Dari meja penyunting…. (Wasat, no. 45 / September 2022)

Dari meja penyunting….

Alhamdulillah, Wasat no. 45 / September 2022 berada kini di paparan mata pembaca bersama tiga artikel-artikel yang diharapkan akan memberi manfaat.

Wasat ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Qusairy Thaha yang telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Pergas pada akhir bulan Jun yang lalu atas sumbangan beliau sebagai salah seorang anggota panel penyunting Wasat. Semoga Allah taala memberi ganjaran yang terbaik dan menjadikan langkah beliau selanjutnya sejahtera dan diberkati. Sebagai langkah sementara Ustazah Nazrana Haniff, pengarah bahagian kajian, akan mengisi kekosongan bagi edisi ini.

Untuk edisi ini, artikel pertama yang diterbitkan oleh Wasat kali ini ialah sumbangan Ustaz Husin Bin Masnin yang bertajuk Tadarruj (Bertahap-tahap): Sifat Wasatiyah Dalam Cetus Perubahan. Artikel ini membicarakan satu prinsip penting dalam mencetus perubahan iaitu melakukannya dengan cara bertahap-tahap sesuai dengan panduan dari Allah taala sendiri yang ditunjukkan dalam Al-Quran. Penulis berkongsi dalil-dalil syarak yang menunjukkan perubahan secara perlahan-lahan dan bertahap-tahap adalah satu tuntutan agama, dan bukan sikap tercela. Sebaliknya sikap gopoh dan tergesa-gesa itulah yang jauh dari kesederhanaan yang dikehendaki oleh Allah taala.

Artikel kedua pula bertajuk Ilmu `Ilal Al-Hadith: Ketelitian dan Kesungguhan Ulama Memelihara Kesucian Agama, olehUstaz Mustazah Bahari. Penulis membicarakan tentang kepentingan sikap cermat dalam menerima apa jua ajaran agama bagi memastikan ia pasti benar dengan memberi contoh pada sikap yang ditunjukkan oleh para ulama dahulu dalam meneliti hadis melalui ilmu `Ilal Al-Hadith. Satu contoh ketelitian ulama dalam bidang ini ialah mereka tetap bersikap cermat dalam memastikan kebenaran sesuatu hadis walaupun jika perawinya semua adalah baik dan dipercayai. Begitu teliti dan cermat usaha mereka ini hingga ia menjadi satu bidang ilmu yang tersendiri dalam bidang ilmu hadis.

Artikel ketiga adalah artikel berbahasa Inggeris bertajuk, The Virtues of Muharram as One of Islam’s Most Sacred Month, by Ustaz Afiq Zikry Bin Zulkifli. Penulis menghuraikan fadilat bulan Muharram yang patut diambil kesempatan oleh Muslim untuk menambah amal ibadatnya. Walaupun bulan Muharram telah berlalu, diharapkan penerbitan artikel ini tetap menyumbang pada penambahan ilmu kepada para pembaca dan boleh digunakan pula sebagai bahan dakwah sebelum kedatangan Muharram di tahun akan datang.

Selamat membaca.

Bacalah dengan nama Tuhanmu….

Leave a comment