Friedrick Schleiermacher (1768-1834), Wilhelm Dilthey (1833-1911) dan Emilio Betti (1890-1968).

Mereka ini berusaha memahami makna asal teks sesuatu karya dengan cara mengajak pembaca kembali ke masa lalu, iaitu ketika mana teks tersebut ditulis, dengan cara memahami teks sebagaimana yang difahami oleh pengarangnya.

Untuk dapat memahami maksud pengarang sebagaimana yang tertera dalam tulisan-tulisannya, kerana gaya dan karakter bahasanya berbeza-beza pula, penafsir itu harus keluar dari tradisinya sendiri, untuk kemudian masuk pada tradisi di mana si penulis teks tersebut hidup, atau paling tidak membayangkan seolah dirinya hadir pada zaman itu.

Mengikut hermeneutika objektif, apabila penafsir membayangkan pada tradisi pengarang, memahami dan menghayati budaya yang melingkarinya, penafsir akan mendapatkan makna yang objektif sebagaimana yang dimaksudkan oleh si pengarang.[2]

Kedua, hermeneutika subjektif

Kaedah ini dikembangkan oleh tokoh-tokoh moden khususnya Hans-Georg Gadamer (1900-2002) dan Jacques Derida (1930) yang memahami makna dalam konteks kekinian dengan mengenepikan masa lalu.[3]

Menurut model kedua ini, hermeneutika bukan usaha menemukan makna objektif yang dimaksudkan oleh si penulis seperti yang dianggapi oleh model hermeneutika objektif, melainkan memahami apa yang tertera dalam teks itu sendiri.[4] Penekanan mereka adalah isi teks itu sendiri secara mandiri, bukan pada idea awal si penulis.

Inilah perbezaan dasar antara hermeneutika objektif dan subjektif. Dalam pandangan hermeneutika subjektif, teks bersifat terbuka dan dapat diinterpretasikan oleh sesiapa pun kerana, menurut mereka, apabila sebuah teks sudah ditulis atau diedarkan, ia telah bebas dan tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan si penulis. Dengan itu, teks tidak harus difahami berdasarkan idea si pengarang semata-mata, melainkan berdasarkan material yang tertera dalam teks itu sendiri. Bahkan, penulis telah ‘mati’ di sisi pandangan kelompok ini.

Menurut Gadamer, seseorang tidak perlu melepaskan diri dari tradisinya sendiri untuk kemudian masuk dalam tradisi si penulis dalam usahanya menafsirkan teks. Bahkan, hal itu adalah sesuatu yang tidak mungkin, kerana keluar dari tradisi sendiri bererti mematikan fikiran dan kreativiti.

Dengan ini, hermeneutika secara subjektif tidak meletakkan sebarang syarat bagi para penafsir untuk cuba memahami konteks penulis atau pengarang teks. Penafsir bebas untuk memberikan interprestasinya sendiri, kerana apa yang penting bagi hermeneutika cara ini ialah teks itu sendiri, bukan idea penulis atau konteks kehidupan penulis.[5]

Hermeneutika pembebasan

Metodologi ini dikembangkan oleh tokoh-tokoh Muslim kontemporari khususnya Hasan Hanafi dan Farid Esack. Kaedah hermeneutika ini sebenarnya didasari dari pemikiran hermeneutika subjektif.

Menurut Hanafi, hermeneutika, dalam kaitannya dengan Al-Quran, adalah ilmu tentang proses dan juga tranformasi wahyu dari Tuhan kepada kehidupan manusia.

Dalam proses pemahaman teks, Hanafi mensyaratkan penafsir harus melepaskan diri dari dogma atau pemahaman-pemahaman yang ada. Dari sini, kemudian melangkah pada tahap seterusnya, yakni menyedari makna yang difahami tersebut dalam kehidupan manusia, dan bagaimana makna-makna tersebut berguna untuk memecahkan persoalan-persoalan kehidupan insan.[6]

Perbezaan dan kesamaan antara tafsir hermeneutika dan tafsir tradisional dalam pengajian Islam

Berdasarkan pembahagian tadi, terdapat kesamaan antaranya dengan tafsir tradisional dalam pengajian Islam.

Jika hermeneutika digunakan sebagai ilmu untuk menjelaskan maksud firman-firman Allah taala, makna kosa kata dalam Quran, bolehlah dikatakan hermeneutika juga secara tidak langsung tiada bezanya dengan tafsir tradisional.[7] Walaupun istilah hermeneutika tidak ditemui dalam tafsir tradisional, ciri hermeneutika seperti ini sebenarnya telah digunakan oleh para sarjana Islam sekian lama.

Ini dapat dilihat dari kajian tentang ilmu seperti Asbab Al-Nuzul (sebab turun wahyu) dan Al-Nasikh Wa Al-Mansukh (ayat pemansukh dan yang dimansukhkan). Begitu juga dengan komentar-komentar penafsir terhadap Al-Quran dengan aturan dan metodologi tertentu telah ada sejak munculnya kitab-kitab tafsir. Malah tafsir tradisional juga mempunyai pelbagai kategori seperti al-tafsir bi al-ma’thur, al-tafsir bi al-ra’y, al-tafsir al-ishari, al-tafsir al-maudhu`ii, tafsir ayat-ayat hukum dan sebagainya. Selain itu terdapat juga kelompok dan ideologi tertentu dalam bidang penafsiran silam sebagaimana yang dapat dilihat dalam pembahagian tafsir mazhab syi`ah dan tafsir mazhab muktazilah.[8]

Al-Tafsir bi al-ma’thur[9] adalah tafsir Al-Quran yang didasarkan atas penjelasan dari Al-Quran sendiri dan penjelasan Rasul s.a.w atau para sahabatnya. Sementara al-tafsir bi al-ra’y pula adalah tafsir yang didasarkan atas ijtihad.

Dalam perbandingan di antara keduanya, model al-tafsir bi al-ma’thur sesuai dengan model hermeneutika objektif. Sebagaimana hermeneutika objektif berusaha memahami maksud pengarang dan masuk dalam tradisinya, al-tafsir bi al-ma’thur pula berusaha memahami maksud Tuhan dalam Al-Quran dengan cara masuk pada keadaan realiti sejarah saat turunnya ayat.

Dalam pandangan al-tafsir bi al-ma’thur, yang paling mengetahui maksud Tuhan adalah Rasul, para sahabat dan mereka yang sezaman dengannya. Kita tidak akan dapat menangkap maksud Al-Quran yang tepat tanpa bantuan mereka dan memahami realiti pensejarahan yang melingkupinya. Oleh itu, kaedah al-tafsir bi al-ma’thur sentiasa terikat dan bersandar pada masa Rasul s.a.w, sahabat dan yang berkaitan dengan period awal turunnya Al-Quran.

Mengikut M. Quraish Shihab dalam kitabnya Kaidah Tafsir, tidak seperti mengenal karya manusia melalui teksnya mengikut kaedah hermeneutika, untuk mengenal Allah taala melalui firman-firmanNya dengan cara hermeneutika punya keterbatasan tertentu. Namun, kita mampu mengurangkan keterbatasan untuk mengenal Allah taala dan memahami teksnya ini, iaitu dengan mempunyai pengetahuan pada ilmu Aqidah bagi mengenal Allah taala dan sifat-sifatNya, juga pada sirah Rasulullah s.a.w dalam mengenal pekerti. Hal ini sebenarnya banyak dilakukan oleh para mufassir dan parabuku quraisy shihab fuqaha’ dalam membantu mereka memahami dan menjelaskan makna-makna ayat Al-Quran.[10]

Pada masa yang sama, perlu diingat akan asal usul kaedah hermeneutika, iaitu ia disusun untuk diterapkan pada teks-teks yang disusun manusia. Bermakna ia tidak wajar diterapkan pada Al-Quran yang merupakan firman Allah taala, kecuali pada batasan-batasan yang disebutkan tadi.[11]

Sementara itu, al-tafsir bi al-ra’y[12] sesuai dengan model hermeneutika subjektif. Sebagaimana konsep hermeneutika subjektif, al-tafsir bi al-ra’y tidak memulai penafsirannya berdasarkan realiti pensejarahan atau analisa-analisa linguistik, melainkan memulai dari pra pemahaman si penafsir sendiri, kemudian berusaha mencari legitimasinya atau kesesuaiannya dalam teks tersebut.[13]

Keterbatasan dalam kaedah tafsir hermeneutika 

Namun, tidak seperti teks asal karangan manusia yang boleh mengikut kaedah hermeneutika secara total seperti idea teks memiliki wujud tersendiri dan terlepas dari pengucap atau pemilik teks atau gagasan pandangan bahawa  tidak penting untuk seseorang itu mengetahui tujuan si penulis, Al-Quran tidak dapat menerima kaedah hermeneutika sebegini sepenuhnya[14] kerana terdapat ayat-ayat Al-Quran yang tidak dapat dipisahkan dari penjelasan Nabi s.a.w.

Selain itu, banyak ayat-ayat Al-Quran yang tidak dapat difahami secara sendiri, tetapi harus dikaitkan dengan teks lain. Banyak juga juga teks ayat-ayat yang memerlukan bantuan sunnah dalam menetapkan maksudnya seperti perintah solat yang tidak dapat difahami kecuali dengan penjelasan dari sunnah dan amalan Rasulullah s.a.w.

Dari sudut prinsip pula, idea ini kurang sesuai dengan falsafah Al-Quran sendiri yang merupakan kalam Allah yang berperanan sebagai petunjuk.  Oleh itu, idea pelepasan teks dari pemilik teks atau pengarang secara mutlak akan sangat bermasalah dalam konteks memahami kandungan Al-Quran, kerana Al-Quran mempunyai terlalu banyak pesan yang mengarah kepada keharusan merasakan kehadiran Allah dan keagungannya dalan membaca, mempelajari dan menafsirkan teks-teks ayat-ayat suci Al-Quran.[15]

Atas penjelasan sebelum ini, jelas terdapat beberapa kesamaan antara tafsir hermeneutika dengan tafsir tradisional, kecuali pada isu-isu yang telah diperjelaskan di atas dan ini secara tidak langsung menyangkal dakwaan bahawa hermeneutika itu berbeza sama sekali dengan tafsir dalam tradisi Islam[16] dan tanggapan bahawa penggunaan hermeneutika pasti akan menimbulkan keraguan terhadap Al-Quran yang telah disepakati oleh sekelian umat Islam.[17]

Pada masa yang sama, dakwaan bahawa dengan menggunakan kaedah tafsir hermeneutika, teks-teks dan ayat-ayat Al-Quran akan dipertanyakan dahulu kebenarannya; betulkah sama ada ia kalam Allah taala, atau sama ada ia telah bercampur dengan kata-kata manusia, seperti mana yang berlaku kepada tafsiran terhadap Injil juga tidak boleh diterima, kerana sejarah Al-Quran berbeza dengan apa yang berlaku terhadap Injil.

Perbezaan ketara tafsir hermeneutika yang perlu difahami

Terdapat para feminis Muslim yang melakukan penafsiran terhadap Al-Quran dengan menggunakan kaedah tafsiran hermeneutika, tanpa meragui sama sekali bahawa Al-Quran merupakan kalam Allah taala dan bukan dari kalam Nabi Muhammad s.a.w. Namun apa yang membezakan antara tafsir hermeneutika yang diguna pakai oleh feminis Muslim sebegini dengan ulama tafsir tradisional ialah mereka berpegang pada fahaman relativisme tafsir, yang bermakna kesemua tafsir dipandang sebagai produk akal manusia yang relatif, kontekstual, sementara dan peribadi atau personal.

Hermeneutika_dan_Tafsir_Al_Quran_Adian_Husaini_dan_AbdurrahmBagi golongan feminis Muslim ini, tidak ada tafsir yang qat’i, kesemuanya relatif dan zanni, yakni terbuka kepada penafsiran semula, walaupun pada hukum Islam yang sudah dipandang tetap dalam agama, ini kerana bagi mereka tidak ada yang tetap dalam Islam.[18]

Malah, hukum-hukum Islam yang sudah dinyatakan sebagai tetap atau perkara yang sudah menjadi prinsip atau thawabit (yang tidak boleh diubah) masih mampu diubah dan disesuaikan dengan perkembangan zaman.[19]

Selain itu, mereka juga tidak menerima pakai hadis atau pandangan para sahabat sebagai bahan rujukan dalam menafsirkan Al-Quran. Antara alasan yang digunakan ialah kerana hadis Nabi s.a.w. mempunyai percanggahan sejarah berbanding dengan Al-Quran yang bebas dari sebarang kesilapan.[20]

Pada masa yang sama, bagi mengelak tafsir liar dan jauh dari kebenaran, menjaga hal prinsip agama atau ‘ihtiram al-thawabit yang menjadi kesepakatan bersama secara rasional antara golongan mufassir adalah satu perkara yang mustahak. Ini penting agar dalam keterbukaan menafsirkan semula ayat-ayat Quran, ia tetap terpelihara mengikut kerangka metodologi ulama Tafsir, sehingga mampu melahirkan tafsir yang otoriti dan inter-subjektif.

Dengan itu, tafsiran semula pada ayat-ayat tertentu perlulah kepada tafsir yang menyeluruh antara konteks logik dan syarak. Penelitian semula hikmah di sebalik syarak terutama dalam konteks kemajuan hari ini perlu kepada kefahaman yang baru sesuai dengan prinsip syariah yang digariskan Al-Quran dan sunnah Rasulullah, sirah kehidupan Baginda dan sejarah hidup para sahabat.[21]

Kesimpulan

Kesimpulannya ialah untuk menyatakan hermeneutika itu dibolehkan atau tidak dalam menafsirkan Al-Quran adalah bergantung bagaimana ia digunapakai. Jika ia digunakan bagi memahami maksud Al-Quran atau melalui tafsiran mengikut pemahaman ahli tafsir, ia tidak banyak beza dengan kaedah tafsir yang diguna pakai dalam kebanyakan kitab tafsir silam mahupun pada hari ini.

Namun pada masa yang sama, ia perlulah didasari pada metodologi yang jelas dan mempunyai batasan-batasan yang tertentu iaitu tidak pada perkara yang prinsip, selain keperluan pengetahuan dalam bidang Aqidah, sirah serta hadis dalam ayat-ayat ketuhanan atau yang menjelaskan tentang keperibadian Rasulullah s.a.w. Begitu juga dalam menafsirkan ayat-ayat yang berbentuk umum yang tidak boleh difahami sendiri kecuali dengan merujuk kepada sunnah dan amalan Rasulullah s.a.w.

Selain dari itu, seseorang yang menggunakan kaedah hermeneutika juga perlu sedar bahawa Al-Quran berbeza dengan kitab ciptaan manusia. Ia adalah kalam Allah taala. Oleh itu, pembaca dan penafsir Al-Quran tidak boleh menolak hakikat ia merupakan milik Allah taala dan tidak boleh ditafsirkan sesuka hati kita, tanpa mengambil kira langsung maksud pemilik teks itu sendiri, iaitu Allah taala, di samping keperluan untuk merasai kekuasaan Allah taala dan keagungan-Nya dalam interaksi kita bersama Al-Quran.

————————-

Nota:

[1]Adian Husain et. al. (2007), Hermeneutika & Tafsir Al-Qur’an, Jakarta: Gema Insani, ms. xii.

[2]Khudori Soleh (2004), “Hermeneutika Dan Metode Tafsir”, Jurnal ‘Psikoislamika’, Fakultas Psikologi Universitas Islam Negeri (UIN), Malang, jil. 1, bil. 1, ms. 26.

[3]Fazlur Rahman (1982), Islam & Modernity: Transformation of an Intellectual Tradition, Chicago: The University of Chicago Press, ms. xxi.

[4]Khudori Soleh (2004).

[5]Ibid.

[6]Ibid.

[7]M. Quraish Shihab (2013), Kaidah Tafsir: Syarat, Ketentuan dan Aturan Yang Patut Anda Ketahui Dalam Memahami Al-Quran, Jakarta: Penerbit Lentera Hati, ms. 428.

[8]Budhy Munawar-Rachman (2010), Argumen Islam Untuk Liberalisme: Islam Progresif dan Perkembangan Diskursusnya, Jakarta: Percetakan PT. Gramedia, ms. 185.

[9]Tafsir yang bersandarkan kepada riwayat yang sahih dari Al-Quran, Sunnah, riwayat para sahabat mahupun dari para tabi`in yang biasa meriwayatkan dari para sahabat. Sila lihat Manna’ Al-Qattan (1995), Mabahith Fi ‘Ulum al-Quran, Kaherah: Maktabah Wahbah, ms. 358.

[10]M. Quraish Shihab (2013), ms. 447.

[11]Ibid, h. 449

[12]Tafsir yang bersandarkan pada pemahaman sendiri dan penyimpulan yang didasarkan pada ijtihad semata. Namun penafsirannya harus tetap sejalan dengan hukum syariah tanpa ada pertentangan. Sila lihat Manna’ al-Qattan (1995), ms. 362.

[13]Khudori Soleh (2004), ms. 29-30.

[14]M. Quraish Shihab (2013), ms. 450

[15]Ibid, ms. 451.

[16]Sila lihat pandangan Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya The Educational Philosophy of Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas: An Exposition of the Original Concept of the Islamization yang dinukil dari Adian Husain et al (2007), ms. h.42.

[17]Dr. Ugi Suharto (2007), Pemikiran Islam Liberal: Pembahasan Isu-Isu Sentral, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar, ms. 131.

[18]Dr. H. Abdul Mustaqim (t.t.), Paradigma Tafsir Feminis: Membaca Al-Quran Dengan Optik Perempuan, Yogyakarta: Logung Pustaka, ms. 18-9

[19]Ibid, 20.

[20] Amina Wadud (1999), Qur’an and Woman: Rereading the Sacred Text from a Woman’s Perspective, New York: Oxford University Press, ms. xvii.

[21]Prof. Muhammad `Imarah (2010), Haqaiq Wa Syubhat Hawla Makanat Al-Mar’ah Fi Al-Islam, Kaherah: Dar Al-Salam, ms. 171.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: